Rabu, 1 Februari 2012

ISU AGAMA : Tangani isu umat dengan bijaksana


Oleh MOHAMAD ABDULLAH

TERDAPAT banyak isu yang dihadapi oleh umat Islam di negara kita kebelakangan ini yang amat merisaukan. Dalam banyak keadaan seperti biasa kita menuding jari kepada pihak lain. Dalam isu murtad misalnya, kita lebih banyak menyalahkan mereka yang sering agresif berbuat demikian.

Namun, penyelesaian sebenar berada di tangan umat Islam sendiri. Hakikatnya kita tidak boleh mengubah orang lain, tetapi kita berupaya untuk mengubah diri sendiri dengan sokongan kuat institusi, organisasi dan semua yang berkait dengan Islam.

Jika kita percaya bahawa Islam itu syumul, maka penyelesaian holistik harus kembali kepada umat Islam dalam memperkukuh dan memperkasa dirinya dalam pelbagai cara dengan menggunakan kebijaksanaan, penuh hikmah dan ilmu pengetahuan yang dikuasai.

Umat Islam termasuk di negara kita tidak pernah kurang dengan mereka yang mempunyai ilmu dan kemahiran. Umat Islam malah memiliki segala-galanya, tetapi yang kurang agaknya adalah dari segi tindakan yang berkesan untuk menangani setiap isu. Umat Islam berbalah atas hal-hal yang mempunyai kepentingan tertentu, baik bersifat peribadi atau pun politik sehingga isu sebenar tenggelam dan menguntungkan orang lain.

Perbalahan seperti ini barangkali amat dinantikan oleh mereka yang ingin mengambil kesempatan kerana di sebalik perbalahan adalah keuntungan kepada mereka yang menunggu peluang dan bijak mengambil kesempatan.

Isu-isu asas yang berkaitan dengan kebajikan dan pemerkasaan institusi dan organisasi untuk membantu umat Islam perlu dilihat sebagai salah jihad yang dapat membantu mengurangkan gejala-gejala yang mengancam umat Islam hari ini.

Kerana itu, tugas paling penting adalah memperkasakan semula institusi, organisasi dan segala yang bertunjangkan Islam agar berupaya menggembleng kekuatan umat Islam bersatu dan melaksanakan amanah bagi menghadapi segala cabaran yang ada.

Institusi masjid, musolla dan surau misalnya yang berada hampir di setiap kampung, pekan, bandar dan daerah harus terlebih dahulu dilihat sebagai mekanisme utama dalam pembangunan dan penyelesaian segala masalah ummah.

Jabatan, pihak berkuasa agama, Pusat Islam dan institusi seperti masjid dengan struktur yang jelas harus menjadi pemangkin kepada usaha ini. Semua institusi ini mesti menjadi model pengurusan Islam yang disegani dan tempat rujukan dalam apa jua masalah hidup dalam membantu ummah.

Masjid dan institusi Islam ini harus dilengkapkan dengan segala kemudahan termasuk Internet dan para pengurus yang profesional dan bijak memainkan peranannya secara berhemah dalam menggembleng kekuatan anak kariah untuk menjadi tempat perbincangan, menjalinkan kerjasama dan mengambil tindakan susulan terhadap masalah-masalah.

Justeru, data maklumat tentang kepakaran setempat termasuk dalam aspek kaunseling, pembangunan ekonomi dan sebagainya harus dibekalkan dan diuruskan dengan baik dan bersedia menghadapi segala kemungkinan.

Malah, apabila seseorang remaja dan anak muda misalnya menghadapi jalan buntu, terjebak dalam kancah kehidupan dan terbabas daripada norma hidup biasa, masjid boleh menjadi salah satu tempat mendapat bantuan. Mereka menjadi sahabat untuk dibimbing dan dibantu supaya melihat hidup lebih positif dan jalan kemuliaan yang ditunjukkan oleh al-Quran dan sunnah sebagai pilihan.

Sebelum ini dapat dilakukan, mereka yang mengurus masjid malah mereka yang dianggap hebat penguasaan agama, para pemimpin masyarakat dan sebagainya harus lebih mesra kepada golongan ini. Ummah tanpa memandang rendah kepada anak muda atau mereka yang berhadapan dengan masalah, tersilap langkah atau terjebak dalam isu seperti penyalahgunaan dadah, HIV/AIDS, pelacuran dan kehidupan gelandangan yang dianggap sebagai musuh yang harus dijauhi.

Jika stigma ini dapat diatasi, maka banyak masalah lain dapat diselesaikan. Badan-badan sukarela Islam yang berteraskan isu universal boleh memainkan peranan lebih aktif dalam merealisasikan hasrat ini yang boleh berpusat di masjid atau Pusat Islam, menggembleng tenaga membantu mengatasi masalah, memahami dan mendekati orang yang menghadapi tekanan hidup serta menghulur tangan sebagai saudara dan sahabat membantu dengan penuh ikhlas, berhemah dan kasih sayang.

Jika masjid dan musolla di seluruh negara, boleh dihubungkan secara talian, maka perkongsian kepakaran dapat diwujudkan dengan lebih baik. Misalnya dengan penubuhan program seperti pementoran, khidmat bantuan untuk kesejahteraan bersama dan sebagainya supaya dapat dimanfaatkan sepenuhnya.

Bantuan boleh dihantar kepada mana-mana tempat lain yang memerlukan khidmat sokongan kepakaran berkenaan melalui komunikasi Internet dan telekomunikasi canggih yang ada sekarang ini dengan cepat dan pantas. Institusi-institusi Islam memerlukan pengurusan profesional yang dapat melakukan tugas secara bersepadu termasuk memanfaatkan teknologi yang ada dengan lebih pantas dan berkesan.

Ini belum lagi melihat masjid dan musolla yang berpotensi amat besar dalam pembangunan ekonomi ummah selaras dengan aktiviti sosial yang dibangunkan. Di samping itu pelbagai kaedah lain juga boleh difikirkan untuk tujuan ini.

Khutbah Jumaat misalnya tidak wajar lagi berjela-jela hingga lebih ramai jemaah yang tertidur mendengar bacaan khatib. Kaedah yang lebih terkini, termasuk menggunakan multimedia yang bersesuaian perlu difikirkan dan diberikan pertimbangan.

Kebijaksanaan amat penting dalam mengembalikan maruah dan persepsi terhadap Islam dalam kedudukan yang sewajarnya, Bersikap menuding jari dan hanya melihat kesalahan orang lain, apatah lagi melihat kesungguhan mereka memancing umat Islam untuk meninggalkan Islam seharusnya mencabar kita untuk mengukuhkan diri dan mengambil tindakan yang penuh hemah, kasih sayang dan "passionate" kepada apa yang dilakukan.

Kita harus belajar daripada Rasulullah SAW yang mendidik jiwa ummah dan tokoh-tokoh dakwah Islam yang melihat segala isu universal sebagai satu kaedah pembangunan umat Islam secara luas dan terbuka. Isu-isu kemanusiaan dan mewujudkan kesejahteraan, pengisian jiwa dengan ketuhanan dan sebagainya menjadi teras utama bagi mengajak dan mendidik umat Islam kembali kepada ajaran agama.

Ia perlu dilihat dalam perspektif yang betul tanpa dipengaruhi oleh pegangan politik atau kepercayaan apatah lagi ketaksuban terhadap tokoh tertentu, sebaliknya berlandaskan kebenaran hakiki, kesejahteraan ummah dan masa depan umat Islam sejagat seluruhnya termasuk membangunkan persepsi dan kepercayaan bahawa Islam mampu menyediakan jalan penyelesaian terhadap masalah dan kemelut yang ada.

PENULIS ialah Timbalan Pendaftar Pejabat Naib Canselor Universiti Sains Malaysia.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU ANTARABANGSA : Mitos keselamatan Israel


SETIAP kali rundingan damai antara Palestin dan Israel terbantut, hanya satu faktor menjadi pemangkin yang membolehkan proses itu terhenti. Masyarakat antarabangsa diberi gambaran bahawa jika wujud sebuah negara Palestin yang merdeka, keselamatan Israel sudah pasti akan terancam.

Tel Aviv telah berjaya mewarnai kepercayaan bahawa Israel yang di kelilingi oleh 21 negara Arab akan menjadi lebih terancam dengan kewujudan negara Palestin. Apatah lagi ketika ini Israel yang hanya mempunyai 5.5 juta penduduk Yahudi sedang di kelilingi oleh 300 juta rakyat Arab yang pada asasnya adalah seteru kaum Yahudi.

Jikalau hendak dibandingkan dengan keluasan Israel dengan 21 negara Arab lain, negara Yahudi tersebut hanya merangkumi 0.1 peratus daripada kawasan daratan keseluruhan dunia Arab. Statistik yang begitu menggerunkan dan berjaya memberi gambaran bahawa keselamatan Israel sentiasa berada di hujung tanduk. Tidak menghairankan bagaimana keadaan geografi sesebuah rantau boleh dijadikan modal isu keselamatan kerana strategi tersebut sudah acap kali digunakan. Singapura umpamanya menggunakan faktor di kelilingi oleh negara Nusantara Melayu untuk mengesahkan kepada rakyat mereka mengapa mereka perlu berbelanja besar dalam sektor pertahanan.

Malah tidak keterlaluan jika diandaikan mengapa sebahagian besar rakyat Amerika Syarikat (AS) menyokong dasar membantu Tel Aviv secara berlebihan adalah kerana bimbang dengan persepsi keselamatan Israel akan tergugat jika bantuan ketenteraan dan ekonomi tidak disalurkan.

Isu keselamatan Israel dianggap perkara yang tidak boleh disentuh atau diperlekehkan sehingga ia dianggap dimiliki sepenuhnya oleh negara Yahudi itu. Begitu hebatnya kepercayaan tersebut sehinggakan pemilihan calon presiden AS amat bergantung kepada sekuat mana simpati calon terhadap isu keselamatan Israel.

Malah Presiden AS yang dianggap sebagai pemimpin paling berpengaruh di dunia juga tidak berani menongkah arus isu keselamatan Israel. Presiden Barack Obama pada Mei 2011 menyarankan supaya negara Palestin diwujudkan berasaskan sempadan sebelum Perang Enam Hari 1967 yang menyaksikan Israel menceroboh dan seterusnya menjajah Tebing Barat, Genting Gaza, Baitulmaqdis Timur dan Golan Heights.

Saranan Obama bukan satu perkara baru kerana ia menjadi dasar luar pentadbiran White House buat sekian lama bermula daripada bekas Presiden Bill Clinton. Niat Obama menyuarakan apa yang tersurat hanya untuk mengerakkan semula rundingan damai yang lama terhenti.

Saranan Obama mendapat kritikan pedas Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu kerana Tel Aviv menegaskan wujudnya Palestin berasaskan sempadan sebelum perang 1967 akan memudaratkan keselamatan Israel. Lebih ironis lagi, Netanyahu menyatakan pendirian itu di hadapan perwakilan Kongres AS dan amat mengaibkan Presiden AS apabila sebahagian besar perwakilan menyokong Netanyahu. Obama akhirnya terpaksa akur isu keselamatan Israel tidak boleh dipertaruhkan dalam apa jua keadaan.

Begitu hebatnya mitos keselamatan Israel sehinggakan ia dianggap sebagai isu yang langsung tidak boleh disentuh untuk apa tujuan sekali pun. Isu keselamatan adalah menjadi pemangkin utama mengapa Israel enggan memulangkan Tebing Barat, Genting Gaza, Golan Heights dan Baitulmaqdis Timur selepas perang 1967 walaupun penjajahan tersebut tidak sah dari segi undang-undang antarabangsa.

Tetapi apabila Genting Gaza dipulangkan kepada Palestin pada 2005, keselamatan Israel tidak pernah tergugat walaupun terdapat pelancaran roket secara rambang dari Gaza. Jika hendak dikaitkan isu keselamatan dengan jumlah kematian penduduk Gaza dan Israel maka keselamatan wilayah Palestin itu adalah lebih genting kedudukannya.

Serangan tentera Yahudi dalam Operasi Cast lead terhadap penduduk Gaza pada 27 Disember 2008 dan berlarutan selama tiga minggu telah mengorbankan lebih daripada 1,300 rakyat Palestin berbanding dengan hanya 10 tentera Israel yang terbunuh.

Agak begitu aneh apabila pada awal penubuhan Israel di antara 1950-1966 di mana faktor keselamatan sepatutnya menjadi isu utama, perbelanjaan pertahanan Israel adalah antara yang terendah di dunia. Mungkin juga pada era tersebut kesemua Perdana Menteri Israel tidak mempunyai latar belakang tentera. Tetapi dari 1966 hingga sekarang hampir 40 peratus menteri Kabinet Israel terdiri daripada golongan tentera dan begitu juga dengan jawatan perdana menteri besar kemungkinan disandang oleh mereka yang mempunyai pengalaman tentera. Sebab itu mungkin juga isu keselamatan gemar diperbesarkan dan tidak menghairankan perbelanjaan pertahanan Israel per kapita adalah yang tertinggi di dunia.

Masyarakat antarabangsa perlu berhati-hati dan tidak termakan propaganda Israel yang menggunakan isu keselamatan sebagai dalil utama merencatkan rundingan damai. Isu sempadan 1967 ditolak kerana bimbangkan keselamatan Israel. Begitu juga Baitulmaqdis Timur tidak boleh dijadikan ibu kota Palestin kerana kononnya akan memudaratkan keselamatan Israel.

Begitu juga dengan pihak yang menyokong pembentukan negara Palestin yang merdeka tidak boleh terpedaya dengan dakyah kewujudannya akan memudaratkan Israel. Rakyat Malaysia mesti 100 peratus yakin bahawa kewujudan negara Palestin dan Israel yang mempunyai sempadan bersama yang agak unik tidak akan memudaratkan rantau tersebut.

Isu keselamatan Israel hanyalah mitos kerana kepimpinan tertinggi negara Yahudi itu berpuas hati dengan keadaan status-quo pada ketika ini yang menyaksikan Israel mempunyai kawalan hampir 100 peratus keadaan geopolitik rantau Arab.

PENULIS ialah GeoStrategis Institut GeoSpatial UTM dan ahli bersekutu Majlis Profesor Negara.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU EKONOMI : Pembalakan haram - Malaysia rugi RM900j setahun


KUALA LUMPUR 1 Feb. – Malaysia dianggarkan mengalami kerugian antara RM800 dan RM900 juta setahun akibat kegiatan pembalakan hutan secara haram di seluruh negara.

Menurut Presiden Transparency International Malaysia (TIM), Datuk Paul Low Seng Kuan, walaupun jumlah itu masih dianggap terkawal, Jabatan Perhutanan perlu mengambil serius perkara itu bagi membendung kegiatan itu daripada terus berleluasa.

Sehubungan itu, beliau menggalakkan orang ramai menjadi ‘mata dan telinga’ dengan melaporkan kegiatan pembalakan hutan secara haram kepada pihak berkuasa.

“Masyarakat dan sektor swasta perlu melaporkan kepada pihak berkuasa mengenai pembalakan secara haram di negara ini kerana kita mahu terus memelihara kawasan hutan.

“Melalui pindaan Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313), kegiatan pembalakan hutan secara haram menunjukkan penurunan yang ketara iaitu daripada 419 kes pada 1993 kepada 24 kes pada tahun lalu,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau sebelum itu berucap di majlis Projek Hutan dan Kesedaran Awam Kempen Pemuliharaan Hutan di Sunway Pyramid hari ini.

Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Datuk Dr. Abd. Rahman Abd. Rahim dan Pengarah Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Mustafar Ali.

Tambah Paul, walaupun telah berjaya mengurangkan bilangan kes, namun usaha masih perlu diteruskan bagi memelihara hutan negara ini supaya tidak dicerobohi oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

“Orang ramai boleh melaporkan sekiranya mereka mengetahui kegiatan pembalakan haram dengan melayari laman web kami www.timalaysia-forestwatch.org.my,” katanya.

Sementara itu Mustafar berkata, pihaknya menerima sebanyak 88 aduan mengenai pembalakan haram di negara ini sepanjang tahun lalu.

“Bagaimanapun, kami percaya masih terdapat banyak kes dan kejadian yang tidak dilaporkan kepada SPRM,” katanya.

Sumber : http ://www.utusan.com.my/

ISU SUKAN : Safee Sali Jutawan Bolasepak Pertama Malaysia Ikat Kontrak RM2 Juta Dengan Pelita Jaya


Oleh SUSAN ALBERT KASSIM

PETALING JAYA: Penyerang sensasi negara, Safee Sali pada Rabu mencatat sejarah sebagai jutawan bolasepak pertama negara apabila membuat keputusan nekad untuk terus menyambung semula kontraknya bersama kelab Pelita Jaya FC, Jakarta Indonesia selama dua tahun lagi.

Kontrak bernilai RM2 juta itu ditandatangani di Jakarta, Indonesia pada Rabu.

Keputusan itu disahkan oleh Pengurusnya, Zakaria Rahim menerusi satu kenyataan media.

Menerusi kontrak terbarunya, Zakaria berkata, Safee akan menerima pelbagai kemudahan seperti bonus tetap perlawanan, rumah, kenderaan, pemandu peribadi, cukai dibayar oleh kelab dan tiket pergi balik ke Kuala Lumpur bernilai lebih RM2 juta bagi tempoh dua tahun.

Menurutnya, Safee turut mendapat penghormatan sebagai Ketua Pasukan Pelita Jaya FC.

“Beliau juga akan menerima pakej tambahan iaitu hak imej. Kelab tersebut akan mendapatkan sokongan komersial bagi pelbagai produk di Indonesia untuk tujuan pengiklanan dan pemasaran,” katanya dalam satu kenyataan.

Zakaria berkata, bekas penyerang Selangor itu bukan saja dilantik sebagai Duta Sekolah Sepak Bola Pelita Jaya di Sawangan, Jawa Barat, Indonesia malah akan dipertimbangkan untuk menerima saham pemilikan Akademi Sepak Bola milik kelab tersebut untuk masa depannya.

“Akademi itu sudahpun memiliki 600 pelajar di Jakarta dan mempunyai cawangan di daerah lain di Indonesia,” katanya.

Zakaria turut menyambut baik keputusan Safee untuk kekal menyarung jersi Pelita Jaya FC dan yakin penyerang tersebut sudah meneliti perkara itu sedalam-dalamnya dengan mengambil kira pelbagai aspek dan risiko.

Jelas Zakaria, komitmen dan pengorbanan Safee dilakukan demi membantu menaikkan imej bola sepak negara dan meniup semangat pemain muda untuk mengikut jejak langkahnya.

Sementara itu, Zakaria berkata, kehadiran bekas jurulatih pasukan kebangsaan Indonesia, Rachmad Darmawan lebih menyakinkan Safee untuk terus menyarung jersi bersama kelab tersebut.

“Safee juga akan bergandingan dengan penyerang sensasi Indonesia, Greg Nwongkolo, bekas penyerang kebangsaan Montenegro, Alex Bajevski yang pernah beraksi pada Liga Juara-Juara Eropah dan kapten bawah 23 tahun Indonesia, Egi Mergiansyah.

Ekoran prestasi yang memberangsangkan bersama Pelita Jaya FC, Safee turut mendapat tawaran dari Muangthong FC dan Buriram FC di Thailand.

Malahan, difahamkan empat pasukan tanah air iaitu Kelantan FA, Negeri Sembilan FA, Johor FA dan Selangor FA turut berminat untuk mendapatkan khidmatnya.

Safee bagaimanapun jelas Zakaria hanya akan kembali berentap dalam saingan liga tempatan selepas beraksi sekurang-kurangnya lima tahun lagi di luar negara.

“Dia lebih mengambil sikap ingin bermain daripada ingin bersama. Safee lebih mengutamakan peluang bermain untuk meningkatkan tahap permainannya selepas mengetahui faktor umur yang menjadi kayu pengukur kebanyakan kelab,” katanya.

Pada Selasa, akhbar Warta Kota Indonesia melaporkan Safee bakal menerima gaji sekitar Rupiah 350 juta (RM118,000) sebulan jika memperbaharui kontrak bersama kelab tersebut.

Kontrak Safee selama setahun dengan kelab Pelita Jaya berakhir semalam (31 Januari).

LATAR BELAKANG

Nama penuh: Mohd Safee Mohd Sali

Tarikh lahir: 29 Januari 1984

Tempat lahir: Selangor

Tinggi: 1.70 meter

Posisi permainan: Penyerang

Kelab terkini: Pelita Jaya FC

Nombor jersi: 55

Kerjaya senior:

2003-2005 (Kuala Lumpur FA)

2005-2006 (Sarawak FA)

2006-2011 (Selangor FA)

2011 (Pelita Jaya FC)

2012-2013 (Pelita Jaya FC)

Pasukan kebangsaan:

2004-2007 (Malaysia bawah 23 tahun)

2007 (Malaysia)

Anugerah:

- Olahragawan Paling Digemari Anjuran Astro Awani 2010

- Piala SUZUKI AFF 2010 (Penjaring terbanyak, 5 gol )

Sumber : http : //www.mstar.com.my/