Sabtu, 1 Mac 2014

ISU PENDIDIKAN : PBS: Utamakan pelajar, guru


NEGARA ini kecoh seketika berikutan usaha melaksanakan sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) terutama melibatkan para guru.

Berikutan bantahan yang diterima, akhirnya pelaksanaan PBS ditangguhkan di peringkat sekolah rendah dan menengah seluruh negara bermula 17 Februari lalu untuk mengelakkan kekeliruan terhadap pelaksanaannya.

Namun ia tidak akan sesekali dimansuhkan dan bakal dilaksanakan setelah kajian bentuk baharu pelaksanaannya diumumkan pada 1 April depan.

Untuk mendapatkan kupasan lanjut wartawan Mingguan Malaysia, KHAIRUNNISA SULAIMAN telah mewawancara Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan, (NUTP), LOK YIM PHENG pada Jumaat lepas.

Ujar beliau, diharapkan selepas 1 April akan ada satu sistem yang boleh menggantikan sistem sedia ada, yang betul-betul mantap dan boleh menilai semua pelajar dengan mudah kerana ini amat penting.

Guru sehingga sekarang masih fobia dengan sistem sedia ada. Ini memberikan impak negatif dan ada kalangan guru yang tidak tahan tekanan dan memohon bersara pilihan sebab tidak mahu meneruskan PBS terutama guru senior yang banyak pengalaman dan kita hilang kepakaran", katanya.

MINGGUAN : Adakah guru dan kesatuan menentang PBS?

LOK YIM PHENG :  Dalam isu PBS ini kita kena jelas. Saya rasa semua guru dan kesatuan kita tidak menentang dasar PBS. Guru boleh terima dasar-dasar PBS tetapi mereka tidak boleh terima di peringkat pelaksanaannya. Peringkat pelaksanaan di mana kita sokong dasar PBS tetapi sistemnya kita tidak sokong kerana dalam peringkat pelaksanaan yang melibatkan dan menggerakkan dasar ialah sistem PBS iaitu e-system yang menggunakan Internet. Masalahnya yang dihadapi oleh guru ialah sistem ini tidak mantap dan mempunyai banyak masalah. Contohnya apabila guru sudah memasukkan sehingga 100 orang nama pelajar dan terdapat nama yang silap, mereka tidak boleh membuat pembetulan. Guru perlu memasukkan semula data kerana semua data itu telah hilang. Apabila program tidak mantap, ini menjadi masalah kepada guru kerana program ini sendiri tidak mesra pengguna. Ini yang menjadi kritikan utama mengenai program ini.

MINGGUAN : Selain masalah program, apa lagi masalah yang boleh dikatakan agak mencabar guru?

LOK YIM PHENG : Program ini menggunakan Internet tetapi ada sesetengah sekolah tidak mempunyai kemudahan berkenaan terutama sekolah luar bandar. Jadi terdapat guru yang terpaksa membeli broadband sendiri untuk digunakan bagi memasukkan data dalam program PBS. Bagaimanapun masalahnya program PBS itu sukar untuk ditembusi kerana ia melibatkan 430,000 orang guru di seluruh negara. Apabila ini berlaku guru terpaksa menunggu lama sebab sistem tidak menyokong akses yang terlalu banyak. Ini berbeza semasa ujian perintis yang melibatkan kumpulan kecil tetapi kini ia melibatkan 430,000 orang guru jadi trafik padat dan sesak.

Guru tidak boleh memproses data dan mereka mempunyai tarikh akhir menghantar data menyebabkan guru menjadi tertekan. Selain sistem dan Internet yang menjadi masalah paling serius, guru juga menghadapi masalah dengan bahan-bahan yang ditetapkan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) untuk mentaksir pelajar dengan kurikulum yang berbeza. Kurikulum yang diberikan lebih padat manakala yang perlu ditaksirkan kurang padat. Ini menyebabkan guru takut tidak sempat menghabiskan semua kurikulum kerana perlu proses data. Jika guru ikut saranan LPM mereka bimbang tidak boleh meliputi silibus. Itu satu kebimbangan kalangan guru.

MINGGUAN : Bagaimanakah cara menilai pelajar tanpa peperiksaan?

LOK YIM PHENG : Perlu banyak bukti untuk menilai sebab tiada peperiksaan. Jadi bagaimana hendak menilai pelajar adalah dengan menggunakan bukti iaitu item-item subjek misalnya mengajar tumbuhan perlukan banyak sub dan nilaikan secara sub. Ini menyebabkan ada sekolah yang mula mengadakan bilik khas menyimpan fail pelajar dan borang bukti. Dan seorang guru yang mengajar tiga buah kelas perlu mengisi beratus-ratus atau beribu-ribu borang bukti. Misalnya dalam mata pelajaran Sejarah ada 100 bukti dengan 300 pelajar, guru kena isi 3,000 bukti dan borang bukti perlu disiapkan cepat (ada tarikh akhir) dan perlu diisi dari semasa ke semasa. Jadi guru tidak ada masa untuk fokus kepada pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Itu menyebabkan guru rasa tertekan.

MINGGUAN : Adakah ini menyebabkan guru menentang PBS?

LOK YIM PHENG : Guru bukan menentang dasar PBS. NUTP telah memainkan peranan proaktif sejak 2011 apabila isu PBS dikemukakan oleh guru-guru kepada NUTP. Kita kumpul guru-guru ini dan dengar rintihan mereka dan kumpul semua maklumat. Apa kita buat ialah semua maklumat berkenaan kita kemukakan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Hasilnya kita dipanggil mesyuarat dan berbincang dari semasa ke semasa dengan pihak KPM khasnya LPM mengenai Internet yang sesak, sistem tak boleh akses dan hasilnya mereka betulkan dari semasa ke semasa. Setakat ini melalui perjumpaan dan perbincangan, kita berbincang dengan KPM lebih 20 kali sejak 2011 hingga sekarang untuk memantapkan sistem. Kita juga membuat susulan. Cuma baru-baru ini pada 8 November 2013 NUTP adakan mesyuarat exco yang terdiri daripada 70 orang pemimpin seluruh Malaysia telah berbahas mengenai isu ini dan mendapati sistem berkenaan masih belum mantap, banyak gangguan, guru masih tidak boleh akses, masih pening kepala. Tidak boleh selesai masalah. Jadi kita ambil keputusan buat sidang akhbar menolak PBS. Apabila kita kata menolak PBS, saya ucap terima kasih kepada KPM kerana bertindak balas dengan cepat.

Mereka sudah mengeluar surat pekeliling kepada semua Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan NUTP menyatakan PBS ditangguhkan sehingga 1 April 2014. Surat berkenaan bertarikh Disember 2013. Guru tidak perlu berbuat apa-apa sehingga diberitahu. Cuma sedihnya apabila kita dapat tahu surat pekeliling itu tidak sampai kepada semua guru. Apabila sampai ke sekolah mungkin ada ketua jabatan simpan dan tidak edar kepada guru menyebabkan ada sekolah-sekolah tertentu, guru masih meneruskan tugas-tugas memasukkan data, masih isi borang evidence. Ini menimbulkan kekeliruan.

MINGGUAN : Apakah harapan NUTP selepas 1 April nanti?

LOK YIM PHENG : Harapan kita selepas 1 April akan ada satu sistem yang boleh menggantikan sistem sedia ada, yang betul-betul mantap dan boleh menilai semua pelajar dengan mudah. Ini amat penting. Guru sehingga sekarang masih fobia dengan sistem sedia ada. Ini memberikan impak negatif dan ada kalangan guru yang tidak tahan tekanan dan memohon bersara pilihan sebab tidak mahu meneruskan PBS terutama guru senior yang banyak pengalaman dan kita hilang kepakaran.

KPM ada mengambil tindakan dari semasa ke semasa untuk memantapkan sistem tetapi bahagian IT mungkin kurang cekap kerana sampai sekarang masalah masih belum diselesaikan lagi. Jadi kita tunggu sehingga 1 April. Bila berhenti dalam tiga bulan, tindak balas guru-guru ialah mereka dapati lebih banyak masa untuk bersama-sama pelajar dan mereka mengajar seperti biasa, cuma tiada peperiksaan bermakna tiada penilaian. Tetapi ada sekolah tertentu masih jalankan peperiksaan setengah tahun dan akhir tahun, mereka masih terikat dengan peperiksaan sebab kita perlu lihat - susah mahu mengubah sistem peperiksaan.

Walaupun ia akan mengambil masa tetapi saya yakin ia boleh dilakukan. Misalnya sekarang peperiksaan setengah tahun dan akhir tahun sudah cukup, tak perlu banyak peperiksaan. Kemudian pada masa yang sama biar guru fokus lebih banyak pada kelas pengajaran dan bukti perlu dikurangkan. Yang penting sekali dalam kenyataan akhbar saya katakan bagi masa sebab itu PBS perlu ditangguhkan tapi mereka tidak jelas.

Selepas April, harapan kita akan ada sistem yang betul-betul tidak membebankan guru dan membolehkan guru menggunakannya dengan mudah sekali. Mula-mula guru tidak merungut. Mereka mahu mencuba tetapi apabila tidak boleh masuk ke sistem tentu mereka mengadu. Mula-mula masalah lebih serius tetapi lama-lama nampak kemajuan tetapi kemajuan itu tidak boleh mengatasi masalah terlalu ramai yang ingin akses masuk. Sistem mungkin boleh muat untuk 100 orang tetapi kita ada 10,000 sekolah, macam mana nak muat, itulah masalahnya.

MINGGUAN : Bagaimana dengan pemahaman PBS dalam kalangan guru serta ibu bapa?

LOK YIM PHENG :  Satu lagi yang saya nampak ialah pemahaman PBS. Pencarian maklumat memang ada. Kadang-kadang pemahaman kumpulan guru berbeza dengan kumpulan lain.

Pemahaman JPN lain, Pusat Pendidikan Daerah (PPD) pemahamannya lain dan guru faham lain. Malah ibu bapa lebih kurang faham. Ada juga guru tidak faham dan tidak jelas. Semasa menghadiri bengkel di Institut Aminuddin Baki pada 17 dan 18 Februari, kami dapati ada 100 orang guru yang tidak jelas dengan PBS. Tetapi apa yang lebih penting bukan pemahaman tetapi sistem sedia ada yang perlu dibaiki.

MINGGUAN : Apa pandangan NUTP mengenai demonstrasi yang dilakukan oleh sekumpulan guru?

LOK YIM PHENG : Kita adalah kesatuan yang berdaftar jadi kita akan ikut cara terbaik dan kita dalam profesion perguruan. Dalam perkara PBS, KPM telah berunding dengan kita sejak 2011 dan kita tidak perlu buat demonstrasi sebab ada surat rasmi menangguhkan PBS dan kita bertindak secara profesional. NUTP tidak mempolitikkan isu kerana kita beri keutamaan kepada pembangunan pelajar dan guru. Itu tumpuan kami. Apa yang kita lihat di sini ialah kita tidak mahu dipengaruhi dengan politik sebab kita lebih fokus untuk dilihat sebagai guru bertanggungjawab sebagai melahirkan modal insan yang boleh membangunkan ekonomi negara.

Apa-apa dasar yang boleh memberi faedah kepada guru dan murid, kita akan sokong 100 peratus manakala dasar yang kita anggap tidak boleh diteruskan kita akan suarakan tapi suarakan secara profesional. Berdasarkan kajian yang dibuat oleh pihak economy monitoring review, kita dapati sasaran untuk meningkatkan kualiti modal insan kena kembali kepada guru. Guru mesti berkualiti. Kalau mahukan guru berkualiti bermakna apa-apa dasar dilakukan itu mesti capai objektif. Semua ini dalam satu. Kita suarakan apa yang tidak betul. KPM sudah banyak berunding dan paling kerap dengan NUTP. Tugas kita mengadu dan kemudian berbincang dengan saluran betul.

MINGGUAN : Adakah modul PBS mendatangkan faedah?

LOK YIM PHENG : Kita lihat kepada dua keadaan, modul perlu dimantapkan. Perlu ada peperiksaan umum, tadi saya kata peperiksaan dua kali setahun iaitu pertengahan dan akhir tahun. Jadi pelajar pun belajar. Sekarang apabila tiada penilaian secara rasmi, pelajar tidak terikat dengan sesuatu seperti tiada tanggungjawab. Pelajar akan rileks dan untuk ikat pelajar belajar,  perlu ada penilaian rasmi seperti dua kali peperiksaan setahun. Ibu bapa akan minta anak belajar dan pelajar takut dan akan fokus belajar. Jika tidak ada peperiksaan dan hanya penelitian guru, kemungkinan ada guru yang sibuk dan menulis pemerhatian tidak tepat, yang jadi mangsa pelajar. Pelajar tidak faham, balik ke rumah tidak belajar dan tiada motivasi. Peperiksaan perlu ada sekurang-kurangnya dua kali setahun dalam PBS tetapi jangan terlalu kerap.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/