Sabtu, 24 November 2012

ISU KESIHATAN : Peratusan kanak-kanak alami obesiti meningkat


Seri Iskandar : Peningkatan masalah obesiti di kalangan kanak-kanak berusia tujuh hingga 10 tahun menunjukkan peratusan membimbangkan.

Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Operasi Pendidikan), Sufaat Tumin, berkata Kajian Keutamaan Nutrisi di Malaysia dalam Rancangan Malaysia ke-10 (RMK-10) mendapati kadar kegemukan kanak-kanak meningkat daripada 6.6 peratus kepada 13.6 peratus.

Kajian juga menunjukkan 25 daripada 100 pelajar di negara ini dikhuatiri akan mengalami masalah kegemukan pada 2020.

Ia berdasarkan trend peningkatan satu peratus kes obesiti pelajar setiap tahun, katanya berucap pada majlis perasmian pembukaan seminar sukan anjuran Bahagian Sukan, Kementerian Pelajaran Malaysia di Universiti Teknologi PETRONAS di sini, semalam.

Sufaat berkata, kajian pada 2009 menunjukkan 10 peratus atau 1,150 daripada 11,500 kanak-kanak berusia enam hingga 12 tahun mengalami masalah kegemukan, manakala enam peratus (690 kanak-kanak) mengalami obesiti.

Satu kajian lain di Kuala Lumpur membabitkan 5,995 kanak-kanak berusia tujuh hingga 10 tahun pula mendapati murid lelaki mengalami peratusan berat paling tinggi iaitu 9.7 peratus berbanding 7.1 peratus murid perempuan.

Kajian itu juga mendapati sekurang-kurangnya 10 daripada 40 murid di dalam satu kelas mengalami masalah kegemukan, tidak aktif dan berisiko berpenyakit, katanya.

Beliau berkata, langkah Kementerian Pelajaran melaksanakan program sukan dan kegiatan kokurikulum adalah alternatif bagi menangani masalah kegemukan dan obesiti murid.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kementerian juga memperkenalkan biasiswa sukan kepada pelajar cemerlang dalam bidang sukan, sama ada di peringkat kebangsaan atau antarabangsa.

Ia sebagai menghargai jasa dan pengorbanan atlit sekolah yang berjaya mengharumkan nama negara dalam bidang sukan masing-masing, katanya.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU SOSIAL : Pindaan Seksyen 376 Peruntuk Penjara Mandatori Bagi Perogol Gadis Bawah Umur


PADANG RENGAS : Individu yang disabitkan kesalahan merogol gadis di bawah umur akan dijatuhi hukuman penjara mandatori selepas Seksyen 376 Kanun Keseksaan dipinda tidak lama lagi, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Beliau berkata pindaan itu dicadangkan supaya mereka yang didapati bersalah merogol gadis di bawah umur dan dijatuhi hukuman penjara mandatori tidak boleh merujuk seksyen lain bagi meringankan hukuman.

Katanya pindaan seksyen berkenaan akan dibentangkan pada sesi Parlimen akan datang.

"Saya telah minta kepada Peguam Negara dan dengan persetujuan beliau dan nasihatnya kita nak pinda Seksyen 376 Kanun Keseksaan supaya tidak diberikan budi bicara kepada hakim untuk memberikan hukuman yang ringan kepada pesalah melainkan mesti mengenakan hukuman yang ada iaitu penjara tidak lebih 30 tahun bagi kes hubungan jenis dengan wanita di bawah umur 16 tahun," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program "Kepimpinan Berkesan" anjuran Pertubuhan Perkumpulan Perempuan (WI) Padang Rengas di sini, Sabtu.

Pindaan itu dicadangkan supaya hakim tidak boleh mengguna pakai Seksyen 294 Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593) yang memberikan mahkamah kuasa budi bicara dalam menjatuhkan hukuman.

Mohamed Nazri berkata pindaan itu perlu bagi melindungi gadis bawah umur daripada terdedah kepada jenayah rogol.

Beliau berkata sebanyak 6,000 kes hubungan jenis melibatkan wanita di bawah umur direkodkan dalam tempoh lima tahun sejak tahun 2007.

Katanya beliau juga menyambut baik keputusan yang dibuat oleh Hakim Mahkamah Tinggi Pulau Pinang Datuk Seri Zakaria Sam baru-baru ini yang menjatuhkan hukuman penjara lima tahun setengah terhadap seorang juruteknik yang sebelum ini dibebaskan dengan perintah berkelakuan baik oleh Mahkamah Sesyen kerana kesalahan merogol gadis bawah umur.

Zakaria menetapkan hukuman itu selepas mengenepikan keputusan Mahkamah Sesyen yang membebaskan Chuah Guan Jiu, 22, dengan bon jaminan berkelakuan baik selama tiga tahun dengan ikat jamin RM25,000 pada Ogos lepas. - BERNAMA

ISU BAHASA : LINUS 2.0 bantu murid kuasai bahasa Inggeris


Putrajaya : Program peningkatan pencapaian murid dalam penguasaan literasi dan numerasi (LINUS) membabitkan penguasaan menulis serta membaca dalam bahasa Melayu akan diperluaskan kepada bahasa Inggeris, yang dikenali sebagai LINUS 2.0.

Ini berikutan pencapaian memberangsangkan program LINUS sejak diperkenalkan pada 2010 dengan 99.84 peratus pelajar Tahun Tiga yang mengikuti program itu sejak 2010 berjaya menguasai literasi (menulis dan membaca) manakala 99.92 peratus pelajar berjaya menguasai asas numerasi (mengira).

Timbalan Pengarah Bahagian Pembangunan Kurikulum, Kementerian Pelajaran, Shamsuri Sujak, berkata daripada jumlah itu hanya 0.15 peratus atau 692 adalah pelajar yang perlu mengikuti pemulihan literasi manakala 0.08 peratus atau 346 lagi memerlukan pemulihan numerasi.

Mulai sesi 2013

Bagaimanapun, katanya, jumlah terbabit dalam pemulihan itu adalah mereka yang dikategorikan sebagai murid berkeperluan khas merangkumi pelajar kurang upaya, menghadapi kecacatan fizikal, cacat penglihatan dan pendengaran.

“Berdasarkan kejayaan ini, program LINUS akan diteruskan dalam bahasa Inggeris bermula sesi persekolahan 2013 bagi memastikan penguasaan murid dalam literasi bahasa Inggeris.

“Melalui program ini, murid yang menghadapi masalah literasi bahasa Inggeris akan menerima bantuan dan sokongan tambahan melalui LINUS 2.0 bagi membolehkan mereka setara dengan rakan lain dalam arus perdana,” katanya pada satu sidang media di sini, semalam.

Shamsuri menjelaskan, saringan asas akan dilaksana dalam kalangan pelajar Tahun Satu pada Jun 2013 bagi menentukan tahap literasi murid dalam bahasa Inggeris supaya murid yang memerlukan perhatian khusus dikenal pasti.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU SOSIAL : Rasuah - musuh yang perlu dilawan


Mukadimah

Rasuah isu yang sangat universal. Persepsi mengenai rasuah juga adakalanya sangat merumitkan. Namun dalam usaha mendidik masyarakat agar terus bangkit melawan rasuah, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), tidak pernah berputus asa. Ibarat berperang, pelbagai strategi dan teknik dirancang.

Dan pelbagai program dilaksanakan menerusi kebanyakan medium yang ada. Tetapi yang paling penting adalah kesedaran di kalangan masyarakat itu sendiri. Bersama Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat, Datuk Shamshun Baharin Bin Mohd. Jamil, ikuti temubual Laila Khalilah Nasir, Haslina Kamaludin dan jurufoto Safwan Mansor, mengenai peranan dan usaha SPRM bagi memastikan rakyat bukan sahaja faham, sebaliknya bersama-sama memerangi gejala ini.

Apa peranan utama SPRM dalam mendidik masyarakat berhubung isu rasuah?

SPRM tidak pernah berhenti daripada memberi pendidikan sama ada di peringkat rendah hingga ke peringkat tertinggi. Rasuah merangkumi pelbagai aspek. Kerana itu pendidikan mengenainya juga perlu merangkumi pelbagai aspek dan banyak kaedah yang kami gunakan.

Yang penting peranan utama kami ialah untuk menyampaikan mesej dan pendidikan kepada semua rakyat agar bersama-sama memerangi dan tidak mengamalkan rasuah itu tercapai.

Sejauh manakah tahap pemahaman masyarakat Malaysia terhadap rasuah?

Menerusi kajian Business Ethics Institute of Malaysia (BEIM) yang dibuat baru-baru ini, dari segi penyebaran maklumat, Malaysia antara negara tertinggi berbanding Hong Kong.

Pada tahun 2011 sahaja, persepsi penyebaran maklumat adalah sebanyak 91 peratus dan Hong Kong hanya 31 peratus. Bagi penyebaran untuk sektor awam pula adalah 91 peratus dan sektor swasta adalah 88 peratus. Pelbagai usaha telah dilakukan, cuma ada segelintir masyarakat tidak melihatnya.

Di Indonesia, agensi pencegahan rasuah mereka yang ditubuhkan sejak empat tahun lalu hanya menumpukan kepada kes yang melibatkan nilai 1 billion rupiah ke atas sahaja.

Tetapi, di Malaysia, SPRM akan menyiasat semua bentuk kes yang dilaporkan tanpa melihat kes tersebut besar atau kecil. Itu adalah visi SPRM untuk menangani gejala rasuah hingga ke akar umbi. Bukan nilai yang menjadi ukuran untuk menyiasat sesuatu kes tetapi kesan yang terjadi akibat rasuah ini.

Pendidikan bagaimana diberikan kepada masyarakat?

Memberi dan mendidik masyarakat daripada segi kefahaman dan sikap ambil peduli terhadap sekeliling. Dengan penyebaran maklumat yang semakin mudah diperoleh yang mana hanya di hujung jari, peranan SPRM menjadi lebih besar dan berat. Ada ketikanya masyarakat yang menerima maklumat tersebut mendapat sesuatu yang betul dan tepat. Tidak kurang juga yang mendapat maklumat yang salah atau yang telah diselewengkan atau diputarbelitkan.

Malah ada juga dalam kalangan mereka yang membuat kesimpulan tanpa merujuk kepada pihak SPRM. Situasi begini boleh berlaku pada bila-bila masa dan di mana sahaja. Dengan keanggotaan yang sedia ada, dan dengan bantuan pelbagai pihak, kami akan tampil memberi penerangan supaya perkara ini jelas.

Dan masyarakat tidak terpengaruh dengan penyebaran maklumat yang salah di mana boleh mengundang pelbagai andaian tidak diingini boleh berlaku.

Mendidik masyarakat mengenai rasuah memerlukan sokongan pelbagai pihak.

Bagaimana sokongan dan kerjasama yang paling dikehendaki SPRM bagi memastikan misi dan visi khususnya bahagian pendidikan masyarakat ini tercapai?

SPRM sentiasa memastikan semua pihak termasuk agensi kerajaan dan swasta turut tampil dalam membantu merealisasikan visi iaitu perangi rasuah. Kerana itu pendedahan mengenai bahaya rasuah sentiasa dipertingkatkan. Sektor awam dan swasta turut diberikan peranan sebagai medium menyampaikan maklumat termasuklah di peringkat pengajian tinggi.

Menyebut tentang kempen di peringkat pengajian tinggi, SPRM sudah memeterai usaha seperti ini bersama Sekretariat Pencegahan Rasuah di peringkat Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) sejak 2007, bagaimana sambutan setakat ini?

Sambutan yang diterima sangat memberangsangkan. Semua IPTA diberikan bantuan peruntukan bagi menganjurkan pelbagai program kesedaran bahayanya rasuah. Mereka telah menunjukkan semangat dan kita mendapati, misi menyampaikan maklumat secara berkesan dapat dilunaskan dengan baik. Jika tidak ada aral, tahun hadapan dibicarakan dan diselesaikan kurang dari tempoh setahun.

Hakim-hakim pula adalah dari kalangan mereka yang berpengalaman dari segi undang-undang. Mereka sememangnya begitu arif dan berpengalaman mengendalikan kes-kes rasuah.

Sejauh mana SPRM mampu memelihara sokongan orang ramai terhadap usaha-usaha pencegahan rasuah yang dijalankan.

Pelbagai program telah diadakan bagi meraih perhatian masyarakat. Tumpuan SPRM adalah ahli politik, agensi penguatkuasaan, pegawai perolehan, masyarakat peniaga dan swasta. Ini dilihat berpotensi untuk terlibat rasuah. Selain itu SPRM turut merekrut golongan media, pertubuhan bukan kerajaan dan ahli politik supaya menjadi penggerak komunikasi kepada SPRM.

Antara aktiviti yang sering diadakan adalah seperti ceramah, seminar, bengkel, forum, perbincangan meja bulat serta program sekretariat pencegahan rasuah peringkat institut pengajian tinggi awam dan institut pendidikan perguruan. Selain itu, SPRM turut melakukan pendekatan komersial seperti drama, telemoviedan dokumentari mengenai rasuah dan iklan tv, radio dan lagu ‘jingle’ bagi memberi kesedaran kepada masyarakat tentang bahaya rasuah.

Adakah SPRM mempunyai kepakaran dalam usaha menarik semula masyarakat supaya percaya dengan SPRM?

Masyarakat harus percaya kepada SPRM. Masyarakat perlu yakin dengan kami yang mana SPRM adalah badan bebas, telus dan profesional.

Mungkin masyarakat masih membuat perbandingan dengan Badan Pencegahan ‘Persepsi’: Musuh yang perlu dilawan SPRM tidak putus asa didik masyarakat perangi rasuah Di Malaysia, SPRM akan menyiasat semua bentuk kes yang dilaporkan tanpa melihat kes tersebut besar atau kecil. Itu adalah visi SPRM untuk menangani gejala rasuah hingga ke akar umbi.” Shamshun Baharin akan dikembangkan pula ke beberapa institut pengajian tinggi swasta yang terpilih pula. Selain itu, pada tahun hadapan juga akan diwujudkan alumni IPTA yang terlibat dalam program ini.

Ini bagi meneruskan kesinambungan program sebegini di peringkat alam pekerjaan. Usaha kami tidak mati di satu-satu peringkat saja. Ia terus berkembang dan terus mendapat sokongan ramai, insyallah.

Apakah kesukaran yang dihadapi untuk mendapatkan kerjasama daripada pelbagai bangsa bagi sama-sama menangani isu rasuah ini?

Sejak penubuhan SPRM, tumpuan bukan hanya pada sektor kerajaan, tetapi juga swasta. Diakui, agak sukar mendapat kerjasama bangsa Cina, tetapi dengan bantuan daripada pelbagai pertubuhan bukan kerajaan seperti Hua Zhong, ia memudahkan. Selepas ini SPRM akan bekerjasama dengan Majlis Peguam bagi menyebar luar mesej rasuah di peringkat lebih tinggi.

Cuma, SPRM kadangkala berdepan dengan persepsi yang salah daripada masyarakat,. Ada kalanya kepercayaan awam tergugat terutamanya akibat cetek informasi dan juga mainan politik sesetengah pihak.

Justeru dalam hal ini fokus utama SPRM adalah mendidik mereka supaya tahu rasuah adalah jenayah dan perlu dilaporkan kepada kami dengan kadar segera. Menggunakan pelbagai medium yang tersedia.

Persepsi adalah satu lagi ‘penyakit’ yang sukar diubati dalam masyarakat hari ini, dengan penyebaran maklumat sepantas kilat, bagaimana SPRM melihat masalah persepsi ini boleh menjejaskan dan mengurangkan keyakinan rakyat terhadap fungsi dan tugas utama SPRM?

Isu rasuah adalah isu sejagat dan tidak boleh dipolitikkan. Melalui inisiatif NKRA Rasuah sudah wujud 14 buah mahkamah khusus untuk mengendalikan kes rasuah. Kes-kes itu akan Rasuah (BPR) yang dulu. SPRM hari ini diawasi lima badan atau panel yang dilantik iaitu Jawatankuasa Khas Mencegah Rasuah, Lembaga Penasihat, Jawatankuasa Aduan, Panel Penilaian Operasi dan Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah.

Mereka adalah pakar yang dilantik sama ada oleh Yang di-Pertuan Agung atau Perdana Menteri. Badan atau panel ini akan memantau aktiviti SPRM. Jika dahulu, mungkin ada kes yang ditutup tanpa diselesaikan, tetapi Panel Penilaian Operasi (PPO) boleh melihat kembali satu-satu kes ini dan mereka boleh meminta kes disemak semula. Mana-mana kes yang dihantar melebihi tempoh enam bulan untuk keputusan, SPRM perlu memaklumkan kepada panel.

Siasatan lebih setahun tanpa pelaksanaan juga perlu dilaporkan kepada panel. Tiada kes yang boleh ditutup begitu sahaja. SPRM sedang dalam usaha melahirkan tenaga profesional untuk meningkatkan mutu SPRM pada masa akan datang.

Buat masa ini, SPRM menggunakan khidmat tenaga luar daripada beberapa agensi termasuk bekas pensyarah universiti, editor, akauntan dan jurutera. Dalam masa panjang pula, pegawai sedia ada akan dihantar menghadiri kursus spesifik bagi memantapkan lagi SPRM.

Bagaimana dengan kerjasama untuk mewujudkan masyarakat berintegriti dalam kalangan sektor awam, swasta, dan pihak-pihak lain yang menjadi tunjang utama dalam sesebuah organisasi atau kelompok komuniti?

Tahun lalu sudah dilancarkan ikrar integriti korporat. Ini adalah kolaborasi bersama TI, Institut Integriti Malaysia dan agensi yang memantau. Terdapat 132 sektor swasta yang terlibat. Jadi, dengan ini, semua pihak tidak terkecuali boleh melahirkan sokongan mereka.

Malah dengan adanya ikrar integriti ini ia boleh memberi kelebihan dari aspek kepercayaan orang ramai terhadap operasi syarikat mereka.

Sejauh mana peranan yang boleh dimainkan masyarakat lainnya seperti tokoh-tokoh agama (semua agama), tokoh masyarakat, artis, dan ikon-ikon dalam bidang tertentu untuk bersama SPRM memberi kesedaran dan pendidikan mengenai pencegahan rasuah dan hidup dengan lebih berintegriti?

Ia berbalik kepada fokus utama. Rasuah adalah isu sejagat. Sesiapa sahaja yang berkuasa, kebarangkalian berlaku rasuah dalam kelompok itu ada. Jadi untuk membanteras ia harus dimulakan oleh mereka dan secara bersama-sama. SPRM ada menganjurkan sesi dialog serta penerangan mengenai perkara ini kepada beberapa parti politik. SPRM sentiasa terbuka membantu dalam memberi penerangan kepada mana-mana parti.

Mereka seharusnya lebih mengetahui kerana rasuah bukan perkara baru. Begitu juga dengan ketua-ketua agama dan tokoh-tokoh masyarakat yang lain. Maklumat sentiasa terbuka untuk mereka memahami usaha mencegah rasuah ini. Dan kami sentiasa mengamalkan pintu terbuka, sesiapa sahaja daripada mana-mana organisasi yang mahu memberi pendidikan kepada ahlinya, komunitinya, SPRM bersedia bekerjasama dengan kelompok ini.

Apa yang SPRM harapkan daripada rakyat Malaysia?

Masyarakat harus terus meletakkan kepercayaan kepada SPRM dan berikan kerjasama sebaiknya untuk sama-sama memerangi rasuah. Rasuah tidak boleh dibiarkan. Ia boleh merosakkan negara.

Secara ringkasnya, apa yang masyarakat perlu tahu mengenai rasuah?

Sangat mudah. Dalam peruntukan undang-undang, pemberi rasuah adalah salah dan sama jugalah dengan penerima. Jadi samada yang memberi atau yang menerima adalah salah. Dan rakyat yang peka adalah rakyat yang segera melaporkan kes rasuah yang mereka ketahui kepada SPRM. Jika ia melibatkan diri sendiri, mereka juga boleh tampil sebagai saksi.

Kemudian SPRM akan mulakan siasatan dengan soalan-soalan yang berkaitan sebelum membawa kes kepada pihak pendakwaraya untuk diteliti dan dikeluarkan izin mendakwa dan kemudian di bawa ke mahkamah untuk dibicarakan .

Sedikit maklumat mengenai pengadu dengan pemberi maklumat?

Pengadu adalah individu yang turut terlibat secara langsung, sama ada memberi atau menerima. Bagi mereka yang tahu tetapi tidak terlibat, mereka itulah pemberi maklumat. Mereka yang sudah membuat laporan, tidak boleh mendedahkannya kepada pihak lain.

Apakah jaminan untuk mereka selepas membuat laporan?

Sama ada pemberi maklumat atau saksi, mereka akan dilindungi di bawah Akta Perlindungan Saksi atau pun Akta Perlindungan Pemberi Maklumat. Bukan hanya mereka, malah ahli keluarga boleh dilindungi jika mereka merasakan diri mereka terancam. Jadi, jangan takut untuk tampil memberi maklumat dan membantu pihak berkuasa jika benar semua rakyat Malaysia inginkan negara ini bebas dan bersih dari gejala rasuah.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/