Oleh : DR. MOHD
MAHZAN AWANG
NEGARA merdeka
memiliki kedaulatan tersendiri. Ia dilambangkan dalam pelbagai bentuk interaksi
simbolik. Bendera negara, umpamanya adalah simbol kepada kewujudan dan
kedaulatan sesebuah negara.
Maka, mengibarkan
bendera sebagai menzahirkan rasa cinta dan syukur menjadi warga sesebuah negara
adalah satu tingkah laku mulia. Sebaliknya pula, menterbalikkan dan mengoyak
bendera adalah satu bentuk penghinaan bukan saja kepada sesebuah negara tetapi juga
kepada seluruh rakyat sesebuah negara.
Begitu juga dalam
soal penghormatan terhadap Malaysia menerusi lagu kebangsaan Negaraku. Berdiri tegak ketika lagu Negaraku dinyanyikan adalah
satu bentuk penghormatan fizikal yang senang diukur tetapi sejauh mana ia
dihayati sebagai simbol kebesaran negara adalah amat sukar dikenal pasti.
Justeru, tidak
hairan apabila ramai rakyat Malaysia tidak menzahirkan rasa hormat kepada lagu
Negaraku sebagaimana yang dikehendaki. Umum mengetahui bahawa penghormatan
kepada lagu kebangsaan negara di Thailand dan Indonesia telah menjadi
sebahagian budaya mereka.
Untuk menjadikan
cara penghormatan sebagai sebahagian budaya bukan satu perkara yang boleh
dilakukan secara tiba-tiba. Ia memerlukan satu mekanisme perubahan yang berasaskan
kajian empirikal.
Bukan bendera dan
lagu kebangsaan sahaja yang menjadi simbol kepada kebesaran negara, tatapi
konsep 'simbol kebesaran negara' adalah suatu yang meluas. Memahami konsep ini
sebenarnya memerlukan satu penelitian sejarah, pemahaman dan penghayatan yang
berseni.
Amnya, simbol
kebesaran negara dapat dibahagikan kepada dua kategori iaitu simbol kebesaran
negara yang konkrit dan simbol yang abstrak.
Barangkali lebih
mudah untuk menghormati simbol kebesaran konkrit kerana ia dapat dilihat dan
disentuh. Simbol-simbol yang tergolong dalam kategori ini termasuklah Jalur
Gemilang, bendera negeri, bendera Wilayah Persekutuan, bendera kerajaan
tempatan, Jata Negara, lagu kebangsaan Negaraku, dan lagu-lagu rasmi negeri.
Oleh sebab ia
berbentuk konkrit, maka kita dapat melihat secara jelas tentang bagaimana
masyarakat menghormati simbol kebesaran negara ini.
Kita dapat melihat
bagaimana rakyat di Malaysia menyambut perayaan hari kemerdekaan dengan
mengibarkan Jalur Gemilang, menyanyikan lagu patriotik, aktiviti sambutan
kemerdekaan di institusi pengajian tinggi serta hiasan-hiasan kemerdekaan di
bangunan kerajaan. Tahniah, kepada yang telah menzahirkannya.
Tanpa menidakkan
kepentingan dalam menzahirkan rasa cinta dan hormat kepada kedaulatan negara
merdeka, terdapat satu fenomena yang mungkin lebih utama untuk diteliti iaitu
sejauh mana simbol kebesaran negara yang berbentuk abstrak atau simbolik
dihormati rakyat Malaysia.
Parlimen Malaysia
dan Sistem Raja Berperlembagaan umpamanya adalah salah satu simbol kebesaran
negara yang abstrak kerana ia bukan merujuk kepada bangunan Parlimen tetapi ia
adalah satu tunjang dalam sistem pemerintahan demokrasi berparlimen.
Sistem ini telah
menjadi tiang dalam pengurusan dan pelestarian kemerdekaan negara. Soalnya,
bagaimanakah dan sejauh manakah rakyat Malaysia berlainan sosio-demografi
menzahirkan rasa hormat kepada Parlimen Malaysia dan Raja Berperlembagaan?
Barangkali masih
ada yang keliru tentang cara bertindak dalam ruang lingkup negara demokrasi
yang seringkali dikaitkan dengan kebebasan bersuara. Memang negara demokrasi
meraikan perbezaan pendapat dan meraikan kepelbagaian suara tetapi antara hak
bersuara dan tanggungjawab untuk keharmonian negara adalah dua aspek yang
saling berkait rapat dalam sistem demokrasi.
Justeru, bertindak
secara demokratik dalam menyalurkan kritikan dan teguran secara matang menerusi
saluran sah seperti badan-badan bukan kerajaan, parti-parti politik dan juga
badan profesional adalah bukti aksi sosial dalam menghormati Parlimen Malaysia
dan sistem Raja Berperlembagaan negara ini.
Barangkali, inilah
cara rakyat Malaysia menghormati Parlimen Malaysia dan sistem Raja
Berperlembagaan sebagai simbol kebesaran negara. Memandangkan penghormatan
kepada simbol kebesaran negara yang berbentuk abstrak ini tidak dapat dinilai
secara konkrit tetapi memerlukan satu deskripsi, satu garis panduan ekspektasi
kerajaan Malaysia terhadap tingkah laku rakyat Malaysia dalam menzahirkan
penghormatan kepada simbol kebesaran negara amat wajar diadakan.
Dengan cara ini,
rakyat dapat mengetahui harapan kerajaan kepada tingkah laku rakyat. Di samping
itu, memberi penghargaan kepada sikap dan tingkah laku rakyat yang menghormati
simbol kebesaran negara adalah motivasi kepada semua. Juga, merancakkan lagi
modal sosial menerusi pendidikan komuniti adalah satu perancangan yang perlu
difikirkan secara serius.
Hakikatnya,
menzahirkan rasa hormat kepada negara bukanlah semata-mata perbuatan fizikal
tetapi yang lebih penting adalah bagaimana kita bertindak dan berperilaku dalam
konteks falsafah demokrasi di Malaysia.
Penulis ialah
pensyarah Pendidikan Komuniti di Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan
Malaysia.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/