Rabu, 28 Ogos 2013

ISU KENEGARAAN : Hayati merdeka menerusi Perlembagaan


Oleh : Shamrahayu A Aziz
 
Perlembagaan Persekutuan yang kita ada sekarang mula beroperasi selepas kita mencapai kemerdekaan. Seperti tulisan saya pada minggu lalu, Perlembagaan adalah lambang kemerdekaan.

Dalam mengisi Perlembagaan ketika kemerdekaan itu, kita maklum bahawa dalam Perlembagaan itu terkandung prinsip hasil inspirasi pimpinan politik dan paling utama ialah inspirasi Raja-Raja Melayu ketika itu. Di samping itu, ada juga cadangan kepakaran daripada Ahli Suruhanjaya Perlembagaan atau juga dikenali Suruhanjaya Reid.

Inspirasi pimpinan politik dan juga Raja-Raja Melayu itu jelas sekali dilihat dalam pelbagai perkara dalam pengisian Perlembagaan, iaitu dalam perkara membabitkan unsur warisan. Paling jelas ialah mengenai kedudukan agama Islam sebagai agama negara, bahasa Melayu adalah bahasa rasmi, keistimewaan Melayu yang mencakupi beberapa perkara, iaitu tanah rizab Melayu serta kuota permit perniagaan, biasiswa dan dalam perkhidmatan awam. Begitu juga dengan kedudukan institusi Raja yang diperjelas kedudukannya sebagai Raja Berperlembagaan dalam sistem demokrasi beraja.

Perlu diberi penghayatan

Ada juga penulis yang menamakan perkara ini sebagai unsur tradisi. Walaupun ada perbezaan dalam istilah ini, apa yang penting untuk difahami ialah kebanyakan prinsip penting terkandung dalam Perlembagaan itu adalah berasal dari tanah air ini. Seperti yang sentiasa saya sebut dalam tulisan sebelum ini, Perlembagaan sebenarnya adalah dokumen yang mempunyai pengisian yang begitu padu dengan kehendak dan keinginan warganya.

Oleh itu, dalam mengisi kemerdekaan ini setiap prinsip warisan atau tradisi ini perlu diberikan penghayatan sepenuhnya. Walaupun kita menyedari mengenai perubahan yang sudah dan perlu berlaku dalam perkembangan keadaan negara, ia adalah prinsip warisan ini. Tujuannya supaya kita tidak menyimpang daripada tujuan asal Perlembagaan.

Dalam membahaskan perkara tradisi ini, ramai juga yang berasakan kita tidak perlu lagi berpusing menggunakan gear undur untuk mengisi kemerdekaan. Ada yang berhujah bahawa mungkin perkara terbabit baik pada masa itu, iaitu pada masa ia diperkenalkan, tetapi ia harus berubah apabila masa dan keadaan berubah. Banyak yang sudah dibahaskan mengenai isu ini.

Kebijaksanaan pimpinan

Walau apa pun, saya mahu menegaskan di sini bahawa, dalam apa juga perubahan keadaan kita, mengekalkan pusaka lama seumpama nilai tradisi ini adalah satu keperluan dan sebarang perubahan hendaklah apa yang sebenar-benar boleh membawa kepada kebaikan. Nilai pusaka inilah yang menjadikan sesebuah bangsa itu dapat mengekalkan jati diri mereka serta mempunyai landasan kegemilangan yang nyata dan teratur. Nilai tradisi ini juga yang berupaya memangkin pembangunan.

Kebijaksanaan pimpinan juga memainkan peranan paling penting dalam mengekalkan nilai tradisi ini. Oleh itu, dalam apa juga pembangunan dan polisi sudah tentu nilai tradisi ini hendaklah dijadikan kayu pengukur dan pengimbang.

Perkara ini kita boleh lihat dalam proses membuat Perlembagaan merdeka dulu. Daripada dokumen sejarah saya dapati banyak perkara yang sudah disebut oleh kepemimpinan mengenai perkara yang dijangka berlaku. Oleh itu, nilai tradisi itu dijaga oleh peruntukan berkaitan pindaan Perlembagaan.

Tonggak Perlembagaan

Boleh dikatakan semua nilai tradisi tidak boleh dipinda menerusi proses demokrasi atau undian di Parlimen. Nilai ini hanya boleh dipinda dengan perkenan Majlis Raja-Raja Melayu. Bahkan polisi berkaitan keistimewaan Melayu di bawah Perkara 153 hanya boleh dipinda dengan perbincangan dengan Majlis Raja-Raja.

Oleh itu, jelas di sini, bahawa semua perkara tradisi itu adalah tonggak kepada Perlembagaan. Maka, amalan dalam bentuk polisi hendaklah sentiasa dipadankan dengan kedudukannya dalam Perlembagaan.

Pemahaman kita kepada nilai tradisi dalam bulan kemerdekaan ini boleh dijadikan cara untuk kita mencernakan kefahaman terhadap hubungan antara Perlembagaan dan kemerdekaan. Selain itu, ia juga bagi menjelaskan lagi kecintaan kita kepada tanah air tumpah darah ini dan seterusnya dapat mendatangkan kesan positif terhadap kecintaan kepada negara dan bangsa.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan