Oleh Asri Md Saman @ Osman
Perwatakan luhur pendidik mampu melahirkan anak didik
cemerlang akademik, sahsiah
PROFESION keguruan adalah profesion tertua dunia dan Islam
meletakkan guru di kedudukan sangat mulia hingga guru ditempatkan setingkat di
bawah kedudukan nabi dan rasul.
Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Sesungguhnya ulama adalah
pewaris para nabi.” (Sunan Ibn Majah, Tirmizi dan Musnad Imam Ahmad)
Selain itu, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Ada
tiga golongan yang tidak boleh dipandang ringan hak mereka, sesiapa yang
meremehkannya adalah munafik; orang tua yang berpengalaman, guru-guru dan
pemimpin yang adil.” (Hadis riwayat At-Thabrani)
Kini dalam era serba moden dan canggih, kerjaya guru semakin
mencabar. Dilaporkan adanya segelintir kecil guru tidak dapat mengawal emosi
lantas mengambil tindakan menghukum anak didik di luar batas hingga masyarakat
dikejutkan dengan berita kematian murid yang berpunca daripada tindakan guru.
Justeru, guru perlu sentiasa ingat bahawa mendidik manusia
memerlukan kesabaran tinggi dan nilai kasih sayang yang kental. Tanpa dua sifat
penting itu, guru akan berhadapan masalah.
Panduan ditunjukkan Rasulullah SAW perlu dijadikan amalan
ketika memenuhi tugas mendidik anak bangsa. Banyak kisah dan peristiwa dilalui
Rasulullah SAW mempamerkan perwatakan luhur pendidik unggul untuk dicontohi,
yang tetap relevan di sepanjang zaman.
Selain itu, guru hendaklah berusaha menyesuaikan diri dengan
semua pelajar supaya segala ajarannya akan memberi kesan.
Imam al-Ghazali dalam kitabnya Ihya Ulumuddin menyatakan, sifat guru itu menjadi berkesan dalam jiwa murid melalui tiga peringkat iaitu ilmu pengetahuan, perubahan hasil daripada ilmu diperoleh dan guru cemerlang akan melahirkan anak didik gemilang.
Rasulullah SAW adalah pendidik yang cemerlang sehingga
lahirlah di zaman baginda sahabat yang hebat seperti Khulafa’ Ar-Rasyidin,
Abdul Rahman bin A’uf, Abu Huraira dan Saad bin AbiWaqas.
Hari ini, guru perlu menerima hakikat adanya ibu bapa yang
hanya mementingkan kecemerlangan akademik anak dan beranggapan pembentukan
sahsiah terpuji tidak penting. Anggapan sebegini menyebabkan anak mereka tidak
boleh ditegur, walaupun ternyata melakukan kesalahan.
Kesannya, murid berasa lebih hebat dan berani untuk melawan
guru. Jadi, bukan sesuatu yang pelik banyak kes berlaku hari ini membabitkan
disiplin pelajar sehingga berlaku pergaduhan dengan guru. Sebab itu tiada
keberkatan ilmu kepada pelajar ekoran tidak menghormati guru.
Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Belajarlah ilmu,
belajarlah ilmu untuk ilmu dan tunduk patuhlah kepada orang yang kamu belajar
ilmu daripada mereka.” (Hadis riwayat At-Thabrani)
Guru juga berdepan dilema sikap ibu bapa yang tidak dapat
menerima kenyataan anak mereka melakukan kesalahan. Sepatutnya ibu bapa perlu
mendapatkan penjelasan dan berbincang dengan guru, bukan terus memihak kepada
anak mereka.
Cabaran lain dihadapi guru kini ialah melakukan
transformasi kerana zaman guru sebagai penyampai ilmu pengetahuan sudah berlalu
sebaliknya tugas mereka kini menjadi pemudah cara kepada murid menimba ilmu
pengetahuan.
Sebagai pemudah cara, guru perlu lebih bersedia, peka serta
menggunakan situasi pembelajaran secara cekap dan berkesan. Murid perlu selalu
dirangsang untuk berfikir secara kreatif dan kritikal. Tambahan dengan adanya
sumber maklumat serta teknologi terkini yang canggih.
Guru juga berperanan menentukan corak pembangunan sesebuah
negara. Sumbangan guru itu menjadikan mereka jurutera yang membentuk manusia.
Firman Allah SWT bermaksud: “Tidak Ku-jadikan jenis makhluk
jin dan manusia melainkan untuk beribadat kepada-Ku semata.” (Surah az-Zariat,
ayat 57)
Kerjaya guru membuka luas ruang untuk mendapatkan pahala dan
reda Allah kerana keikhlasan menjadikan setiap amal perbuatan dikira sebagai
ibadat.
Oleh itu, walau apa pun cabaran dihadapi, guru dapat
mengharunginya kerana niat serta perjuangan mereka adalah jelas demi membina
modal insan yang bermanfaat kepada agama, bangsa dan negara.
Marilah kita hayati kata-kata Saidina Ali yang bermaksud:
“Hak orang alim ada tujuh. Pertama, jangan banyak bertanya dan bertanya bila
dia bersedia untuk menjawab. Kedua, jangan halangi jika guru hendak berdiri.
Ketiga, jangan membuka rahsia di hadapan guru. Keempat, jangan mengumpat orang
di hadapan guru. Kelima, hormatlah guru kerana Allah. Keenam, jangan duduk
membelakangi guru dan ketujuh, jika ada keperluan lain, utamakan keperluan
guru.”
Menjadi tanggungjawab kita menjaga kemuliaan dan mengangkat
martabat guru, sejajar dengan apa yang diwartakan Allah SWT dalam firman
bermaksud: “Allah akan meninggikan orang yang beriman antara kamu dan orang
yang diberikan ilmu pengetahuan beberapa darjat.” (Surah Al-Mujadalah, ayat 11).
Sumber : http : //www.bharian.com.my/