OLEH : ABD JALIL ALI
Belum lambat
untuk mengucapkan ‘Selamat Hari Guru’ kepada cikgu-cikgu yang telah berjasa
amat besar pada saya. Mereka mengajar saya A, B, C, alif, ba, ta. Mereka juga
mengenalkan saya angka-angka 1, 2, 3. Tanpa mereka siapalah saya!
Sejak hari
pertama ke sekolah saya sentiasa takut pada cikgu. Tidak kira cikgu perempuan,
lebih-lebih lagi yang lelaki, semua nampak garang. Tidak ada senyum, semua
serius semacam. Paling saya takut Guru Besar, Mohd Dzuli Adni atau lebih
dikenali dengan Cikgu Zainal.
Cikgu-cikgu lain
yang mengajar saya semasa sekolah rendah termasuklah Cikgu Manisah, Cikgu
Suratmi, Cikgu Fatimah (ada tahi lalat!), Cikgu Bakar, Ustaz Satam. Murid
Sekolah Rendah Kebangsaan Sawah Ring – di pedalaman Muar – tidak ramai, tidak sampai
100. Cikgu pun tidak lebih 10.
Memang semua
garang, tetapi mereka mengajar dengan gigih. Disiplin amat ketat, kalau buat
salah pasti ada hukumannya. Tidak hafal sifir, kena berdiri atas bangku. Tidak
tahu mengeja, kena buat ‘tok ketampi’. Ponteng sekolah tanpa sebab, kena
berdiri di luar bilik darjah.
Ada banyak lagi
hukuman, tetapi paling ditakuti ialah sebatan di punggung. Setengah abad lalu,
rotan digunakan secara bebas di sekolah. Kalau dipanggil ke bilik Guru Besar,
siaplah punggung. Kalau tidak pada punggung, rotan sebesar jari kelengkeng itu
mungkin hinggap di betis.
Lima tahun di
sekolah rendah – saya lompat kelas, tidak belajar darjah tiga – saya kena rotan
sekali. Ketika perhimpunan pagi Ahad – di Johor ketika itu cuti hujung minggu
ialah Jumaat dan Sabtu – saya sudah tahu akan menerima padah.
Kesalahan saya
ialah tidak datang latihan sukan pada hari Sabtu. Zup, zup, zup! Tiga kali
rotan hinggap di punggung. Peritnya bukan kepalang.
Betapa pun perit
dan merah di punggung, saya tidak berani mengadu pada emak, lebih-lebih lagi
pada abah. Kalau mengadu pada abah dia akan kata: “Padan muka engkau, tak ikut
cakap cikgu memang patut kena rotan!” Dan, dia akan tambah satu lagi sebatan di
betis atau tapak tangan. Jadi, lebih baik jangan mengadu.
Ketika di sekolah
menengah pun ada cikgu yang garang. Sebat murid hingga patah pembaris panjang.
Ada murid kena penampar hingga merah pipi. Ada juga cikgu jentik telinga murid
hingga kebas.
Tetapi, tidak ada
yang mengadu kepada ibu bapa. Ada dua sebab. Pertama, guru amat dihormati dan
dipandang tinggi dalam kalangan masyarakat. Kedua, ibu bapa lebih percaya kepada
guru daripada anak sendiri. Apa yang cikgu buat dianggap betul untuk mendidik
anak-anak.
Itu 50 tahun
dulu! Hari ini ibu bapa lebih menyebelahi, dan terlalu memanjakan anak. Sebab
itu kalau ada silap sikit dilakukan pada murid, ibu bapa akan menyerang guru di
sekolah. Anak kena cubit sedikit, ibu bapa melenting dan buat laporan polis.
Sekiranya murid
diminta memungut sampah atau mencuci tandas, ibu bapa akan mengadu kepada PIBG,
silap-silap akan menulis surat kepada Pejabat Pendidikan, dengan salinan kepada
Perdana Menteri. Kalau nasib tidak baik guru berkenaan kena tukar sekolah.
Kalau rotan murid
kerana melakukan kesalahan melampau – termasuk merosakkan harta benda sekolah,
atau mengugut akan bunuh guru – ibu bapa akan mengadu kepada polis, menteri dan
NGO hak asasi. NGO akan buat kenyataan hentam sekolah cukup-cukup.
Ibu bapa tidak
menghormati guru, tidak ambil berat tentang sekolah. Diajak mesyuarat PIBG
setahun sekali, hanya seorang dua ibu bapa hadir. Diminta berjumpa Guru Besar
untuk membincang masalah anak, mereka tidak datang. Mereka akan datang, dan
marah-marah, hanya jika anak dapat semua E dakwat merah dalam peperiksaan.
Oleh sebab
anak-anak terlalu dimanjakan, mereka tidak takut guru. Mereka ingkari perintah
guru – ponteng, tidak buat kerja rumah, melawan guru. Malah, ada yang berani
membakar bilik guru. Ada yang menconteng dinding sekolah, memaki hamun guru.
Semua orang tahu disiplin sekolah menjunam.
Saya bersyukur
bersekolah – rendah dan menengah – pada ketika rotan bebas digunakan. Memang
ada guru yang bengis dan garang, tetapi merekalah yang membentuk saya menjadi
manusia. Ramai juga yang baik dan murah senyuman, termasuk Cikgu Munap Long,
dan Cikgu Nopipah Pendek, guru sejarah semasa tingkatan lima.
Sama ada disebut
nama atau tidak – sesetengahnya mungkin sudah tidak ada – guru-guru telah
mencurahkan ilmu dan membentuk saya menjadi manusia. Jasa mereka saya kenang
hingga mati.
http : //www.sinarharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan