Oleh Tan Sri Alimuddin Mohd Dom
Jika saya bertanya kepada anda, bolehkah namakan 10 orang
guru yang pernah mengajar anda semasa belajar di peringkat prasekolah hingga
tamat sekolah menengah?
Sekiranya anda boleh memberikan nama penuh kesemua orang
guru itu dan dapat membayangkan wajah mereka di minda, maka anda dikira terdiri
daripada kategori orang cemerlang.
Tetapi andai kata tidak seorangpun nama guru yang diingati
dan tidak terbayang langsung wajah mereka maka anda bolehlah digolongkan dalam
kumpulan lemah memori atau golongan kurang cerdik kerana tidak prihatin
terhadap orang yang pernah mendidik dan tidak jemu-jemu menyampaikan ilmu
pengetahuan.
Tidak dapat dinafikan bahawa gurulah antara orang yang
banyak berjasa kepada kita semua. Tanpa mereka mungkin hari ini kita tidak
pandai membaca, menulis atau mengira. Kerana merekalah minda kita terbuka dan
keluar dari kepompong dengan melihat jendela dunia dari sudut yang lebih luas.
Guru dapat membantu seseorang untuk berjaya dalam mengejar
cita-cita. Guru berkesan kerap memberi bimbingan, mencabar keupayaan dan
membakar semangat anak muridnya supaya berani mencuba dan tidak mudah berputus
asa.
Menurut Wikipedia, ‘guru’ daripada perkataan Sanskrit yang
bermaksud orang yang mengajar sesuatu ilmu. Hari ini ‘guru’ merujuk kepada
pendidik profesional dengan tugas utama mendidik, mengajar, membimbing,
mengarah, melatih dan menilai anak muridnya. Guru bertugas mulai peringkat awal
kanak-kanak hingga ke peringkat menengah atas.
Mereka mempunyai kelulusan dan kelayakan tertentu serta
mendapat latihan secara formal. Dalam melaksanakan tugas mengajar sama ada di
sekolah kerajaan atau swasta mereka perlu patuh kepada garis panduan serta
diikat dengan peraturan dan etika perguruan.
Bagi meningkatkan kualiti guru, Kementerian Pelajaran telah
menyediakan Standard Guru Malaysia (SGM) merupakan panduan kompetensi
profesional yang seharusnya dicapai oleh guru. Oleh itu, institusi
dipertanggungjawabkan akan membantu guru bagi mencapai kemahiran yang telah
ditetapkan. Dalam usaha menjadikan Malaysia negara maju melalui Wawasan 2020
guru berperanan melahirkan modal insan yang kreatif, inovatif, berpengetahuan,
mahir ICT, menguasai ‘soft skills’ dan berdaya saing.
Untuk mencapai hasrat itu latihan guru dimantapkan,
mengetatkan pemilihan bakal guru, melonjakkan kecemerlangan institusi
pendidikan guru, menambah baik laluan kerjaya dan menjaga kebajikan mereka.
Di negara kita bilangan guru di sekolah kerajaan mencecah
400,000 orang yang berkhidmat hampir di 10,000 buah sekolah. Golongan ini boleh
dikatakan bernasib baik jika dibandingkan dengan rakan mereka yang berkhidmat
di sekolah swasta atau sekolah agama rakyat.
Jika dibuat perbandingan mereka menerima gaji lebih tinggi,
peluang kenaikkan pangkat lebih banyak, kemudahan rawatan di hospital, skim
pinjaman perumahan dan kenderaan serta kemudahan persaraan. Satu lagi kelebihan
yang tidak disedari ialah peluang bertugas di tempat pilihan sendiri. Ini
disebabkan di negara kita terdapat institusi sekolah di seluruh pelosok tanah
air dan mungkin ada di antaranya menjadi pilihan mereka.
Akibat perubahan zaman maka tugas guru kini adalah
lebih mencabar jika dibandingkan dengan masa lampau. Peranan guru sebagai
penyampai ilmu pengetahuan sebahagiannya telah diambil melalui kecanggihan ICT.
Maklumat boleh didapati dengan cepat dan lengkap melalui
Internet serta bahan elektronik yang lain. Oleh itu, guru perlu bertindak bijak
dengan mendahului murid dari segi penguasaan ilmu pengetahuan. Mereka perlu
membuat persediaan awal dengan melakukan rujukan daripada berbagai sumber
sebelum berhadapan murid di bilik darjah.
Demikian juga persepsi ibu bapa terhadap guru turut berubah.
Jika masa dahulu ibu bapa yang menghantar anak ke sekolah memberi kuasa penuh
kepada guru mendidik anak mereka termasuk membenarkan denda secara fizikal
sekiranya anak itu nakal atau tidak mematuhi arahan. Tetapi kini keadaannya
berlainan. Guru tidak boleh mendenda murid secara fizikal. Di sesetengah sekolah, guru dilarang memarahi atau mengeluarkan perkataan kasar walaupun murid
melakukan kesalahan. Mereka digalakkan memberi nasihat atau bimbingan secara
kaunseling.
Kerap kita mendengar ada ibu bapa yang mengambil tindakan
undang-undang atau memberi amaran kepada guru yang menghukum anaknya. Lebih
malang lagi ada murid yang mencalar kereta guru jika mereka tidak suka kepada
seseorang guru. Ini adalah sebahagian dilema yang dihadapi oleh guru dalam
menangani kerenah murid.
Selepas menamatkan latihan perguruan tidak semua guru dapat
mengajar di sekolah yang menjadi pilihan mereka. Ada di kalangan mereka
ditempatkan jauh di pedalaman atau di pulau-pulau terpencil. Cuba bayangkan
jika kawasan tersebut tidak mempunyai kemudahan elektrik dan air sudah tentu
ada di antara guru mengalami kejutan di tempat baru itu.
Dari segi tempat tinggal pula tidak semua sekolah
menyediakan kemudahan rumah guru. Ada yang terpaksa tinggal di bilik kecil yang
terdapat di bangunan sekolah. Ini disebabkan tidak terdapat rumah yang boleh
disewa dan lokasi sekolah pula jauh dari kawasan perumahan. Sebagai penjawat
jawatan awam mereka perlu akur dan patuh mengikut perintah walau di mana mereka
ditempatkan.
Tidak dapat dinafikan cabaran yang paling besar dihadapi
oleh guru ialah sikap negatif murid terhadap pengajaran guru. Tidak mudah untuk
menarik perhatian murid jika mereka sendiri tidak berminat untuk belajar. Di
samping itu guru perlu menyesuaikan kaedah pengajaran mereka mengikut tahap
kebolehan murid.
Cuba bayangkan jika terdapat 40 murid dalam sebuah kelas. Guru terpaksa kerap menyesuaikan pendekatan pengajaran agar semua murid dapat
menghayatinya. Sikap tidak minat belajar boleh membawa kepada ponteng kelas dan
ponteng sekolah.
Akibatnya kemajuan pelajaran akan terganggu dan boleh
menyebabkan gagal dalam peperiksaan. Bagi ibu bapa yang tidak memahami tingkah
laku anak lantas menyalahkan guru atas kegagalan tersebut.
Untuk membantu tugas guru maka ibu bapa perlu turut
berperanan mengikuti perkembangan pelajaran anak mereka. Bimbingan dan tindak
ikut berterusan perlu dan tidak hanya menyerahkan tugas mendidik kepada guru.
Ibu bapa juga disaran menganggap guru sebagai rakan. Hubungan secara bersemuka
perlu kerap dilakukan terutama sekiranya terdapat sebarang perubahan pada diri
anak. Rasa setiakawan dengan guru perlu sentiasa disematkan pada diri ibu bapa.
Ambillah tindakan segera sekiranya dihubungi oleh guru.
Sempena Hari Guru yang dirayakan setiap 16 Mei anda dicadang
mengirimkan sekeping kad ucap selamat kepada bekas guru yang pernah mengajar
anda atau yang sedang mengajar anak anda. Atau setidak-tidaknya apabila bertemu
mereka ucapkanlah ‘Selamat Hari Guru’ dan ‘Terima Kasih Cikgu.’
PENULIS ialah Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan