KUALA KANGSAR : Jawatankuasa Kerja Pelaksana Menangani Isu Beban Tugas Guru sedang melaksanakan 28 perakuan bagi menangani 14 isu yang memberi kesan terhadap beban tugas guru, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau yang juga Menteri Pelajaran, berkata antara langkah
yang dilaksanakan Jawatankuasa Kerja itu adalah memperkenalkan Sistem
Pengurusan Sekolah yang merupakan satu sistem tunggal kemasukan data untuk
mengurangkan beban tugas guru yang menggunakan pelbagai sistem kemasukan data
pada masa ini.
"Sistem ini dilaksanakan secara rintis di 88 buah
sekolah dan dijadualkan semua sekolah di bawah Kementerian Pelajaran akan
menggunakan sistem baru ini menjelang 2013," katanya ketika berucap
merasmikan sambutan Hari Guru 2012 peringkat kebangsaan ke-41 di sini, hari
ini.
Beliau berkata, kementerian turut menjalankan kajian rintis
bagi penempatan Pembantu Tadbir N17 hingga Jun 2012 untuk melihat impak
penempatan kakitangan itu bagi mengurangkan beban tugas perkeranian guru.
"Seterusnya satu cadangan akan dikemukakan kepada pihak Jabatan Perkhidmatan Awam bagi peluasan penempatan Pembantu Tadbir N17 di sekolah di bawah kementerian," katanya.
Muhyiddin berkata, bagi menangani isu beban tugas guru itu
juga, semua Jabatan Pelajaran Negeri telah melaksanakan pemansuhan ujian dan
peperiksaan setara serta menambah baik pengendalian ujian dan peperiksaan di
peringkat sekolah.
Oleh itu, katanya, pada tahun ini hanya satu peperiksaan
setara sahaja dibenarkan.
"Pemansuhan sepenuhnya ujian dan peperiksaan setara
akan dikuatkuasa mulai 2013, di mana semua ujian akan dijalankan di waktu
pengajaran dan pembelajaran," katanya.
Katanya, kerajaan tetap mengambil perhatian serius terhadap
keluhan guru yang terbeban dengan pelbagai tugasan dalam memastikan kelancaran
dan keberkesanan organisasi sekolah.
Beliau berkata, kualiti guru perlu dimantapkan, mutu
kepimpinan sekolah perlu ditingkatkan, kurikulum dan sistem pentaksiran perlu
diperkemaskan, prasarana sekolah perlu ditambah baik serta sumber dan sistem
penyampaian pendidikan perlu diurus dengan cekap.
"Pendek kata, keseluruhan sistem pendidikan kita perlu
disemak dan dimantapkan kualitinya secara bersepadu," katanya. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan