Oleh Ruhaiza Rusmin
KEPUTUSAN Penilaian Menengah
Rendah (PMR) sudah diketahui minggu lalu. Daripada 481,424 pelajar yang
mengambil peperiksaan itu, seramai 30,474 memperoleh keputusan paling
cemerlang.
Selepas PMR, mereka akan memasuki
tingkatan empat tetapi ramai yang mencongak untuk mendapat tempat di sekolah
berasrama penuh.
Lazimnya, pelajar cemerlang tentu
mempunyai keinginan memasuki aliran sains kerana jaminan memasuki institusi
pengajian tinggi selain tawaran pekerjaan lebih cerah.
Bagaimanapun, penurunan
pencapaian subjek Sains dan Matematik dalam setiap peperiksaan utama setiap
tahun kini menimbulkan pertanyaan.
Adakah penurunan itu bagaikan
isyarat senyap bahawa dua subjek berprestij itu semakin kurang diminati hingga
pelajar ‘meluahkan’ dalam peperiksaan atau kerana ketidakfahaman menjawab
hingga gagal mencapai keputusan yang baik?
Dekan Pusat Pengajian Ilmu
Pendidikan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Abdul Rashid Mohamed,
berkata penurunan atau kenaikan peratusan pelajar dalam peperiksaan adalah
normal.
Bagaimanapun, setiap keputusan
masih memerlukan kajian, analisa dan tindakan segera bagi memastikan risikonya
tidak berpanjangan dan menimbulkan implikasi lain .
“Dalam sistem peperiksaan, turun
naik statistik pencapaian pelajar adalah normal namun masih memerlukan tindakan
susulan bagi mencari punca.
“Peningkatan atau penurunan itu
adalah isyarat untuk memberitahu ada kelemahan atau lompong perlu diperbaiki.
“Apatah lagi setiap sasaran
diletakkan pada manusia (pelajar). Sudah tentu ada pelbagai kemungkinan sukar
dijangka,” katanya.
Biarpun keputusan subjek Sains
dan Matematik terus menunjukkan penurunan, beliau berkata, pihak terbabit tidak
perlu melatah, sebaliknya memikirkan faktor dan tindakan mengatasinya.
Menurutnya, penurunan itu mungkin
berpunca daripada faktor kecil dan remeh, namun pihak terbabit sama ada
sekolah, guru atau kementerian terlepas pandang hingga akhirnya menjejaskan
prestasi pencapaian.
“Faktor yang dianggap kecil dan
remeh lebih berbahaya. Sebab itu, semua pihak perlu mempunyai sikap peka kerana
kesan yang bakal diperoleh boleh melepasi jangkaan.
“Malangnya, ramai keliru dan
menganggap sains dan matematik hanya sekadar angka atau formula.
“Tidak ramai nampak atau memahami
apa sebenarnya kedua-dua subjek itu dan tujuannya,” katanya berpendapat jika
diajar dengan cara betul, ia boleh memberikan keseronokan berganda kepada
pelajar.
“Keseronokan ini tidak terbatas
dalam akademik semata-mata sebab konsep pemahaman sains dan matematik sangat
luas.
“Malangnya, mereka tidak dapat
menikmati keseronokan itu kerana pendedahan diterima adalah melalui cara
tekanan iaitu belajar dan menghafal.
“Sains dan matematik mempunyai
hubung kait paling rapat dengan kehidupan. Cara pembelajaran penuh tekanan
serta konsep pembelajaran salah boleh menyumbang kegagalan akademik dan aspek
lain,” katanya.
Kebimbangan itu berasas apabila
pelajar yang mengikuti aliran sains semakin menurun sehingga 29 peratus tahun
ini berbanding sasaran 60 peratus.
Sebaliknya, peningkatan dalam
aliran sastera semakin ketara disokong faktor tarikan termasuk tanggapan aliran
sastera lebih mudah, mampu menawarkan tempat lebih tinggi di institusi
pengajian serta peluang pekerjaan lebih banyak.
Manakala aliran sains pula
dianggap lebih sukar bukan saja dari segi akademik malah peluang kerjaya
semakin terhad dengan tiada pengenalan kerjaya baru.
Pelajar aliran sains, katanya,
sudah tentu mahukan timbal balas yang mampu memberi mereka banyak kelebihan
setimpal cabaran kesusahan sewaktu belajar.
“Namun, apa yang mampu ditawarkan
bidang pekerjaan di negara kita bagi aliran itu hanya perubatan (yang
terbesar), pegawai penyelidik, dan pensyarah.
“Skop kerjaya yang kecil
menyebabkan penurunan permintaan.
“Berbanding negara lain, tawaran
pekerjaan lebih banyak malah ada kerjaya baru diwujudkan dalam bidang tertentu
yang fokus pada keperluan sains menyebabkan sains dan matematik satu
kemestian,” katanya.
Cara belajar juga, katanya,
menjadi penyumbang mengapa sains dan matematik sukar dikuasai.
“Pelajar di negara kita mempunyai
cara belajar ‘kurang’ sempurna iaitu suka menghafal. Di negara lain, pembinaan
asas pemahaman dilakukan dengan pelbagai teknik seperti penggunaan deria dan
bantuan persekitaran.
“Menggunakan hafalan bagi
memahami sains dan matematik bukanlah proses pembelajaran yang baik. Mereka
menghafal hanya untuk membolehkan menjawab soalan.
“Jika soalan ditukar, mereka
tidak boleh menjawab sebab konsep sains dan matematik itu berdiri pada asas
pemahaman bukan menghafal,” katanya.
Pada masa sama, katanya pemilihan
guru sekolah rendah perlu dari kalangan yang terbaik kerana mereka yang akan memulakan
asas pembelajaran dan pemahaman pelajar.
“Sekolah rendah adalah ‘ibu’
segala asas pembelajaran dan pemahaman kerana di situlah pelajar didedahkan
proses membaca, mengira, menulis dan memahami.
“Manakala sekolah menengah adalah
proses pemantapan kefahaman dan pembelajaran. Pelajar hanya perlu dibimbing
dengan kaedah pembelajaran berbeza dan lebih menyeluruh sebagai persediaan
menuju pengajian tinggi.
“Jika asas pemahaman dan
pembelajaran kukuh, proses seterusnya menjadi mudah. Malangnya kita kekurangan
kualiti dan sentuhan guru yang baik mengakibatkan timbul pelbagai masalah,”
katanya.
Berharap agar sistem pendidikan
dipertingkatkan bagi menjamin kejayaan taraf negara maju menjelang 2020, beliau
berkata usaha perlu diganda dan diberi penambahbaikan.
“Antaranya modul dan sistem perlu
diselaraskan dengan perkembangan semasa, pengambilan guru berkualiti, kaedah
pedagogi yang betul dan sebagainya.
“Fahami definisi negara maju itu
sendiri, barulah kita boleh membangunkan sains dan matematik sebagai satu
mekanisme penting yang sukar ditolak sesiapa pun,” katanya.
Sumber : http : //www.hmetro.com.my/