Khamis, 1 Julai 2010

Ujian lebih fleksibel sekolah rendah ganti UPSR


CADANGAN Kementerian Pelajaran untuk mengambil kira markah kokurikulum jika Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dimansuhkan amatlah dialu-alukan. Ujian yang terlalu berorientasikan peperiksaan dengan mengehadkan pemarkahan aktiviti luar bilik darjah barang kali tidak lagi sesuai pada era pendidikan kini, lantaran ia dilihat lebih holistik kepada pelajar.

Oleh sebab terlalu menjurus kepada peperiksaan, maka tidak begitu jelas matlamat peperiksaan UPSR dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) untuk menuntut ilmu secara kreatif dan interaktif. Begitu juga fokus utama guru dan pelajar lebih tertumpu kepada keputusan cemerlang pada peperiksaan awam dan mereka turut dibebani dengan peperiksaan penilaian di peringkat sekolah.

Pengumuman Tan Sri Muhyidin Yassin pada minggu lalu amat sesuai dengan kenyataan yang telah dibuat oleh Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom pada akhir tahun lalu bahawa Kementerian Pelajaran mungkin melaksanakan sistem penilaian baru untuk murid sekolah rendah bagi menggantikan UPSR.

Menurut beliau, UPSR akan bertukar format kepada ujian yang lebih fleksibel berasaskan pentaksiran sekolah.

Dijangkakan mulai 2015, prestasi murid tidak lagi dinilai sepenuhnya berdasarkan ujian seperti sekarang, sebaliknya markah peperiksaan hanya mewakili kira-kira 30 peratus daripada markah penuh yang akan digabungkan dengan empat lagi penilaian lain iaitu psikometrik (kecenderungan dan sikap), kokurikulum, peperiksaan sekolah dan peperiksaan kementerian.

Kita yakin pengenalan sistem baru itu nanti mampu memperkasakan pendidikan untuk memartabatkannya sebagai wadah membentuk insan berpengetahuan dan berakhlak.

Ia juga lebih relevan dengan hasrat negara untuk melahirkan generasi modal insan, yang bukan saja mampu melahirkan murid berketrampilan dan berilmu pengetahuan, tetapi turut memiliki sahsiah tinggi, berakhlak mulia, kreatif, berani melakukan perubahan dan menghadapi cabaran.

Pada masa ini, penilaian berasaskan sekolah tidak menyeluruh dan hanya meliputi beberapa ujian sampingan seperti Ujian Perkara Asas Fardu Ain (Pafa), Penilaian Kerja Amali (Peka) serta Ujian Lisan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

Dengan pendekatan ini nanti, peluang pelajar untuk menjana kecemerlangan akan lebih terbuka dan tidak terhad kepada kategori murid cemerlang akademik semata-mata tetapi turut merangkumi bidang kemahiran lain termasuk kokurikulum.

Seluruh warga pendidik menyambut baik langkah bijak ini yang telah dilakukan atas kehendak awam dan sejajar pula dengan pelaksanaan Sistem Pentaksiran Pendidikan Kebangsaan (SPPK).

Umum mengetahui, sejak sekian lama, pendidikan berorientasikan peperiksaan telah sebati dalam jiwa pelajar dan minda guru. Untuk melahirkan generasi ulul albab, kecemerlangan berasaskan catatan gred pada slip peperiksaan sudah tidak relevan lagi.

Melalui lima pentaksiran yang akan dibuat oleh pihak sekolah iaitu pentaksiran sekolah, pentaksiran pusat, peperiksaan pusat, pentaksiran aktiviti jasmani dan kokurikulum serta ujian psikometrik, sudah tentu penglibatan murid dalam pengajaran dan pembelajaran akan lebih maksimum kerana ia menjadi salah satu penilaian bagi menentukan pencapaian keseluruhan peperiksaan.

Sebenarnya slip keputusan peperiksaan yang diperoleh seseorang pelajar tidak menggambarkan kecerdikan dan kreativiti mereka yang sebenar.

Ini kerana, perolehan markah hanya datang daripada proses pembelajaran mekanikal yang banyak menjurus kepada kekuatan mengingati fakta dan data semata-mata.

Melalui pendekatan baru ujian ini, kita melihat penglibatan para guru menjadi lebih besar kerana bakal melaksanakan pentaksiran di peringkat sekolah bagi mewujudkan skala keperluan dan pembangunan individu yang mempunyai kemahiran berfikir kreatif dan intelektual meliputi bidang akademik, kokurikulum, kepimpinan, sahsiah dan kecenderungan untuk dinilai bersama-sama peperiksaan utama.

Biarpun natijah yang diperoleh melalui sistem sekarang telah mampu mengubah tahap pencapaian pendidikan negara, kesannya kepada yang tidak 'mampu' untuk sampai ke aras yang dikehendaki agak terbatas.

Yang bijak akan terus dibestarikan, sebaliknya yang lemah agak terhad peluang mereka sedangkan keadilan menuntut ilmu wajar diberi tanpa tempoh masa dan situasi. Menyedari hakikat bahawa setiap individu dilahirkan dengan kemampuan yang berbeza, maka pendekatan dan kaedah penilaian juga sudah sewajarnya perlu memenuhi keperluan setiap pelajar.

Dengan beberapa penaksiran lain yang akan dibuat seperti aktiviti jasmani, kokurikulum dan ujian psikometrik, kita percaya reformasi peperiksaan menjelang 2015 ini bakal menyaksikan satu lagi era kemapanan dan kemantapan sistem pendidikan ke arah yang lebih bersesuaian dengan senario hidup semasa.

WAN MARZUKI WAN RAMLI

Pasir Mas, Kelantan.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/