Khamis, 25 Oktober 2012

ISU EKONOMI : Malaysia tempat ketiga negara peneraju dunia



Malaysia berada di kedudukan ketiga dalam kalangan negara Future Fifteen yang bakal mentransformasikan landskap ekonomi, politik dan budaya global pada tahun mendatang.

Dalam edisi kelapan Indeks Jenama Negara Tahunan (CBI), FutureBrand, perunding jenama global itu berkata, Future Fifteen mengiktiraf Emiriah Arab Bersatu (UAE) sebagai pelopor dalam kalangan jenama negara peneraju masa depan, diikuti Chile. Laporan itu menyatakan kecenderungan UAE dalam memanfaatkan sumber aslinya yang banyak dan mengamalkan dasar serta pelaburan kerajaan dengan cemerlang antara petunjuk terkuat kejayaan masa depannya.

Walaupun dengan momentum positif di rantau ini, CBI turut maklum halangan yang akan dihadapi UAE, termasuk cabaran ketara berhubung pengagihan kekayaan yang adil dan saksama, kata FutureBrand dalam satu kenyataan, semalam.

Negara lain yang termasuk dalam segmen Future Fifteen ialah Qatar, Estonia, China, Iceland, Mexico dan Brazil.

FutureBrand juga mendedahkan kedudukan tahunan kali kelapan jenama negara peneraju dunia dengan Switzerland berada pada tempat pertama dalam CBI 2012-2013 diikuti Kanada, Jepun, Sweden dan New Zealand.

Laporan itu juga mengenal pasti beberapa perkara teras yang memacu perubahan dalam kedudukan jenama negara 2012/2013 termasuk penurunan jenama ikonik Amerika Syarikat.

Di tengah-tengah persoalan mengenai dasar asing dan hutang negara sebanyak AS$14 trilion yang mengejutkan, jenama AS dibiarkan untuk berdepan peluang terbesar dan halangan semasa pilihan raya.

FutureBrand juga mengiktiraf kuasa terpendam yang ada pada Portugal, Itali, Ireland, Greece dan Sepanyol.

Ia berkata, walaupun kelima-lima negara itu berdepan krisis hutang, ketidakseimbangan makroekonomi, pasaran buruh yang tegar dan peningkatan langkah penjimatan, Itali, Sepanyol dan Ireland masih kekal mantap dalam kalangan lima jenama dunia terunggul.

Hanya Greece dan Portugal menunjukkan trend menurun dalam CBI kerana kedua-duanya berdepan krisis ekonomi dengan Greece cuba mengelak kegagalan pembayaran hutang, manakala Portugal menghadapi penurunan kepada status junk oleh Standard & Poor.

Di sebalik sumber semula jadi yang terhad dan bilangan penduduk hanya lima juta, FutureBrand berkata, Singapura telah berkembang menjadi jenama yang sangat kompetitif melalui pengurusan persepsi yang berjaya.

Suatu ketika dulu, ia terkenal dengan polisi autoritarian, kini negara ini telah menempatkan semula dirinya sebagai pintu masuk ke Asia bagi komuniti perniagaan antarabangsa, kata FutureBrand..BERNAMA

ISU SOSIAL : Melahirkan generasi bebas hutang suatu perjuangan


Oleh : Amidi Abdul Manan
 
Cabaran yang dihadapi oleh lepasan pendidikan tertiari semakin mencabar hari ini. Mereka memerlukan pelbagai kemahiran bagi mendepani kerencaman keperluan pasaran pekerjaan. Tidak cukup dengan segulung ijazah atau diploma mereka perlu terus belajar bagi memastikan diri sentiasa kompeten dengan cabaran semasa.

Isu pembayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang dibangkitkan tidak lama dulu masih segar di ingatan kita. Selain sikap yang liat untuk membayar semula pinjaman, kekangan kewangan yang dirasai semakin mencekik dan menyesakkan dada juga harus diakui. Peningkatan kos hidup terutama di bandar merupakan realiti yang benar-benar berlaku. Rungutan mengenai harga rumah yang semakin tinggi merupakan petanda bahawa lepasan Institut Pendidikan Tinggi (IPT) kita semakin hilang keupayaan membeli. Harga rumah yang mencecah jutaan ringgit hari ini seolah-olah memberi makna mereka hanya layak untuk tinggal di pinggir bandar atau dengan kata lain mereka kini ‘dihalau’ keluar dari bandar dengan cara terhormat.

Jika mereka ingin juga tinggal di bandar maka mereka hanya layak untuk tinggal di rumah yang sempit dengan kemudahan yang amat minimum sekali.

Kini trend berhutang untuk berkahwin sudah menjadi lumrah kehidupan generasi muda hari ini. Trend ini sudah semestinya terkait rapat dengan peningkatan kos majlis perkahwinan ditambah dengan hantaran yang semakin tinggi.

Ancaman integriti

Situasi sebegini jika dibiarkan menular semahunya akan menjadi barah yang mampu membunuh pembentukan generasi yang beridealisme tinggi. Dengan tekanan hidup yang sebegini maka lahirlah generasi muda yang penakut kerana hidup mereka dikuasai oleh hutang.

Kita telah didedahkan dengan peningkatan peratusan kelompok eksekutif muda yang tergolong dalam golongan muflis kerana terjerat dengan kemudahan kad kredit dan pinjaman peribadi. Ini merupakan ancaman kepada integriti golongan muda yang akan mewarisi kepimpinan negara ini.

Inilah juga antara punca berleluasanya gejala rasuah. Apabila kehidupan semakin terhimpit dan terdesak maka pertimbangan kita akan menjadi semakin serabut dan bercelaru.

Situasi ini juga menjadi ancaman kepada keutuhan rumah tangga. Rutin ibu bapa yang semakin sibuk mencari wang untuk menampung kos sara hidup menyebabkan anak-anak semakin terbiar dan berlakulah gejala sosial yang semakin menakutkan.

Masyarakat bebas hutang

Bilakah ‘putaran maut’ ini dapat kita putuskan? Melahirkan masyarakat bebas hutang adalah satu perjuangan memerdekakan kemanusiaan itu sendiri. Rasulullah SAW juga menganjurkan satu doa yang masyhur yang meminta perlindungan daripada Allah SWT daripada bebanan hutang dan ‘wa qahri rijal’ yang bermaksud dari dikuasai oleh lelaki atau orang lain, yang dalam konteks ini adalah orang yang memberi hutang. Inilah maksud pembebasan atau kemerdekaan diri yang mesti dinikmati oleh semua manusia.

Jika dilihat dari sudut sebuah negara, kemerdekaan dan kedaulatan kerajaan boleh diragut dan dirampas kerana hutang yang tidak mampu dilunaskan. Inilah perkara yang amat kita bimbangkan.

Langkah sebuah syarikat pengeluar kereta yang membenarkan pelajar tahun akhir IPT untuk memiliki kereta adalah amat dikesalkan. Ia umpama menambahkan lagi satu jerat atau meningkatkan lagi jerutan di leher bakal graduan. Kita yakin langkah ini semata-mata didorong oleh saingan untuk menguasai pasaran kereta domestik menerusi pembukaan segmen baru pelanggan. Pelajar perlu mencari wang bagi membayar hutang kereta sedangkan mereka masih lagi belum mempunyai pekerjaan.

Kita tidak mahu persaingan perniagaan membunuh dan melemahkan generasi terpelajar kita ke kancah hutang yang memeritkan. Cuba bayangkan jika syarikat kereta lain juga turut sama bersaing mendapatkan pelanggan baru dengan memberi tawaran yang kompetitif bagi menakluki poket mahasiswa yang masih kosong dan akhirnya semakin bertambahlah golongan ‘eksekutif muflis’ di negara kita.

Penulis ialah Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU AGAMA : Nilai korban yang sempurna


Oleh : MOHD ALI MUHAMAD DON

JUTAAN tetamu Allah SWT, termasuk jemaah haji dari tanah air sedang bersiap sedia untuk melaksanakan kemuncak ibadah haji iaitu wuquf di Padang Arafah bermula daripada gelincir matahari hari ke-9 Zulhijah hingga terbit fajar hari ke-10 Zulhijah.

Kegagalan untuk berada di kawasan Arafah bagi jemaah haji yang mukallaf akan memberi impak kepada kesahan ibadah haji yang dilakukan sekali gus gagal meraih peluang beribadat, berdoa dan bermunajat di tempat suci yang sangat mustajab doa itu.


Sementara itu di tanah air, umat Islam turut tidak melepaskan kesempatan istimewa untuk berkorban wang ringgit, masa dan tenaga dengan menyembelih ternakan sebagai menghayati falsafah agung pengorbanan Nabi Ibrahim as. yang menyembelih anaknya Nabi Ismail as. semata-mata mentaati perintah Allah SWT.

Di sana sini kelihatan pelbagai ternakan seperti unta, lembu, kerbau dan kambing yang terikat dan bersedia untuk dikorbankan setelah selesai solat sunat Hari Raya Aidiladha dan berlanjutan hingga hari ke-13 Zulhijah.

Apa pun yang lebih utama bukanlah banyak atau sedikit ternakan yang dikorbankan. Akan tetapi niat yang suci dan benar-benar ikhlas melakukan ibadah kerana Allah SWT yang bakal diterima sebagai ibadah yang sempurna dan beroleh ganjaran takwa.

Allah SWT berfirman maksudnya "Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada Nya adalah amal yang ikhlas yang berdasarkan takwa daripada kamu. Demikianlah Dia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjuk Nya. Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya" (Surah Al-Hajj: 37).

Hal ini juga bertepatan dengan sabda Nabi SAW yang bermaksud "Tiadalah Bani Adam, pada hari Nahr, mengamalkan suatu perbuatan yang lebih disenangi oleh Allah Azza Wa Jalla, dibanding amalan menyembelih korban.

Sesungguhnya binatang korban itu akan datang pada hari kiamat kelak dengan tanduknya, kukunya dan bulu-bulunya. Sesungguhnya darah korban akan jatuh dari Allah di suatu tempat, sebelum darah tersebut jatuh ke bumi. Maka kerana itu, baguskanlah oleh mu sekalian jiwa mu dengan berkorban". (Riwayat Ibnu Majah)

Selain itu, beberapa kriteria ternakan dan sunah dalam penyembelihan binatang turut memberi kesan kepada penerimaan ibadah korban yang sempurna. Binatang yang paling afdal untuk dikorbankan adalah unta di kedudukan teratas, diikuti lembu, kerbau dan kambing. Ini dinilai berasaskan jumlah daging yang paling banyak sehingga manfaatnya dirasai oleh sebilangan besar masyarakat setempat.

Sementara itu, dari segi warnanya pula yang paling afdal adalah ternakan yang berwarna putih, diikuti, kuning, kelabu, merah, belang putih dan terakhir hitam. Disyaratkan juga ternakan yang dipilih adalah yang paling gemuk, sempurna daripada sebarang kecacatan dan cukup umur, iaitu bagi lembu dan kerbau hendaklah berumur genap dua tahun.

Individu Muslim yang berniat hendak berkorban juga disunatkan untuk tidak mencukur sebarang rambut dan bulu di badan, termasuk memotong kuku selama 10 hari pertama bulan Zulhijah. Bagi mereka disediakan ganjaran pengampunan dosa dan pembebasan daripada api neraka Allah SWT bagi setiap cukurannya selepas menjalani ibadah korban tersebut.

Selain itu, daging korban yang sudah dilapah dan ditimbang hendaklah diagih-agihkan kepada penduduk setempat. Daging itu kemudiannya boleh dibahagikan kepada tuan punya bahagian korban, golongan fakir miskin dan orang kaya sebagai hadiah. Dalam hal pengagihan daging juga penduduk setempat hendaklah diutamakan berbanding yang tinggal di kawasan yang jauh. Malah ada pendapat yang mengatakan haram memindahkan daging korban ke tempat yang lain kerana di situ ada hak fakir miskin setempat.

Adapun trend melaksanakan ibadah korban di luar negara yang banyak dilakukan hari ini berkemungkinan disebabkan pandangan yang memikirkan ada Muslimin lain yang lebih memerlukan daging korban berbanding masyarakat Islam di Malaysia yang mewah dan selalu makan daging.

Ini ditambah dengan pelbagai promosi oleh pihak tertentu yang turut menawarkan harga murah pada setiap bahagian binatang yang dikorbankan. Dalam hal ini umat Islam diseru berhati-hati supaya tidak ditipu dalam beribadat. Malah yang afdal ternakan yang dipilih adalah yang paling mahal, paling sempurna dan tiada tawar menawar dalam proses membeli binatang korban.

Sebagai menghayati falsafah ibadah korban ini, para Muslimin secara umumnya diseru untuk berkorban mempertahankan akidah dan keyakinan kepada Allah SWT dengan tidak melakukan perbuatan syirik dan khurafat. Amalan nikah batin untuk hajat tertentu sebagai contohnya adalah menyimpang daripada ajaran yang sebenar. Begitu juga berubat dengan pawang dan bomoh yang menggunakan anasir jin dan makhluk halus dikhuatiri akan merosak akidah dan jauh daripada rahmat Allah SWT.


Dalam usaha untuk melaksanakan segala tuntutan perkara fardu dan sunat dalam ibadah setiap individu Muslim diseru bersedia untuk berkorban masa, usaha dan tenaga bagi melakukan yang terbaik. Ibadat solat lima waktu hendaklah sentiasa dipelihara dan diperkemas segala rukun dan syarat-syaratnya hingga diterima dengan sempurna.

Kesibukan tugasan harian sepatutnya tidak menjadi alasan untuk mengorbankan solat lima waktu yang difardukan. Bagi yang belum berkesempatan untuk menunaikan fardu haji mereka diseru pula berkorban dengan bersungguh-sungguh menabung sikit demi sedikit hingga dapat ke Tanah Suci bagi menyelesaikan tuntutan fardu haji, jika tidak sampai bila pun niat yang suci itu tidak akan kesampaian.

Golongan yang seronok dan leka melakukan pelbagai dosa dan maksiat yang saban hari menjadi paparan akhbar tempatan juga diseru bersedia untuk berkorban dan bertaubat daripada terus bergelumang dalam kancah dosa dan maksiat sepanjang masa.

Ambillah kesempatan sempena hari raya korban ini untuk memulakan gaya hidup baharu tanpa perilaku dosa dan songsang supaya dirahmati dan diberi petunjuk oleh Allah SWT.

Rebutlah peluang masa muda sebelum sampai masa tua dan rebutlah peluang beramal semasa hayat dikandung badan agar tidak menyesal di kemudian hari.

PENULIS ialah Pensyarah Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam, UiTM Kampus Bandar raya Johor Bahru

Sumber : http : //www.utusan.com.my/