Jumaat, 10 Julai 2009

Petikan Kata-kata Najib Sehingga 100 Hari Pentadbirannya


KUALA LUMPUR, 11 Julai (Bernama) -- Berikut antara petikan kata-kata Datuk Seri Najib Tun Razak sejak menjadi Perdana Menteri pada 3 April lepas.

* Rakyat diutamakan akan merentasi seluruh lapisan masyarakat dan kumpulan etnik di setiap pelosok tanah air. Tidak ada sesiapa yang patut merasakan diri mereka tercicir atau terpinggir daripada wacana nasional. (3/4: Teks perutusan penerimaan jawatan Perdana Menteri)

* Saya mengajak seluruh warga untuk sama-sama melaksanakan satu transformasi besar buat negara dengan semangat "1Malaysia. Rakyat Didahulukan. Pencapaian Diutamakan". (3/4: Teks perutusan penerimaan jawatan Perdana Menteri)

* Kalau kita tak bebaskan, mereka akan kata kerajaan bersikap menindas, tapi kalau kita bebaskan, mereka kata kita populis. Saya lakukannya demi kepentingan rakyat. (4/4: Ketika mengulas keputusan membebaskan 13 tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA)

* Lawatan saya adalah untuk berjumpa dengan rakyat biasa bagi mengetahui masalah rakyat biasa. (4/4: Ketika membuat lawatan mengejut di sekitar ibu negara)


*Saya cuma berharap rakyat akan bersikap terbuka dan positif menilai kepimpinan saya dan beri saya peluang tunjukkan kepimpinan saya... mudah-mudahan rakyat boleh menerima kepimpinan saya. (5/4: Program wawancara khas Perdana Menteri ke-6 yang disiarkan oleh TV3)


* BN akan pastikan bahawa janji-janji kita akan kita tunaikan dan kita sempurnakan. Apa yang kita tidak hendak ialah projek yang bersifat 'mi segera'. Kalau sesuatu projek itu benar-benar memberi manfaat kepada rakyat dan kita dah buat janji atau komitmen pada pilihan raya, kita akan tetap laksanakan. (5/4: Ketika mengulas komitmen kerajaan ekoran pilihan raya kecil Bukit Selambau, Bukit Gantang dan Batang Ai)

* Saya tak fikir ada tempoh 100 hari sebab kegetiran yang ada sekarang ini. Saya terpaksa melepasi dua ujian yang begitu cepat, satu, pembentukan Kabinet baru dan ucapan sulung sebagai PM. Kalau kedua-dua ini diterima baik oleh rakyat saya percaya rakyat akan lebih terbuka menerima kepimpinan saya, InsyaAllah. (5/4: Ketika mengulas mengenai 100 hari menduduki kerusi Perdana Menteri dalam wawancara khas TV3)


*Umno jangan jadi parti elitis yang hanya untuk golongan tertentu, hanya untuk penyokong tertentu yang boleh masuk Umno dan jangan guna Umno untuk penyokong sendiri sahaja tanpa sokongan orang lain.

* Umno jangan jadi antiintelek. Umno mesti mendahului jambatan perubahan dan pembaharuan. Ini adalah rahsia kalau Umno mahu jadi parti massa seperti masa penubuhan Umno dulu. (27/4: Ketika merasmikan sambutan 15 tahun Umno Bahagian Cheras)


*Saya tak mahu kehadiran saya dinilai daripada segi kompang, permaidani merah, malahan `back drop' majlis ini hari ini bukan nama saya. Saya singgah di sini rai Hari Kaamatan kerana saya ingin tegaskan di sini saya adalah Perdana Menteri untuk semua rakyat Malaysia. (2/5: Semasa merasmikan sambutan Hari Kaamatan ke-14 peringkat Lembah Klang)


* Kepentingan rakyat adalah aspek yang perlu diutamakan justeru KPI merupakan medium peringatan yang paling relevan... penanda aras utamanya ialah rakyat. Secara keseluruhannya kita mesti memuaskan (hati) rakyat. (4/5: Ketika berucap pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri)

* Saya tak gilakan kuasa hanya kerana hendak dapatkan kuasa tetapi saya perlukan kuasa untuk berkhidmat kepada rakyat dan memastikan kejayaan pembangunan negara. (20/5: Ucapan pada majlis keraian dan Jasamu Dikenang di Kementerian Kewangan)

* Hubungan dua hala antara Malaysia dan Singapura boleh berkembang dengan baik jika ia dapat dipupuk dan dipelihara seperti menanam pokok orkid. (23/5: Majlis bankuet rasmi sempena lawatan rasmi ke Singapura).

* Masyarakat Cina Malaysia umpama sehelai benang yang amat penting dalam fabrik nasional kita dan inilah yang menjadikan hubungan erat antara kedua-dua negara ini begitu penting dan tidak dapat dikesampingkan. (3/6: Prakata Najib bagi buku beliau bertajuk "Moving Ahead: Malaysia-China Relations).

* 1Malaysia bukanlah konsep atau formula baru dan matlamat akhirnya iaitu perpaduan nasional juga merupakan wawasan utama pemimpin-pemimpin negara yang terdahulu, yang diterjemah dalam pelbagai rupa bentuk dan jelmaan sepanjang lebih lima dekad negara merdeka.

*Dalam erti kata lain, 1Malaysia adalah satu gagasan bagi memupuk perpaduan di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, berteraskan beberapa nilai penting yang seharusnya menjadi amalan setiap rakyat Malaysia. (15/6: Ketika menjawab soalan mengenai 1Malaysia di Dewan Rakyat)

* Umno sentiasa bersikap terbuka dan bersedia untuk mendengar dan menimbang apa-apa cadangan yang dikemukakan oleh PAS. (16/6: Komen cadangan kerajaan perpaduan selepas merasmikan Persidangan Menteri-menteri Pelajaran Negara Komanwel ke-17)

* Soal masa depan umat Islam dan negara tidak boleh diselesaikan melalui forum perdebatan... jalan terbaik ialah melalui musyawarah dan perbincangan secara ikhlas dan bukan melalui perdebatan.(29/6: Komen terhadap cadangan debat oleh Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat)

* Kerajaan berhasrat menjadikan tanah rancangan Felda di seluruh negara sebagai gedung makanan negara yang mampu mengeluarkan tanaman berskala besar. (7/7: Berucap pada majlis Hari Peneroka Felda 2009, di Felda Maokil)


Sumber : http://www.bernama.com/

Tempat Jatuh Lagi Dikenang, Inikan Pula...


Natrah sentiasa rindu keluarga angkat di M’sia

KEMAMAN 10 Julai — Bertha Hertogh atau Natrah nama Islamnya, sentiasa merindui keluarga angkatnya di Malaysia ketika beliau sakit teruk akibat leukemia sebelum meninggal dunia dua hari lepas.

Saudara angkat Natrah, Rokayah Mohd. Dahan, 63, berkata, Natrah sering meluahkan perasaannya itu sama ada melalui telefon atau e-mel kepada adiknya di sini dan anaknya yang tinggal di Kuantan.

Malah, beliau yang merupakan cucu kepada ibu angkat Natrah, Che Aminah Mohamed berkata, Natrah juga mempelawa mereka menjenguknya di Belanda di saat beliau sakit teruk akibat penyakit berkenaan.

Rokayah berkata, beliau menerima berita kematian Natrah menerusi telefon pada pukul 8 malam semalam daripada anaknya, Mohd. Akram Abdul Aziz yang bekerja di Kuantan.

“Selepas menerima berita tersebut, saya terkejut dan sangat sedih kerana banyak kenangan bersama Natrah semasa dia berada di sini,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Mak Chili Paya dekat sini hari ini.

Beliau berkata, antara kenangan yang tidak dapat lupakan ialah Natrah masih petah bercakap bahasa Melayu loghat Indonesia sewaktu datang ke Kemaman pada 1997 walaupun telah 46 tahun meninggalkan Malaysia.

``Pada 1997, Allahyarham balik ke Kemaman bersama suaminya warga Indonesia sambil diiringi dua wartawan Belanda. Ketika itu, Natrah tinggal di Kemaman tiga malam dan tidur di rumah saya satu malam.

“Masa itulah kami sempat berkongsi kenangan dengannya dan beliau juga masih gemar makan ketupat palas,” katanya.

Rokayah berkata, selepas Natrah meninggalkan Malaysia dan pulang ke Belanda, dia berkahwin dengan lelaki Belanda dan mempunyai 10 anak.

“Beberapa tahun selepas itu, Natrah berkahwin pula dengan rakyat Indonesia dan pernah pulang ke Kemaman pada 1997,” katanya.

Natrah meninggal dunia akibat leukemia pada usia 72 tahun di kediamannya di Huijbergen, Belanda, dua hari lepas.

Bertha menjadi isu di Singapura pada 1950 akibat perebutan terhadapnya antara ibu angkatnya, Che Aminah dengan keluarga asal beliau yang berketurunan Belanda.

Bertha ketika itu berumur 13 tahun dan telah memeluk Islam serta bernikah gantung dengan seorang guru berusia 22 tahun bernama Mansor Adabi.

Namun begitu, undang-undang British/Belanda tidak membenarkan wanita di bawah umur 18 tahun daripada berkahwin dan dia diperintahkan supaya dipulangkan kepada ibu bapa kandungnya di Belanda.

Sumber : http://www.bernama.com/


NOTA HUJUNG:
Sejarah Natrah boleh dibaca di mana-mana. Ada buku yang ditulis mengenainya. Ada artikel yang komprehensif di Wikipedia. Begitu juga dokumentari di Youtube dan di mana-mana. Bacalah, hayatilah, insafilah akan lipatan sejarah tragis negara kita di suatu masa itu.

Tetapi ada satu pengajaran besar yang jangan kita terlepas pandang mengenai tragedi Natrah.

riot

Rusuhan 1950 di Singapura

1950 menyaksikan 18 orang terbunuh dan 173 orang cedera. Singapura dikenakan perintah berkurung selama dua hari. Temasek terbakar, sebagaimana rentungnya jiwa umat Islam Nusantara yang bangkit menentang usaha melari dan memurtadkan Natrah.

Itulah harga Islam di mata umat Islam tahun 1950.

Tanpa internet, tanpa SMS, semangat itu merebak dengan cepat dan menular merentas kota dan desa, harga iman Natrah bukan sebarangan.

Biar pun umat Islam masih dijajah British, jiwa mereka merdeka untuk bangkit bersuara.

Pada tahun 2009, tatkala Natrah kembali kepada Allah yang difasakhkan aqidah beliau dari-Nya itu, berita murtad bukan lagi berita yang menggemparkan. Usahkan mahu memandang dengan sebelah mata, kewajaran murtad pula mahu dipertahankan atas nama kebebasan beragama yang entah di mana asal usulnya.

Ketika umat Islam terbebas daripada penjajah British dan menjadi pemerintah di bumi sendiri, jiwa mereka yang pernah merdeka itu hakikatnya kembali terjajah terpenjara hingga tiada lagi suara yang membela.

Tiada lagi Profesor Dr Burhanuddin Al Helmy yang membakar semangat itu.

Tiada lagi Karim Ghani yang mengepalai kebangkitan di akar rumpun.

Tiada lagi Profesor Ahmad Ibrahim yang menjadi hakim membicarakan keadilan dan kebenaran.

Tiada lagi M.A. Majid yang membiayai perbicaraan mahkamah itu.

Sesungguhnya,

“Kita dipukul gelombang riddah, dan tiada lagi Abu Bakr untuk mendepaninya…” – Abu al-Hasan Ali al-Nadawi.

(sedutan daripada blog ustaz Hasrizal Jamil)

Peristiwa dan amalan di bulan Rejab

Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD
pengarang@utusan.com.my

BULAN Rejab, bulan ketujuh mengikut susunan kalendar Islam telah mencatatkan satu sejarah yang amat penting apabila Allah Taala telah memerintahkan umat Islam mengerjakan solat lima kali sehari semalam.

Berbanding dengan ibadat lain seperti zakat, puasa dan menunaikan haji - perintah bersolat telah diterima secara langsung oleh Rasulullah SAW dan ia berlaku ketika baginda menjadi tetamu Allah dalam peristiwa Israk dan Mikraj pada 27 Rejab (tahun ke 11 baginda dilantik sebagai Rasul).

Rasulullah menerima perintah itu ketika berada di Sidratul Muntaha iaitu perhentian terakhir baginda ketika naik ke langit bertemu dengan Allah.

Perintah yang diterima sejak 1,430 tahun lalu itu kemudian terus diamalkan sehingga hari ini. Solat dilakukan sama ada secara berjemaah mahu pun bersendirian - tetapi masih terdapat umat Islam langsung tidak mahu menunaikan ibadat tersebut.

Bagi umat Islam pula Rejab merupakan bulan suci kerana di dalamnya berlaku peristiwa Israk Mikraj iaitu peristiwa perjalanan malam Rasulullah dari Masjid al-Haram di Mekah ke Masjid al-Aqsa (Israk) dan kemudian baginda naik ke langit dari Masjid al-Aqsa ke Sidratul Muntaha (Mikraj).

Selain peristiwa Israk Mikraj, bulan Rejab turut mencatatkan beberapa peristiwa hijrah pertama para sahabat ke Habsyah (Ethiopia). Antara sahabat yang terlibat dengan hijrah itu ialah Saidina Uthman ibn Affan r.a dan isterinya Ruqayyah iaitu anak Rasulullah. Penghijrahan itu bertujuan menyelamatkan akidah di samping keselamatan diri ekoran tekanan dan ancaman hebat oleh puak musyrikin Mekah ketika itu.

Peperangan Tabuk juga berlaku pada bulan Rejab iaitu pada tahun kesembilan hijrah. Peperangan ini menguji umat Islam kerana ia berlaku pada musim panas. Dengan pertolongan Allah SWT, tentera Rom telah melarikan diri kerana takut dan gerun dengan kekuatan dan kecekalan tentera Islam yang sanggup menghadapi pelbagai kesukaran.

Bulan Rejab juga mencatat sejarah kelahiran Imam As-Syafie atau nama penuhnya Muhammad Idris. Tokoh ini lahir pada 150H pada bulan tersebut. Beliau adalah salah seorang daripada empat imam mazhab yang besar dalam dunia fiqh. Malaysia mengamalkan mazhab As-Syafie.

Dalam bulan Rejab juga iaitu pada 27 Rejab 583H, panglima Islam terkenal Solahuddin Al-Ayubi berjaya membebaskan kota suci Baitulmuqaddis daripada tentera salib selepas dijajah kira-kira 60 tahun.

Dalam memperkatakan bulan Rejab, kita juga tidak akan terlepas daripada membicarakan fadhilatnya hingga ada yang beranggapan ibadat pada bulan ini diberikan ganjaran yang berlipat kali ganda berbanding bulan-bulan lain.

Bagaimanapun, terdapat ulama menyatakan bahawa tanggapan seperti itu tidak benar kerana hakikat pahala dan ganjaran yang disediakan kepada orang yang beramal soleh hanya Allah sahaja maha mengetahui. Sungguhpun begitu, Allah telah berjanji bahawa mereka yang berusaha meningkatkan keimanan kepada-Nya akan mendapat ganjaran sewajarnya.

Seperti mana bulan-bulan yang lain, umat Islam digalakkan memperbanyakkan amalan sunat dan berpuasa sunat adalah antara ibadat terbaik untuk dilakukan.

Selain itu, umat Islam juga digalakkan memperbanyakkan amalan sedekah terutamanya kepada golongan fakir miskin.

Kita juga digalakkan memperbanyakkan zikirullah dengan cara membaca al-Quran, berwirid, bertahmid dan bertasbih.

Justeru, kedatangan bulan Rejab ini harus dimanfaatkan sepenuhnya. Dengan cara itu diharap dapat menjadikan kita sebagai insan yang bertakwa di sisi Allah.

Sumber : http://www.utusan.com.my/

Melayu lebih maju, mantap iman jika laksana jihad bisnes



Muhammad Ali Hashim

Sifat 'tak apa' punca hilang minat, abai kepentingan pertahan hak

SAYA sering menyatakan dalam ceramah saya bahawa Islam amat mementingkan dan mengutamakan dua prinsip besar, iaitu pertama, keadilan dan kedua, amanah. Jihad bisnes juga tidak pernah terkecuali. Al-Quran juga sering mengingatkan kita agar berlaku adil sesama kita.

Amanah ditekankan dalam al-Quran sebagai sesuatu yang perlu dijaga dan hadis pula menyatakan: "Tidak beriman orang yang tidak amanah!" Bagi Muslim, ada ayat al-Quran yang menyatakan dengan jelas bahawa apabila menyerahkan sesuatu amanah itu hendaklah diserahkan kepada yang benar-benar ahli - iaitu orang yang benar-benar mampu memikul dan melaksanakan tanggungjawab itu.

Rasulullah SAW sendiri juga menyatakan dengan jelas bahawa sesuatu amanah terutama kepemimpinan hendaklah dipertanggungjawabkan kepada yang dipilih di kalangan mereka yang benar-benar ahli dan layak, jika tidak pasti ia akan menemui kegagalan. Dalam erti kata lain, kehancuran pasti akan menimpa sesuatu organisasi yang tidak dipimpin oleh pemimpin yang ahli!

Saya sering kali mengingatkan bahawa jihad bisnes perlu sentiasa selari dengan ajaran Islam. Islam diturunkan bukan untuk kebaikan umat Islam semata-mata kerana jelas dinyatakan dalam al-Quran bahawa Islam diturunkan sebagai rahmat kepada seluruh alam.

Saya juga merujuk kepada Islam yang lebih tinggi darjatnya dalam menentang diskriminasi dan ketidakadilan, tidak seperti kaum Yahudi yang mengharamkan riba sesama kaum mereka tetapi menghalalkannya dengan kaum yang lain (bukan Yahudi). Ia sama sekali bertentangan dengan ajaran Islam yang mengharamkan riba tanpa perbezaan di kalangan Muslim dan bukan Muslim.

Mengapa "jihad"? Justeru, persoalan membawa kita kepada perkara asas iaitu mengapa kaum Melayu dan Muslim perlu melakukan pembaharuan kepada sistem ekonomi kita dengan cara berjihad. Sedangkan Barat sudah melakukan pembaharuan, pembangunan dan pemodenan tanpa perlu lagi menjalankan 'crusade' dan penjajahan!

Pertama, mengapa ia perlu difokuskan kepada Melayu? Di antara jawapan terbaik adalah kerajaan sudah melakukan banyak perkara untuk memperbaiki taraf hidup Bumiputera dan kaum Melayu termasuk melalui Dasar Ekonomi Baru (DEB). Walaupun tahap Melayu dan Bumiputera itu berjaya ditingkatkan, mereka masih dilihat jauh ketinggalan di belakang, miskin serta mundur jika dibandingkan dengan pencapaian kaum lain di negara ini.

Pada hari ini, perbincangan berkaitan pembangunan ekonomi juga membabitkan nilai dan budaya kerana ia juga menjadi salah satu faktor akan menentukan kejayaan satu-satu bangsa. Saya juga bersetuju dengan pendapat menyatakan nilai dan budaya adalah faktor kritikal yang akan menentukan sifat, sudut pandangan, pilihan keutamaan dan sebagainya. Semua ini menjadi kunci kepada dimensi untuk pembaharuan.

Pada pendapat saya, kelemahan kaum Melayu adalah berpunca daripada sikap mereka sendiri, sifat 'tidak apa' yang akhirnya menyebabkan mereka hilang minat dan mengabaikan kepentingan untuk berjuang mempertahankan hak dan mengejar kekayaan.

Omar Raji Al Faruqi (dalam penulisannya bertajuk 'Al Tawhid, kesannya kepada pemikiran dan kehidupan') menyatakan bahawa "Tiada agama, dan tiada ideologi yang begitu menggalakkan seseorang untuk berkerja dengan gigih seperti dinyatakan Islam."

Menurutnya "Islam mengharapkan setiap penganutnya untuk melakukan lebih daripada apa yang ia termampu dan menjadi orang yang berguna atau bermanfaat, iaitu yang memberi khidmat lebih daripada khidmat yang dia terima. Hayat seorang Muslim perlu berakhir dengan sumbangan yang lebih daripadanya sebagai manfaat kepada seluruh makhluk dan kehidupan."

Selanjutnya, Rasulullah SAW dalam sebuah hadis, menyatakan bahawa 9/10 daripada sumber rezeki adalah datang daripada bisnes atau perniagaan dan Muslim digalakkan bekerja kuat untuk mencapai kejayaan untuk dunia mereka seolah-olah mereka akan hidup buat selama-lamanya, dan beribadat untuk akhirat mereka seolah-olah mereka akan mati keesokan harinya!

Rasulullah SAW sendiri seorang peniaga sebelum Baginda diangkat menjadi Rasulullah. Sehubungan itu, kegagalan Muslim dalam ekonomi hari ini dilihat sebagai berpunca daripada kegagalan mereka mengamalkan ajaran Islam dan Rasulnya itu sendiri.

Ada satu lagi alasan kukuh kepada persoalan "Mengapa Melayu?" Adalah jelas pada hari ini perkembangan 'kek' kekayaan ekonomi negara tidaklah sepantas seperti yang diharapkan dan kaum Melayu, sebagai majoriti di negara ini, memperoleh pendapatan dan mempunyai kuasa yang masih terlalu rendah.

Lebih teruk, sebilangan mereka amat bergantung kepada orang lain, sekali gus hanya akan turut melemahkan yang lainnya pula.

Tambahan lagi, terdapat keperluan begitu kritikal dalam konteks situasi pascakrisis untuk Malaysia menstruktur semula ekonominya agar lebih mempunyai kuasa secara domestik dan tidak lagi bergantung kepada eksport dan FDI (Pelaburan Langsung Asing).

Oleh itu, kegagalan untuk menjiwai semangat keusahawanan, untuk membawa kaum Melayu kepada dunia bisnes, serta kegagalan untuk menjana pendapatan dan mengekalkan kuasa akan menjadikan mereka terus bergantung kepada pekerjaan yang rendah pendapatan, peningkatan eksport dan FDI.

Jelas, satu agenda pembaharuan ekonomi yang mensasarkan kaum Melayu dan bisnes yang bersendikan Islam tidak lagi dapat dielakkan dan wajib untuk dilaksanakan jika mahu menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara lebih maju dan kaya. Pada masa sama, dasar ala Jihad yang selari dengan corak budaya India untuk kaum India dan lainnya, perlu juga diperkenalkan. Inilah prasyarat strategik kepada kejayaan pada masa akan datang dalam iklim ekonomi yang dipacu oleh bisnes.

Tetapi mengapa 'jihad'? Secara ringkasnya, perubahan dimensi budaya dan institusi memerlukan kaum Melayu dan Muslim untuk pergi lebih jauh dan kembali kepada akar umbi pegangan dan kepercayaannya.

Untuk satu tempoh lama, ada kalangan ulama dan pendakwah yang sudah meremehkan dan memandang sepi usaha mencari kekayaan dan kemajuan ekonomi untuk hidup lebih maju. Memburu kekayaan dianggap sangat negatif dan hanya akan melemahkan keimanan umat Islam yang terbabit dalam bisnes.

Dengan demikian, kebanyakan Muslim hanya memfokuskan diri mereka kepada akhirat semata-mata serta menafikan kepentingan untuk mengejar kekayaan di dunia. Ia sama sekali bertentangan dengan ajaran Islam itu sendiri. Namun, penyelesaiannya pula bukanlah dengan cara membabi buta mengejar kekayaan seperti dianjurkan kapitalisme, konsumerisme dan dunia yang dipengaruhi bisnes, kewangan dan entiti korporat yang tamak dan rakus. Oleh itu, jihad bisnes sudah menganjurkan keseimbangan lebih adil dan saksama!

Jelas, tiada kejayaan akan dicapai oleh kaum Melayu dan Muslim sekiranya tidak melalui perubahan, rancangan strategik atau polisi yang akan meningkatkan iman dan takwa mereka kepada Allah SWT. Begitu juga, sebarang usaha untuk memperkayakan Muslim tidak akan mampu dilaksanakan sekiranya mereka tidak berpegang kepada asas ajaran agama dan iman yang mampu memberikan mereka kuasa motivasi untuk lebih berjaya.

Saya percaya bahawa jihad, yang juga satu sumber motivasi yang dianugerahkan oleh Allah SWT dan jihad bisnes boleh dijadikan pemangkin kepada kuasa lebih tersusun dan kukuh yang bukan hanya akan memperkayakan Malaysia dan menjadikan Melayu Muslim sebagai penyumbang yang aktif kepada kekayaan berkenaan, tetapi menjadikan mereka Muslim lebih bertakwa! Alhamdulillah di atas pencapaian luar biasa Johor Corporation (JCorp) dalam bidang korporat dan bisnes.

Semua pencapaian ini serta sumbangan kepada penjanaan kekayaan, penambahan nilai dan pewujudan peluang pekerjaan oleh JCorp adalah satu contoh jelas kejayaan jihad bisnes yang boleh dicapai oleh semua.

Saya akhiri artikel ini dengan memetik salah satu artikel yang disiarkan blog saya (www.businessjihad.com) yang bertajuk "Global Crisis, Business Jihad and JCorp's Turnaround" di bawah topik 'Jihad Bisnes untuk memperkaya dunia':

"Jihad bisnes, yang dijayakan melalui institusi seperti dianjurkan Islam, bukanlah sesuatu yang eksklusif. Ia dijayakan melalui keusahawanan, yang akhirnya akan membawa kepada kekayaan untuk semua. Tambahan pula, sifat bisnes yang menjana keuntungan dan nilai ekonomi menjadikan jihad bisnes sebagai sesuatu yang jelas membawa manfaat kepada semua," katanya.

Penulis adalah Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation

Sumber : http://www.bharian.com.my/


FOTOGRAFI & ISLAM

Oleh Idris Musa
idris@hmetro.com.my

MELALUI gambar kita cepat mengenali seseorang, lebih-lebih lagi dari sudut wajah yang bukan saja memantulkan ketampanan dan keayuan, malah melukiskan watak serta sikap individu terbabit.

Bagi sesetengah pihak seperti selebriti dan ahli politik, gambar memainkan peranan penting khususnya dalam me raih populariti, tetapi pada masa sama, gambar juga men jatuhkan maruah seseorang dalam sekelip mata. Secara umum gambar adalah satu medium komunikasi yang sangat berpengaruh dan kerana itu hari ini kita dibanjiri dengan pelbagai jenis dan bentuknya, termasuk yang bersifat fitnah, kurang sopan dan berunsur lucah.

Bagaimanapun, Islam mengharamkan gambar kurang sopan dan berunsur lucah, tidak kira ia datang dalam bentuk apa sekali pun, sama ada hasil daya kreativiti melalui kemahiran tangan, media cetak mahupun elektronik.

Tetapi apakah pengharaman mengenainya terhenti setakat itu saja?

Bagaimana dengan yang lain, misalnya gambar dihasilkan melalui teknik fotografi, lukisan potret, anak patung mainan dan ukiran berupa makhluk?

Al-Bukhari dan Muslim ada meriwayatkan hadis daripada Aisyah r.a yang berkata: “Rasulullah s.a.w kembali dari pelayaran dan saya menutup sehelai kain di dinding yang padanya ada gambar lukisan.

“Apabila Rasulullah s.a.w melihat gambar itu, serta-merta bertukar warna wajahnya, lalu berkata: ‘Wahai Aisyah! Se berat-berat seksa yang diterima oleh seseorang daripada Allah pada hari kiamat ialah orang yang cuba meniru rupa makhluk Allah.’

“Selepas mendengar ancaman Rasulullah itu saya pun mengambil kain lukisan itu dan saya potong-potongkan untuk dijadikan kain alas bantal.”

Menurut Abdullah Nasih Ulwan dalam buku Pendidikan Anak-Anak Dalam Islam, hadis terbabit menunjukkan pengharaman gambar dan patung, sama ada ia berbentuk, berbayang, dibuat untuk diagungkan atau tidak kerana semua itu penyerupaan dengan penciptaan Allah.

Cuma, katanya, yang dikecualikan daripada gambar tadi iaitu melukis gambar seperti pohon dan rumah iaitu yang tiada roh padanya.

Ini sebagaimana diriwayatkan al-Bukhari daripada Said bin Abul Hasan, katanya: “Pernah pada suatu hari aku berada di majlis Ibnu Abbas r.a, tiba-tiba datang kepadanya seorang lelaki lalu berkata: ‘Hai Ibnu Abbas! Sesungguhnya aku ini, mata pencarianku daripada kerja seni tanganku dan aku membuat gambar-gambar dan patung-patung itu, apa katamu?’

Lalu Ibnu Abbas menjawab kepada orang yang bertanya itu: “Aku tidak akan memberitahumu melainkan apa yang aku sendiri mendengar daripada Rasulullah s.a.w sebagai jawapanku.

“Aku mendengar baginda berkata: ‘Sesiapa yang menggambar suatu gambar (patung yang berjisim), sesungguhnya Allah akan menyeksanya sehingga dia dapat meniupkan roh padanya sama sekali.’”

Mendengar jawapan Ibnu Abbas, orang itu kelihatan sangat gelisah kerana tidak senang mendengar jawapan terbabit dan berasa tersinggung.

Ibnu Abbas berkata lagi kepadanya: “Celaka engkau! Kiranya engkau mesti menggambarkan atau melukis juga, buatlah gambar-gambar pepohon, gambar pemandangan dan apa saja gambar yang tidak mempunyai roh.” (Hadis riwayat Bukhari)

Menurut Abdullah, dibenarkan juga daripada jenis patung permainan untuk kanak-kanak kerana tiada padanya tujuan untuk mengagungkan atau menimbulkan bangga diri dan sombong.

Ini sebagaimana diriwayatkan al-Bukhari dan Muslim da ripada Aisyah, Ummul Mukminin r.a yang berkata: “Dahulu pernah aku bermain anak-anak seperti juga anak-anak perempuan yang lain di sisi Rasulullah s.a.w.

“Kemudian datang kepadaku teman-temanku dan mereka sentiasa bersembunyi daripada Rasulullah s.a.w kerana takut kepadanya, padahal Rasulullah berasa gembira melihat me reka datang untuk bermain-main denganku.”

Di dalam riwayat Abu Daud pula, Nabi s.a.w berkata kepada Aisyah suatu hari: “Apa ni?” Jawab Aisyah: “Ini anak-anak perempuanku.” Kata baginda lagi: “Apa yang di tengah-tengah ini?” Jawabnya: “Kuda.”

Tanya baginda: “Apa ini yang di atasnya?” Jawabnya: “Dua kepak.” Kata baginda: “Kuda ada dua kepak?” Jawabnya: “Apakah kau tidak pernah dengar yang (Nabi) Sulaiman bin Daud ada kuda yang berkepak?”

Nabi s.a.w pun ketawa geli hati, sehingga kelihatan gigi-gigi gerahamnya.”

Asy-Syaukani berkata: “Ternyata dari hadis ini ada dalil yang membolehkan kita memberikan anak-anak kecil patung permainan yang berupa, umpamanya bentuk pengantin suami isteri.”

Tetapi Imam Malik meriwayatkan pula, makruh bagi orang lelaki membelikan anak patung untuk anak perempuannya.

Al-Qadhi Iyadh berkata: “Bermain anak patung yang berbentuk anak perempuan untuk anak perempuan adalah harus.”

Abdullah berkata, antara hal yang menarik perhatian kita, apabila gambar ini bertujuan bukan untuk dibesar-besarkan dan tidak sempurna bentuknya, ia halal dan boleh dimanfaatkan.

Mengenai gambar dengan alat fotografi, iaitu kamera, beliau mengatakan secara menyeluruh termasuk dalam nas yang mengharamkan, melainkan gambar yang wajib dan memang ketara kebaikannya.

Ini seperti gambar untuk kad pengenalan, pasport, gambar orang jahat dan orang yang dituduh disebabkan semua ini termasuk dalam kaedah umum yang mengatakan darurat itu mengharuskan yang dilarang.

Bagi Pensyarah Kanan di Institut Islam Toronto, Ontario, Kanada, Sheikh Ahmad Kutty, fotografi sebagai medium komunikasi tidak jatuh dalam kategori gambar yang di larang.

Menurutnya, Nabi s.a.w memang mengutuk orang yang membuat gambar dan ukiran yang melambangkan patung kerana ia membawa kepada syirik, selaras dengan kaedah usul fiqah (prinsip perundangan Islam) sesuatu yang membawa kepada haram ia adalah haram.

Tetapi, katanya, fungsi fotografi hari ini tidak jatuh kepada kategori terbabit, malah sesetengah ulama yang dahulunya mengecam keras fotografi kemudian menukar posisi terhadap hukum berkenaan.

“Malah, mereka juga membenarkan gambar mereka diambil untuk disiarkan dalam akhbar, syarahan melalui rakaman video dan pembentangan.

“Sebelum ini mereka hanya membenarkan dalam kes pengecualian seperti urusan pasport, lesen memandu dan sebagainya.

“Perubahan pandangan mereka terhadap fotografi adalah berasaskan penilaian mereka ke atas peranan fotografi,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, seseorang tidak boleh membuat kenyataan yang semua fotografi adalah halal (dibenarkan).

“Ia bergantung kepada penggunaan dan fungsinya. Jika ia untuk tujuan pendidikan serta tidak dicemari dengan tujuan sanjungan dan penyembahan, ia tidak dilarang,” katanya.

Sementara itu, menurut Dr Yusuf al-Qardhawi, melalui bukunya Halal dan Haram Dalam Islam, menghasilkan gambar dengan alat fotografi (kamera), yang paling dekat dengan jiwa syariat Islam dalam permasalahan ini ialah dibolehkan dan jika tidak pun hukumnya jatuh makruh.

“Itupun kalau gambar yang diambil tidak termasuk gambar yang diharamkan oleh Islam seperti gambar yang menampakkan tempat sulit kaum wanita atau lelaki yang boleh menimbulkan fitnah atau menggambarkan lelaki sedang bercium-ciuman dengan wanita atau seumpamanya,” katanya.

Sumber : http://www.hmetro.com.my/