Jumaat, 1 Januari 2010

KEGEMILANGAN TULISAN JAWI PERLU DIKEMBALIKAN

Oleh Mohamad Sofee Razak

TULISAN Jawi adalah lambang jati diri, citra dan keunggulan umat Melayu. Peranan dan jasa agung dimainkan tulisan Jawi sebenarnya bermula sejak ia menjadi penyebar maklumat dan pendapat paling utama sejak puluhan tahun lalu. Cuma kebelakangan ini tulisan Jawi diketepikan peranan dan kehebatannya
.

Kehadiran kitab Jawi muktabar seperti Sayr as-Salikin, Sabil al-Muhtadin, Tajul Muluk, Matla’ al-Badrain wa Majma’ al-Bahrain dan kemunculan ulama legenda seperti Hamzah Fansuri, Nuruddin al-Raniri dan Abdul Samad al-Palembangi serta ramai lagi berjaya mendaulatkan tulisan Jawi.

Masyarakat hari ini boleh mengambil iktibar daripada kejayaan ahli fikir Islam terdahulu yang menguasai pelbagai bidang ilmu serta bahasa. Usaha menghidupkan bahasa Melayu berteraskan Jawi perlu dilaksanakan kerana kaitannya dengan bahasa al-Quran (Arab).

Bahasa Melayu berteraskan tulisan Jawi kesan daripada penyebaran Islam yang berlaku di Nusantara suatu ketika dulu akan lenyap dan hilang jika tiada usaha dilakukan dalam memartabatkan semula penggunaannya.

Menurut Azizi Abdullah (2006), daripada perspektif sejarah, tulisan Jawi berasal daripada tulisan Arab dan orang Melayu meminjamnya untuk mengganti tulisan Hindu yang sekian lama digunakan pada awal kemasukan Islam.

Bukti kemasukan itu ialah pada batu nesan makam Sheikh Abdul Qadir ibnu Husin Syah Alam, di Langgar, Alor Setar, Kedah pada 290 Hijrah bersamaan 910 Masihi. Tiga ratus tahun kemudian, timbul pula tanda awal bahasa Melayu yang menggunakan tulisan Jawi pada batu bersurat di Terengganu dan diikuti penemuan lain selepas itu. Kemudian ia tersebar luas, digunakan di daerah bahasa Melayu dan daerah bukan bahasa Melayu, termasuk ke Pulau Jawa.

Pejuang tulisan Jawi yang bertanggungjawab memberi nafas baru terhadap tulisan itu ialah ikon umat Melayu iaitu Pendita Za’ba yang mengumpulkan perkataan Melayu sejak 1918 bagi tujuan menyusun sebuah kamus besar.

Hasilnya pada 1931, Za’ba menulis buku Rahsia Tulisan Jawi untuk warisan umat Melayu dan ternyata beliau berjaya meniup semangat tulisan Jawi dari semasa ke semasa. Akhirnya sebuah buku Daftar Ejaan Jawi-Rumi dapat disusun hasil perbincangan dengan beberapa rakan-rakannya.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata tulisan atau skrip Jawi sudah sekian lama berperanan sebagai skrip pentadbiran, keagamaan dan budaya sejak berzaman, khususnya zaman Kerajaan Melaka pada awal abad ke-15.

Peranan tulisan Jawi berkembang maju melalui sejarah tanah air dan Kepulauan Melayu (Nusantara) dan berperanan penting dalam semua urusan pentadbiran, adat istiadat serta perdagangan. Perjanjian penting antara Raja Melayu dengan pihak berkuasa Portugis, Belanda dan Inggeris kesemuanya tertulis dalam skrip Jawi.

Perjanjian antara Sir Stamford Raffles dengan pihak di-Raja Johor, Perjanjian Pangkor 1874, Pengisytiharan Merdeka 1957 antara lain juga tertulis dalam skrip Jawi. Tulisan Jawi pernah melalui zaman gemilang dalam pelbagai kemajuan bersifat sastera, pentadbiran dan perjuangan silam.

Kegemilangan tulisan Jawi perlu dikembalikan semula memandangkan tulisan Jawi antara tulisan dunia yang masih bertahan dan kekal hingga ke hari ini. Tulisan jawi harus mampu bergerak seiringan tulisan perdana lain dan boleh bergerak sendirian segagah dulu.

Kita perlu kewibawaan tulisan jawi asal, yang begitu berjasa kepada perkembangan agama, bangsa dan negara. Kita ingin melihat tulisan jawi kembali menjadi tulisan utama, nadi dan jantung maklumat di negara kita.

Program J-Qaf (Jawi, Quran, Arab dan Fardu Ain) di sekolah rendah di seluruh negara sejak 2005 adalah berita gembira kepada generasi muda untuk mempertahankan warisan agung itu dan tamparan keinsafan kepada generasi lama yang meminggirkan tulisan Jawi sejak sekian lama.

Semoga inisiatif bijak kerajaan menjadi pemangkin perkembangan dan kelangsungan tulisan jawi di Malaysia dan rantau ini. Tulisan Jawi sudah mewarnai sejarah perkembangan Islam dan menjadi tunjang kepada kekuatan intelektual Nusantara yang diakui sarjana tempatan dan Orientalis Barat.

Namun begitu, tanpa komitmen, kesedaran dan sokongan padu orang Melayu sendiri, nasib dan hala tuju tulisan Jawi tidak akan ke mana. Syarikat konglomerat korporat, pertubuhan bukan kerajaan, perpustakaan, parti politik Melayu, sekolah, universiti, kolej, individu dan banyak lagi perlu memainkan peranan dalam usaha menjayakan inisiatif murni ini.

Usaha dan tindakan itu bukanlah komitmen berbentuk sementara atau bermusim tetapi berterusan. Jutawan Melayu harus menggembleng tenaga dan dana menyumbang kepada kelancaran pemeliharaan, penerbitan dan kesinambungan tulisan Jawi di negara kita.

Diharapkan tulisan Jawi akan terus menjadi medan serta wadah perbincangan intelektual dan penggabungan idea serta minda umat Islam dan bukan Islam. Tulisan Jawi juga harus bersedia bersaing dengan tulisan perdana lain dan tidaklah hanya sekadar menjadi tulisan satu bangsa saja.

Tulisan Jawi perlu bangkit dan gemilang seperti dulu kerana tulisan Jawi adalah satu-satu warisan tulisan umat Melayu yang mengangkat wibawa umat di ufuk persada intelektual dan umpama nyawa serta aset warisan terunggul milikan umat Melayu di rantau ini.

Sumber : http://www.bharian.com.my/

Istiqamah, azam sempena tahun baharu 2010

Oleh MARDIANA MAT ISHAK

TAHUN baharu 2010 sudah membuka tirai. Dengan itu, ramai yang sibuk memasang azam masing-masing. Membuka diari hidup baru dan meninggalkan diari hidup yang lama.

Semua orang boleh berazam. Senarailah sebanyak mana sekalipun azam mereka. Satu hakikat yang pasti, semuanya bergantung kepada kekuatan diri mereka untuk terus istiqamah dalam melaksanakan sesuatu perkara.

Orang yang beristiqamah bermaksud seorang yang gigih tekun dan komited dalam melaksanakan sesuatu pekerjaan sehingga tercapai matlamat yang telah dirancang.

Islam amat mementingkan istiqamah. Banyak hadis dan ayat al-Quran yang menyebut tentang istiqamah. Dalam konteks istiqamah dalam beribadah, ia merujuk kepada aspek tunduk, patuh, tekun dan taat dalam melaksanakan amal ibadah dalam kehidupan.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Sufian bin Abdilah, beliau berkata kepada Rasulullah SAW: "Wahai Rasulullah, jelaskan kepada saya mengenai Islam, supaya saya tidak perlu lagi bertanyakan kepada orang lain. Baginda menjawab, "(Islam itu adalah) kamu berkata 'Aku beriman kepada Allah dan beristiqamah'."

Ini bermakna, dua fokus utama yang ditekankan oleh hadis ini ialah keimanan kepada Allah dan komited serta konsisten dengan keimanan tersebut.

Kaitan Azam, Matlamat dan Istiqamah

Dalam konteks kehidupan sekarang, ia menuntut kita beristiqamah untuk terus berjaya. Menjadi seorang anak dan pelajar yang berjaya, pekerja yang berjaya, suami dan isteri yang berjaya. Semuanya memerlukan tahap kekuatan dan gerak kerja yang konsisten dan bukan sekerat jalan.

Setiap azam dan matlamat tidak akan dicapai tanpa kehadiran istiqamah. Azam akan menjadi suntikan semangat untuk mencapai matlamat. Maka dengan itu sifat istiqamah iaitu konsisten, tekun dan gigih berusaha perlu ada demi mencapai matlamat yang diimpikan.

Orang yang istiqamah adalah seorang yang mulia. Seperti kata Hamka, "Sebesar-besar karamah adalah memegang istiqamah".

Kalau para Nabi dan Rasul ditugaskan untuk menyampaikan dakwah dan beriman kepada Allah, itu adalah tugas mereka. Mereka terus beristiqamah dalam merealisasikan visi mereka. Hasilnya kita mendapat nikmat Islam dan iman yang kita kecapi kini.

Sebagaimana saranan dan galakan Allah kepada Nabi Muhammad SAW di dalam Surah Hud, ayat 12, "Maka beristiqamahlah engkau sebagaimana engkau diperintahkan."

Prasyarat kekal istiqamah

Untuk kekal konsisten beristiqamah menjadi cabaran untuk setiap orang. Sama ada berjaya atau tidak menyahut cabaran itu, lima aspek ini boleh dijadikan ukuran dan panduan untuk terus kekal beristiqamah seterusnya mencapai impian dan matlamat yang diimpikan setelah menetapkan azam.

1) Kemahuan

Sebanyak manapun azam atau niat yang disenaraikan, tanpa kemahuan yang bersungguh-sungguh, ia tidak akan tercapai. Bak kata pepatah, "Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan".

2) Percaya diri sendiri

Pastikan setiap apa yang direncanakan itu berpijak di bumi yang nyata. Yakin dan percaya pada diri sendiri bahawa kita mampu untuk merealisasikannya.

3) Motivasi

Mencari dan membaca bahan bacaan atau segala bentuk bahan motivasi yang boleh menyuntik semangat untuk terus berjaya agar semangat itu tidak pudar di tengah jalan.

4) Meletakkan tempoh dan masa

Meletakkan sasaran waktu dan tempoh tertentu akan menjadikan seseorang itu berdisiplin dengan kerjanya. Setiap orang mempunyai tanggungjawab yang lebih banyak daripada masa yang mereka ada. Setiap orang mempunyai masa 24 jam sahaja, tidak lebih daripada itu.

Dengan membahagi waktu dengan baik akan menjadikan diri seseorang berbeza dengan yang lain. Jika diperhatikan, Islam juga mendidik umatnya dengan waktu. Syariat sembahyang lima waktu sehari semalam telah mengajar manusia untuk menghormati waktu, sebagaimana pesanan Rasulullah dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Mas'ud tentang sebaik-baik pekerjaan adalah solat pada awal waktu.

5) Fokus

Dalam melaksanakan sesuatu pekerjaan, anggota dan fikiran perlu bergerak seiringan. Jika anggota sahaja yang bergerak, akan menghasilkan kerja yang berkemungkinan besar tiada kualiti, kerana membuat sesuatu pekerjaan tanpa berfikir.

Sekiranya hanya berfikir dengan otak, tetapi tidak pula digerakkan dengan anggota, kerja langsung tidak akan berjalan. Pusatkan perhatian dan gerak kerja terhadap setiap pekerjaan yang sedang kita lakukan.

Percayalah bahawa walau hanya meletakkan satu atau dua sahaja azam tetapi kita tetap konsisten dalam merealisasikannya, itu adalah lebih baik daripada menyenaraikan sebanyak mungkin azam tetapi langsung tidak kita laksanakan.

Jangan jadi seperti pepatah, "Hangat-hangat tahi ayam", azam yang sama diulang pakai setiap tahun.

Penulis ialah Pensyarah Jabatan Bahasa Al-Quran, Pusat Asasi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

Sumber : http://utusan.com.my/