Selasa, 2 April 2013

TEKS UCAPAN PM SEMPENA PEMBUBARAN PARLIMEN KE-12


BERIKUT ialah teks ucapan penuh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai pembubaran Parlimen Malaysia ke-12 pada Rabu.

Bismillahirahmanirahim,

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam 1 Malaysia.

Rakyat Malaysia yang dikasihi,

1. Pertama-tamanya marilah kita memanjatkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan rahmatnya saya, Timbalan Perdana Menteri dan anggota jemaah menteri dapat bersama-sama secara langsung dengan Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian pada pagi ini.

2. Saya ingin memaklumkan kepada rakyat Malaysia bahawa pada pagi ini saya telah pun menghadap Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong dan menyembah warkah kepada Baginda memohon perkenan supaya Parlimen ke-12 dibubarkan pada hari ini Rabu, 3 April 2013. Sehubungan dengan itu selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan baginda telah pun memperkenankan bagi Parlimen Ke-12 dibubarkan berkuat kuasa hari ini.

3. Sehubungan dengan itu saya menasihatkan kepada ketua-ketua kerajaan negeri yang berkenaan untuk menghadap Ketua-ketua Negeri mereka bagi mendapat perkenan pembubaran Dewan Undangan Negeri masing-masing agar pilihan raya umum dapat diselaraskan secara serentak di seluruh negara.

Rakyat Malaysia yang dikasihi,

4. Hari ini, 4 tahun yang lalu, pada tanggal 3 April 2009, saya telah pun mengangkat sumpah untuk memikul amanah serta tanggungjawab sebagai Perdana Menteri negara Malaysia yang tercinta. Dalam tempoh tersebut saya bersama-sama Timbalan Perdana Menteri, anggota Jemaah Menteri dan anggota-anggota pentadbiran yang lain telah dengan segala ikhtiar serta upaya mencetus dan melaksanakan perubahan dan pembaharuan berpaksikan kepada Falsafah 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan serta dipandu oleh Dasar Transformasi Nasional.

5. Dalam tempoh empat tahun yang lepas rakyat Malaysia telah dapat mengalami dan menyaksikan sendiri bagaimana fasa perancangan Prakarsa Transformasi Nasional yang melibatkan Program Transformasi Kerajaan, Ekonomi, Politik dan Sosial telah dilaksanakan seterusnya membuahkan hasil dalam meningkatkan kesejahteraan hidup mereka dan kemakmuran negara.

6. Kerajaan yang ada pada hari ini ialah kerajaan yang bertanggungjawab, kerajaan ini ialah kerajaan yang meletakkan kepentingan tuan-tuan dan puan-puan rakyat Malaysia di atas segala-galanya. Kami merupakan kerajaan yang apabila berjanji menepati janji, kami merupakan kerajaan yang apabila diberi amanah akan menjunjung dan memeliharanya. Bukan sikap kami menanam tebu di bibir. Sesungguhnya bukti komitmen kami mampu dinilai serta diukur daripada prestasi dan “Track record” kami sepanjang empat tahun yang lalu.

Rakyat Malaysia yang dikasihi,

7. Pembubaran ini akan membuka laluan kepada bermulanya proses pilihan raya umum bagi kali yang ketiga belas untuk negara semenjak tahun 1959 iaitu apabila kita mula mengadakan pilihan raya umum pertama pasca merdeka.

8. Malaysia ialah sebuah negara yang mengamalkan sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan sebagai asas pemerintahan. Kuasa mutlak untuk memilih kerajaan berada di tangan rakyat.

9. Sejarah telah menunjukkan bahawa kebugaran demokrasi Malaysia telah berjaya menyediakan asas yang subur untuk kestabilan dan kemakmuran nasional yang telah dinikmati warganegara ini selama lebih lima dekad.

10. Amalan demokrasi di Malaysia kekal dan berjaya kerana walaupun bersifat sengit dan amat berdaya saing namun pada akhirnya ia berjaya kerana semua pihak menghormati proses dan keputusannya.

11. Saya ingin menyeru agar tradisi ini diteruskan demi kesejahteraan rakyat dan kestabilan nasional. Semua parti politik yang memilih untuk terlibat di dalam proses pilihan raya kali ini perlulah bertanggungjawab. Janganlah kerana tidak yakin dengan sokongan rakyat terhadap parti masing-masing maka ada pihak yang cuba menyemai racun syak wasangka dan seterusnya merosakkan kepercayaan kepada integriti proses pilihan raya yang bakal diadakan.

12. Insaflah dan ambillah iktibar dari apa yang telah berlaku di negara-negara lain di mana taktik ini telah cuba diguna pakai. Kesan akhirnya proses dan keputusan pilihan raya di negara-negara tersebut tidak lagi diyakini dan mana-mana kerajaan yang dipilih termasuk dari parti yang mengamalkan taktik tersebut telah ditolak rakyat. Negara akhirnya menjadi tidak stabil, pelabur hilang keyakinan, kemakmuran nasional merudum dan akhirnya rakyat menderita.

13. Sejarah selama ini telah membuktikan bahawa di Malaysia semenjak merdeka lagi proses pilihan raya yang diadakan bersifat berwibawa, adil dan telus. Kerajaan yang telah dipilih hasil pilihan raya umum sama ada di peringkat persekutuan mahupun di peringkat negeri ialah kerajaan yang mendapat sokongan serta keyakinan majoriti rakyat sesuai dengan amalan demokrasi sarwajagat.

14. Amalan demokrasi sebagai teras pemerintahan merupakan mekanisme terbaik yang pernah dicipta manusia. Hakikatnya perbezaan pendapat, idea dan pandangan bukannya penyebab malapetaka atau punca perpecahan malah jika ditangani dan diurus secara baik sejarah telah menunjukkan ia mampu mendatangkan rahmat yang akan membahagiakan rakyat dan memajukan negara.

15. Marilah kita sama ada parti kerajaan mahupun parti pembangkang memberikan komitmen untuk memelihara keutuhan proses demokrasi dan menghormati keputusan yang akan dibuat oleh rakyat. Marilah kita sama-sama berdoa agar pilihan raya ini akan berjalan dengan lancar, aman dan selamat.

Rakyat Malaysia yang dikasihi,

16. Saya ingin memberi jaminan bahawa kerajaan yang ada akan meneruskan tugas dan tanggungjawabnya sesuai dengan prinsip keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang sehingga selesai proses pilihan raya. 17. Saya juga ingin menyeru di samping memberi jaminan kepada semua rakyat Malaysia serta parti politik yang terlibat, bahawa jika berlaku sebarang peralihan kuasa sama ada di peringkat persekutuan mahupun di peringkat negeri ia akan dan perlu berlangsung secara aman dan tertib. Inilah iltizam kita dalam menjunjung prinsip demokrasi, inilah tekad kita dalam menggerakkan transformasi politik, inilah komitmen kita dalam menghormati suara dan mendahulukan kepentingan rakyat.

18. Kepada semua rakyat Malaysia terutamanya yang tinggal di Pantai Timur Sabah janganlah bimbang dan takut. Laksana dan tunaikanlah tanggungjawab tuan-tuan dan puan-puan sebagai warganegara Malaysia, pihak keselamatan negara akan menjalankan tugas mereka untuk memastikan persekitaran yang selamat untuk tuan-tuan dan puan-puan sekalian.

19. Setiap undi tuan-tuan dan puan-puan adalah penting, jangan bazirkan ia, janganlah dipertaruhkan masa depan anak-anak dan negara Malaysia. Fikir dan renungkanlah dengan sebaik-baiknya sebelum membuat keputusan, ini kerana undi saudara dan saudari akan menentukan bukan sahaja hala tuju negara dan negeri tetapi juga untung nasib anak cucu kita semua.

20. Dalam pilihan raya ini tuan-tuan dan puan-puan bukan sahaja bertanggungjawab memilih wakil saudara dan saudari bagi setiap kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri tetap juga memilih kerajaan yang akan mendukung aspirasi tuan-tuan dan puan-puan.

Rakyat Malaysia yang dikasihi,

21. Saya berdiri di sini dengan penuh rasa tawaduk dan terhormat kerana diberi kepercayaan untuk mengkhidmati tuan-tuan dan puan-puan sekalian. Saya dan rakan-rakan amat menghargai dan menjunjung tinggi kepercayaan yang telah diberikan oleh rakyat dan akan memberikan yang terbaik demi untuk Malaysia dan warganya.

22. Di sini saya selaku Ketua Kerajaan Barisan Nasional ingin merakamkan rasa penghargaan dan ucapan kasih kepada rakyat Malaysia kerana telah memberi kepercayaan kepada kami Kerajaan Barisan Nasional untuk menerajui kepimpinan negara semenjak lima tahun yang lepas. Mulai hari ini saya dan rakan-rakan kepimpinan BN akan turun dan bertemu rakyat di seluruh pelosok negara bagi meyakinkan warga Malaysia kenapa kami BN perlu diberi peluang kembali untuk membentuk kerajaan dengan majoriti yang kukuh.

23. Kami akan menggunakan mandat kukuh yang diberi, Insyaallah untuk melipatgandakan lagi usaha bagi melakar masa depan yang lebih baik, yang lebih bermakna, yang lebih sejahtera untuk saudara dan saudari serta anak cucu kita semua. Ayuh teruskan perjalanan kebangsaan untuk mencapai wawasan nasional ke arah Malaysia yang maju dan berpendapatan tinggi. Ingatlah pencapaiannya bukan secara automatik ia memerlukan kita melipatgandakan usaha dan meneruskan kesinambungan kejayaan yang ada.

24. Marilah kita bersama-sama berganding bahu, berpimpin untuk menjadikan impian ini sebuah realiti, Malaysia yang maju, makmur dan selamat, penuh dengan peluang serta sarat harapan bagi semua. Demi Malaysia, usaha bakti kita curah, kepada Tuhan kita berserah.

Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Sekian, terima kasih.

Sumber : http : //www.mstar.com.my/

ISU KESELAMATAN DALAM NEGERI : PATI bagai musuh dalam selimut


Oleh : DATUK NOOR AZAM

APABILA saya tulis "Mengapa Pendatang Haram Myanmar Tuju Langkawi" (Utusan Malaysia 20 Februari 2013) ada empat mesej yang ingin saya sampaikan:

(1) Pendatang asing telah 'menawan' negara kita dari Langkawi hingga ke Johor Bahru dan dari Perlis hingga ke Sabah. Pendatang Myanmar yang tidak kita sedar kehadiran mereka pun, ramai sudah ditangkap di Kuala Lumpur dan di Johor Bahru. Pendatang bangsa lain jangan dikata lagi. Bebas di mana-mana. Bahkan ada syarikat yang menggunakan pendatang haram sebagai "Pengawal Keselamatan".

(2) 'Menawan' bermakna mereka sudah 'menguasai kita' sehingga jabatan penguat kuasa pun tak begitu berkesan lagi menangani pelbagai kerenah jenayah mereka. Di Kuala Lumpur umpamanya, Datuk Bandar mengaku penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak mampu mengambil tindakan terhadap pendatang yang berniaga di gerai. Ini kesalahan yang sangat kecil. Apa lagi jenayah besar dan sofistikated.

(3) Negara kita yang aman makmur dan sikap kita yang suka berbudi dan 'tak kisah apa nak jadi', mengundang macam-macam jenis pendatang dari seluruh dunia. Makin ramai, tak terkira jumlahnya. Pelbagai berita jenayah pendatang - yang serius - tersiar dalam televisyen dan akhbar hampir setiap hari - dah jadi macam cerita hiburan.

(4) Semakin banyak koloni haram orang asing didirikan, terutama di sekitar Lembah Klang hingga ke Pulau Langkawi - termasuk mendirikan rumah batu - di atas tanah milik kerajaan, di pinggir pantai dan malah di atas tanah milik peribadi. Tidak nampak penguat kuasa, termasuk polis yang bertindak. Koloni ini dipercayai menjadi tempat persembunyian dan penampungan pendatang haram. Contohnya, "kampung orang Burma" di Pulau Langkawi - jelas terpampang di depan mata. Dah jadi perkara biasa. Kita tak perlu buat apa-apa!

Jadi Syurga Pendatang Haram

Tragedi yang tak pernah terduga di Lahad Datu dan Semporna - jelas membuktikan bahawa pendatang yang kita sambut dan beri layanan istimewa, boleh membawa gerombolan pengganas bersenjata, menggugat kedaulatan dan keselamatan kita. Nyatalah, persamaan rumpun bangsa dan agama bukan suatu jaminan.

Kita terlupa pesan nenek moyang: "Buat baik berpada-pada. Ada musuh dalam selimut. Ada gunting dalam lipatan".

Kata Johan Jaafar: Sudah terlalu lama we have taken things for granted. Kita terlalu bermurah hati; membenarkan mereka datang ke bandar-bandar, pulau-pulau dan wilayah kita. Ada kes-kes pencolekan dan pembunuhan. Masih juga kita menutup mata.

Mereka mendirikan kampung air dan kita tak buat apa-apa tindakan. Tanpa kita sedar mereka sudah berada di mana-mana. Bandar-bandar di sempadan (termasuk di Semenanjung) jadi syurga orang asing. Kita terkejut melihat jutaan pendatang haram di keliling kita. (New Straits Times 16 Mac 2013).

Sebenarnya "kita" tak terkejut kerana "kita" tak pernah ambil kisah dan belum terasa ada bahaya. Walaupun Utusan Malaysia sering mengingatkan kita. Tiba-tiba Lahad Datu dan Semporna menyebabkan kita menangis tak berlagu. Berkempenlah kita memungut derma untuk anak-isteri perajurit yang terkorban. Lagu-lagu patriotik pun berkumandang semula di radio dan televisyen.

Menurut banci penduduk 2010, sebanyak 27.7 peratus (%) penduduk Sabah adalah bukan warganegara. Sekarang 2013 - sudah berapa peratus? Mana-mana negara pun yang mempunyai penduduk bukan warga negara begini ramai - apa lagi pendatang haram - lambat laun pasti akan ditimpa mala petaka bencana politik yang serius.

Beberapa tahun terakhir ini kita mengalami masalah sosial-politik yang semakin serius - akibat terlalu ramai rakyat yang asalnya pendatang - berjuang untuk mendapat lebih banyak kuasa politik. Pemimpin-pemimpin mereka juga masih kuat mempertahankan budaya, bahasa dan identiti asal mereka. Di Sabah, lebih serius lagi apabila ada pendatang yang menuntut Sabah adalah pusaka milik mereka.

Kata Presiden Benigno Aquino, terdapat 800,000 pekerja Filipina di Malaysia (sebahagian besar pastilah di Sabah). Di samping itu, menurut Mohd. Zaki Harry Susanto, Setiausaha Persatuan Rumpun Etnik Suluk, ada 300,000 orang Suluk yang terdaftar sebagai warganegara Malaysia. Tiada yang pasti berapa ratus ribu pula pendatang haram, termasuk yang mendirikan koloni dan hidup bebas di pulau-pulau di perairan timur Sabah.

Wartawan NST, Desmond Davidson yang membuat tinjauan di Pulau Bum Bum menulis cerita yang menarik mengenai pendatang haram dari Sulu. Di pulau ini terdapat 50 kampung, dua daripadanya didiami pendatang Sulu. Jumlah mereka sekitar 200 orang, tetapi merekalah yang paling banyak menimbulkan kacau-bilau.

Suku Bajau - majoriti penduduk daerah Pantau Pantau - tidak senang hati kerana Sulu Filipina ini menduduki kampung itu tanpa mempedulikan undang-undang.

Kata Ketua Kampung, Bhogo Abad, "Mereka menanam jagung dan ubi kayu di atas tanah milik orang dan menganggap tanah itu milik mereka. Mereka membina surau sendiri. Tidak mematuhi peraturan agama yang ada dan tidak mengakui saya sebagai ketua kampung. Di pulau ini seperti di selatan Filipina - tidak ada undang-undang. Tidak ada polis."

Tragedi pencerobohan di Sabah ini, bukan lagi sekadar isu keselamatan tetapi telah menjadi masalah politik yang sensitif dan amat sulit ditangani. Di belakangnya ada persaingan merebut kuasa politik. Membabitkan pula hubungan dengan negara jiran tetangga. Menyukarkan pula kita membezakan antara orang "Sulu" dan "Suluk" - antara generasi Tun Datu Mustapha dan anak cucu mereka dengan generasi yang baharu tiba. Kesetiaan mereka masih di selatan Filipina, tetapi mahu terus menetap di Malaysia. Inilah akibat membiarkan pendatang 'menawan' kita.

Salah Kita Sendiri

Salah satu kesalahan besar kita ialah melunakkan panggilan "pendatang haram" sebagai "pendatang tanpa izin". Terlalu berbudi bahasa bukan pada tempatnya. Akibatnya kita merasa pendatang haram bolelah kita terima - bukan suatu kesalahan besar. Tiada membawa apa-apa bahaya. Sekarang kita lihat padahnya.

Kata bekas, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan: "Pekerja asing terutama PATI (pendatang haram), tidak mempunyai ketaatan kepada Malaysia. Kalau terlalu banyak pekerja asing - kalau berlaku apa-apa - terdapat 'askar tersedia' di sini. Justeru kita perlu perketat penguatkuasaan untuk memastikan tiada lagi PATI (pendatang haram) masuk ke negara ini."

(Benarlah pemerhatian Musa, 'askar tersedia' sudah ada di Lahad Datu dan Semporna.)

Kata Musa, " Kalau tak silap saya, kita ada dua juta PATI, sedangkan polis 100,000 dan tentera 150,000. Cukupkah polis dan tentera hendak menghadapi mereka?" Jawab Musa, "Tak cukup!"

Tegasnya: "Kemasukan pelancong dan pelajar asing juga perlu dipantau dengan lebih ketat bagi memastikan mereka tidak menyalahgunakan kebenaran yang diberikan, untuk aktiviti jenayah. Kita mahukan pelancong bukan pelacur. Kita mahukan negara jadi hab pendidikan, bukan hab pengedar dadah." (Utusan Malaysia 19 Mac 2013).

Pesan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, insiden di Sabah ini "is a wake-up call for us, not only for the government but also the rakyat". Tidak saja di Sabah, tetapi di seluruh negara. Mesti bangun dan bertindak tegas macam "Ops Daulat".

Peristiwa hitam - ganas - kejam di Sabah ini sepatutnya benar-benar menyedarkan kita daripada terlena oleh kesenangan: Bahawa "pendatang haram" - dari mana juga - adalah "musuh kita". Mestilah ditangani dengan tegas - bersepadu dan sungguh-sungguh. Perdana Menteri sudah melancarkan tindakan tegas di Sabah. Tidak boleh lagi ada tindakan sambil lewa.

Penulis ialah pemerhati sosio politik.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Biasiswa Nasional 2013 Suntik Semangat Pelajar Untuk Terus Cemerlang


KUALA LUMPUR : Pelajar cemerlang peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2012 yang menerima Biasiswa Nasional 2013 menyifatkan pemberian itu sebagai penyuntik semangat untuk terus berjaya pada masa depan.

Pemberian itu turut dirasai pelajar jurusan sains Sekolah Menengah Kebangsaan Chukai, Terengganu, Wan Hashedah Wan Haron, 18, yang kehilangan bapa dan terpaksa bergantung harap kepada ibunya untuk membiayai persekolahan.

"Meskipun hidup susah dan hanya ibu yang bekerja sejak kematian ayah sebelas tahun lalu namun saya tetap cekal kerana mahu membalas jasa ibu," katanya.

Beliau merupakan antara 50 penerima Biasiswa Nasional 2013 yang disampaikan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin di sini, Isnin.

Menerusi biasiswa tersebut, Wan Hashedah yang merupakan anak kedua daripada empat adik-beradik akan menyambung pelajarannya dalam bidang perubatan dan berazam untuk memiliki klinik sendiri kelak.

Sementara itu ibunya, Rahimah Ismail, 49, menyifatkan Wan Hashedah yang mendapat 9A+ dalam SPM 2012, seorang anak yang rajin sehingga membolehkan beliau mendapat tempat pertama di dalam kelas bagi setiap peperiksaan sejak dari darjah satu hingga tingkatan lima.

Pelajar Sekolah Sri Tenby Shah Alam, Elaine Tan Sue May, 18, yang mendapat 9A+ dalam SPM 2012 pula berasa bangga menerima biasiswa itu.

"Saya gembira dan terkejut semasa mendapat tahu saya menerima biasiswa kerana antara ribuan pelajar di Malaysia, saya terpilih," katanya.

Biarpun subjek Bahasa Melayu agak sukar baginya, beliau tetap menerimanya sebagai satu cabaran dan berusaha mencapai keputusan terbaik dalam subjek itu.

Di bawah program biasiswa itu, pelajar akan ditaja dari peringkat persediaan hingga ijazah pertama dalam pelbagai bidang pilihan mereka di universiti yang diiktiraf kerajaan di dalam dan luar negara. Program yang diperkenalkan pada 2010 itu pada mulanya menetapkan pemberian biasiswa kepada 30 pelajar cemerlang SPM.

Bagaimanapun, bermula tahun lalu, kerajaan bersetuju menambah bilangan penerima biasiswa nasional kepada 50 orang.

Bagi pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Connaught Kuala Lumpur, Keshov Kumar Lal Asokan pula berhasrat menyambung pelajaran dalam bidang ekonomi di universiti Amerika Syarikat.

Meskipun bapanya bekerja sebagai pakar sakit puan, namun anak ketiga daripada empat adik-beradik itu tidak pernah menerima desakan keluarga untuk menyambung pengajian dalam bidang kedoktoran.

"Keluarga faham minat saya dalam bidang ekonomi kerana sejak kecil lagi saya amat meminati subjek matematik," katanya yang mendapat 11A+. -BERNAMA

ISU PENGAJIAN TINGGI : Institut Pendidikan Mara tawar lebih 30,000 tempat tahun ini


TAWAU: Majlis Amanah Rakyat (MARA) menawarkan lebih 30,000 tempat kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) untuk mengikuti pelbagai peringkat pengajian di Institut Pendidikan Mara (IPMa) di seluruh negara bagi pengambilan Julai tahun ini.

Ketua Pengarah MARA, Datuk Ibrahim Ahmad, berkata tahun ini juga pihaknya menawarkan peluang pendidikan kepada 2,000 pelajar untuk melanjutkan pengajian di luar negara dalam pelbagai bidang strategik.

"Kira-kira 2,000 tempat untuk pendidikan luar negara dalam pelbagai bidang terutama bidang strategik seperti kejuruteraan, ekonomi dan perakaunan ditawarkan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Pendidikan Mara 2013 peringkat Negeri Sabah di sini hari ini.

Ibrahim berkata, IPMa seperti Universiti Kuala Lumpur, German Malaysian Institut, Kolej Mara, Kolej Profesional Mara dan Kolej Poly-Tech Mara, Maktab Rendah Sains Mara, Giatmara, Institut Kemahiran Mara (IKM) menerima sehingga 60,000 permohonan untuk memasuki IPMa setiap tahun.

Katanya, jika IPMa yang menawarkan pengajian daripada peringkat sijil sehingga ijazah tidak dapat menampung semua permohonan berkenaan, pemohon yang layak akan ditawarkan tempat di institut pengajian swasta yang bekerjasama dengan MARA. - BERNAMA