Selasa, 2 April 2013

ISU KESELAMATAN DALAM NEGERI : PATI bagai musuh dalam selimut


Oleh : DATUK NOOR AZAM

APABILA saya tulis "Mengapa Pendatang Haram Myanmar Tuju Langkawi" (Utusan Malaysia 20 Februari 2013) ada empat mesej yang ingin saya sampaikan:

(1) Pendatang asing telah 'menawan' negara kita dari Langkawi hingga ke Johor Bahru dan dari Perlis hingga ke Sabah. Pendatang Myanmar yang tidak kita sedar kehadiran mereka pun, ramai sudah ditangkap di Kuala Lumpur dan di Johor Bahru. Pendatang bangsa lain jangan dikata lagi. Bebas di mana-mana. Bahkan ada syarikat yang menggunakan pendatang haram sebagai "Pengawal Keselamatan".

(2) 'Menawan' bermakna mereka sudah 'menguasai kita' sehingga jabatan penguat kuasa pun tak begitu berkesan lagi menangani pelbagai kerenah jenayah mereka. Di Kuala Lumpur umpamanya, Datuk Bandar mengaku penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak mampu mengambil tindakan terhadap pendatang yang berniaga di gerai. Ini kesalahan yang sangat kecil. Apa lagi jenayah besar dan sofistikated.

(3) Negara kita yang aman makmur dan sikap kita yang suka berbudi dan 'tak kisah apa nak jadi', mengundang macam-macam jenis pendatang dari seluruh dunia. Makin ramai, tak terkira jumlahnya. Pelbagai berita jenayah pendatang - yang serius - tersiar dalam televisyen dan akhbar hampir setiap hari - dah jadi macam cerita hiburan.

(4) Semakin banyak koloni haram orang asing didirikan, terutama di sekitar Lembah Klang hingga ke Pulau Langkawi - termasuk mendirikan rumah batu - di atas tanah milik kerajaan, di pinggir pantai dan malah di atas tanah milik peribadi. Tidak nampak penguat kuasa, termasuk polis yang bertindak. Koloni ini dipercayai menjadi tempat persembunyian dan penampungan pendatang haram. Contohnya, "kampung orang Burma" di Pulau Langkawi - jelas terpampang di depan mata. Dah jadi perkara biasa. Kita tak perlu buat apa-apa!

Jadi Syurga Pendatang Haram

Tragedi yang tak pernah terduga di Lahad Datu dan Semporna - jelas membuktikan bahawa pendatang yang kita sambut dan beri layanan istimewa, boleh membawa gerombolan pengganas bersenjata, menggugat kedaulatan dan keselamatan kita. Nyatalah, persamaan rumpun bangsa dan agama bukan suatu jaminan.

Kita terlupa pesan nenek moyang: "Buat baik berpada-pada. Ada musuh dalam selimut. Ada gunting dalam lipatan".

Kata Johan Jaafar: Sudah terlalu lama we have taken things for granted. Kita terlalu bermurah hati; membenarkan mereka datang ke bandar-bandar, pulau-pulau dan wilayah kita. Ada kes-kes pencolekan dan pembunuhan. Masih juga kita menutup mata.

Mereka mendirikan kampung air dan kita tak buat apa-apa tindakan. Tanpa kita sedar mereka sudah berada di mana-mana. Bandar-bandar di sempadan (termasuk di Semenanjung) jadi syurga orang asing. Kita terkejut melihat jutaan pendatang haram di keliling kita. (New Straits Times 16 Mac 2013).

Sebenarnya "kita" tak terkejut kerana "kita" tak pernah ambil kisah dan belum terasa ada bahaya. Walaupun Utusan Malaysia sering mengingatkan kita. Tiba-tiba Lahad Datu dan Semporna menyebabkan kita menangis tak berlagu. Berkempenlah kita memungut derma untuk anak-isteri perajurit yang terkorban. Lagu-lagu patriotik pun berkumandang semula di radio dan televisyen.

Menurut banci penduduk 2010, sebanyak 27.7 peratus (%) penduduk Sabah adalah bukan warganegara. Sekarang 2013 - sudah berapa peratus? Mana-mana negara pun yang mempunyai penduduk bukan warga negara begini ramai - apa lagi pendatang haram - lambat laun pasti akan ditimpa mala petaka bencana politik yang serius.

Beberapa tahun terakhir ini kita mengalami masalah sosial-politik yang semakin serius - akibat terlalu ramai rakyat yang asalnya pendatang - berjuang untuk mendapat lebih banyak kuasa politik. Pemimpin-pemimpin mereka juga masih kuat mempertahankan budaya, bahasa dan identiti asal mereka. Di Sabah, lebih serius lagi apabila ada pendatang yang menuntut Sabah adalah pusaka milik mereka.

Kata Presiden Benigno Aquino, terdapat 800,000 pekerja Filipina di Malaysia (sebahagian besar pastilah di Sabah). Di samping itu, menurut Mohd. Zaki Harry Susanto, Setiausaha Persatuan Rumpun Etnik Suluk, ada 300,000 orang Suluk yang terdaftar sebagai warganegara Malaysia. Tiada yang pasti berapa ratus ribu pula pendatang haram, termasuk yang mendirikan koloni dan hidup bebas di pulau-pulau di perairan timur Sabah.

Wartawan NST, Desmond Davidson yang membuat tinjauan di Pulau Bum Bum menulis cerita yang menarik mengenai pendatang haram dari Sulu. Di pulau ini terdapat 50 kampung, dua daripadanya didiami pendatang Sulu. Jumlah mereka sekitar 200 orang, tetapi merekalah yang paling banyak menimbulkan kacau-bilau.

Suku Bajau - majoriti penduduk daerah Pantau Pantau - tidak senang hati kerana Sulu Filipina ini menduduki kampung itu tanpa mempedulikan undang-undang.

Kata Ketua Kampung, Bhogo Abad, "Mereka menanam jagung dan ubi kayu di atas tanah milik orang dan menganggap tanah itu milik mereka. Mereka membina surau sendiri. Tidak mematuhi peraturan agama yang ada dan tidak mengakui saya sebagai ketua kampung. Di pulau ini seperti di selatan Filipina - tidak ada undang-undang. Tidak ada polis."

Tragedi pencerobohan di Sabah ini, bukan lagi sekadar isu keselamatan tetapi telah menjadi masalah politik yang sensitif dan amat sulit ditangani. Di belakangnya ada persaingan merebut kuasa politik. Membabitkan pula hubungan dengan negara jiran tetangga. Menyukarkan pula kita membezakan antara orang "Sulu" dan "Suluk" - antara generasi Tun Datu Mustapha dan anak cucu mereka dengan generasi yang baharu tiba. Kesetiaan mereka masih di selatan Filipina, tetapi mahu terus menetap di Malaysia. Inilah akibat membiarkan pendatang 'menawan' kita.

Salah Kita Sendiri

Salah satu kesalahan besar kita ialah melunakkan panggilan "pendatang haram" sebagai "pendatang tanpa izin". Terlalu berbudi bahasa bukan pada tempatnya. Akibatnya kita merasa pendatang haram bolelah kita terima - bukan suatu kesalahan besar. Tiada membawa apa-apa bahaya. Sekarang kita lihat padahnya.

Kata bekas, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan: "Pekerja asing terutama PATI (pendatang haram), tidak mempunyai ketaatan kepada Malaysia. Kalau terlalu banyak pekerja asing - kalau berlaku apa-apa - terdapat 'askar tersedia' di sini. Justeru kita perlu perketat penguatkuasaan untuk memastikan tiada lagi PATI (pendatang haram) masuk ke negara ini."

(Benarlah pemerhatian Musa, 'askar tersedia' sudah ada di Lahad Datu dan Semporna.)

Kata Musa, " Kalau tak silap saya, kita ada dua juta PATI, sedangkan polis 100,000 dan tentera 150,000. Cukupkah polis dan tentera hendak menghadapi mereka?" Jawab Musa, "Tak cukup!"

Tegasnya: "Kemasukan pelancong dan pelajar asing juga perlu dipantau dengan lebih ketat bagi memastikan mereka tidak menyalahgunakan kebenaran yang diberikan, untuk aktiviti jenayah. Kita mahukan pelancong bukan pelacur. Kita mahukan negara jadi hab pendidikan, bukan hab pengedar dadah." (Utusan Malaysia 19 Mac 2013).

Pesan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, insiden di Sabah ini "is a wake-up call for us, not only for the government but also the rakyat". Tidak saja di Sabah, tetapi di seluruh negara. Mesti bangun dan bertindak tegas macam "Ops Daulat".

Peristiwa hitam - ganas - kejam di Sabah ini sepatutnya benar-benar menyedarkan kita daripada terlena oleh kesenangan: Bahawa "pendatang haram" - dari mana juga - adalah "musuh kita". Mestilah ditangani dengan tegas - bersepadu dan sungguh-sungguh. Perdana Menteri sudah melancarkan tindakan tegas di Sabah. Tidak boleh lagi ada tindakan sambil lewa.

Penulis ialah pemerhati sosio politik.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Komen