Oleh : Dr Sidek Baba
Umat Melayu melihat hubungan
kemanusiaan terbina dengan asas pemahaman terhadap tamadun. Pada masa lalu,
tamadun Islam menjadi penghubung kepada tamadun Barat dan Timur. Tamadun ini
dilambangkan dengan kekuatan ulama-ilmuwan dan umarak melakukan sinergi
menyebabkan lahirnya usaha penterjemahan ilmu yang pelbagai dalam tamadun Islam
dan dimanfaatkan oleh bangsa Eropah.
Hasil usaha ini menyebabkan
lahirnya ‘renaissance’, ‘reformation’ dan juga revolusi industri yang akhirnya
menyebabkan kuasa Eropah menjadi penakluk atas dalih ingin melakukan proses
pencerahan dan celik tamadun.
Umat Melayu adalah sinergi
menghubungkan sesuatu bangsa dengan segala keunikan yang ada padanya dengan
maksud kemanusiaan yang lebih tinggi hasil perkembangan tamadun Islam. Dalam
menghadapi kerenah zaman dan ragam kehidupan, umat Melayu melakukan reflektif
tamadun terhadap kebangkitan silam dan menjadi contoh bagaimana ia bangun
berasaskan ilmu dan keterampilan sehingga menyebabkan ia mampu bertahan lebih
600 tahun.
Kekuatan maksud umat dalam
membangun tamadun boleh dijadikan landasan bagaimana umat Melayu boleh
mengikuti jejak kehebatan silam secara lebih dekat, menyebabkan Melayu sebagai
satu bangsa apabila ditindikkan dengan nilai yang sifatnya alamiah menjadikan
lebih maju dan bersedia menghadapi cabaran globalisasi yang berdiri atau
kualiti modal insannya.
Bahasa Melayu miliki kekuatan
ilmu
Menjadikan diri sebagai umat
Melayu bukan bermakna menolak faktor bangsa seperti bahasa dan budaya yang
positif serta menyumbang terhadap kekayaan tamadun Islam. Faktor bahasa Melayu
umpamanya, menerima kemasukan ribuan istilah al-Quran dan bahasa Arab sehingga
menyebabkan makna daripada istilah itu memberikan tasawwur yang sifatnya
Islami.
Ia menjadikan bahasa Melayu
sebagai bahasa Islam yang mempunyai kekuatan ilmu dan merintis jalan ke arah
terbinanya tamadun. Kekuatan inilah yang dimiliki umat Melayu sejak menerima
Islam dalam kehidupannya.
Menjadi umat Melayu tidak sekadar
kuat dalam bidang rohaniahnya. Kekuatan rohaniah harus menjadi landasan yang
mengangkat daya intelek dan kreativiti supaya minda Melayu terasnya adalah
minda Islam. Minda Islam yang kreatif bakal mencetuskan idea besar yang mampu
menjana perubahan.
Reflektif terhadap tamadun silam
umat Islam di Baghdad dan Andalusia melahirkan tokoh ilmuwan yang berwibawa
dalam pelbagai bidang termasuk sains, perubatan dan matematik. Umat Melayu
harus memberikan fokus dalam aspek ini di samping melakukan jihad bisnes yang
dapat membimbing mereka menjadi umat yang kuat.
Jiwa ummatik lahir kepakaran
Di bumi Islam termasuk di daerah
umat Melayu, Allah SWT mengurniakan sumber kekayaan yang banyak supaya umat
Melayu boleh hidup sejahtera. Tanpa jiwa ummatik yang menuntut jiwa tadabbur
atau kaji selidik dan daya juang yang tinggi tidak mungkin umat Melayu mampu
melahirkan kepakaran dan keahlian.
Keadaan ini menyebabkan orang
lain melakukan eksploitasi atau mengambil kesempatan menguasai sumber yang kaya
akibat kealpaan dan kekosongan daya juang untuk bersaing dan maju dengan
bijaksana.
Memperkasa umat Melayu adalah
proses islah yang meletakkan Islam sebagai dukungan terhadap kemajuan dan
perubahan. Kekuatan Islam dari sudut ilmu dan tamadun mampu membimbing orang
Melayu untuk mara ke hadapan tanpa menzalimi orang lain kerana prinsip adil wal
ihsan akan sentiasa menjadi pedoman terbaik yang dianjurkan oleh ajaran Islam.
Strategi islah juga harus berlaku
dalam memperkasa ilmu dan pendidikan. Ilmu yang integratif harus menjadi
sandaran merubah kekuatan berfikir dan amal dalam kalangan generasi muda Melayu
supaya jiwa ummatik akan sentiasa menjadi pendorong terhadap mereka untuk
menjadi cemerlang.
Tanpa kecemerlangan orang Melayu
bakal terpinggir kerana sifat zaman kini amat terbuka dalam semua perkara.
Generasi muda umat Melayu harus
mewakili zamannya dengan gambaran yang memberikan harapan cerah pada masa
depan. Meneliti mengenai penyakit sosial yang menimpa generasi muda orang
Melayu kini, akibat kerapuhan jiwa mereka mendepani cabaran budaya popular dan
budaya hedonistik dari Barat. Media cetak dan elektronik, festival hiburan yang
banyak menjadi sumber melekakan generasi muda hingga menyebabkan kekontangan
jiwa dan minda hingga peribadinya mudah cair menghadapi himpitan hawa nafsu.
Generasi muda umat Melayu
seharusnya mengukuhkan kekuatan rohaniah dalam penghayatan hidup. Penghayatan
hidup umat Melayu seharusnya menginsafi bahawa tanpa jiwa yang hidup dan segar
dengan sifat daya juang yang tinggi dipandu oleh nilai rohaniah murni, orang
Melayu bakal menjadi penonton yang hampa dan kecewa bahawa perjuangannya berada
dalam batas ‘menang sorak’ tetapi pada hakikatnya ‘kampung sendiri tergadai.’
Penulis ialah Profesor
Pendidikan UIAM
Sumber : http : //www.bharian.com.my/