Oleh : Norazimah Abd Aziz
Pemuda yang berkualiti adalah
yang mampu memberi sumbangan kepada pembangunan dan kemajuan negara. Mereka
generasi pelapis yang akan meneruskan legasi kepimpinan negara seterusnya
membawa negara ke arah kemajuan.
Golongan ini juga menjadi cermin
kepada pembentukan serta hala tuju negara pada masa akan datang. Tokoh pemimpin
belia Islam yang ulung bagi umat Islam adalah Nabi Muhammad SAW yang diangkat
menjadi Rasul ketika umur Baginda 40 tahun.
Generasi belia atau pemuda Islam
pada zaman Baginda juga digambarkan sebagai generasi yang hebat. Mereka
pengikut yang membentuk generasi pertama Islam. Mereka menjadi pejuang Islam
gagah berani memperjuangkan dakwah Islam dan menjadi pembawa panji-panji Islam.
Kehebatan pemuda Islam
Usamah bin Zaid telah dilantik
oleh Nabi SAW sebagai panglima untuk memimpin pasukan kaum Muslimin memasuki
wilayah Syam pada usia 18 tahun sedangkan terdapat orang yang lebih tua seperti
Abu Bakar, Umar bin Khattab dalam pasukannya.
Terdapat ramai lagi pejuang Islam
terdiri daripada golongan belia seperti Ali bin Abi Thalib dan Zubair bin
al-Awwam. Begitulah gambaran kehebatan pemuda Islam pada zaman Rasulullah.
Mereka mempunyai daya kepimpinan, semangat juang tinggi dan rela berkorban
menegakkan syiar Islam.
Namun, masa telah berubah.
Masalah sosial yang kian meruncing seiring kepesatan pembangunan serta kemajuan
teknologi hari ini amat membimbangkan. Sikap ingin mencuba sesuatu yang baru
dan sukakan keseronokan telah menjerat diri mereka terjerumus ke kancah masalah
sosial.
Masalah salah guna dadah
Antaranya masalah penyalahgunaan
dadah. Berdasarkan statistik Sistem Maklumat Dadah Kebangsaan (BIONADI) dalam
Laporan Dadah Bulan November 2012 dikeluarkan Agensi Anti Dadah Kebangsaan
(AADK), golongan belia paling ramai terdedah risiko penagihan.
Sepanjang Januari hingga November
2012, seramai 5,632 orang iaitu 66.72 peratus penagih yang dikesan adalah
golongan belia berumur 19 hingga 39 tahun. Daripada jumlah itu, 1,390 adalah
remaja.
Walaupun angka itu menunjukkan
penurunan terbanyak iaitu 48.59 peratus berbanding 2011, situasi ini tidak
boleh dipandang enteng sebaliknya usaha untuk menangani masalah ini perlu
diperhebat.
Peningkatan kes penyeludupan
dadah ke negara ini jelas menunjukkan serangan dadah untuk memusnahkan manusia
tidak akan pernah berhenti. Pelbagai teknik digunakan pengedar dadah untuk
memenuhi permintaan sehingga ada yang sanggup menelannya untuk mengelak
daripada diberkas pihak berkuasa.
Dadah dari jenis heroin adalah
dadah yang paling banyak digunakan penagih. Seramai 4,080 (48.18 peratus)
penagih menggunakan heroin diikuti morfin (2,657 atau 31.38 peratus) dan ganja
(1,014 atau 11.97 peratus).
Islam larang rosakkan diri
sendiri
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa
Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-76 yang bersidang
pada 21-23 November 2006 telah memutuskan bahawa penyalahgunaan pelbagai jenis
dadah adalah haram kerana mempunyai kesan mudarat.
Islam melarang keras perbuatan
yang boleh merosakkan diri sendiri. Firman Allah SWT: “Dan janganlah kamu
sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan.” (Surah al-Baqarah,
ayat 195)
Sebarang kegiatan yang membawa
kepada penyalahgunaan dadah perlu dicegah dan dibendung di peringkat awal
kerana sekali kita tergelincir amat sukar untuk kembali ke pangkal jalan.
Benarlah kata pepatah, ‘mencegah itu lebih baik daripada mengubati’.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan