Mulai tahun depan, pelantikan
tidak secara automatik
Genting Highlands : Mulai
tahun depan pelantikan guru besar dan pengetua akan melalui proses penapisan
teliti, bukan lagi disandang secara automatik seperti sekarang.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri
Muhyiddin Yassin, berkata langkah itu selaras matlamat dan transformasi Sistem
Pendidikan Negara untuk memastikan guru besar dan pengetua berprestasi tinggi
ditempatkan di setiap sekolah.
Harus melalui proses penilaian
“Mereka harus melalui proses
penilaian tahap kepemimpinan dan yang berkaitan kemampuan melaksanakan
tanggungjawab, kreativiti, inovatif, dan inovasi di samping rekod cemerlang
dalam kerjaya guru, selain menjalani latihan dan bimbingan yang komprehensif.
“Syarat utama adalah mengikuti
Program Kelayakan Profesional Pemimpin Pendidikan Kebangsaan (NPQEL). Seramai
1,000 pendidik akan mengikuti kursus lima bulan di Institut Aminuddin Baki
(IAB) tahun depan,” katanya selepas merasmikan Seminar Nasional Pengurusan dan
Kepimpinan Pendidikan
Syarat utama ikuti program
NPQEL
Muhyiddin turut melancarkan
Repositori IAB di mana semua hasil karya penulisan dan penyelidikan sarjana
institut itu dikumpul, disusun, dipelihara dan disebarkan melalui satu pusat
menggunakan pendekatan terkini dunia teknologi maklumat.
Turut hadir, Ketua Pengarah
Pendidikan, Tan Sri Abd Ghafar Mahmud dan Pengarah IAB, Datuk Khairil Awang.
Ketika ini, pencalonan bagi
mengisi jawatan pengetua dan guru besar berdasarkan cadangan Pengarah Bahagian
dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dengan persetujuan Ketua Pengarah
Pendidikan.
Calon yang boleh dicadangkan
adalah mereka yang diluluskan Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pelajaran
(LKPPP). Guru penolong kanan termasuk dalam senarai yang diluluskan LKPPP,
boleh dicalonkan untuk mengisi jawatan pengetua.
Muhyiddin yang juga Menteri
Pendidikan berkata, proses pemilihan calon untuk kedua-dua jawatan berkenaan
sedang dilaksanakan dan diikuti penilaian tahap kepemimpinan, sebelum
pelantikan bermula 2014.
Guru paling cemerlang
“Apabila ada kekosongan ia akan
diisi guru terbaik. Walaupun sebelum ini sudah dibuat begitu tetapi kali ini
kita ambil kira ujian dan pencapaian guru untuk pastikan hanya yang terbaik
dalam kalangan yang terbaik menjawat jawatan guru besar dan Pengetua,” katanya.
Mengenai proses NPQEL, beliau
berkata, ia membabitkan guru paling cemerlang dengan rekod atau sejarah tugas
terbaik di sekolah tempat mereka bertugas.
“Tiada kompromi dalam hal ini
kerana sekolah yang berjaya adalah bergantung kepada faktor kepemimpinan guru besar dan
pengetua,” katanya.
20,000 permohonan
Mengenai isu pertukaran guru,
beliau berkata, pihaknya tidak bercadang menjalankan kajian kerana ia isu yang
sentiasa dihadapi terutama kerana jumlah guru yang mencecah 480,000 di seluruh
negara.
Beliau berkata, permohonan
dipenuhi jika ada kekosongan di negeri dan sekolah, subjek yang diajar guru
yang memohon sepadan dengan kekosongan dan sebab yang munasabah.
“Permohonan pertukaran dibuka dua
kali setahun dan tahun lalu saja 20,000 permohonan diterima. Biasanya kita
tidak boleh penuhi semuanya menyebabkan ada yang membuat permohonan
berkali-kali, malah ada hingga 10 kali serta minta bantuan wakil rakyat dan ibu
bapa.
“Jika permohonan munasabah
seperti ibu bapa uzur, kita ambil kira tetapi kekangan tempat dan subjek
sepadan menyebabkan ia tidak dapat disempurnakan,” katanya.
Sumber : http :
//www.bharian.com.my/