Rabu, 23 Mac 2011

SMS Tuanku Munawir SBP paling cemerlang

Pengetua SM Sains Tuanku Munawir, Sabuddin Sani (berjaket) bersama para pelajar cemerlang menunjukkan isyarat "satu" selepas muncul sekolah terbaik kebangsaan dalam peperiksaan SPM 2010 di Seremban, Negeri Sembilan.

SEREMBAN 23 Mac - Penambahbaikan program serta modul pembelajaran yang berkesan menjadikan Sekolah Menengah Sains Tuanku Munawir (SMSTM), di sini dinobatkan sebagai sekolah berasrama penuh (SBP) paling cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2010.

Pencapaian membanggakan itu turut menyaksikan 143 daripada 266 calon SPM sekolah berkenaan memperoleh pangkat A dalam semua mata pelajaran termasuk 16 calon mendapat pangkat A+ dalam semua subjek.

Pengetuanya, Sabuddin Sani berkata, kejayaan itu merupakan hasil usaha, disiplin, kerjasama serta komitmen yang tinggi daripada semua pihak termasuk tenaga pengajar, ibu bapa khususnya pelajar.

''Saya bersyukur dengan keputusan ini dan lebih menggembirakan apabila berjaya mengekalkan rekod cemerlang lima tahun berturut-turut . Hari ini, kami diberitahu SMSTM menjadi 'juara' peringkat kebangsaan," katanya.

Beliau ditemui di sekolah berkenaan yang sebelum ini dikenali sebagai Sekolah Menengah Sains Seremban (Saser), di sini hari ini.

Sabuddin berkata, antara program dan modul pembelajaran sokongan yang diterapkan di sekolah itu adalah seperti kelas tambahan malam, 'lonjakan Saujana', 'Perkampungan Ilmu', bengkel latih tubikelas pagi dan program 'Guru Muda'.

Sementara itu, seorang pelajar cemerlang SMSTM, Muhammad Fahim Hanaffi Azahan, 17, berkata, kaedah pembelajaran akademik yang diterapkan di sekolah berkenaan banyak membantunya meraih keputusan 10A+.

''Guru banyak memberi tunjuk ajar selain dorongan dan bantuan daripada ibu bapa serta rakan-rakan juga sedikit sebanyak menjadi faktor penyumbang kepada keputusan saya ini," jelas pelajar berasal dari Ampang, Selangor itu yang bercita-cita menjadi ahli geologi.

Seorang lagi pelajar, Mohd. Fateh Mohd. Lani, 17, berkata, walaupun sedih kerana bapanya terpaksa dimasukkan ke hospital kerana mengalami jangkitan darah, kejayaan meraih 10 A+ akan menggembirakan keluarganya.

''Saya amat berterima kasih kepada semua guru serta rakan-rakan yang banyak membantu mencapai keputusan ini," ujarnya yang turut mengakui program akademik khas yang diwujudkan oleh pihak sekolah menjadi pemangkin terhadap kejayaannya itu.

Bagi, D. Aghilan, 17, pula, kejayaannya memperoleh 10A+ itu merupakan hasil bantuan semua pihak.

"Sekolah ini memang bagus, mereka akan pastikan tiada pelajar yang tercicir dan kalau lemah, rakan-rakan lain pasti akan membantu,"katanya.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

SPM terbaik dalam 4 tahun

Abd. Ghaffar Mahmud menunjukkan keputusan peperiksaan SPM pada sidang media di Putrajaya, semalam.

Oleh THOMAS CHONG
pengarang@utusan.com.my

PUTRAJAYA 23 Mac - Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2010 adalah yang terbaik dalam empat tahun ini dengan seramai 9,239 orang atau 2.28 peratus calon sekolah Kementerian Pelajaran memperoleh gred cemerlang ( A+,A dan A-) dalam semua mata pelajaran yang diduduki.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abd. Ghafar Mahmud berkata, daripada jumlah tersebut, seramai 363 calon berjaya mendapat gred cemerlang tertinggi iaitu A+ dalam semua mata pelajaran.

''Sebanyak 368,559 orang atau 91.2 peratus calon berjaya mendapat sijil berbanding 90.8 peratus calon pada tahun lalu.

''Sebanyak 81 daripada 103 mata pelajaran telah menunjukkan peningkatan prestasi yang menggalakkan berdasarkan Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP)," katanya ketika mengumumkan analisis keputusan SPM 2010 di sini hari ini.

Mengenai pelajar terbaik, beliau berkata, seramai empat calon berjaya mendapat A+ dalam kesemua 12 mata pelajaran yang diambil dan 47 lagi mendapat A+ dalam semua 11 mata pelajaran.

''Terdapat 207 calon yang mendapat A+ dalam semua 10 mata pelajaran dan 105 calon mendapat A+ dalam semua sembilan mata pelajaran," katanya,

Abd Ghafar berkata, sebahagian besar sekolah di Malaysia dikategorikan dalam pencapaian sekolah cemerlang, baik dan memuaskan.

''Hanya sebilangan kecil iaitu 66 buah sekolah atau 3.1 peratus sahaja yang memperoleh pencapaian berpotensi," katanya.

Menurutnya, seramai tujuh calon berkeperluan khas termasuk yang rabun, buta dan pekak berjaya mendapat keputusan cemerlang bagi semua mata pelajaran.

''Seorang calon rabun telah berjaya mendapat lapan A+ dan tiga A dalam 11 mata pelajaran yang diduduki dan seorang lagi calon buta mendapat enam A+, tiga A dan satu A-," katanya.

Tambahnya, pelajar paling cemerlang dalam SPM 2010 akan diraikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu majlis yang akan diadakan di Lembaga Peperiksaan di Kuala Lumpur pada 1 April ini.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/