Isnin, 12 Disember 2011

ISU KENEGARAAN : Sultan Abdul Halim Tiba Untuk Istiadat Lafaz Sumpah Yang Di-Pertuan Agong Ke-14


SEPANG: Sultan Kedah Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pagi ini bagi menghadiri istiadat melafaz sumpah dan menandatangani surat memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14.

Ketibaan Sultan Abdul Halim bersama Sultanah Haminah Hamidun pada pukul 9.07 pagi disambut oleh Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim dan isteri Datin Seri Masnah Rais.

Seramai 29 anggota dan pegawai dari Batalion Keenam Rejimen Renjer Diraja mengadakan kawalan kehormat setempat.Baginda berdua kemudian berangkat ke Dataran Parlimen di Kuala Lumpur untuk sambutan penuh istiadat.

Sultan Abdul Halim, 84, dipilih oleh Raja-raja Melayu pada Mesyuarat Khas Majlis Raja-raja di Istana Negara pada 14 Oktober lepas sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 untuk tempoh lima tahun berkuat kuasa hari ini.

Ini adalah kali kedua Sultan Abdul Halim dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong selepas kali pertama pada 21 Sept 1970 untuk tempoh lima tahun, berakhir 20 Sept 1975.

Sementara Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V dipilih sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh yang sama. - BERNAMA

ISU KENEGARAAN : Kelangsungan kedaulatan negara


DATUK SERI DR. RAIS YATIM
Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan

MENJELANG detik-detik tengah hari 12 Disember 2011 (hari ini) akan berakhirlah tempoh perkhidmatan dan pemerintahan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-13, Al-Watiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah.

Pada tanggal itu tamatlah tempoh pemerintahan baginda selaku Raja Berperlembagaan yang dilunaskan melalui kuatkuasa Perlembagaan Persekutuan. Perkara 32(3) Perlembagaan Persekutuan menetapkan "Yang di-Pertuan Agong hendaklah dipilih oleh Majlis Raja-Raja selama tempoh jawatan lima (5) tahun…" kecuali baginda meletakkan jawatan pada bila-bila masa dalam tempoh tersebut.

Baginda dan Seri Paduka Baginda Permaisuri Agong akan bersama dalam suatu majlis perpisahan khas jam 8.30 pagi 12 Disember yang penuh adat-istiadat di pekarangan Parlimen dengan Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri-Menteri Kabinet, para pegawai tinggi dan pembesar-pembesar tempatan dan wakil-wakil luar negara sebelum berlepas ke Kompleks Bunga Raya KLIA untuk bersama-sama melibatkan diri di majlis akhiran yang diberi nama Lambaian Kasih.

Majlis di KLIA ini adalah seperti yang pernah dianjurkan oleh Kementerian Kebudayaan Kesenian dan Warisan (KEKKWA) lima tahun lalu. Acara kali ini, seperti yang dahulu, disulami acara-acara padat dengan intisari budaya dan ciri-ciri kebesaran Diraja Melayu lama.

Sepanjang dua bulan lalu pelbagai kegiatan dan acara diadakan bagi menandakan tamat tempoh perkhidmatan dan pemerintahan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Utama Bagi Persekutuan. Lawatan-lawatan rasmi, acara-acara kebajikan, konsert Diraja, Jamuan Negara dan lain-lain program Diraja mendahului acara-acara akhiran 12 Disember 2011.

Sebelum jam 12 tengah hari 12 Disember, Yang di-Pertuan Agong Ke-13 dengan diiringi pelbagai kumpulan termasuk seorang Menteri Kabinet dan seorang pegawai tinggi perkhidmatan awam akan menaiki pesawat khas mengiringi rombongan pulang Tuanku Mizan dan Tuanku Nur Zahirah menuju ke Kuala Terengganu.

Keesokannya, tanggal 13 Disember 2011 dari Alor Setar pesawat penerbangan khas akan membawa Yang di-Pertuan Agong Ke-14 Al-Sultan Al-Mu'tasimu Billah Muhibuddin Tuanku Al-Haj Abdul Halim Mu'azam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah (Sultan Kedah) ke kompleks Bunga Raya, KLIA dan seterusnya akan menyempurnakan acara istiadat angkat sumpah jawatan sebagai Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong Ke-14 di Istana Negara yang baru di Jalan Duta.

Bagi Tuanku Abdul Halim, ini adalah kali kedua baginda naik takhta bersemayam sebagai Yang di-Pertuan Agong bagi Persekutuan Malaysia. Kali pertama baginda bersemayam sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-5 ialah bagi tempoh 21 September 1970 hingga 20 September 1975.

Mungkin ramai yang masih ingat, Perdana Menteri Malaysia Pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj meletakkan jawatan pada 21 September 1970, iaitu pada tarikh yang sama Tuanku Abdul Halim naik takhta selaku Yang di-Pertuan Agong Ke-5.

Ramai pihak yang mengakui bahawa persamaan tarikh sedemikian adalah atas permintaan Tunku sendiri, lebih-lebih lagi mengambil kira sentimen beliau mendapati anak buahnya sendiri dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong selain perkembangan politik dan isu-isu kenegaraan pada masa itu susulan peristiwa-peristiwa selepas 13 Mei 1969.

Bak kata pepatah, sekali air bah sekali pantai berubah. Cuma dalam konteks kenegaraan, perubahan itu hanya pada "pasir di pantai", bukan pada pantai itu sendiri. Berlakunya perubahan hanyalah pada individu Diraja yang bersemayam sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-14.

Semua kuasa eksekutif, legislatif dan kehakiman yang ada pada Yang di-Pertuan Agong itu adalah berlandaskan Perlembagaan Persekutuan yang berkuat kuasa semenjak 1957, yakni semenjak Merdeka lagi.

Pada 1963, manakala Malaysia tertubuh kuasa-kuasa Yang di-Pertuan Agong itu tetap berterusan dengan beberapa ubah suai yang dipadankan dengan perkembangan semasa, termasuk peristiwa-peristiwa pra-1993 apabila beberapa artikel Perlembagaan Persekutuan dipinda.

Salah satu daripada pindaan utama yang dikuatkuasakan 1993-1994 ialah seseorang Yang di-Pertuan Agong boleh disabitkan di muka pengadilan Mahkamah Khas [Per. 181(2)] jika melakukan sesuatu kesalahan jenayah atau sivil dengan syarat Peguam Negara membenarkannya.

Yang di-Pertuan Agong sebagai Raja Berperlembagaan memikul tanggungjawab yang berat dan luas serta mempunyai implikasi mendalam sama ada terhadap rakyat atau kerajaan yang ditadbir atas nama Seri Paduka Baginda selaku Ketua Utama Negara yang menduduki tangga teratas dalam hierarki pemerintahan negara.

Per. 32(2) memperuntukkan bahawa isteri Yang di-Pertuan Agong, Seri Paduka Raja Permaisuri Agong menduduki tempat kedua selepas Yang di-Pertuan Agong. Baginda Raja Permaisuri Agong dan mana-mana Sultan yang bersemayam juga menerima beberapa lindungan kekebalan perundangan walaupun tidak seperti dahulunya.

Harus diimbasi, pra-1993 pihak-pihak Diraja beroleh perlindungan kekebalan undang-undang daripada mana-mana pendakwaan atau tuntutan sivil.

Timbalan Yang di-Pertuan Agong yang dilantik oleh Majlis Raja-Raja mengikut kehendak Per. 33 bolehlah menjalankan tugas-tugas Yang di-Pertuan Agong pada mana-mana tempoh yang diperlukan mengikut kehendak peruntukan tersebut dengan syarat apa-apa tugas wakilan Yang di-Pertuan Agong, seperti sakit, tidak upaya, tidak ada dalam Persekutuan yang tidak kurang daripada 15 hari atau lantaran apa-apa sebab lain.

Yang di-Pertuan Agong yang menjalankan tugas rasminya melalui fungsi dan kuasa eksekutif, legislatif dan kehakiman hendaklah menjalankannya melalui nasihat yang diberikan Kabinet atau Jemaah Menteri yang Baginda lantik termasuk lantikan Perdana Menteri di bawah Per 43.

Walaupun baginda hendaklah mentadbir mengikut nasihat seperti yang disyaratkan Per. 40, baginda adalah berkuasa penuh di bawah Per 40(2) dalam memperkenankan atau sebaliknya berkaitan membubarkan Parlimen untuk tujuan Pilihan Raya Umum. Baginda adalah Ketua Tertinggi Angkatan Tentera Persekutuan (Per. 41) sementara berkuasa (melalui nasihat Kabinet) bertindak sesuatu untuk Perkhidmatan Awam (Per. 132(2).

Kuasa mengampunkan sesuatu kesalahan jenayah atau melegakan hukuman bagi kesalahan-kesalahan yang berlaku di Wilayah Persekutuan juga adalah kuasa tersedia pada Yang di-Pertuan Agong.

Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa perundangan atau kuasa legislatif Persekutuan. Parlimen Malaysia, misalnya, adalah atas nama Yang di-Pertuan Agong, Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Tanpa Yang di-Pertuan Agong Dewan-Dewan Perundangan tersebut tidak cukup syarat fungsi dan kuasanya.

Semua Akta yang diluluskan Parlimen hendaklah mendapatkan tandatangan kelulusan baginda walaupun di bawah Per 66 ada beberapa syarat tempoh yang harus dipatuhi baginda sekiranya tidak bersetuju dengan sesuatu Rang Undang-Undang itu dijadikan undang-undang penuh.

Sementara anggota Dewan Rakyat dipilih terus oleh rakyat, baginda (atas nasihat) boleh melantik 40 anggota Dewan Negara (Per. 45).

Di bawah Per. 55 Yang di-Pertuan Agong tidak boleh membenarkan Parlimen tidak bersidang bagi tempoh enam bulan dari tarikh persidangan terakhir. Jika dalam tempoh itu Parlimen gagal bersidang, baginda boleh membubarkan Parlimen dan mengarahkan pilihan raya umum diadakan.

Di bawah artikel yang sama, kuasa mutlak baginda sebagai ketua agama Islam juga tersedia. Per. 60 membenarkan Yang di-Pertuan Agong bertitah kepada majlis Parlimen atas apa-apa perkara kenegaraan yang wajar.

Dari segi Kehakiman atau Judisiari pula, Yang di-Pertuan Agong adalah kuasa lantikan hakim-hakim mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan menurut aturan yang berkuat kuasa dan dikemas kini. Seperti mana dimaklum, para Hakim Negara adalah dilantik oleh baginda setelah mendapatkan nasihat Perdana Menteri dan berunding dengan Majlis Raja-Raja.

Kuasa-kuasa Yang di-Pertuan Agong di bawah pelbagai undang-undang lain juga merupakan sebahagian daripada urusan rasmi baginda sekalipun pada masa ini banyak aspek dan tugasan eksekutif itu telah diseragamkan dengan kuasa-kuasa eksekutif, legislatif dan kehakiman yang lain.

Jarang diketahui, kuasa Yang di-Pertuan Agong di bawah Per. 153 dalam menjaga dan memelihara keistimewaan orang Melayu dan bumiputera di Sabah dan Sarawak, terdapat jaminan bahawa baginda tidak boleh mengetepikan hak-hak komuniti lain seperti terkandung di dalam ayat "dan kepentingan-kepentingan sah kaum-kaum lain".

Ayat ini sering ditinggalkan dalam hujah dan ucapan mengenai kuasa kerajaan dan Diraja dalam menjaga dan memelihara hak-hak rakyatnya. Aspek ini wajar diserlahkan supaya kritikan melulu tidak berterusan seolah-olah kerajaan 'tak ambil pusing' tentang kepentingan kaum-kaum di tanah air kita.

Memang diakui, institusi Yang di-Pertuan Agong dan sebahagian besar tugas dan fungsi ini adalah sekitar 54 tahun, yakni seusia negara kita yang merdeka.

Namun di sebalik usia yang boleh dianggap 'muda' itu terkandung kelangsungan satu institusi Diraja yang amat lama. Sejak zaman Demang Lebar Daun dalam Sejarah Melayu hinggalah ke tamadun kesultanan negeri-negeri Melayu dan Melaka seterusnya dari sana sampailah ke hari ini - Raja dalam sejarah dan tamadun orang Melayu sudah sedarah sedaging lalu menjadi integral dan sebati.

Faksi masyarakat yang memandang sepi terhadap institusi Raja, walaupun kecil, harus menerima hakikat bahawa institusi itu jika baik fungsi dan perimbangannya akan membentuk tamadun yang positif.

Masyarakat Cina dan India serta lain-lain mungkin telah meninggalkan tamadun beraja mereka masing-masing atas cetusan sejarah dan mobilisasi kemanusiaan mereka. Namun di Malaysia institusi Raja Berperlembagaan ini seperti mana halnya dengan orang Inggeris, Jepun, Sweden dan Denmark dengan institusi Raja mereka, sudah menjadi kekal dan diterima rakyat.

Sistem Raja Berperlembagaan mungkin ada pengkritiknya masing-masing. Tetapi bagi kita di Malaysia, walaupun dikenal sebagai negara yang paling ramai mempunyai Raja sebagai pucuk kenegaraan, telah membuktikan bahawa sistem demokrasi Malaysia telah menghasilkan suatu cara hidup kepelbagaian yang munasabah dan saling berimbangan.

Yang di-Pertuan Agong adalah simbol kedaulatan negara dan rakyat Malaysia. Baginda adalah unsur atau elemen perimbangan kenegaraan dan pentadbiran yang telah menghasilkan Malaysia tercinta.

Mengadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan: Menjunjung Kasih Tuanku kerana berjaya menjadi Payung Negara berjasa yang akan meneruskan persemayaman di Terengganu. Mengadap Almu'tasimu Billahi Muhibuddin Sultan Abdul Halim Dirgahayu Tuanku, Rakyat menyambut dengan penuh gembira pelantikan Tuanku Kali ke-2 sebagai Yang di-Pertuan Agong Malaysia yang ke-14.

Rotan saga banyak di hulu

Diikat raga di bawah persada

Walau apa pun akan berlaku

Rakyat dan Raja berpisah tiada

Sumber : http : //www.utusan.com.my/