Sabtu, 18 Februari 2012

ISU KENEGARAAN : Kaji semula dasar terlalu terbuka visa, pas lawatan pelajar


Oleh Anwar Patho Rohman
wananwar@bharian.com.my

Bendung Malaysia jadi hab dadah antarabangsa


LAPORAN Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), November lalu, mendedahkan kumpulan mafia dadah antarabangsa dari Afrika dan Iran semakin aktif dalam pengedaran methamphetamine di Asia Tenggara hingga ke Asia Timur.

Pil rangsangan (ATS) termasuk amphetamine dan methamphetamine atau syabu menjadi dadah pilihan di kebanyakan bahagian di Asia Tenggara dan Asia Timur, khasnya sejak 1990-an, menggantikan dadah berasaskan tumbuhan seperti heroin, candu dan ganja.
Ia mudah dihasilkan di mana saja dan memberi keuntungan lumayan menerusi pelaburan kecil. Peningkatan penggunaan dadah itu dilaporkan oleh kebanyakan negara di rantau ini terutama pada 2010 dan tahun lalu.

Penjenayah Afrika yang terbabit dalam jual beli kokain dan heroin beralih kepada penyeludupan ATS, manakala kumpulan Iran dikenal pasti sebagai ancaman besar penyeludupan dadah di rantau ini.

Tidak hairanlah Malaysia berjaya menahan seramai 228 penyeludup dadah dari Iran pada 2009 hingga 2010 kerana menyeludup methamphetamine.

Sepanjang tahun lalu saja, Kastam Diraja Malaysia (KDRM) merampas pelbagai jenis dadah seberat 187.45 kilogram (kg) bernilai lebih RM34 juta selepas mematahkan 39 cubaan menyeludup masuk bahan terlarang itu ke Malaysia melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT), Sepang.

Rampasan paling banyak membabitkan dadah jenis methaphetamine atau syabu iaitu 125.2kg (RM31.78 juta), diikuti ketamin 47.55kg (RM666,585); eramin sebanyak 9.5kg (RM958,000); heroin 3.21 kg (RM640,000) dan ganja 1.8 kg (RM4,320).

Sepanjang tahun lalu, KDRM KLIA menahan 30 suspek, sembilan warga Nigeria, enam rakyat Malaysia, lima India, tiga Iran, dua Cyprus dan masing-masing seorang warga Vietnam, Sweden, Pakistan, Sierra Leone serta Azerbaijan kerana disyaki menjadi keldai dadah sindiket penyeludupan dadah antarabangsa.

Dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini saja, ada tiga kes warga asing khasnya dari Iran ditahan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dan KDRM kerana kesalahan menyeludup dadah di KLIA atau memproses dadah di banglo mewah di ibu negara.

Ada beberapa faktor yang mendorong kepada perkara ini berlaku antaranya, tahap keselamatan di pintu masuk negara yang lemah di samping sikap ‘tidak apa’ di kalangan pegawai yang menjaga keselamatan pintu masuk negara.

Mungkin tidak adil menuduh pegawai jabatan kerajaan bersikap sambil lewa, tetapi penyeludupan dadah boleh dihalang jika semua pihak mempunyai inisiatif untuk mengetatkan pemeriksaan dan pemantauan di setiap pintu masuk negara ini.

Justeru, cadangan KDRM sebelum ini yang mahu menempatkan mesin pengimbas canggih dan berteknologi tinggi amat dialu-alukan bagi mengatasi jenayah penyeludupan dadah berleluasa di lapangan terbang atau pelabuhan di negara ini.

Pada masa sama, pakar kriminologi, Datuk Akhbar Satar, berkata agensi penguatkuasaan mempunyai pelbagai alternatif untuk mengekang jenayah ini seperti menambah pegawai risikan yang cekap dan berpengalaman serta berintegriti tinggi.

Katanya, pegawai risikan ini perlu bertanggungjawab, tidak mudah digoda dengan rasuah sehingga bersikap ‘tutup mata’ dengan tidak memeriksa barang atau bagasi suspek yang disyaki penyeludup dadah.

“Agensi keselamatan perlu memiliki alat pengesan atau pengimbas dadah untuk mengawal kemasukan dadah atau barang larangan lain. Walaupun begitu, kita tahu penjenayah juga bijak. Mereka akan mencari jalan untuk mengatasi masalah ini.
Kita hanya perlu memiliki alat lebih canggih,” katanya.

Beliau mengambil contoh, pihak keselamatan lapangan terbang di luar negara seperti di Melbourne, menempatkan pegawai berserta seekor anjing pengesan untuk menghidu dan memeriksa bagasi yang disyaki mengandungi bahan larangan seperti dadah.

Satu lagi kelemahan yang perlu diambil perhatian sistem saringan dan keselamatan kemasukan warga asing ke Malaysia, kata Akhbar, ialah dasar terlalu terbuka dalam pemberian visa atau pas lawatan pelajar kepada warga asing khasnya dari Iran dan Afrika.

“Ada yang menyalahgunakan pas pelajar untuk menjalankan kegiatan pengedaran dadah. Kementerian Pengajian Tinggi juga perlu membantu pihak penguatkuasa bagi mengatasi masalah ini," katanya.

Beliau juga tidak menolak kebanjiran warga asing ke negara ini seperti Iran di Nilai 3, Negeri Sembilan, mendorong warga negara itu menyeludup dadah ke negara ini bagi memenuhi keperluan rakyat negara itu yang diketahui bebas mengambil dadah di tempat mereka.

Mengulas mengenai kecenderungan warga asing ini menjadikan banglo mewah atau kondominium untuk dijadikan makmal memproses dadah, Akhbar berkata, ia menunjukkan penjenayah asing sudah mengkaji kelemahan sistem keselamatan negara ini.

Justeru, beliau mencadangkan supaya pihak berkuasa di pintu masuk negara supaya membuat laporan profil terhadap warga asing yang disyaki menjadi kumpulan pengedaran dadah ke negara atau rantau ini.

Beliau berpendapat, permintaan dadah methamphetamine yang tinggi di Malaysia dan rantau ini mendorong mafia dadah berlumba-lumba menyeludup dadah menerusi negara ini, yang akhirnya mencemar dan memburukkan nama negara.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU PERKHIDMATAN AWAM : Bekerja dengan suka hati bukan kerja ikut suka


Oleh Sharifah Hayaati
bhagama@bharian.com.my


Kerja bersistem jamin kelancaran urusan, elak salah guna kuasa dan penyelewengan

SETIAP majikan dan pekerja pasti inginkan yang terbaik daripada apa yang diusahakan sepanjang kerja seharian. Semakin baik usaha dilakukan, secara fitrahnya semakin baiklah penghasilannya. Usaha yang dianggap baik itu pula hendaklah selaras dengan sistem kerja yang digariskan.

Tidak dapat dinafikan, setiap individu, mempunyai cara, pemikiran, pendekatan dan kehendak masing-masing yang kadangkala berbeza dalam melakukan tugasan, mendepani isu serta membuat keputusan.

Justeru, untuk mencapai hasil kerja yang baik, bukan sekadar faktor persekitaran kerja yang kondusif dan menyeronokkan tetapi juga ditentukan faktor pematuhan dan pemantauan sistem kerja berasaskan prosedur serta peraturan bersesuaian dan mesra pekerja-pelanggan.

Walaupun biasanya sifat semula jadi manusia lebih cenderung kepada yang mudah dan tanpa kongkongan peraturan, undang-undang, dasar dan proses kerja, namun sistem kerja ini yang akan memelihara hak pekerja agar tidak diabai, dieksploitasi atau dicerobohi.

Ia juga menjamin kelancaran proses kerja, mengelakkan birokrasi serta menghasilkan kerja berintegiti dan berkualiti serta mengelakkan salah guna kuasa dan penyelewengan.

Ajaran Islam amat menekankan aspek amalan berteraskan hukum sama ada wajib, sunat, haram, harus atau makruh. Semua ini melambangkan sistem, kaedah, peraturan dan panduan sama ada yang umum mahupun khusus dalam segenap aspek kehidupan.
Contohnya dalam mengerjakan solat, umat Islam ditentukan kaedah dan peraturannya melalui rukun dan syarat sah solat. Seperti kaedah berwuduk, jenis airnya, jumlah rakaat, bacaan dalam solat, niat, arah kiblat, waktu serta perkara yang boleh membatalkan solat itu.

Semua ini jika diteliti dan dihayati adalah satu bentuk sistem beramal yang sangat istimewa daripada Allah SWT. Walaupun jika diikutkan rasa hati manusia itu lebih suka untuk mengikut cara sendiri, namun sebagai bukti ketaatan, kesyukuran dan matlamat untuk mencapai kesempurnaan iman dan amal serta membentuk kecemerlangan peribadi, maka setiap ibadat yang utama itu, Allah memerintahkan hukumnya wajib dilaksanakan.

Tujuan disyariatkan itu termasuklah untuk melahirkan insan ikhlas, bersih hati dan fizikal, sihat, memiliki daya tumpuan tinggi dan berdisiplin.

Begitulah halnya dalam memahami pelaksanaan sistem kerja berpandukan prosedur, panduan dan peraturan. Ia diwujudkan untuk mencapai kejayaan (al-falah) dan kebaikan (al-khair) serta gesaan ke arah penguatkuasakan kebaikan dan menghindari segala bentuk keburukan untuk mewujudkan kualiti kerja dan integriti pekerja.

Firman Allah SWT bermaksud: “Dan hendaklah ada di antara kamu kelompok yang menyeru manusia kepada kebajikan dan yang menyuruh manusia berbuat segala perkara baik serta melarang manusia daripada segala perkara buruk. Dan manusia yang bersifat demikian ialah orang yang berjaya.” – (al-Imran: 104)

Untuk tujuan itulah, maka Nabi serta sahabat sentiasa memantau urusan umatnya supaya menjadi peniaga atau pekerja jujur dan amanah termasuk dalam hal sukatan dan timbangan.

Diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pada satu ketika berjalan melalui satu longgokan makanan (di pasar), lalu Baginda Rasulullah SAW memasukkan tangannya ke dalam longgokan itu, jari Baginda SAW tersentuh sesuatu yang basah lantas Rasulullah SAW bertanya kepada penjual berkenaan: “Apakah semua ini?” Jawab penjual itu: “Makanan ini terkena hujan.” Nabi Muhammad SAW bersabda: “Kenapa engkau tidak meletakkannya di atas supaya dapat dilihat oleh orang ramai, Baginda SAW menyambung lagi: Sesiapa yang menipu maka dia bukan dari kalangan kami.” – (Riwayat al-Tirmizi)

Selain itu, Rasulullah SAW dalam hadis Baginda diriwayatkan Muslim memberi tiga panduan asas kaedah bagi menguatkuasakan sistem pemantauan kerja iaitu kaedah mengubah dengan tangan. Kaedah ini boleh melambangkan maksud penggunaan kuasa terutama pihak berkuasa.

Kedua, jika tidak berkemampuan maka hendaklah mengubah dengan lisan. Ia boleh membawa maksud menggunakan kaedah seperti berdakwah, nasihat, memberikan pandangan, teguran, amaran dan pujukan.

Ketiga, jika tidak berkemampuan hendaklah menolak sesuatu keburukan dengan hati. Ia boleh membawa maksud kebencian, kemarahan dalam hati terhadap sesuatu yang dibenci oleh Allah dan Rasul. Maka kaedah itu adalah selemah-lemah iman.

Justeru, bagi merealisasikan kerja yang mengikut sistem, maka jika ada peraturan dan prosedur kerja yang rumit dan panjang, perlu dipermudahkan, yang kurang jelas perlu diperjelaskan, yang sudah tidak sesuai, diperbaiki; yang tidak diperlukan, dihapuskan atau dinilai semula untuk menjamin kerja yang berkualiti.

Pendek kata, bekerja mengikut sistem adalah bekerja dengan suka hati dan bukan bekerja ikut suka kerana bekerja ikut suka boleh membawa kepada mengikut kemahuan dan kepentingan diri semata-mata, kejayaan jangka pendek serta bahaya terjerumus dalam penipuan, penyelewengan, rasuah dan bekerja tanpa kualiti seperti kecuaian dan kelewatan.

Justeru, peraturan dan prosedur jelas, mudah difahami dan mampu diamalkan boleh membuat pekerja bekerja dengan senang hati, memudahkan serta memelihara akhlak diri. Sistem juga dapat merealisasikan hasrat majikan dan menterjemahkan aspirasi organisasi. Justeru, marilah kita jadikan kerja bersistem sebagai budaya.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Pendidikan vokasional jadi bidang arus perdana 2013


Oleh SITI AIRUNNISA ALAUI

KUALA TERENGGANU 18 Feb. – Bidang Vokasional bakal menjadi pendidikan arus perdana apabila langkah menaik taraf 78 buah sekolah menengah vokasional di seluruh negara siap sepenuhnya menjelang tahun depan.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, beberapa elemen tambahan akan dimuatkan di dalam kurikulum pendidikan itu antaranya berkaitan latihan keusahawanan.

Katanya, elemen latihan ketika bekerja akan dilaksanakan selari dengan transformasi pendidikan negara.

Dalam usaha memberi nilai tambah, bidang-bidang baru akan turut diperkenalkan termasuklah bidang hospitaliti, pengangkutan, industri sukan dan pengurusan acara.

"Ia bagi menjadikan pelajar itu nanti lebih kreatif serta inovatif bagi memenuhi keperluan pasaran kerja pada masa akan datang.

"Justeru kita berharap dengan adanya kolej vokasional ini nanti mampu melahirkan tenaga mahir dan berkemahiran bagi membolehkan mereka bersaing di peringkat global," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Konsolidasi, Transformasi Pendidikan Vokasional Terengganu/Kelantan di Dewan Teknokrat, Sekolah Menengah Teknik Kuala Terengganu, di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Sektor Pengoperasian Sekolah Bahagian Teknik Dan Vokasional (BPTV), Zainuren Mohd. Nor dan Timbalan Pengarah Pelajaran negeri, Hashim Mohd. Zin.

Mengulas lanjut, Mohd. Puad memberitahu, setakat ini, sebanyak 15 sekolah telah dikenal pasti bagi menyediakan Program Asas Vokasional (PAV) dan 15 lagi untuk kolej vokasional dalam usaha memantapkan lagi sistem pendidikan negara terutamanya bidang kemahiran.

Bagaimanapun tambahnya, 10 buah sekolah teknik masih lagi dikekalkan bagi memberi peluang pelajar-pelajar yang meminati bidang kejuruteraan dan perdagangan meneruskan persekolahan mereka.

"Kita akan melihat perkembangan ini dari semasa ke semasa dan buat masa ini, hanya 10 buah sekolah dikekalkan bagi memberi ruang kepada pelajar-pelajar yang ingin menyambung pelajaran khusus dalam bidang-bidang kemahiran ini," katanya. - UTUSAN

ISU KESIHATAN : 30% pemandu bas sukar tidur, undang risiko


KUALA LUMPUR - Tiga puluh peratus daripada 300 pemandu bas didapati mengalami masalah kesukaran tidur malam, dengan lapan peratus kronik, dan keadaan ini membimbangkan kerana dikhuatiri memberi kesan kepada keselamatan pemanduan mereka.

Presiden Pertubuhan Penyakit Tidur Malaysia (SDSM), Dr Muhammad Muhsin Ahmad Zahari berkata, statistik itu diperolehi dalam kajian yang dijalankan oleh badan itu dengan Jabatan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (JKJR) baru-baru ini.

"Kajian itu dilakukan ke atas 300 pemandu bas dari lima syarikat pengangkutan di seluruh negara, dan lebih mengejutkan apabila lapan peratus berada di peringkat teruk," katanya kepada Bernama pada majlis pertemuan saintifik - Masalah Tidur Masyarakat Malaysia- Ke arah Tidur yang Lebih Sihat di Malaysia'di sini, hari ini.

Pensyarah kanan dan pakar psikiatri Fakulti Perubatan Universiti Malaya itu berkata, golongan yang sukar tidur malam dan mengalami gangguan tidur teruk termasuk 'sleep apnea' (nafas terhenti ketika tidur), berisiko untuk terlibat dalam kemalangan industri mahupun jalan raya.

Untuk itu, satu usaha perlu dilakukan bagi memastikan pemandu yang mengalami masalah kesukaran tidur ini diberi rawatan untuk mengatasi masalah yang dihadapi memandangkan mereka perlu memandu dalam tempoh yang panjang, katanya.

"Masalah gangguan tidur terutamanya insomnia berpanjangan dan sleep apnea didapati kemungkinan menjadi antara punca kemalangan serta kecederaan serius kerana mereka boleh tertidur di siang hari termasuk ketika memandu dan ia amat membahayakan nyawa sendiri dan orang lain," katanya.

Muhammad Muhsin berkata, sebagai langkah pertama, pemandu bas dan lori seharusnya diwajibkan membuat pemeriksaan kesihatan untuk memastikan sama ada mereka mengalami gangguan tidur terutamanya sleep apnea.

"Mereka yang disahkan menghidapi sleep apnea atau gangguan tidur di peringkat yang teruk perlu dirawat dahulu hingga pulih sebelum dibenarkan untuk memandu kembali," katanya.

Beliau juga berkata, kajian salah seorang profesor di Universiti Kebangsaan Malaysia yang merupakan anggota pertubuhan itu, mendapati lebih daripada tujuh peratus rakyat Malaysia mengalami masalah berkaitan tidur.

"Namun, kami percaya angkanya sangat tinggi daripada ini kerana ramai mereka di luar sana yang tidak pernah membuat rawatan dan menemui pakar kerana menganggap masalah itu remeh dan bukan penyakit berbahaya," katanya.

Beliau berkata, penyakit gangguan tidur ini bukan sahaja memberi kesan kepada produktiviti dan ekonomi kerana menyebabkan ketidakhadiran, kelembapan dan kurang tumpuan terhadap kerja, tetapi juga pertambahan berat badan, diabetes, tekanan darah tinggi, serangan jantung dan juga saluran pernafasan sumbat, katanya.

Katanya, tidur mempunyai kesan pemulihan terhadap proses fizikal dan mental, malah tidur juga adalah komponen penting dalam kesihatan fizikal dan mental yang baik, di samping penting bagi fungsi kognitif yang optimum. - Bernama