PADA 21 Februari lalu, Utusan
Malaysia menyiarkan berita mengenai tindakan pihak berkuasa kita menyelamatkan
empat lelaki Myanmar yang menjadi mangsa jenayah pemerdagangan orang. Mangsa
telah dikurung dan dirantai di sebuah rumah usang di Jalan Pasar, Sungai
Petani, Kedah. Ketika diselamatkan, mereka dalam keadaan lesu kerana dipercayai
tidak diberi makan sudah tiga hari.
Mengikut Ketua Bahagian Siasatan
Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, Asisten Komisioner Nashir Ya,
setelah menerima laporan daripada penduduk setempat, sepasukan polis telah
menyerbu premis berkenaan, yang terletak di belakang sebuah hotel.
Hasil siasatan mendedahkan mangsa
telah dikurung untuk maksud memeras wang tebusan daripada keluarga mereka di
Myanmar. Seorang mangsa memaklumkan bahawa mereka dibawa masuk ke negara ini
sudah sembilan hari sebelum ditempatkan di rumah tersebut. Kesemua mangsa tidak
mempunyai dokumen perjalanan sah.
Pada 12 Februari lalu, polis
menahan tiga suspek ketika cuba menyeludup lapan warga Myanmar ke Pantai Timur.
Mengikut Ketua Polis Daerah Gerik, Supritendan Abdul Manab Bahrum, suspek dan
warga Myanmar itu ditahan dalam kereta Proton Saga kira-kira pukul 7 pagi
berhampiran Kampung Sira Panas, dekat Gerik, Perak. Suspek dipercayai dalam
perjalanan ke Kelantan dan diberkas di Kilometer 8, Jalan Raya Timur Barat.
Mengikut Abdul Manab, modus
operandi penjenayah pemerdagangan orang ini ialah menggunakan Lebuh Raya Timur
Barat sebagai laluan untuk menyeludup warga asing terutamanya warga Myanmar.
Beberapa hari sebelumnya, pada 7
Februari, polis Pulau Pinang menyelamatkan 11 wanita warga asing iaitu dua dari
Kemboja dan selebihnya dari Indonesia, yang dipercayai menjadi mangsa
pemerdagangan oleh sebuah syarikat agensi pekerjaan dalam satu serbuan di Bandar
Baru Farlim.
Mengikut Ketua Polis Daerah Timur
Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng, dalam serbuan yang dijalankan pukul
6.45 petang, polis menemui warga asing itu dikurung di premis berkenaan. Mangsa
berumur antara 21 hingga 41 tahun. Empat daripadanya bekerja di negeri itu
sebagai pembantu rumah sudah sebulan tetapi tidak dibayar gaji. Tujuh mangsa
lain baru tiba lima hari, setelah dijanjikan kerja sebagai pembantu rumah di
negara ini.
Siasatan polis mendedahkan bahawa
mangsa masuk ke negara ini menggunakan pas lawatan sosial. Mereka dikurung oleh
pemilik agensi pekerjaan dan tidak diberi makan secara teratur. Polis menemui
semua pasport milik mangsa.
ERTI PEMERDAGANGAN ORANG
Mengikut Seksyen 2, Akta
Antipemerdagangan Orang 2007 (Akta 670), istilah pemerdagangan orang bermakna
merekrut, mengangkut, memindahkan, melindungi, membekalkan atau menerima orang
bagi maksud eksploitasi.
Istilah eksploitasi pula ditakrif
dalam seksyen yang sama sebagai semua
bentuk eksploitasi seksual, kerja atau khidmat paksa, perhambaan atau amalan
yang serupa perhambaan, apa-apa aktiviti yang menyalahi undang-undang atau
pemindahan organ manusia.
Mana-mana orang yang disabitkan
kesalahan memperdagangkan orang (bukan kanak-kanak) bagi maksud eksploitasi
boleh dihukum, jika sabit kesalahan, dengan penjara tidak melebihi 15 tahun dan
denda (Seksyen 12).
Jika perbuatan memperdagangkan
orang lain (bukan kanak-kanak) bagi maksud eksploitasi itu dilakukan oleh
seorang dengan menggunakan mana-mana satu unsur berikut (ancaman, kekerasan
atau bentuk paksaan yang lain, pemelarian, penipuan, perdayaan, penyalahgunaan
kuasa dan sebagainya), dia boleh dihukum jika sabit kesalahan, dengan penjara
tiga hingga 20 tahun dan denda (Seksyen 13).
Jika perbuatan memperdagangkan orang itu melibatkan mangsa
kanak-kanak, orang itu boleh dihukum dengan penjara antara tiga hingga 20 tahun
dan denda (Seksyen 14).
Dalam satu pendakwaan bagi
kesalahan di bawah Seksyen 12, 13 atau 14, persetujuan atau kerelaan mangsa
yang diperdagangkan itu bukan satu pembelaan bagi ahli sindiket yang melakukan
jenayah ini (Seksyen 16).
Jenayah pemerdagangan orang
merentasi sempadan negara. Ia satu jenayah global yang serius, menduduki tahap
kedua selepas jenayah pengedaran dadah. Ia adalah jenayah perhambaan moden,
dianggarkan memberi keuntungan tahunan kepada sindiket sebanyak AS$31 bilion.
Malaysia berusaha bersungguh-sungguh membanteras jenayah ini, namun masih belum
berjaya sepenuhnya.
Malaysia kini menjadi negara
transit dan destinasi jenayah ini. Ada tanda-tanda menunjukkan ia juga boleh
menjadi negara sumber, walaupun masih di tahap rendah.
Mengikut Majlis Antipemerdagangan
Orang (MAPO), kesedaran masyarakat di negara ini mengenai isu pemerdagangan
manusia masih rendah dan ramai yang samar-samar atau tidak faham tentang skop
jenayah ini (http://mapo.bernama.com/news.php?id=574797). Ramai juga masih
keliru (atau tidak sedar) perbezaan antara kesalahan pemerdagangan orang dan
kesalahan penyeludupan migran.
Undang-undang asal kita, Akta
Antipemerdagangan Orang 2007 (Akta 670) telah dipinda dan diluaskan skopnya
pada 15 November 2010 dan kini dikenali dengan nama barunya, Akta Anti
Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran. Antara matlamat pindaan
adalah memerangi sindiket penjenayah antarabangsa yang menjadikan Malaysia
sebagai negara transit pemerdagangan dan penyeludupan manusia untuk membawa
mangsa ke negara ketiga. Kebanyakan mangsa yang dibawa ke negara ini adalah
dari Afghanistan, Pakistan dan Myanmar, dengan tujuan dibawa ke Indonesia dan
akhirnya ke Australia.
Untuk memastikan tindakan
membanteras jenayah ini terus tersusun rapi dan berkesan, pada 31 Mac 2010
kerajaan Malaysia telah merangka Pelan Tindakan Kebangsaan Antipemerdagangan
Orang bagi tempoh lima tahun (2010-2015).
USAHA MEMBANTERAS JENAYAH
Polis Diraja Malaysia (PDRM)
telah menubuhkan Unit Antipemerdagangan Orang (Unit ATIP) di Ibu Pejabat Polis
Bukit Aman, Kuala Lumpur. Tugas utama unit ini adalah mengenal pasti kes-kes
pemerdagangan orang, mengumpul maklumat dan risikan serta menjalankan
penguatkuasaan di premis yang berkaitan dengan kesalahan ini.
PDRM memberi penekanan kepada
jenis eksploitasi yang disebutkan dalam Akta 670 itu, yang merangkumi
eksploitasi seks, kerja atau perkhidmatan paksa, perhambaan atau amalan yang
menyerupai perhambaan dan pengabdian, pemindahan organ manusia atau aktiviti
lain yang menyalahi undang-undang.
Akta 670 mula dikuatkuasakan pada
28 Februari 2008. Dari tarikh itu hingga 27 Jun 2010, sebanyak 165 kes
pemerdagangan orang melibatkan eksploitasi seks dicatatkan. Daripada 808 mangsa
pemerdagangan orang yang diselamatkan kerana eksploitasi seks, kesemuanya warga
asing. Daripada jumlah itu, 42 kanak-kanak
(http://repo.uum.edu.my/3162/1/s1.pdf).
MENJAGA KEBAJIKAN MANGSA
Menurut MAPO, dari tarikh akta
dikuatkuasakan pada 28 Februari 2008 hingga 21 Disember 2010, sebanyak 304 kes
dilaporkan manakala 434 orang ditahan kerana terbabit dalam jenayah ini. Dalam
tempoh sama, 1,930 mangsa telah diberi perintah perlindungan sementara (IPO)
manakala 708 lagi perintah perlindungan. Kebanyakan mangsa terlibat dalam
eksploitasi seks (189 mangsa), perkhidmatan paksa (58), penyeludupan manusia
(24) dan penjualan bayi (11).
Mengikut laporan terkini oleh
Jabatan Negara Amerika Syarikat, Malaysia adalah negara destinasi dan transit
(lihat Trafficking in Persons Report 2013, di portal http://www.state.gov/j/tip/rls/tiprpt/2013).
Mangsa pemerdagangan terdiri daripada pekerja asing berdokumen dan pekerja
asing tanpa dokumen di negara ini. Mereka ialah migran yang datang secara
sukarela dari Indonesia, Nepal, India, Thailand, China, Filipina, Burma, Kemboja,
Laos, Bangladesh, Pakistan dan Vietnam untuk mencari pekerjaan dah peluang
ekonomi yang sukar diperolehi di negara mereka tetapi akhirnya menjadi mangsa
sindiket pemerdagangan manusia.
Mengikut laporan itu lagi, dalam
tahun 2012, kerajaan Malaysia berjaya mendapatkan sabitan 11 kes pemerdagangan
seks dan 20 kes pemerdagaganan pekerja. Polis, Jabatan Imigresen dan Jabatan
Tenaga Kerja menjalankan siasatan ke atas 190 kes pemerdagangan orang dalam
tahun itu dan memulakan pendakwaan dalam 63 kes.
Sambil mengakui bahawa kerajaan
Malaysia ada memberi latihan kepada pegawai-pegawainya bagi membanteras jenayah
pemerdagangan orang, laporan itu menyatakan tahap kefahaman isu pemerdagangan
ini masih rendah dalam kalangan pegawai kerajaan di barisan hadapan termasuk
polis dan imigresen.
Walaupun tidak menafikan usaha
menyelamatkan mangsa dari premis penjenayah sentiasa dijalankan, laporan itu
tetap mengatakan kerajaan Malaysia masih gagal melakukan apa-apa penambahbaikan
yang signifikan dalam menjaga kebajikan mangsa dalam tempoh laporan ini. Mangsa
jenayah ini terus ditempatkan dalam tahanan government facilities, di mana
pergerakan mereka terus disekat dalam tempoh yang ditetapkan oleh mahkamah -
ada antara tiga hingga enam bulan, malah melebihi setahun.
Laporan ini juga menyatakan sukar
bagi mangsa mendapatkan akses kepada pengamal undang-undang atau pakar psikologi(http://www.state.gov/documents/organization/210740.pdf). Malaysia
kekal diletakkan dalam Tier 2 Watch List Jabatan Negara Amerika Syarikat. Dalam
bahasa mudah, tindakan menyelamatkan mangsa jenayah pemerdagangan orang perlu
disusuli dengan langkah-langkah lebih baik serta konsisten bagi menjaga
kebajikan mereka, seperti dihasratkan dalam Laporan 2013 di atas itu tadi.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/