Rabu, 5 Mac 2014

ISU GLOBAL : Menyelamat mangsa pemerdagangan


Oleh  : Salleh Buang

PADA 21 Februari lalu, Utusan Malaysia menyiarkan berita mengenai tindakan pihak berkuasa kita menyelamatkan empat lelaki Myanmar yang menjadi mangsa jenayah pemerdagangan orang. Mangsa telah dikurung dan dirantai di sebuah rumah usang di Jalan Pasar, Sungai Petani, Kedah. Ketika diselamatkan, mereka dalam keadaan lesu kerana dipercayai tidak diberi makan sudah tiga hari.

Mengikut Ketua Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, Asisten Komisioner Nashir Ya, setelah menerima laporan daripada penduduk setempat, sepasukan polis telah menyerbu premis berkenaan, yang terletak di belakang sebuah hotel.

Hasil siasatan mendedahkan mangsa telah dikurung untuk maksud memeras wang tebusan daripada keluarga mereka di Myanmar. Seorang mangsa memaklumkan bahawa mereka dibawa masuk ke negara ini sudah sembilan hari sebelum ditempatkan di rumah tersebut. Kesemua mangsa tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.

Pada 12 Februari lalu, polis menahan tiga suspek ketika cuba menyeludup lapan warga Myanmar ke Pantai Timur. Mengikut Ketua Polis Daerah Gerik, Supritendan Abdul Manab Bahrum, suspek dan warga Myanmar itu ditahan dalam kereta Proton Saga kira-kira pukul 7 pagi berhampiran Kampung Sira Panas, dekat Gerik, Perak. Suspek dipercayai dalam perjalanan ke Kelantan dan diberkas di Kilometer 8, Jalan Raya Timur Barat.

Mengikut Abdul Manab, modus operandi penjenayah pemerdagangan orang ini ialah menggunakan Lebuh Raya Timur Barat sebagai laluan untuk menyeludup warga asing terutamanya warga Myanmar.

Beberapa hari sebelumnya, pada 7 Februari, polis Pulau Pinang menyelamatkan 11 wanita warga asing iaitu dua dari Kemboja dan selebihnya dari Indonesia, yang dipercayai menjadi mangsa pemerdagangan oleh sebuah syarikat agensi pekerjaan dalam satu serbuan di Bandar Baru Farlim.

Mengikut Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng, dalam serbuan yang dijalankan pukul 6.45 petang, polis menemui warga asing itu dikurung di premis berkenaan. Mangsa berumur antara 21 hingga 41 tahun. Empat daripadanya bekerja di negeri itu sebagai pembantu rumah sudah sebulan tetapi tidak dibayar gaji. Tujuh mangsa lain baru tiba lima hari, setelah dijanjikan kerja sebagai pembantu rumah di negara ini.

Siasatan polis mendedahkan bahawa mangsa masuk ke negara ini menggunakan pas lawatan sosial. Mereka dikurung oleh pemilik agensi pekerjaan dan tidak diberi makan secara teratur. Polis menemui semua pasport milik mangsa.

ERTI PEMERDAGANGAN ORANG

Mengikut Seksyen 2, Akta Antipemerdagangan Orang 2007 (Akta 670), istilah pemerdagangan orang bermakna merekrut, mengangkut, memindahkan, melindungi, membekalkan atau menerima orang bagi maksud eksploitasi.

Istilah eksploitasi pula ditakrif dalam seksyen yang sama sebagai ‘semua bentuk eksploitasi seksual, kerja atau khidmat paksa, perhambaan atau amalan yang serupa perhambaan, apa-apa aktiviti yang menyalahi undang-undang atau pemindahan organ manusia’.

Mana-mana orang yang disabitkan kesalahan memperdagangkan orang (bukan kanak-kanak) bagi maksud eksploitasi boleh dihukum, jika sabit kesalahan, dengan penjara tidak melebihi 15 tahun dan denda (Seksyen 12).

Jika perbuatan memperdagangkan orang lain (bukan kanak-kanak) bagi maksud eksploitasi itu dilakukan oleh seorang dengan menggunakan mana-mana satu unsur berikut (ancaman, kekerasan atau bentuk paksaan yang lain, pemelarian, penipuan, perdayaan, penyalahgunaan kuasa dan sebagainya), dia boleh dihukum jika sabit kesalahan, dengan penjara tiga hingga 20 tahun dan denda (Seksyen 13).

Jika perbuatan  memperdagangkan orang itu melibatkan mangsa kanak-kanak, orang itu boleh dihukum dengan penjara antara tiga hingga 20 tahun dan denda (Seksyen 14).

Dalam satu pendakwaan bagi kesalahan di bawah Seksyen 12, 13 atau 14, persetujuan atau kerelaan mangsa yang diperdagangkan itu bukan satu pembelaan bagi ahli sindiket yang melakukan jenayah ini (Seksyen 16).

Jenayah pemerdagangan orang merentasi sempadan negara. Ia satu jenayah global yang serius, menduduki tahap kedua selepas jenayah pengedaran dadah. Ia adalah jenayah perhambaan moden, dianggarkan memberi keuntungan tahunan kepada sindiket sebanyak AS$31 bilion. Malaysia berusaha bersungguh-sungguh membanteras jenayah ini, namun masih belum berjaya sepenuhnya.

Malaysia kini menjadi negara transit dan destinasi jenayah ini. Ada tanda-tanda menunjukkan ia juga boleh menjadi negara sumber, walaupun masih di tahap rendah.

Mengikut Majlis Antipemerdagangan Orang (MAPO), kesedaran masyarakat di negara ini mengenai isu pemerdagangan manusia masih rendah dan ramai yang samar-samar atau tidak faham tentang skop jenayah ini (http://mapo.bernama.com/news.php?id=574797). Ramai juga masih keliru (atau tidak sedar) perbezaan antara kesalahan pemerdagangan orang dan kesalahan penyeludupan migran.

Undang-undang asal kita, Akta Antipemerdagangan Orang 2007 (Akta 670) telah dipinda dan diluaskan skopnya pada 15 November 2010 dan kini dikenali dengan nama barunya, Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran. Antara matlamat pindaan adalah memerangi sindiket penjenayah antarabangsa yang menjadikan Malaysia sebagai negara transit pemerdagangan dan penyeludupan manusia untuk membawa mangsa ke negara ketiga. Kebanyakan mangsa yang dibawa ke negara ini adalah dari Afghanistan, Pakistan dan Myanmar, dengan tujuan dibawa ke Indonesia dan akhirnya ke Australia.

Untuk memastikan tindakan membanteras jenayah ini terus tersusun rapi dan berkesan, pada 31 Mac 2010 kerajaan Malaysia telah merangka Pelan Tindakan Kebangsaan Antipemerdagangan Orang bagi tempoh lima tahun (2010-2015).

USAHA MEMBANTERAS JENAYAH

Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menubuhkan Unit Antipemerdagangan Orang (Unit ATIP) di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. Tugas utama unit ini adalah mengenal pasti kes-kes pemerdagangan orang, mengumpul maklumat dan risikan serta menjalankan penguatkuasaan di premis yang berkaitan dengan kesalahan ini.

PDRM memberi penekanan kepada jenis eksploitasi yang disebutkan dalam Akta 670 itu, yang merangkumi eksploitasi seks, kerja atau perkhidmatan paksa, perhambaan atau amalan yang menyerupai perhambaan dan pengabdian, pemindahan organ manusia atau aktiviti lain yang menyalahi undang-undang.

Akta 670 mula dikuatkuasakan pada 28 Februari 2008. Dari tarikh itu hingga 27 Jun 2010, sebanyak 165 kes pemerdagangan orang melibatkan eksploitasi seks dicatatkan. Daripada 808 mangsa pemerdagangan orang yang diselamatkan kerana eksploitasi seks, kesemuanya warga asing. Daripada jumlah itu, 42 kanak-kanak (http://repo.uum.edu.my/3162/1/s1.pdf).

MENJAGA KEBAJIKAN MANGSA

Menurut MAPO, dari tarikh akta dikuatkuasakan pada 28 Februari 2008 hingga 21 Disember 2010, sebanyak 304 kes dilaporkan manakala 434 orang ditahan kerana terbabit dalam jenayah ini. Dalam tempoh sama, 1,930 mangsa telah diberi perintah perlindungan sementara (IPO) manakala 708 lagi perintah perlindungan. Kebanyakan mangsa terlibat dalam eksploitasi seks (189 mangsa), perkhidmatan paksa (58), penyeludupan manusia (24) dan penjualan bayi (11).

Mengikut laporan terkini oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat, Malaysia adalah negara destinasi dan transit (lihat Trafficking in Persons Report 2013, di portal http://www.state.gov/j/tip/rls/tiprpt/2013). Mangsa pemerdagangan terdiri daripada pekerja asing berdokumen dan pekerja asing tanpa dokumen di negara ini. Mereka ialah migran yang datang secara sukarela dari Indonesia, Nepal, India, Thailand, China, Filipina, Burma, Kemboja, Laos, Bangladesh, Pakistan dan Vietnam untuk mencari pekerjaan dah peluang ekonomi yang sukar diperolehi di negara mereka tetapi akhirnya menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia.

Mengikut laporan itu lagi, dalam tahun 2012, kerajaan Malaysia berjaya mendapatkan sabitan 11 kes pemerdagangan seks dan 20 kes pemerdagaganan pekerja. Polis, Jabatan Imigresen dan Jabatan Tenaga Kerja menjalankan siasatan ke atas 190 kes pemerdagangan orang dalam tahun itu dan memulakan pendakwaan dalam 63 kes.

Sambil mengakui bahawa kerajaan Malaysia ada memberi latihan kepada pegawai-pegawainya bagi membanteras jenayah pemerdagangan orang, laporan itu menyatakan tahap kefahaman isu pemerdagangan ini masih rendah dalam kalangan pegawai kerajaan di barisan hadapan termasuk polis dan imigresen.

Walaupun tidak menafikan usaha menyelamatkan mangsa dari premis penjenayah sentiasa dijalankan, laporan itu tetap mengatakan kerajaan Malaysia masih gagal melakukan apa-apa penambahbaikan yang signifikan dalam menjaga kebajikan mangsa dalam tempoh laporan ini. Mangsa jenayah ini terus ditempatkan dalam tahanan government facilities, di mana pergerakan mereka terus disekat dalam tempoh yang ditetapkan oleh mahkamah - ada antara tiga hingga enam bulan, malah melebihi setahun.

Laporan ini juga menyatakan sukar bagi mangsa mendapatkan akses kepada pengamal undang-undang atau pakar psikologi(http://www.state.gov/documents/organization/210740.pdf). Malaysia kekal diletakkan dalam Tier 2 Watch List Jabatan Negara Amerika Syarikat. Dalam bahasa mudah, tindakan menyelamatkan mangsa jenayah pemerdagangan orang perlu disusuli dengan langkah-langkah lebih baik serta konsisten bagi menjaga kebajikan mereka, seperti dihasratkan dalam Laporan 2013 di atas itu tadi.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Komen