Sabtu, 15 Disember 2012

ISU SOSIAL : KE ARAH NEGARA BEBAS GEJALA RASUAH


Oleh : MOHD. FAUZI ZULKIFLI

RASUAH adalah satu masalah besar bagi sebuah negara berdaya maju dan bercita-cita tinggi seperti Malaysia. Sekiranya ia tidak dibendung, barangkali segala dasar dan perancangan yang diatur pihak pemerintah akan gagal begitu sahaja.

Diakui juga rasuah merupakan masalah yang menjadi kebiasaan dalam kehidupan masyarakat zaman moden. Sesetengah mereka bersedia untuk menerima rasuah dan memberi rasuah untuk mendapatkan sesuatu yang menguntungkan tanpa menyedari bahawa ia merupakan 'barah' tersembunyi yang boleh meruntuhkan sebuah tamadun dan struktur binaan sebuah negara bangsa.

Namun begitu, rakyat Malaysia sewajarnya bersyukur dan berbangga kerana berdasarkan pencapaian negara dalam Indeks Persepsi Rasuah Antarabangsa (CPI) 2012 yang dikeluarkan oleh Transparency International (IT) menunjukkan bahawa bumi bertuah ini berada dalam kedudukan lebih baik berbanding tahun 2011.

Kedudukan di tangga 54 daripada 176 negara berbanding ke-60 daripada 183 negara telah membuktikan bahawa segala usaha yang dilakukan oleh kerajaan untuk membanteras 'jenayah rasuah' sudah membuahkan hasil dan kejayaan yang baik melalui program-program yang dilaksanakan.

Malah Malaysia berjaya mengatasi  beberapa negara ASEAN lain dengan memungut (49 mata) serta menduduki tempat ketiga selepas Singapura (87 mata) dan Brunei (55 mata). Walaupun jumlah mata dikumpul agak jauh ketinggalan berbanding negara jiran, Singapura, namun yang lebih penting adalah kesungguhan dan komitmen kerajaan untuk mengurus 'jenayah rasuah' dalam dunia tanpa sempadan.

Jelaslah bahawa Pelan Transformasi Ekonomi (ETP), Program Transformasi Kerajaan (GTP) serta Bidang Utama Keberhasilan Negara (NKRA) mula memberi maklum balas positif sepanjang pelaksanaannya.

Kerjasama Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan (PEMANDU) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga memberi impak baik terhadap pelbagai sektor di negara ini.

Penulis amat yakin dan optimis bahawa dengan perancangan dan usaha yang berterusan oleh pihak kerajaan pasti akan dapat mengurangkan lagi 'jenayah rasuah' pada masa depan. Sektor awam dan swasta serta masyarakat juga mesti berganding bahu dan bekerjasama untuk menghapuskan 'budaya jijik' ini.

Sekiranya semua pihak sebulat suara dan bertekad untuk bersatu, pasti Malaysia dapat meletakkan dirinya dalam kalangan negara bebas rasuah suatu hari nanti dan ini sudah tentu akan membanggakan kita semua sebagai rakyat Malaysia yang menolak rasuah dan cinta akan negara.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/