SETIAP tahun, kita akan sibuk
membincangkan isu ranking atau kedudukan universiti-universiti Malaysia di
persada dunia, yang terbaru adalah senarai yang dikeluarkan oleh QS World
University Rankings di mana universiti-universiti kita berlegar di kedudukan
200-300 dunia.
Pandangan dan respon terhadap
ranking ini terbahagi kepada dua. Pandangan pertama melihat penyenaraian
universiti-universiti dunia ini adalah sesuatu yang positif kerana ia boleh
memberikan satu bentuk ukuran kepada tahap pencapaian sesebuah universiti itu.
Pandangan kedua pula lebih
melihat penyenaraian ini hanyalah satu bentuk eksploitasi di mana
kriteria-kriteria yang digunakan tidak tepat dan tidak memberikan gambaran
sebenar pencapaian dan falsafah penubuhan sesebuah universiti itu.
Malah, ada pihak yang menyatakan
ranking ini adalah satu strategi pemasaran bertujuan untuk merendahkan
kemampuan universiti-universiti dari negara membangun dan membanggakan
seterusnya mempromosikan universiti-universiti di negara maju.
Namun, walau apa pun pandangan
kita, sama ada pandangan pertama atau kedua, kita haruslah bersetuju bahawa
universiti-universiti kita wajib menggiatkan usaha agar setaraf dengan universiti-universiti
terkemuka dunia.
Ini kerana sejarah telah
membuktikan bahawa kejayaan dan keagungan sesuatu masyarakat dan negara bermula
dan berjalan seiring dengan kemajuan ilmu dikalangan masyarakat dan
universiti-universitinya.
Tamadun Yunani sinonim dengan
pemikir-pemikirnya dan juga intitusi-institusi kelimuannya seperti Academy yang
ditubuhkan oleh Plato dan Lyceum yang ditubuhkan oleh Aristotle.
Zaman kegemilangan Islam pula
menyaksikan kelahiran ilmuan-ilmuan seperti Al-Ghazali, Al-Farabi dan Ibn Sina
serta terbangunnya Bait Al-Hikmah di Baghdad dan Al-Azhar di Egypt. Di Morocco
pula, Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa
Bersatu(Unesco) telah mengiktiraf
Al-Qarawiyyin sebagai institusi pertama yang mengeluarkan ijazah lantas
diiktiraf sebagai universiti yang pertama di dunia.
Kemajuan ilmu seterusnya
disambung oleh masyarakat di hemisfera barat bermula dari Zaman Pencerahan
sehinggalah ke hari ini. Nama-nama seperti Isaac Newton, Gauss, James Clerk
Maxwell, Einstein, Steve Job, Bill Gates
mula terbit di jurnal-jurnal ilmiah bersama rekaan dan inovasi mereka.
Dan berdasarkan ranking QS yang
terkini, universiti-universiti di UK dan US menduduki senarai sepuluh yang
terbaik di dunia; MIT (1), Harvard (2), Cambridge (3), UCL (4), Imperial
College (5), Oxford (6), Stanford (7), Yale (8), Chicago (9) dan Caltech (10).
Di Asia pula,
universiti-universiti di timur jauh seperti Universiti Hong Kong, Universiti
Tokyo, Universiti Peking dan Universiti Kebangsaan Seoul pula mengungguli
kedudukan terbaik.
Maka, bukanlah satu kebetulan
apabila masyarakat berkulit putih dan berkulit kuning ini yang mencaturkan
dunia pada era ini dalam segenap segi. Ia bukanlah satu kebetulan kerana mereka
hanya mengulangi sejarah “Siapa berilmu dialah kudrat”.
Berdasarkan ini, seharusnya kita
berasa khuatir dengan kedudukan dan pencapaian universiti-universiti kita
apatah lagi pada hakikat kedudukan kita adalah yang tertinggi jika dibandingkan
dengan negara Islam yang lain.
Bagaimana kita hendak mencapai
wawasan 2020 iaitu menjadi negara yang setanding dengan negara-negara maju jika
universiti-universiti kita yang sepatutnya menjadi penjana kepada kemajuan
masih lagi belum setanding?
Berdasarkan pengalaman dan
pemerhatian saya, permasalahan utama yang kita sedang hadapi ialah
universiti-universiti kita masih belum mampu menjalankan tugas-tugas akademia
yang sebenar iaitu melahirkan ilmu dan teknologi baru serta graduan-graduan
yang mampu mencari ilmu secara kendiri serta bersifat inovatif.
Sebaliknya, universiti-universiti
kita masih lagi ditahap pengajian teknikal dan vokasional dimana ia hanya
melahirkan graduan yang lebih layak digelar juruteknik kerana hanya mampu
membuat kiraan-kiraan yang telah ditetapkan dan melakukan kerja-kerja yang
tipikal.
Pelajar-pelajar kita masih lagi
hanya diajar menggunakan rumus-rumus terakhir, jadual-jadual yang telah
tersedia dan mengikuti prosedur-prosedur piawai tanpa didahului dengan
perbincangan berkenaan penerbitan dan prinsip serta falsafah saintifik yang
membelakangi rumus-rumus, jadual-jadual dan prosedur-prosedur tersebut.
Tanpa pemahaman yang fundamental,
bagaimana mungkin pelajar-pelajar dapat memahami sedalam-dalamnya sesuatu ilmu
tersebut. Tanpa pemahaman yang mendalam pula,bagaimana mungkin kita dapat
menghasilkan output saintifik seperti ilmu-ilmu dan rekaan-rekaan terbaru.
Dan tanpa output saintifik
sebegini, bagaimana mungkin universiti-universiti kita dapat tersenarai tinggi
di ranking dunia tapi lebih penting, tanpa output sebegini, bagaimana mungkin
negara dapat menyediakan ekonomi lestari (sustainable economy) kerana ekonomi
sebegini amat bergantung kepada inovasi dan produk berasaskan pengetahuan
(knowledge-based product).
Tetapi pelajar-pelajar adalah
pihak terakhir yang patut dipersalahkan kerana mereka hanya menerima apa yang
diajarkan kepada mereka. Pihak yang sepatutnya dipertanggungjawabkan adalah
pentadbir dan pensyarah-pensyarah di universiti itu sendiri.
Sama ada mereka tidak sedar akan
permasalahan ini atau mereka tidak mampu menyelesaikannya.
Mereka tidak mampu kerana ada
kemungkinan mereka sendiri tiada kepakaran dan kefahaman yang mendalam dalam
bidang tersebut. Ini tidak mustahil kerana jika kita menilai semula kelayakan
akademik terutamanya kajian-kajian PHD pensyarah-pensyarah kita, amat sedikit
yang benar-benar berkecimpung dalam arena fundamental dan berunsurkan
matematik.
Saya menyatakan perkara ini bukan
sahaja berdasarkan pengalaman saya sebagai pensyarah, bukan sahaja melalui
komunikasi saya dengan pensyarah-pensyarah yang lain tetapi berdasarkan juga
keterlibatan saya dalam beberapa program yang berbentuk penjalinan
subjek-subjek matematik, fundamental dan aplikasi terutamanya yang berkaitan
dengan kejuruteraan. Program-program yang boleh saya nyatakan tidaklah begitu
berjaya.
Mungkin di sini saya boleh
mencadangkan dua kaedah yang boleh diambil untuk menyelesaikan permasahan ini.
Yang pertama, proses pengambilan pensyarah-pensyarah dimasa akan datang dan
perlanjutan pengajian PHD mereka perlu fokus kepada bidang yang fundamental
tetapi masih hampir dengan aplikasi terutamanya yang berunsurkan inovasi.
Bentuk pengajian sebegini kerap ditawarkan di universiti-universiti terkemuka
di dunia, maka hantarlah mereka ke sana.
Yang kedua, pensyarah-pensyarah
sedia ada perlu digalakkan untuk mengulang kaji aspek-aspek fundamental dan
unsur-unsur matematik yang berkaitan dengan bidang mereka. Ini boleh dilakukan
melalui kempen-kempen kesedaran ataupun melalui langkah yang lebih formal
seperti menghadiri kursus dan bengkel.
Maka boleh disimpulkan bahawa
ranking universiti dunia ini, walaupun mempunyai pelbagai pandangan dan respon,
masih boleh menjadi kayu ukur kepada pencapaian universiti universiti kita.
Ukuran ini adalah penting kerana
ia boleh menentukan halatuju universiti-universiti kita terutamanya dalam
membantu negara menyediakan ekonomi lestari menjelang 2020 melalui penghasilan
ilmu-ilmu dan rekaan-rekaan terbaru serta inovatif. Sesungguhnya, sejarah telah
membuktikan “Siapa berilmu dialah kudrat”.
Penulis ialah Pensyarah Kanan
di Fakulti Kejuruteraan Awam, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Johor Bahru