Oleh : Wan Roslili Binti Majid
NABI SAW bersabda dalam sebuah hadis, "Setiap anak Adam
tidak terlepas daripada melakukan dosa dan sebaik-baik orang yang berdosa ialah
yang bertaubat kepada Allah." (Al-Tirmizi). Hadis ini menunjukkan bahawa
ruang dan peluang sentiasa terbuka untuk orang yang melakukan dosa bagi menebus
kesilapannya dengan syarat ia bertaubat dengan sejujurnya kepada Allah.
Hadis ini diteguhkan oleh hadis-hadis yang lain dan
ayat-ayat yang menjelaskan sifat Maha Pengampun Allah SWT terhadap
hamba-hamba-Nya. Demikian Pengampunnya Allah, maka manusia juga digalakkan
supaya sentiasa mengutamakan sikap memaafkan kesalahan termasuklah dalam kes
pembunuhan, berbanding dengan pelaksanaan qisas (bunuh balas) terhadap
penjenayah.
Umum mengetahui bahawa setiap kesalahan dan penganiayaan
yang dilakukan terhadap orang lain perlu dihukum dan di sinilah hukuman
sebagaimana ditetapkan oleh undang-undang Islam, memainkan peranan pentingnya
sebagai pencegahan, pemulihan, dan pembalasan. Bagi penjenayah yang telah
menjalani hukuman, mereka sentiasa mengharapkan agar mereka dimaafkan, diterima
semula, dan diberikan peluang kedua, bukan sahaja oleh anggota keluarga tetapi
juga segenap lapisan masyarakat.
Di sinilah pula letaknya peranan masyarakat untuk
membuktikan kesediaan, sokongan, kerjasama, dan komitmen yang tinggi untuk
membantu institusi pemulihan seperti penjara melaksanakan tanggungjawab
menjadikan bekas banduan sebagai insan yang dapat berperanan dengan berkesan
dan berbakti kepada masyarakat dan negara.
Kajian yang dilakukan penulis pada tahun lalu di salah
sebuah penjara wanita tempatan yang bertujuan mengkaji perlindungan terhadap
kebajikan banduan wanita mendedahkan penulis kepada beberapa penemuan penting.
Kumpulan banduan yang ditemu bual sebagai salah satu kaedah penyelidikan
membabitkan kelompok tertentu seperti banduan hamil, banduan wanita bersama
anak kecil, banduan wanita berkeluarga, banduan wanita belum berkahwin, dan
banduan berpenyakit kronik seperti AIDS.
Kesalahan yang dilakukan adalah pelbagai termasuk pecah
amanah, mencuri, dan pengedaran serta pengambilan dadah. Secara umumnya setiap
hak banduan yang digariskan oleh Peraturan Penjara 2000 dilindungi dan
kebajikan mereka diberikan perhatian sewajarnya.
Bagaimanapun terdapat beberapa isu penting yang perlu
diberikan perhatian. Antaranya termasuklah mempertimbang penangguhan hukuman
penjara sehingga selepas kelahiran bayi. Ini sebagaimana yang dilaksanakan oleh
Nabi SAW dalam kes dua orang wanita yang membuat pengakuan bahawa masing-masing
hamil disebabkan perzinaan dan meminta agar Baginda menjatuhkan hukuman hadd
atas mereka. Nabi SAW telah menangguhkan hukuman sehingga kedua-dua wanita
berkenaan melahirkan bayi masing-masing.
Kedua-dua kes menunjukkan sikap dan keprihatinan Baginda
yang tinggi dalam memelihara kebajikan serta kepentingan bayi.
Institusi pemulihan seperti penjara perlu meneladani
tindakan yang diambil oleh Nabi SAW memandangkan wanita hamil mempunyai
keperluan khusus yang perlu dipenuhi selain kehamilan itu sendiri merupakan
fasa terpenting dalam hidupnya.
Pada waktu inilah wanita tersebut memerlukan sokongan,
simpati, dan timbang rasa. Selain itu, perubahan emosi yang terpaksa ditempuh
oleh wanita berkenaan sepanjang tempoh kehamilan pasti akan memberikan kesan
terhadap bayi yang berada dalam kandungan. Apatah lagi jika ibu terbabit
terlibat dengan kes-kes serius dan mengalami tekanan akibat ketidakpastian
hukuman yang bakal dijatuhkan terhadapnya.
Selain ibu hamil, keperluan banduan yang mempunyai anak
kecil yang tinggal bersama-sama di dalam penjara juga menuntut perhatian besar.
Meskipun keperluan asas yang diperlukan oleh anak kecil tersebut disediakan,
namun pihak pengurusan penjara mungkin dapat meneladani amalan baik yang
dilakukan di beberapa buah negara di dunia melalui penubuhan Unit Ibu dan Anak
(Mother and Baby Unit) dan pewujudan suasana serta persekitaran yang menyumbang
yang perkembangan kanak-kanak terbabit secara normal dan sihat.
Hubungan dengan keluarga khususnya anak-anak merupakan
pendorong semangat banduan wanita kerana ia membentuk harapan yang tinggi dalam
diri mereka bahawa mereka masih diperlukan dan akan diterima semula setelah
dibebaskan kelak. Sebaliknya, jika hubungan banduan terputus dengan keluarga
disebabkan hukuman yang dijalani, maka ia menimbulkan kesan psikologi yang
berat kepada banduan.
Oleh yang demikian, adalah amat penting seandainya hubungan
banduan dengan anggota keluarga khususnya anak-anak dapat diteruskan dan ini
turut menuntut kerjasama daripada keluarga banduan terbabit. Selain lawatan ke
penjara bagi menziarahi ibu, barangkali beberapa buah projek yang dijalankan di
Amerika Syarikat dapat dijadikan contoh bagi mengekalkan hubungan akrab antara
ibu dengan anak-anaknya.
Misalnya usaha yang dijalankan oleh sebuah pertubuhan
sukarelawan dengan sokongan Texas Department of Criminal Justice yang dikenali
sebagai Storybook Project. Pertubuhan sukarelawan ini mengumpulkan buku-buku
cerita kanak-kanak dan merakamkan bacaan buku-buku berkenaan oleh banduan
wanita dan kemudian menghantarnya kepada anak-anak masing-masing untuk didengar
oleh mereka. Tujuannya supaya anak-anak yang terpisah dengan ibu mereka
disebabkan hukuman yang dijalani akan dapat merasai "kehadiran" ibu
mereka di sisi.
Dengan mengambil kira pelbagai faktor terutama kesan hukuman
penjara terhadap banduan dan keluarga, kesukaran penerimaan masyarakat terhadap
banduan, kesulitan mendapatkan pekerjaan selepas dibebaskan selain penjimatan
pembiayaan bagi setiap banduan yang jumlahnya RM35 sehari, hukuman alternatif
bagi penjara dilihat amat perlu dilaksanakan.
Pada masa kini, Jabatan Penjara Malaysia melaksanakan
inisiatif CAC (Pusat Kehadiran Wajib) yang melibatkan pesalah kesalahan ringan
yang dijatuhi hukuman penjara selama tiga bulan atau kurang. Pesalah akan
diarahkan menjalankan kerja-kerja wajib dan berkhidmat untuk anggota masyarakat
dalam tempoh tidak melebihi tiga bulan dan tidak melebihi empat jam waktu
bekerja sehari. Selain inisiatif ini, hukuman alternatif yang lain wajar
difikirkan serta dilasanakan, khususnya yang berkaitan dengan hukuman bagi
kesalahan syariah seperti perintah pemulihan.
Dalam hubungan ini, pentadbir Majlis Agama Islam Negeri
(MAIN), organisasi dan agensi kerajaan dan bukan kerajaan, agensi, pihak
pengurusan masjid, bahkan juga segenap lapisan masyarakat perlu berpadu tenaga
bagi menjayakan matlamat memulihkan pesalah dengan berkesan. MAIN yang berkuasa
membuat peraturan berkaitan dengan pelaksanaan perintah pemulihan yang
dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah di bawah Akta 505 misalnya berperanan
menyediakan program komprehensif untuk pemulihan bagi memudahkan mahkamah
mengeluarkan perintah.
Sehubungan itu pula program pemulihan dan tarbiyah berkesan
yang antaranya melibatkan modul kerohanian dan pemantapan sahsiah diri dirangka
dan seterusnya digerakkan secara kolektif oleh semua pihak.
Penglibatan anggota masyarakat dalam proses pemulihan
pesalah pasti dapat meningkatkan rasa tanggungjawab sosial mereka. Selain itu,
mereka juga dapat menyedari hakikat bahawa pesalah terbabit akhirnya akan
kembali ke pangkuan mereka. Seandainya usaha yang digembleng oleh mereka dengan
pihak-pihak lain berjaya memulihkan pesalah, maka sudah pasti kebaikannya akan
kembali kepada mereka.
Pesalah yang sudah dipulihkan akan dapat membantu mereka
mewujudkan suasana aman dan harmoni dalam masyarakat selain menyertai mereka secara
aktif untuk menunaikan tanggunjawab utama mereka, iaitu menyumbang kepada
agama, bangsa, dan negara.
PENULIS ialah Pegawai Penyelidik Kanan, Pusat Kajian
Syariah, Undang-Undang & Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/