Selasa, 22 Mei 2012

ISU PENGAJIAN TINGGI : Universiti perlu kerjasama menangani isu global


Oleh Khairina Yasin

Tingkatkan interaksi dalam proses menyelesaikan masalah kritikal

KERANGKA kerjasama bersifat multilateral perlu dibentuk dalam kalangan peserta Forum Universiti Presiden 2012, bertujuan menangani cabaran dan kesan perubahan sistem pengajian tinggi bagi memenuhi keperluan tempatan dan globalisasi kini.

Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Datuk Dr Zaini Ujang, berkata amalan kerjasama dua hala yang dilaksanakan kini sudah tidak relevan kerana hampir kebanyakannya hanya dimanfaatkan kedua-dua pihak sahaja.

Sebaliknya, beliau berkata, universiti perlu berinteraksi dengan pelbagai universiti lain kerana setiap institusi itu mempunyai ekosistem yang berbeza.

Perbezaan itu katanya, boleh dimanfaatkan bagi membolehkan mobilasi sumber sedia ada membawa kepada proses penyelesaian isu kritikal terutama membabitkan isu perubahan iklim, bekalan sumber air bersih, sumber tenaga diperbaharui dan pertanian.

“Perjuangan universiti kini bergantung kepada keupayaan mereka mengurus dan menilai semula operasi, bakat, sumber dan teknologi yang ada, bukan sekadar membina keupayaan pengajaran, pembelajaran dan penyelidikan.

“Universiti perlu bijak menguruskan reputasi dan meningkatkan keupayaan pembangunan sosio ekonomi masyarakat. Untuk terus berdaya saing, universiti berperanan mengenengahkan nilai inovasi dan agresif menjana serta memindahkan teknologi untuk dimanfaatkan,” katanya.

Zaini berkata demikian ketika berucap menutup sesi plenari forum berkenaan, berlangsung di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Program dua hari itu berjaya menarik penyertaan lebih 60 ahli akademik, penyelidik, profesional industri dan pemimpin universiti terkemuka dunia daripada 14 negara seluruh dunia.

Antaranya, Profesor Mikrobiologi, Sains Kesihatan dan Teknologi, Massachusetts Institute of Technology; Prof Anthony J Sinskey, Ketua Pegawai Operasi Global Knowledge Initiative (GKI); Sara Farley, Timbalan Setiausaha Hal Ehwal Politik kepada Naib Presiden Indonesia; Prof Dewi Fortuna Anwar, Naib Presiden Shibaura Institute of Technology; Prof Dr Takashi Komeda dan Pengerusi Eksekutif Nusantara Technologies Sdn Bhd yang juga Karyawan Tamu UTM, Datuk Ghazali Mohd Yusoff.

Forum kali keempat bertemakan `Innovative, Entrepreneurial, Global’, turut membincangkan perspektif universiti selain berkongsi amalan terbaik menerusi sesi soal jawab.

Peserta berpeluang melontarkan pandangan, strategi kreatif, pendekatan terkini dan kepakaran berkaitan pengajian serta pembelajaran.

Forum berakhir dengan lima resolusi iaitu kesedaran tanggungjawab setiap universiti menyumbang kepada penciptaan pengetahuan dan aplikasi serta memastikan pembangunan sosio ekonomi, saintifik dan teknologi masyarakat setempat selain mengutamakan jaringan inovasi.

Sementara itu, Sara Farley pada soal jawab selepas membentangkan kertas kerja bertajuk `Innovation’, berkata GKI sebagai organisasi bukan kerajaan global mengalu-alukan kerjasama universiti untuk turut sama menangani cabaran sains, teknologi dan inovasi pada peringkat global.

Ghazali pula turut membangkitkan kepentingan kerjasama pintar universiti dan industri membentuk persefahaman erat menerusi pelaburan secara bersama khususnya dalam menjayakan aktiviti penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan secara sistematik.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan