Jumaat, 11 Mac 2011

Carlos Slim paling kaya di dunia

CARLOS SLIM (RM224.7b)

NEW YORK, Amerika Syarikat (AS) – Taikun telekomunikasi Mexico, Carlos Slim kekal menjadi manusia paling kaya di dunia dengan anggaran kekayaannya mencecah AS$74 bilion (RM224.7 bilion), lapor majalah Forbes kelmarin.

Bilionair berusia 71 tahun itu mengetepikan pengasas bersama Microsoft, Bill Gates yang menduduki tempat kedua dengan kekayaan berjumlah AS$56 bilion (RM170 bilion).

Pelabur AS, Warren Buffet menduduki tempat ketiga dengan kekayaan AS$56 bilion (RM170 bilion).

Tempat keempat menjadi milik taikun barangan mewah dari Perancis, Bernard Arnault dengan anggaran kekayaan AS$41 bilion (RM124.5 bilion).

Senarai Forbes kali ini menyaksikan 332 bilionair adalah dari Asia berbanding 79 bilionair Eropah.

Perkembangan itu menyaksikan Asia memiliki lebih ramai bilionair berbanding Eropah untuk kali pertama.

Menurut Forbes, 115 bilionair Asia dalam senarai tahunannya kali ini berasal dari China

Senarai bilionair dari China itu diungguli Robin Li, usahawan di sebalik kejayaan enjin carian tempatan, Baidu, dengan nilai kekayaan AS$9.4 bilion (RM28.5 bilion).Pengasas Facebook, Mark Zuckerberg berada di tempat ke-52 dengan kekayaan dianggarkan berjumlah AS$13.5 bilion (RM40.9 bilion).

Sementara itu, seramai sembilan bilionair dari Malaysia turut berada dalam senarai Forbes kali ini diketuai oleh raja gula, Robert Kuok, 87, dengan kekayaan AS$8.3 bilion (RM25.2 bilion).

Jumlah itu menyaksikan beliau berada pada kedudukan ke-61 sekali gus mengatasi pengasas Apple, Steve Jobs yang memiliki aset AS$8.3 bilion (RM25.2 bilion) untuk menduduki tempat ke-110 senarai yang sama.

Taikun telekomunikasi tempatan, Ananda Krishnan, menduduki tempat ke-93 senarai Forbes dengan kekayaan AS$9.5 bilion (RM28.8 bilion) manakala bilionair sektor perladangan, Lee Shin Cheng yang memiliki kekayaan AS$5 bilion (RM15.1 bilion) berada di tempat ke-208.

Lain-lain bilionair Malaysia yang menduduki senarai Forbes ialah Tan Sri Quek Leng Chen menduduki senarai ke-219 dengan kekayaan AS$4.8 (RM14.5 bilion).

Bilionair Malaysia, Tan Sri Teh Hong Piow menduduki tempat ke-229 dengan kekayaan AS$4.7 bilion (RM14.2 bilion).

Tan Sri Yeoh Tiong Lay dan keluarga berada di tempat ke-420 dengan kekayaan AS$2.7 bilion (RM8.1 bilion) manakala Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhary menduduki tempat ke-459 dengan kekayaan AS$2.5 bilion (RM7.5 bilion).

Bilionair Tan Sri Tiong Hiew King dan Tan Sri Vincent Tan menduduki tempat ke-993 dengan kekayaan AS$1.2 bilion (RM3.6 bilion). – Agensi.

ISU ANTARABANGSA : Gempa Bumi di Jepun Ibarat Tragedi Hiroshima Kedua

TOKYO - Jepun, negara matahari terbit dengan ekonomi dan teknologi termaju di dunia kini dilihat bakal berhadapan dengan zaman kegelapan selepas dilanda gempa bumi terbesar dalam tempoh 140 tahun, semalam.

Gempa bumi dengan kekuatan 8.9 pada skala Ritcher itu mencetuskan ombak tsunami setinggi 10 meter yang bukan sahaja menyebabkan kemusnahan teruk di negara itu tetapi dilihat bakal menjejaskan ekonomi Jepun apabila lima reaktor nuklear, loji minyak dan pelabuhan terpaksa ditutup, menyebabkan kerugian luar biasa.

Gegaran itu melanda persisiran timur laut Jepun, kira-kira jam 3.46 petang semalam (waktu Malaysia) dan diikuti dengan sekurang-kurangnya 50 gempa susulan dengan kekuatan sehingga 7.1 pada skala Ritcher.

Sehingga jam 11.00 malam semalam, 300 orang dilaporkan terkorban dan lebih empat juta rumah terjejas selepas terputus bekalan elektrik.

Gempa bumi luar biasa yang berlaku 10 kilometer di dasar laut itu dapat dirasai sehingga di Beijing, China.

Bencana itu menyebabkan Lapangan Terbang Narita di Tokyo dan beberapa lebuh raya ditutup selepas kejadian itu.

Jutaan penduduk turut terjejas selepas ribuan rumah dan bangunan musnah di beberapa wilayah di seluruh negara dan sebuah kapal yang membawa 100 penumpang dihanyutkan oleh ombak tsunami.

Perdana Menteri Jepun, Naoto Kan semalam mengumumkan gempa itu menyebabkan kemusnahan teruk di kawasan utara Jepun.

Semua pelabuhan di Jepun ditutup dan operasi dihentikan tetapi Bursa Saham Tokyo diumumkan akan dibuka seperti biasa, Isnin depan.

Sekurang-kurangnya 50 negara lain termasuk negara Pasifik mengeluarkan amaran tsunami sejurus gempa melanda Jepun.

Sebuah kilang minyak di bandar Chiba turut meletup dan terbakar. Laporan juga menunjukkan lebih 80 kebakaran besar berlaku di seluruh Jepun akibat gempa itu dan bomba dilaporkan tidak mampu mengawal kebakaran.

Loji nuklear di negara itu dilaporkan ditutup secara automatik dengan selamat tanpa sebarang kebocoran radiasi dilaporkan.

Selain Jepun, kepulauan Hawaii di Amerika Syarikat turut dilanda tsunami akibat kesan daripada gempa bumi di Jepun, awal pagi semalam.

Di Filipina, kerajaan negara itu mengarahkan 20 kawasan persisiran pantai dikosongkan selepas amaran tsunami dikeluarkan.

Di Rusia, lebih 11,000 penduduk yang tinggal di kawasan berbahaya dipindahkan selepas amaran tsunami dikeluarkan di Pulau Kuril.

Kapal-kapal yang dilabuhkan di pelabuhan Rusia diarah menuju ke te­ngah laut bagi mengelakkan dihempas ombak tsunami.

Gempa bumi yang menggegarkan Jepun itu adalah yang terkuat sejak gempa 9.0 pada skala Ritcher melanda Banda Aceh, Indonesia pada 26 Disember 2004 sehingga menyebabkan tsunami yang membunuh 250,000 orang di 14 negara.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

ISU ANTARABANGSA : Jepun ranap

OMBAK tsunami menghempas Natori di wilayah Miyagi, semalam.

Gempa bumi akibatkan gelombang tsunami 10m jejas ekonomi Tokyo

TOKYO: Gempa bumi paling kuat dalam tempoh 140 tahun dengan ukuran 8.9 pada skala Richter, melanda timur laut Jepun semalam, mencetuskan gelombang tsunami sehingga setinggi 10 meter dan menyebabkan lebih 1,000 orang terbunuh.

Agensi berita Kyodo melaporkan, gempa bumi menyebabkan kerosakan besar kawasan di utara Jepun, manakala gelombang tsunami memusnahkan hampir apa saja di laluannya termasuk ladang pertanian, bangunan, rumah, kapal, kenderaan dan menyebabkan kebakaran.

"Gempa menyebabkan banyak kecederaan, kebakaran dan gelombang besar memaksa beribu-ribu penduduk melarikan diri ke kawasan lebih tinggi untuk menyelamatkan diri,” lapor Kyodo.

Beberapa loji jana kuasa nuklear dan pusat penyulingan minyak ditutup manakala sebuah firma pengeluar besi utama terbakar. Kira-kira 4.4 juta rumah di bahagian utara Jepun terputus bekalan elektrik.

Kyodo melaporkan, sebuah hotel di bandaraya Sendai runtuh, menimbulkan kebimbangan ramai penghuni mungkin terperangkap.

“Keadaan sungguh teruk dan saya ketakutan. Saya tidak pernah mengalami gempa bumi sekuat ini sejak 20 tahun lalu,” kata seorang pengurus sebuah restoran di Akasaka, Hidekatsu Hata, 36.

Pengalaman beliau dikongsi koresponden Reuters di Tokyo Linda Sieg yang turut merasai gegaran kuat di pejabatnya.

“Bangunan pejabat kami bergegar kuat dan lama, menyebabkan ramai kakitangan mengambil topi keledar untuk melindungi kepala mereka, manakala yang lain bersembunyi di bawah meja,” katanya.

Stesen televisyen NHK menyiarkan imej gelombang tsunami menghanyutkan sisa bangunan, kenderaan di kawasan pantai Sendai yang mempunyai sejuta penduduk manakala kapal yang biasanya berada di pantai, dilihat terdampar di pelabuhan.

Asap hitam dilihat berkepul ke udara dari sebuah bangunan di Odaiba di pinggir Tokyo ketika perkhidmatan kereta api laju Jepun ke utara, terpaksa dihentikan.

Syarikat gergasi elektronik Jepun, Sony Corp, menghentikan operasi di enam kilangnya, ketika pesawat tentera udara dikejarkan ke pesisir pantai timur laut bagi meninjau tahap kerosakan yang berlaku.

Bank of Japan yang sedang berusaha meningkatkan ekonomi negara itu berkata pihaknya akan berusaha sedaya upaya memastikan pasaran kewangan terus stabil, ketika pasaran saham dan nilai yen jatuh.

Sementara itu, Pertubuhan Palang Merah di Geneva berkata paras air laut dilaporkan lebih tinggi di beberapa kepulauan Pasifik manakala amaran tsunami di seluruh wilayah itu kecuali Amerika dan Kanada. – Reuters

ISU BAHASA : ASAL-USUL BAHASA MELAYU


Asal-usul perkataan Melayu masih belum dapat disahkan oleh sejarawan.

Bagaimanapun terdapat beberapa bukti sejarah yang cuba mengaitkan asal-usul bahasa Melayu, seperti mana berikut:

1. Catatan orang China yang menyatakan bahawa sebuah kerajaan Mo-lo-yeu mempersembahkan hasil bumi kepada raja China sekitar 644-645 Masihi.

Dikatakan orang Mo-lo-yeu mengirimkan Utusan ke negara China untuk mempersembahkan hasil-hasil bumi kepada raja China.

2. Ada yang mempercayai kerajaan Mo-lo-yeu berpusat di daerah Jambi, Sumatera , daripada sebatang sungai yang deras alirannya, iitu Sungai Melayu.

3. Satu lagi catatan orang China ialah catatan rahib Buddha bernama I-Tsing yang menggunakan kata ma-lo-yu tentang dua buah kerajaan yang dilawatinya sekitar 675 Masihi.

4. Dalam bahasa Jawa Kuno, perkataan “Mlayu” bermaksud berlari atau mengembara. Hal ini boleh dipadankan dengan orang Indo-Melayu (Austonesia) yang bergerak dari Yunan.

Asal Usul Bangsa Melayu

Dipercayai berasal daripada golongan Austronesia di Yunan.

Kumpulan pertama dikenali sebagai Melayu Proto.

Berpindah ke Asia Tenggara pada Zaman Batu Baru (2500 Sebelum Masihi)

Keturunannya Orang Asli di Semenanjung Malaysia, Dayak di Sarawak dan Batak di Sumatera.

Kumpulan kedua dikenali sebagai Melayu Deutro

Berpindah ke Asia Tenggara pada Zaman Logam kira-kira 1500 Sebelum Masihi.

Keturunannya orang Melayu di Malaysia

Dikatakan lebih bijak dan dan mahir daripada Melayu Proto.

Bijak dalam bidang astronomi, pelayaran dan bercucuk tanam.

Bilangan lebih banyak daripada Melayu Proto.

Menduduki kawasan pantai dan lembah di Asia Tenggara.

Orang ini, kumpulan pertama dan kedua, dikenali sebagai Austronesia.

Bahasa-bahasa yang terdapat di Nusantara sekarang berpunca daripada bahasa Austronesia ini.

Nik Safiah Karim menerangkan bahawa bahasa Austronesia ialah satu rumpun bahasa dalam filum bahasa Austris bersama-sama dengan rumpun bahasa Austroasia dan Tibet-China (rujuk carta alir di atas).

Bahasa Melayu termasuk dalam bahasa-bahasa Golongan Sumatera bersama-sama dengan bahasa-bahasa Acheh, Batak, Minangkabau, Nias, Lampung dan Orang Laut

Perkembangan Bahasa Melayu

Ahli bahasa membahagikan perkembangan bahasa Melayu kepada tiga tahap utama iaitu:

* Bahasa Melayu Kuno,
* Bahasa Melayu Klasik dan
* Bahasa Melayu Moden.

Bahasa Melayu Kuno

Merupakan keluarga bahasa Nusantara

Kegemilangannya dari abad ke-7 hingga abad ke-13 pada zaman kerajaan Sriwijaya, sebagai lingua franca dan bahasa pentadbiran.

Penuturnya di Semenanjung, Kepulauan Riau dan Sumatera.

Ia menjadi lingua franca dan sebagai bahasa pentadbiran kerana:

* Bersifat sederhana dan mudah menerima pengaruh luar.
* Tidak terikat kepada perbezaan susun lapis masyarakat
* Mempunyai sistem yang lebih mudah berbanding dengan bahasa Jawa.

Banyak dipengaruhi oleh sistem bahasa Sanskrit. Bahasa Sanskrit kemudian dikenal pasti menyumbang kepada pengkayaan kosa kata dan ciri-ciri keilmuaan (kesarjanaan) Bahasa Melayu.

Bahasa Melayu mudah dipengaruhi Sanskrit kerana:

* Pengaruh agama Hindu
* Bahasa Sanskrit terletak dalam kelas bangsawan, dan dikatakan mempunyai hierarki yang tinggi.
* Sifat bahasa Melayu yang mudah dilentur mengikut keadaan dan keperluan.

Bahasa Melayu kuno pada batu-batu bersurat abad ke-7 yang ditulis dengan huruf Pallawa:

* Batu bersurat di Kedukan Bukit, Palembang (683 M)
* Batu bersurat di Talang Ruwo, dekat Palembang (684 M)
* Batu bersurat di Kota Kampur, Pulau Bangka (686 M)
* Batu bersurat di Karang Brahi, Meringin, daerah Hulu Jambi (686 M)

Bahasa Melayu kuno pada batu bersurat di Gandasuli, Jawa Tengah (832 M) ditulis dalam huruf Nagiri.

Ciri-ciri bahasa Melayu kuno:

* Penuh dengan kata-kata pinjaman Sanskrit
* Susunan ayat bersifat Melayu
* Bunyi b ialah w dalam Melayu kuno (Contoh: bulan – wulan)
* bunyi e pepet tidak wujud (Contoh dengan – dngan atau dangan)
* Awalan ber- ialah mar- dalam Melayu kuno (contoh: berlepas-marlapas)
* Awalan di- ialah ni- dalam bahasa Melayu kuno (Contoh: diperbuat – niparwuat)
* Ada bunyi konsonan yang diaspirasikan seperti bh, th, ph, dh, kh, h (Contoh: sukhatshitta)
* Huruf h hilang dalam bahasa moden (Contoh: semua-samuha, saya: sahaya)

ISU BAHASA : Peserta Turki juara pidato PABM 2011

PUTRAJAYA 11 Mac – Peserta Turki, Halil Ibrahim dinobatkan sebagai juara Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri 2011 bagi kategori antarabangsa yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini malam ini.

Peserta dari Malaysia, Amirrudin Abd. Rahman pula muncul juara kategori nusantara pada pertandingan peringkat akhir yang melibatkan lapan peserta.

Kedua-dua johan pertandingan peringkat akhir itu membawa pulang hadiah wang tunai RM15,200; piala pusingan; piala iringan; hadiah dan sijil.

Naib johan kategori antarabangsa dimenangi oleh Daria Kamyshnikova dari Rusia manakala tempat ketiga menjadi milik peserta Australia, Genevieve Woods.

Bagi kategori nusantara, peserta Brunei, Awang Abdul Rashid Awang Damit memenangi tempat kedua manakala tempat ketiga jatuh ke tangan Muhammad Izwan Othman dari Singapura.

Masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM9,120 dan RM6,080 beserta piala iringan, hadiah dan sijil untuk tempat kedua dan ketiga bagi setiap kategori.

Halil ketika ditemui berkata, dia langsung tidak menduga untuk bergelar juara kerana semua peserta peringkat akhir memberikan saingan yang hebat kepadanya.

“Saya datang jauh dari Turki, saya amat berterima kasih kepada semua pihak terutama tenaga pengajar yang memberi tunjuk ajar selama ini.

“Tidak lupa juga kepada rakan-rakan peserta yang sama-sama berusaha untuk pertandingan kali ini,” katanya.

Sementara itu, Amirrudin menyifatkan kemenangannya itu di luar jangkaan kerana para pesaing lain menunjukkan persembahan hebat untuk menarik perhatian juri.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU BAHASA : Najib jamin bahasa Melayu dipelihara

Oleh ZULKIFLI JALIL dan THOMAS CHONG
pengarang@utusan.com.my

PUTRAJAYA 11 Mac – Kerajaan akan memastikan dasar-dasar yang digubal sentiasa menyokong ke arah usaha mengembang dan memperkasa bahasa Melayu sama ada bersifat kenegaraan mahu pun keantarabangsaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, bahasa Melayu yang telah sekian lama menjadi bahasa pertuturan rasmi dan juga bahasa kebangsaan Malaysia akan terus terpelihara, diperkemas dan diperkembangkan di dalam dan luar negara.

Dalam aspek ini, beliau turut mengumumkan bahawa kerajaan akan mempertimbangkan untuk memberi peruntukan khas kepada Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) bagi tujuan menggalak dan merangsang aktiviti terjemahan.

Ia terutamanya melibatkan terjemahan karya-karya besar dunia ke dalam bahasa Melayu dan usaha-usaha pengukuhan keupayaan.

“Jumlahnya (peruntukan kepada ITNM) akan ditentukan nanti. Diharapkan dengan suntikan ini, ia akan mampu merancakkan lagi senario terjemahan tempatan.

“Apa yang mustahak, biarlah bahasa Melayu menjadi dinamik bersama perkembangan zaman kerana itulah sifat semula jadi sesuatu bahasa,” katanya.

Beliau berucap ketika merasmikan Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini malam ini.

Hadir sama isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Perdana Menteri berkata, beberapa karya ulung sudah pun diterjemah ke dalam bahasa Melayu antaranya Siddharta dan Revival and Reform in Islam.

“Terkini, saya diberitahu, karya tersohor Jalaluddin al-Rumi bertajuk Masnawi yang asalnya dalam bahasa Parsi sedang dibuat penterjemahannya.

“Dalam pada itu, seperkara yang agak unik, buku tulisan saya bertajuk Menakhoda Zaman sedang giat diterjemahkan pula ke dalam bahasa Parsi,” kata beliau.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU PENDIDIKAN : IPT hab inovasi, penyelidikan negara

Oleh Saudi Hamzah
sofeeham@bharian.com.my

Kementerian mahu bangun, wujud persekitaran pengajian tinggi pusat ilmu unggul, insan kompeten


MEMPERTEGUHKAN penyelidikan dan inovasi adalah satu daripada tujuh teras utama yang digariskan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi menjadikan Malaysia sebagai Pusat Kecemerlangan Pengajian Tinggi menjelang 2020. Pada masa sama, KPT juga mahu membangun dan mewujudkan persekitaran pengajian tinggi tempatan yang menggalakkan ke arah menghasilkan pusat ilmu yang unggul dan insan yang kompeten, berinovasi serta berakhlak mulia untuk memenuhi keperluan negara dan antarabangsa.

Pada hakikatnya, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sudah banyak kali menyentuh aspek mengupayakan penyelidikan dan inovasi. Pada beliau, pencapaian sesebuah negara hari ini sebahagian besarnya bergantung kepada keupayaan dan kekuatan dalam membangunkan sumber manusianya dengan nilai tambah dalam bidang inovasi dan kreativiti.

Apabila Malaysia membuat keputusan untuk menganjak dan mentransformasikan pembangunan ekonomi negara bertunjangkan inovasi dan kreativiti, KPT akan memastikan institusi pengajian tinggi (IPT) dalam negara berupaya menjadi pemain utama dan menjadi hab kepada inovasi di negara.

Selain keperluan untuk mempunyai ekosistem inovasi dan budaya yang tepat terhadap inovasi dan penyelidikan dan pembangunan (R&D), KPT akan membangunkan keupayaan dalam melaksanakannya melalui kaedah ‘selectivity and concentration’.

Dengan penambahan dana untuk Fundamental Research Grant Schemes (FRGS) sebanyak RM741 juta untuk dua tahun pertama pelaksanaannya, kementerian perlu strategik dalam pengagihan dana terbabit.

Ini penting supaya pelaksanaan R&D mencapai tahap yang berkualiti dan memberi impak yang besar kepada negara terutama kepada negara berpendapatan tinggi. Untuk itu beberapa inisiatif baru akan diperkenalkan dengan harapan dapat menyumbang kepada merealisasikan peranan pengajian tinggi dalam inovasi negara.
Ini termasuk meningkatkan output penyelidik dalam negara kerana pada tahun lalu, IPT hanya mempunyai 21,000 penyelidik berbanding sasaran kerajaan 200,000 penyelidik pada 2020. Untuk itu, kerajaan sudah memperluaskan sasaran Program MyBrain15 melalui program MyMaster, MyPhD dan PhD industri yang akan meningkatkan jumlah pemegang PhD dalam negara ini.

Ini diikuti pemindahan Jaringan Penyelidikan Pendidikan Malaysia atau Malaysian Research and Education Network (MYREN) kepada KPT sejak 1 Januari 2011. Rangkaian berprestasi tinggi ini akan memberikan KPT satu infrastruktur rangkaian termaju khusus yang berpotensi untuk kolaborasi global termaju dalam bidang pendidikan dan penyelidikan.

Pada masa sekarang rangkaian ini diperluaskan untuk merangkumi semua 20 IPTA, 20 politeknik, 20 kolej komuniti, lima IPTS, dan dua institut penyelidikan. Rangkaian ini akan berhubung terus dengan komuniti penyelidik dan pendidik yang berada di Asia Pasifik, Australasia, Eropah dan Amerika Utara melalui Trans Eurasian Information Network 3 (TEIN 3).

Dengan itu, kesemua penyelidik dan pendidik yang dihubungkan dengan MYREN akan berupaya untuk berkomunikasi dan menjalin kolaborasi dalam ruang kerja maya dengan rakan kerja dalam dan luar negara dengan lebih berkesan dan pantas.

Selain itu, nafas baru diberikan kepada aktiviti pengkomersialan hasil R&D daripada IPT. Usaha gigih dan berterusan dengan kerjasama agensi dalam dan luar negara akan terus dipergiatkan lagi untuk membawa produk dan harta intelek (IP) hasil R&D IPT ke pasaran dunia dan global, termasuk kolaborasi dengan Unit Inovasi Khas (UNIK) di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan agensi lain.

Inisiatif berikutnya ialah menubuhkan Pusat Sitasi Malaysia (PSM) yang akan mula beroperasi sepenuhnya pada tahun ini untuk mengindekskan semua hasil penerbitan dalam negara sama ada dalam bahasa Melayu, bahasa Inggeris, bahasa Arab, bahasa Mandarin dan Tamil.

“KPT peka dengan nilai dan bilangan sitasi yang dirujuk yang menjadi asas kepada ranking dunia dan pengiktirafan profesor tersohor.

“Saya berharap PSM akan mampu melonjakkan lagi bilangan sitasi penyelidik Malaysia melalui kerjasama dengan ISI-Thomson Web of Science, SCOPUS dan Islamic Science Citation Centre (ISC),” kata Mohamed Khaled.

Tidak ketinggalan, mewujudkan beberapa konsep geran penyelidikan yang baru. Ini termasuklah Long Term Research Grant Scheme (LRGS), Exploratory RGS (ERGS), dan Prototype Research Grant Scheme (PRGS) sebagai tambahan kepada Fundamental Research Grant Scheme (FRGS) yang sedia ada.

PRGS adalah inisiatif baru KPT untuk menggalakkan lebih ramai penyelidik IPT untuk meneroka bidang baru setelah sekian lama terbabit dalam bidang R&D semata-mata. Program ini mestilah dilaksanakan dengan tersusun kerana di sinilah bermulanya inisiatif KPT untuk memastikan pengajian tinggi menyokong hasrat kerajaan dan negara dalam menjadi negara maju berpendapatan tinggi.

Inisiatif bagi memantapkan keupayaan Penyelidikan IPTA-IPTS. KPT akan turut memberi keutamaan dalam pengagihan geran FRGS kepada projek yang membabitkan kolaborasi kedua pihak ini.

“Saya berharap ini akan memantapkan lagi kebolehan penyelidikan IPTS. Dengan ini sumbangan IPT negara kita terhadap penghasilan inovasi dan produk yang boleh dikomersialkan oleh IPT kita akan bertambah, program MyBrain15 dapat dijayakan dan seterusnya menyumbang kepada hasrat Model Baru Ekonomi (MBE) yang ingin mencapai negara berpendapatan tinggi menjelang 2020,” katanya.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU BAHASA : Tiada Niat Rendahkan Bahasa Kebangsaan

KUALA LUMPUR: Naib Canselor Universiti Malaya (UM) Datuk Ghauth Jasmon (gambar) pada Jumaat berkata ulasan-ulasan beliau semasa satu taklimat dengan penuntut pada 14 Februari di universiti telah disalah tafsir dan terkeluar daripada konteks dan diberikan gambaran yang salah bahawa beliau merendahkan martabat Bahasa Malaysia.

Ghauth berkata semasa takimat dengan kira-kira 2,000 penuntut dari pelbagai fakulti dan juga staf akademik, beliau hanya menyampaikan data Kementerian Pengajian Tinggi mengenai kebolehpekerjaan graduan dan kaitannya dengan penguasaan yang baik dan kemahiran dalam Bahasa Inggeris.

"Tapi ia berakhir seperti saya tidak memberi keutamaan kepada Bahasa Malaysia, yang mana saya tidak ada niat langsung. Saya fikir ini semua hanya salah faham semata-mata," katanya pada satu sidang akhbar di UM, di sini.

Beliau mengadakan sidang akhbar itu bagi menjelaskan apa yang berlaku semasa taklimat itu yang menimbulkan kontroversi di mana beliau didakwa oleh seorang "Siswa Kecewa, UM (dalam Berita Harian Online 5/3/2011), bahawa Ghauth telah merendahkan martabat bahasa kebangsaan.

Adalah dilaporkan satu memorandum telah dikemukakan oleh para penuntut dari Akademi Pengajian Melayu (APM) mendesak Ghauth meminta maaf berhubung perkara itu dan menyatakan pendiriannya mengenai bahasa kebangsaan.

Ghauth berkata statistik UM tahun lepas menunjukkan bahawa para penuntut APM, enam bulan selepas selesai pengajian, mempunyai kadar kebolehpekerjaan graduan yang rendah berbanding penuntut dari fakulti-fakulti yang lain.

Beliau berkata Kementerian Pengajian Tinggi mahu semua universiti awam di negara ini supaya meningkatkan penguasaan dan kemahiran Bahasa Inggeris di kalangan penuntut dalam usaha meningkatkan kadar kebolehpekerjaan graduan dan ini menjadi tugas beliau untuk membentangkan fakta itu, mesej dan kekhuatiran itu kepada penuntut UM.

"Semua data (yang saya bentangkan) datang dari kementerian dan bukan dari saya. Saya sebenarnya membentangkan statistik dan data yang diberikan kementerian. Tidak ada rancangan untuk meminggirkan Bahasa Malaysia," katanya.

Beliau berkata taklimat itu diadakan antara lain untuk berkongsi visi dan misi bagi meningkatkan kedudukan UM supaya berada dalam kedudukan 100 universiti teratas dalam tempoh lima tahun dan mendapatkan pandangan penuntut mengenai sumbangan mereka bagi mencapai matlamat itu dan membentangkan data kementerian mengenai kebolehpekerjaan graduan dan langkah-langkah bagi mempertingkatkannya antara lain melalui penguasaan Bahasa Ingeris yang lebih baik.

Ghauth berkata, beliau akan bertemu para penuntut APM tidak lama lagi bagi menjelaskan perkara itu dan mengelakkan sebarang salah faham.

"Mungkin mereka tidak sedar bahawa apa jua data yang saya sebutkan datang dari data kebangsaan (kementerian).Jika mereka faham latar belakang perkara ini, saya fikir tidak timbul salah faham ini," katanya.

Sumber : BERNAMA