Selasa, 16 Jun 2009

ISU PENDATANG ASING

ANJAKAN EKONOMI BURUH ASING

KEHADIRAN pekerja asing diakui dapat membantu negara mengatasi masalah kekurangan pekerja. Malah ia turut membantu mencapai kadar pertumbuhan ekonomi.

Kemasukan buruh asing ketara sejak akhir 1980-an. Pada awalnya, kebanyakan mereka bekerja sebagai buruh kasar di sektor formal tetapi kemudian ramai yang beralih menjadi pengusaha.

Promosi Malaysia sebagai negara yang mempunyai kadar upah rendah, mungkin tidak lagi sesuai. Upah pekerja Malaysia tidak lagi rendah secara relatif. Yang rendah ialah upah pekerja asing yang bekerja di Malaysia.

Malaysia wajar dipromosikan sebagai sebuah negara yang sedang beralih kepada aktiviti intensif teknologi dan nilai tambah lebih tinggi, dengan pengambilan buruh asing dilaksanakan secara bijaksana dan terpilih.

Pada tahun lalu, penduduk Malaysia berjumlah sekitar 27,728,700 orang. Kaum Bumiputera meliputi 61.8 peratus, Cina 22.9 peratus, India dan lain-lain 8.1 peratus. Penduduk bukan warganegara pula berjumlah 7.1 peratus.

Peratusan bukan warganegara paling tinggi ialah di Sabah. Bagi setiap 100 penduduk di negeri itu, 25 daripadanya bukan warganegara.

Bagaimanapun daripada segi agihan tenaga buruh mengikut kaum, peratus tenaga buruh bukan warganegara sebenarnya lebih tinggi daripada jumlah kaum India dan lain-lain di negara ini.

Daripada sejumlah 10,889,500 tenaga buruh di Malaysia pada tahun lalu, 57.3 peratus terdiri daripada Bumiputera; kaum Cina pula 24.8 peratus sementara India dan lain-lain sebanyak 8.2 peratus. Buruh di kalangan bukan warganegara pula berjumlah 9.7 peratus.

Bilangan bukan warganegara - dalam umur bekerja - meningkat dengan mendadak daripada 215,200 pada 1982 kepada 1,240,200 pada 2005. Tenaga buruh bukan warganegara pula meningkat daripada 138,500 kepada 1.03 juta.

Dalam tempoh 20 tahun iaitu antara 1985-2005, jumlah buruh bukan warganegara meningkat sebanyak 367 peratus. Daripada sejumlah 1,240,200 pada 2005, sebanyak 1,015,300 bekerja sementara, baki seramai 14,200 tidak bekerja (menganggur) dan 201,700 di luar tenaga buruh.

Trend kadar pengangguran buruh asing semakin berkurangan dan kadar penyertaan tenaga buruh semakin meningkat.

Pekerja bukan warganegara paling ramai ialah dari Indonesia. Statistik pada 2005 menunjukkan 67.4 peratus berasal dari Indonesia, 9.9 peratus (Filipina), 3.2 peratus (Bangladesh) dan bakinya dari negara-negara lain.

Tiga industri utama yang dimonopoli oleh bukan warganegara ialah industri pertanian termasuk perhutanan dan perikanan - sebanyak 33 peratus, sementara industri pembinaan dan pembantu rumah pula sekitar 14 peratus.

Pekerja tempatan pula masih melebihi pekerja asing dalam industri pembuatan iaitu sebanyak 19.1 peratus. Bagaimanapun, industri pembuatan merupakan industri kedua paling ramai pekerja asing iaitu 17 peratus, hanya kurang dua peratus daripada pekerja tempatan.

Tiga jenis pekerjaan industri utama yang dimonopoli oleh bukan warganegara ialah pekerja asas sebanyak 31 peratus, pekerja mahir pertanian dan perikanan (28 peratus) dan operator loji dan mesin serta pemasangan (13 peratus).

Bagi jenis pekerjaan pula, pekerja pertukangan dan yang berkaitan dengannya meliputi 11 peratus, sama dengan warganegara. Data-data ini diperoleh dari Penyiasatan Tenaga Buruh, Profil Bukan Warganegara 2007 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia.

Pada 2007, sebanyak 87.7 peratus daripada bukan warganegara terlibat sebagai pekerja, 9.7 peratus lagi bekerja sendiri, 1.9 peratus pekerja keluarga tanpa gaji dan bakinya sebanyak 0.7 peratus terdiri daripada kumpulan majikan.

Dijangka sebahagian daripada bukan warganegara yang 'bekerja sendiri' ini terdiri daripada imigran asing yang telah lama menetap di sini dan mereka yang menjadi 'pekerja keluarga tanpa gaji' pula sebahagiannya ialah anak-anak atau saudara-mara kepada pekerja yang 'bekerja sendiri.'

Kemasukan besar-besaran buruh asing bermula sekitar 1987. Kemasukan itu berkait rapat dengan peluang pekerja di sektor pertanian dan pembinaan (kini pembuatan). Bagaimanapun, semasa krisis ekonomi 1997 (dan juga krisis 2008) sebahagian mereka pulang ke negara asal.

Sebahagian besar yang pulang ialah mereka yang telah diberhentikan kerja dan tiada peluang untuk bekerja dalam mana-mana sektor.

Mereka tiada peluang kerana sama ada masih baru di Malaysia, tiada kenalan dengan pekerja asing yang telah lama di sini atau tiada kenalan rapat dengan rakyat tempatan. Ringkasnya, semakin lama mereka di Malaysia, semakin rendah kemungkinan untuk mereka pulang ke negara asal jika berlaku krisis ekonomi.

Bagi imigran yang telah lama di sini, krisis ekonomi merupakan petunjuk aras untuk berubah kepada pekerjaan yang lebih baik demi survival.

Memang berlaku anjakan pekerjaan asing akibat krisis ekonomi ini. Ramai buruh kasar yang datang ke sini pada lewat 1980-an, kini menjadi seorang pengusaha melalui usahasama dengan rakyat tempatan dan kemudian menubuhkan syarikatnya sendiri.

Ia sebahagian daripada proses bagaimana pekerja migran cuba menyesuaikan diri berikutan perubahan di luar kawalan mereka iaitu krisis ekonomi.

Mereka juga sentiasa mengambil peluang meningkatkan pendapatan dan kualiti hidup termasuk melibatkan diri dalam aktiviti tidak formal yang tidak sah daripada segi peraturan.

Syarikat mungkin didaftarkan (atau dimiliki) oleh pengusaha tempatan tetapi aktiviti syarikat oleh pengusaha asing yang pekerja mereka juga sebahagian besarnya ialah pekerja asing.

Sub-sub kontraktor pengusaha asing ini (yang tidak berdaftar) akan bersaing dengan pengusaha-pengusaha kecil (terutamanya pengusaha Bumiputera) untuk mendapatkan projek. Akibatnya, kerja-kerja untuk sub kontrak ini akan diberi kepada pengusaha asing, yang secara relatifnya menawarkan harga lebih murah.

Secara khusus, penglibatan pengusaha asing boleh melambatkan usaha meningkatkan penglibatan Bumiputera dalam aktiviti perniagaan melalui dua cara.

Pertama, peluang perniagaan kepada sub-sub kontraktor Bumiputera akan berkurangan kerana tidak mampu bersaing dari segi kos dan pulangan.

Kedua, mewujudkan budaya perniagaan 'Ali-Baba' baru daripada 'Melayu-bukan Melayu' kepada 'Melayu-Bukan Warga.'

Kebanyakan pengusaha asing, sama ada melalui syarikat mereka sendiri - rasmi atau tidak rasmi - atau dengan kerjasama dengan pengusaha tempatan, akan menggunakan pekerja dari negara asal mereka.

Selain menutup peluang pekerja tempatan, kemasukan buruh asing yang rata-ratanya bukan pekerja mahir, akan memperlahankan upah dalam sektor berkaitan.

Bagi sesetengah sektor, pergantungan berlebihan kepada buruh asing menyebabkan faktor upah pekerja tidak mahir menjadi tegar (tepu) atau mungkin berkurangan.

Besar kemungkinan upah pekerja tidak mahir di kalangan penduduk tempatan meningkat pada kadar yang jauh lebih rendah daripada kadar peningkatan pendapatan per kapita negara. Keadaan ini akan meluaskan jurang perbezaan pendapatan dalam ekonomi.

Secara khusus, kemasukan pekerja asing boleh melambatkan usaha mengurangkan jurang perbezaan pendapatan dalam masyarakat juga melalui dua cara.

Pertama, kemasukan itu akan menambah bilangan pekerja baru yang muda dan tidak mahir, dan seterusnya membawa perubahan dalam struktur umur tenaga buruh. Perubahan itu boleh meningkatkan ketidaksamaan pendapatan walaupun tidak terdapat perubahan dalam struktur upah dan pendapatan.

Kedua, kemasukan secara beramai-ramai itu akan merendahkan secara relatif upah pekerja tidak mahir sementara upah pekerja mahir dan pulangan pemilik modal terus meningkat. Akibatnya, jurang perbezaan pendapatan dalam masyarakat akan melebar.

Anjakan jenis pekerjaan daripada buruh ke pengusaha kini berbentuk petty traders dan dalam sektor tidak formal.

Fenomena petty traders ini wujud di Chow Kit, Petaling Street di Kuala Lumpur sementara di Klang pula kewujudan Little India. Selain itu, pekan sempadan seperti Wang Kelian dan Padang Besar di Perlis pula dikuasai oleh pengusaha dari Thailand.

Kini pengusaha asing juga terlibat sebagai orang tengah dalam sektor-sektor formal sama ada melalui status mereka sebagai 'pegawai dagang' atau melalui usaha sama dengan pengusaha tempatan.

Kesimpulannya, walaupun kehadiran pekerja-pengusaha ini dapat membantu negara mengatasi masalah kekurangan pekerja dan membantu mencapai kadar pertumbuhan ekonomi ia tetap menimbulkan masalah.

Antaranya, kewujudan pekerja-pengusaha asing ini ia boleh mengehadkan pencapaian dasar kerajaan untuk mengurangkan jurang perbezaan pendapatan.

Ia juga mengehadkan usaha untuk beralih kepada aktiviti ekonomi berintensifkan teknologi dan nilai ditambah lebih tinggi.

PENULIS ialah Timbalan Pengarah, Institut Pembangunan Malaysia, Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri.

Sumber : http://www.utusan.com.my/

ISU GAGASAN SATU MALAYSIA

Mempersiap rakyat harungi cabaran 1 Malaysia

Oleh Dr Chandra Muzafar

Konsep ilham PM pastikan prinsip Perlembagaan, matlamat Rukun Negara ke arah perpaduan terlaksana

SELAIN kerajaan, semua strata masyarakat Malaysia perlu bersungguh-sungguh dalam merealisasikan transformasi 1Malaysia, dengan merapatkan jurang sedia ada.

Dalam titah Yang di-Pertuan Agong sempena Hari Keputeraan Baginda pada 6 Jun lalu, Tuanku Mizan Zainal Abidin menyeru semua rakyat Malaysia menghayati konsep 1Malaysia dan menjadikannya sebahagian daripada kehidupan mereka.

Pada istiadat sama, dalam ucapan tahniah bagi pihak kerajaan, penjawat awam dan rakyat, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mendukung konsep itu menegaskan dalam usaha untuk mengukuhkan perpaduan negara, konsep 1Malaysia tidak sekali-kali menyimpang daripada roh Perlembagaan Persekutuan, sama ada secara tersurat atau tersirat.

Dalam 1Malaysia sememangnya ada beberapa idea sosiopolitik dalam Perlembagaan yang akan mencorak perjalanan ke arah perpaduan negara yang mempunyai kepelbagaian masyarakat.

Satu daripadanya ialah idea kepelbagaian etnik di Malaysia hari ini berasaskan kepada prinsip kerakyatan yang sama sudah berkembang daripada Kesultanan Melayu dan entiti penduduk Bumiputera lain, menunjukkan bahawa Perlembagaan mengintegrasikan keadaan yang lalu dengan sekarang. Justeru, ada usaha untuk menyeimbangkan hak dan kepentingan bagi pelbagai komuniti.

Oleh itu, ketika Bahasa Melayu menjadi bahasa tunggal kebangsaan, penggunaan dan kajian dalam bahasa lain masih terus dilindungi dalam Perlembagaan walaupun Islam menjadi agama Persekutuan, kebebasan untuk mengamalkan agama lain terus dipertahankan.

Ketika hak istimewa orang Melayu dan penduduk Bumiputera lain disemadikan dalam Perlembagaan, masih ada jaminan kepentingan hak kaum lain. Keseimbangan ini adalah dimensi penting dalam falsafah dan pendekatan kepada perpaduan kebangsaan.

Ia juga diperkuatkan dengan idea ketiga. Perlembagaan mengiktiraf kepentingan prinsip, proses dan institusi yang menjangkaui kepentingan etnik dalam menyatukan negara.

Kesinambungan 1Malaysia tidak terbatas kepada Perlembagaan Malaysia. Rukun Negara dengan komitmen kepada perpaduan kebangsaan dan Dasar Ekonomi Baru (DEB) bertujuan menghapuskan kemiskinan tanpa mengira kaum selain menstruktur semula masyarakat.

Begitu juga Wawasan 2020 yang mengungkap 'Negara Malaysia yang bersatu dengan hala tuju yang sama' sebagai cabaran strategik utama daripada sembilan cabaran yang dikemukakan.

1Malaysia adalah siri idea dan visi terkini yang mempromosi perpaduan di kalangan masyarakat yang pelbagai.

Ia penting kerana konsep ini pernah muncul beberapa kali dalam sejarah Malaysia; Rukun Negara dan DEB, 13 tahun selepas Perlembagaan 1957; Wawasan 2020, 21 tahun selepas Rukun Negara serta DEB dan sekarang 1Malaysia, 18 tahun selepas Wawasan 2020.

Satu daripada sebab mengapa kita masih tidak menghampiri objektif dalam membina sebuah bangsa bersatu adalah kerana masih tiada percubaan di kalangan kita untuk mendalami pemahaman serta penghargaan Perlembagaan atau Rukun Negara atau Wawasan 2020.

Oleh sebab itu, hampir 51 tahun negara mencapai kemerdekaan, kelompok besar bukan Melayu menolak untuk mengakui rumpun Melayu sebagai akar kepada identiti negara, walaupun ia menjadi sebahagian daripada landskap politik dan budaya kita.

Memang tidak dinafikan, perlu ada usaha berterusan untuk menghubungkan prinsip Perlembagaan dan matlamat Rukun Negara, ke arah mencapai perpaduan negara di samping kerajaan dan pelbagai pihak juga harus menekankan perkara ini supaya matlamat nasional dapat dicapai.

Rakyat Malaysia sentiasa berharap konsep 1Malaysia yang diilhamkan Perdana Menteri itu menjurus ke arah membina serta menyatupadukan rakyat berbilang kaum di negara ini ke tahap lebih konkrit serta dapat memperbaiki segala kekurangan yang timbul ke arah mencapai perpaduan.

Pertama, ada jurang besar yang memisahkan komuniti serta budaya Sabah dan Sarawak dan penduduk dari Semenanjung. Menyatupadukan budaya mereka kepada aliran utama adalah sesuatu yang perlu tetapi bukan menjadi satu syarat yang mencukupi untuk perpaduan negara. Masyarakat di Sabah dan Sarawak perlu juga ditempatkan dalam aliran utama politik serta pentadbiran dengan cepat.

Kedua, wujud juga jurang perbezaan etnik membabitkan segmen penting di antara masyarakat Melayu dan bukan Melayu di mana kita dapat melihat, menjelaskan sendiri identiti bangsa serta hak sesuatu kaum. Satu pendekatan yang kukuh diperlukan bagi merapatkan lagi jurang yang timbul membabitkan pelbagai etnik.

Ketiga, wujudnya juga peningkatan jurang sosial antara masyarakat Muslim dan bukan Muslim terutama di Semenanjung. Isu yang menyebabkan perkara ini perlu ditangani secara efektif dan berkesan ke arah memahami agama dalam dunia kontemporari.

Keempat, ada satu jurang memuncak dalam masyarakat kita membabitkan pendapatan dan kekayaan di antara mereka yang 'mempunyai pendapatan yang banyak' dan mereka yang 'mempunyai pendapatan yang sedikit'.

Kelima, ada satu jurang generasi yang muncul bagi membezakan mereka berumur di antara lingkungan 50-an daripada mereka dalam usia 20-an atau 30-an apabila wujud keperluan untuk berkompromi membabitkan pelbagai komuniti dan kepentingan kestabilan dan perubahan dalam politik Malaysia. Perbezaan sikap ini akan menghakis ke arah usaha untuk memupuk perpaduan negara.

Kerajaan Pusat perlu memainkan peranan utama untuk mengurangkan perbezaan itu. Semua sektor dan strata masyarakat Malaysia juga perlu bersedia dengan sepenuh hati untuk menempuhi cabaran bagi merealisasikan konsep 1Malaysia menjadi realiti. Adakah kita semua sudah bersedia untuk cabaran ini?

  • Penulis ialah Presiden Pergerakan Keadilan Sedunia (Just)

  • Sumber : http://www.bharian.com.my/