Rabu, 2 Jun 2010

Ibu bapa cuai tambah gejala sosial remaja

IBU bapa yang gagal melindungi anak mereka walau apa juga alasan wajar dikenakan tindakan tegas dan tidak patut dipandang ringan oleh mana-mana pihak. Hukuman setimpal wajar dikenakan, kerana mereka sepatutnya bukan saja menjaga makan minum malah melindungi anak-anak daripada sebarang perkara yang boleh membahayakan mereka.

Anak-anak tidak sepatutnya dibiarkan berkeliaran bersendirian apatah lagi di kawasan yang boleh mengundang pelbagai risiko termasuk jenayah. Perbuatan sepasang suami isteri membiarkan dua anak lelaki mereka berusia tujuh dan lapan tahun berpeleseran dekat Sistem Aliran Ringan (LRT) Titiwangsa pada 12 Mei lalu dalam keadaan kelaparan dan meminta sedekah bukan saja tidak bertanggungjawab malah amat membimbangkan. Lebih malang, ibu bapa kanak-kanak terbabit hanya membuat laporan polis pada 15 Mei selepas tiga hari kehilangan mereka.

Mujurlah anak kecil yang belum mengerti apa-apa diselamatkan oleh pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Wilayah Persekutuan yang bertindak pantas hasil maklumat awam dan segera menempatkan mereka di rumah perlindungan Tengku Budriah, Cheras. Apa akan terjadi jika ada pihak lain mengambil kesempatan memperdayakan kanak-kanak itu. Mereka mungkin diperdagangkan atau dimanipulasi untuk meraih keuntungan pantas oleh sindiket tertentu. Mereka mungkin dijadikan pengemis atau ‘dijual’ kepada sindiket.

Kenyataan polis kemungkinan pasangan suami isteri berusia 44 dan 45 tahun itu menjadi ibu bapa pertama di negara ini didakwa kerana cuai hingga menyebabkan anak mereka hilang wajar dijadikan iktibar semua ibu bapa dan penjaga supaya menjaga amanah Allah itu. Apapun alasan ibu bapa kanak-kanak terbabit termasuk tidak mempunyai pekerja dan kekangan kewangan tidak sama sekali ‘menghalalkan’ mereka mengabai serta membiarkan anak mereka bersendirian, apatah lagi di kawasan yang terlalu asing buat mereka.

Mengikut Seksyen 17 (1) (K) Akta Kanak-Kanak 2001, kanak-kanak bawah 18 tahun tidak dibenarkan berkeliaran termasuk menjaja di mana-mana jalan atau premis. Sekiranya diselamatkan JKM, kanak-kanak ini akan diletakkan di rumah kanak-kanak JKM dalam tempoh 24 jam sebelum diambil ibu bapa atau penjaga mereka. Dalam tempoh berkenaan, JKM akan membuat sesi temu ramah dan memanggil ibu bapa untuk menjalani kaunseling sebelum kanak-kanak itu dibenarkan dibawa pulang. Sesi kaunseling belum dapat memastikan ibu bapa itu sedar atas perbuatan mereka.

Tindakan tegas wajar termasuk mendakwa ibu bapa itu dengan bukti kukuh dan mencukupi bahawa wujudnya kecuaian di pihak mereka. Jika tidak, pengabaian seumpamanya akan terus berlaku. Cukuplah dengan pelbagai gejala sosial yang berlaku seperti buang bayi dan samseng jalanan di kalangan remaja kita. Ibu bapa sepatutnya lebih bertanggungjawab mengawasi anak mereka pada peringkat awal. Jika ibu bapa gagal mengalas tanggungjawab mereka, siapa lagi kita boleh harapkan untuk membentuk generasi muda kita?

Sumber : http : //www.bharian.com.my/