Rabu, 26 Februari 2014

ISU GLOBAL : Kesejagatan hak asasi penjajahan baru Barat


Oleh : Shamrahayu A. Aziz

Percanggahan dengan nilai Timur bukti budaya, agama masyarakat tidak dihormati

Kita masih belum sepi daripada membincangkan hal berkaitan hak asasi. Perkara yang sering menjadi persoalan ialah adakah wujud kesejagatan hak asasi? Mereka yang menyokong kesejagatan hak asasi berhujah bahawa oleh kerana hak asasi wujud bersama-sama dengan kewujudan manusia, maka semua hak asasi mempunyai nilai dan skop yang sama di seluruh dunia. Bagi mereka, skop hak dan nilai hak asasi itu tidak boleh berbeza antara satu tempat dan keadaan. Mereka menjadikan Deklarasi Sejagat Hak Asasi Manusia 1948 (UDHR) sebagai rujukan dan penanda aras. Namun, pendapat ini tidak tepat.

Teori kesejagatan hak asasi ini sebenarnya berdasarkan acuan Barat. Oleh kerana hak asasi sentiasa dijulang sebagai sumbangan Barat kepada dunia, maka UDHR dikatakan mewakili kesejagatan dunia. UDHR dikatakan mewujudkan standard hak asasi manusia dan menyediakan penanda aras kepada skop dan nilai hak asasi yang hendaklah dipatuhi seluruh dunia. Oleh itu, kesejagatan hak asasi adalah agenda Barat untuk meletakkan nilai mereka dan juga memaksa serta memastikan mereka yang tidak bersetuju dengan UDHR dipantau badan dunia seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Mereka akan memantau negara yang merujuk kepada nilai Islam.

UDHR bersifat Eurosentrik

Bukan tiada kritikan terhadap UDHR oleh negara Islam atau ahli akademik, Islam dan bukan Islam. Kritikan itu senada menyatakan bahawa UDHR bersifat Eurosentrik iaitu memberi keutamaan kepada Barat. UDHR bukan menggalakkan kesejagatan hak asasi manusia, tetapi benar-benar memaksa penguasaan falsafah Barat/Eropah ke atas orang dan tradisi bukan Barat/Eropah. Ini terbukti benar apabila Dunia Islam berterusan mempersoalkan sebahagian UDHR sejak ia diperkenalkan. Tindakan negara Islam ini melahirkan Deklarasi Islam Hak Asasi Manusia Sejagat Kaherah (Deklarasi Kaherah). Deklarasi ini diiktiraf PBB.

Percanggahan dan perbezaan antara Barat dan Timur mengenai hak asasi akan berterusan. Ia bukan saja pertembungan budaya, ia juga pertembungan agama. Pertembungan ini perlu diambil perhatian serius pendukung hak asasi bermodel UDHR di negara ini. Kesannya nanti bukan kecil.

Mereka hendaklah memahami kesan pertembungan ini. Jika di peringkat dunia satu deklarasi lain telah diisytihar oleh Dunia Islam, ini menunjukkan pertembungan itu tidak mudah untuk menjumpai titik pertemuan dan seterusnya menjadikan semua hak asasi atau nilainya sejagat. Kesejagatan ini tidak benar. Ia sekadar ilusi dalam amalan dan juga teori hak asasi.

Penerimaan hak asasi berbeza

Semua negara mempunyai pengalaman dan kepelbagaian dalam peristiwa sejarah, jenis dan penentuan agama dan budaya, tahap pembangunan berbeza dan kepelbagaian keadaan ekonomi, sosial dan politik. Semua faktor ini menyumbang kepada sifat berbeza, nilai dan skop hak asasi manusia. Pengalaman mereka menjadikan persepsi dan penerimaan mereka terhadap hak asasi berbeza.

Dalam konteks ini, persekitaran budaya dan agama majoriti masyarakat hendaklah dihormati dalam menegakkan kepercayaan hak asasi. Hujah kesejagatan UDHR saja tidak boleh diterima oleh masyarakat Islam di dunia dan sudah tentu masyarakat Islam di negara ini juga tidak boleh menerima nilai hak asasi UDHR itu.

Sebagai masyarakat yang mempunyai nilai Asia. Tamadun Asia menyumbang kepada sifat hak di rantau ini. Negara Asia melihat kesejagatan hak adalah cabaran kepada nilai dan hak Asia. Antara hujah negara Asia terhadap kesejagatan hak asasi manusia termasuk, hak asasi adalah moral Barat. Oleh kerana itu, Barat tidak boleh mengenakan kesejagatan itu ke atas masyarakat bukan Barat kerana itu bentuk penjajahan baru, tidak adil dan jelas adalah imperialis.

Budaya dan agama masih menjadi keperluan utama hak asasi masyarakat Malaysia. Penanda aras hak asasi di Malaysia masih lagi budaya tempatan dan agama negara. Ini disokong dengan jelas oleh kerangka perundangan negara terutama Perlembagaan Persekutuan. Budaya dan agama menjadi falsafah dan rukun negara kita. Oleh kerana gejolak nafsu kebebasan sanggupkah kita gadai inspirasi, falsafah dan rukun negara?

Penulis ialah Profesor Madya di Kuliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

Sumber : http : //www.bharian.com.my/