ALHAMDULILLAH, marilah kita
bersama-sama merafakkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana
dengan limpah izin dan kurnia-Nya jua kita dapat bersama-sama menghadiri Majlis
Perutusan Tahun Baharu 2015 Kementerian Pendidikan Malaysia pada pagi ini.
Masih belum terlambat untuk saya mengucapkan selamat tahun baharu kepada
seluruh warga Kementerian Pendidikan termasuk para pegawai kementerian, guru,
pensyarah, mahasiswa, murid-murid dan tidak lupa juga kepada para ibu bapa di
seluruh negara.
Saya ingin mengambil kesempatan
di awal ucapan saya ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada anda semua
yang telah berusaha dengan gigih dalam melaksanakan segala tugas yang
diamanahkan sepanjang tahun lalu. Dengan ketibaan tahun baharu ini, maka bermulalah
lembaran baharu dalam kehidupan kita, termasuk tugas-tugas yang perlu kita
laksanakan dan sasaran-sasaran yang mesti kita capai.
Pada penghujung 2014, beberapa
negeri di negara kita telah dilanda bencana banjir yang agak luar biasa.
Bencana ini bukan sahaja telah memusnahkan harta benda, malah menyebabkan
kehilangan nyawa selain menjejaskan sesi persekolahan. Saya berasa amat sedih
dan dukacita dengan kehilangan 25 nyawa yang menjadi korban banjir, termasuk
dua orang guru kita iaitu Allahyarham Mat Zaik Mohd. Yusof dari Sekolah
Kebangsaan RKT Seberang Tayor dan Allahyarhamah Norhayati Sulong dari Sekolah
Menengah Kebangsaan Geliga, kedua-duanya di Kemaman, Terengganu.
Bagi pihak Kementerian
Pendidikan, saya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan berdoa
semoga mereka tabah menghadapi ujian ini. Marilah kita bersama-sama
menghadiahkan Al-Fatihah kepada semua mangsa dan mudah-mudahan roh mereka
ditempatkan bersama-sama hamba-hamba-Nya yang soleh. Al-Fatihah.
Saya juga berharap agar guru-guru,
pensyarah dan pegawai yang terjejas akibat banjir supaya tabah menghadapi ujian
Ilahi ini. Usah patah semangat untuk kembali bertugas seperti biasa dan terus
menabur bakti kepada anak bangsa. Saya berasa bangga dengan sikap yang
ditunjukkan oleh guru-guru dan murid-murid di negeri-negeri yang dilanda
banjir. Walaupun dalam keadaan serba kekurangan, tanpa pakaian seragam yang
lengkap, perabot yang masih belum sempurna, sekolah yang masih belum bersih
sepenuhnya, mereka tetap hadir ke sekolah seperti biasa.
Ketika saya sedang berucap di
hadapan saudara saudari sekarang ini, sebanyak 31 buah sekolah masih belum
dibuka kerana terjejas teruk akibat banjir. Saya telah mengambil keputusan
supaya kelonggaran diberikan kepada sekolah-sekolah ini untuk dibuka lebih
lewat daripada biasa supaya tumpuan dapat diberikan kepada kerja-kerja
pembersihan sekolah. Apabila sudah siap, sekolah dapat dibuka semula dan
murid-murid boleh mengikuti pembelajaran dengan selesa dan selamat.
Saya juga amat bersimpati dengan
nasib ibu bapa yang terpaksa melalui keadaan yang sukar untuk memulakan
kehidupan baharu selepas bencana banjir, dengan harta benda yang musnah, rumah
yang rosak atau kehilangan tempat tinggal dan pada masa sama perlu membuat
persediaan untuk anak-anak memasuki sekolah. Kerana itu saya telah membuat
keputusan supaya Bantuan Awal Persekolahan diberikan lebih awal daripada biasa
supaya ibu bapa dapat menggunakan bantuan kewangan yang diberikan oleh kerajaan
untuk membeli pakaian dan peralatan sekolah anak-anak. Mudah-mudahan bantuan
yang dihulurkan sedikit sebanyak dapat mengurangkan bebanan dan kesusahan yang
ditanggung oleh ibu bapa dalam menghadapi musibah ini.
Saya sendiri telah melawat
beberapa buah sekolah yang terjejas akibat bencana banjir, iaitu Sekolah
Kebangsaan Tanjung Chenok, dan Sekolah Kebangsaan Lati di Pasir Mas, Kelantan;
Sekolah Kebangsaan Pulau Tawar, Jerantut, Pahang; dan Sekolah Kebangsaan Lambor
Kiri, Bota, Perak. Saya dapati banyak peralatan sekolah seperti perabot,
perkakasan ICT, peralatan makmal, buku teks dan alat-alat bantuan mengajar yang
musnah.
Oleh itu, saya telah pun
mengarahkan Ketua Setiausaha Kementerian, Tan Sri Dr. Madinah Mohamad supaya
menyalurkan peruntukan segera kepada sekolah-sekolah yang terjejas akibat
banjir untuk membiayai kerja-kerja pembersihan dan pembaikan sekolah serta
penggantian peralatan yang musnah.
Saya juga ingin mengambil
kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua sukarelawan
yang terlibat dalam kerja-kerja pembersihan sekolah dan institusi pendidikan
yang terjejas akibat banjir. Ini termasuk para mahasiswa dari universiti,
politeknik, kolej komuniti dan Institut Pendidikan Guru serta semua sukarelawan
sama ada yang turun sebagai individu atau mewakili mana-mana NGO atau pertubuhan.
Tidak lupa juga kepada Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS), para pegawai, anggota
keselamatan dan semua pihak yang bekerja bertungkus-lumus untuk menyelaras misi
bantuan banjir. Anda semua adalah wira-wira yang tidak didendangkan.
Saya juga ingin mengucapkan
jutaan terima kasih kepada para penderma yang bermurah hati menyumbangkan dana
dan peralatan bagi kerja-kerja pembersihan yang telah dilaksanakan. Sebagai
tanda penghargaan kepada semua sukarelawan dan dermawan yang budiman, saya
telah bersetuju supaya Kementerian Pendidikan mengeluarkan sijil penghargaan
khas kepada mereka.
Saya amat terharu kerana di
sebalik musibah yang berlaku ada juga hikmahnya. Rakyat Malaysia tanpa mengira
kaum dan agama telah menunjukkan rasa prihatin dan kebersamaan mereka untuk
membantu mangsa-mangsa banjir sama ada menerusi sumbangan tenaga, masa mahu pun
wang ringgit. Saya ucapkan syabas dan tahniah.
Untuk menghadapi kemungkinan
bencana banjir pada masa hadapan, saya menyarankan agar sekolah-sekolah dan
institusi pendidikan yang berada di kawasan-kawasan yang mudah terdedah kepada
bencana ini supaya melakukan persiapan lebih awal. Semua peralatan yang
berharga perlu disimpan di tempat yang lebih selamat supaya kita dapat
mengurangkan jumlah kerugian akibat banjir.
Dalam musibah banjir baru-baru
ini, kos kerosakan di sekolah-sekolah dan institusi pengajian tinggi di bawah
Kementerian Pendidikan dianggarkan berjumlah hampir RM500 juta. Ini adalah satu
jumlah yang amat besar. Selain itu, pendidikan kesedaran mengenai bencana alam
juga perlu diberikan kepada murid dan ibu bapa supaya mereka lebih bersedia
dari segi mental dan fizikal dalam menghadapi sesuatu musibah serta dapat
menjaga keselamatan diri dan keluarga dengan baik.
MEMPERKUKUHKAN TRANSFORMASI
PENDIDIKAN
Sepanjang tahun lalu, Kementerian
Pendidikan telah melaksanakan inisiatif-inisiatif utama yang digariskan di
bawah Gelombang Pertama Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.
Alhamdulillah, Program Transformasi Daerah, LINUS, Kemahiran Berfikir Aras
Tinggi, Penguasaan Bahasa Inggeris, Pengukuhan Kurikulum Pendidikan Islam dan
Pendidikan Moral serta Piagam Guru dan Pemimpin Sekolah telah mencapai KPI yang
ditetapkan.
Selain itu, proses penyediaan
Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015-2025 juga
berjalan dengan lancar. Saya berharap agar tumpuan dapat diberikan sepenuhnya
kepada kerja-kerja menyiapkan PPPM (Pendidikan Tinggi) yang akan menjamin
kesinambungan antara inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan di sektor pelajaran
dengan inisiatif di sektor pengajian tinggi.
SEKTOR SEKOLAH
Transformasi pendidikan yang
dimulakan pada 2013 melalui pelancaran PPPM 2013-2025 akan terus diperkukuhkan
pada tahun ini. Bagi sektor pelajaran, Kad Skor Menteri 2015 merangkumi 20
inisiatif utama yang memberikan tumpuan kepada Keberhasilan Murid berpandukan 6
Aspirasi Murid dan 5 Aspirasi Sistem yang telah ditetapkan di bawah PPPM. Untuk
membuktikan komitmen dan keseriusan kita dalam melaksanakan apa yang telah
dijanjikan, laporan prestasi akan terus dipantau melalui Kad Skor Menteri,
laporan tahunan dan kajian pertengahan tahun.
Saya yakin dengan perancangan dan
pemantauan yang rapi semua inisiatif penting dalam Gelombang Pertama PPPM
2013-2025 dapat dicapai pada hujung tahun ini. Ini termasuk memperkasakan guru
dan pemimpin sekolah, menerapkan kemahiran berfikir aras tinggi dan
meningkatkan kemahiran berbahasa. Di samping itu, usaha untuk memperkukuhkan
aspek nilai, adab, perpaduan nasional dan semangat patriotisme akan terus
diberikan tumpuan utama selaras dengan matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Untuk memastikan kejayaan
gelombang pertama PPPM dan sebagai persediaan melaksanakan gelombang kedua
mulai 2016, saya menyeru agar peranan dan penglibatan ibu bapa, komuniti dan
pihak swasta diperluaskan, khususnya di sekolah-sekolah luar bandar dan
pedalaman.
Saya pasti dengan usaha
meningkatkan kualiti guru dan pemimpin yang sedang giat dijalankan, serta
sokongan kuat daripada ibu bapa dalam membantu pembelajaran anak-anak di rumah,
kita mampu mendidik murid dengan ilmu pengetahuan, kemahiran dan nilai-nilai
murni sebelum mereka melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.
PENDIDIKAN TEKNIK DAN VOKASIONAL
Untuk memenuhi permintaan tenaga
mahir yang semakin meningkat dalam pasaran pekerjaan di negara kita,
transformasi pendidikan teknik dan vokasional akan diteruskan. Perancangan
strategik seperti meningkatkan penawaran tempat menerusi kerjasama dengan
sektor swasta akan giat dilaksanakan agar enrolmen pelajar dalam bidang teknik
dan vokasional dapat ditingkatkan.
Bagi politeknik pula, tumpuan
akan diberikan kepada peningkatan kualiti graduan menerusi pelaksanaan program
akreditasi dan pensijilan antarabangsa. Untuk itu, saya berharap agar lebih
banyak politeknik mendapat penarafan daripada badan antarabangsa seperti
Pacific Accreditation and Certification Commission (APACC). Setakat ini, tiga
buah politeknik iaitu, Politeknik Ungku Omar, Politeknik Sultan Salahuddin
Abdul Aziz Shah dan Politeknik Ibrahim Sultan telah mendapat anugerah emas
APACC yang membuktikan para lulusan politeknik sudah mencapai standard
antarabangsa dan mempunyai potensi untuk berjaya dalam pasaran pekerjaan
global.
Selain politeknik, Kolej Komuniti
turut memainkan peranan penting dalam melahirkan tenaga kerja mahir untuk
memenuhi keperluan industri. Jaringan kerjasama dengan syarikat-syarikat swasta
perlu dipergiatkan untuk membuka peluang latihan yang lebih luas khususnya
dalam bidang-bidang kritikal. Satu contoh yang baik ialah program
Public-Private Partnership dan Industry on Campus yang dilaksanakan secara
kerjasama pintar bersama industri automotif pada 2014. Pada tahun ini, kolej
komuniti bakal melatih 800 tenaga kerja bagi projek minyak dan gas di PIP
Pengerang dan 300 orang untuk projek Sapura Kencana Fabrication Yard di Lumut.
PENDIDIKAN TINGGI
Dalam menghadapi cabaran
globalisasi, peranan institusi pendidikan tinggi dilihat lebih mencabar. Pelan
Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015-2025 yang akan
dilancarkan pada suku pertama tahun ini merupakan satu usaha untuk melahirkan
Bakat Terpelajar dipacu Nilai (Learned Values-Driven Talent) agar transformasi
negara menuju ekonomi dipacu pengetahuan (knowledge-driven economy) dapat
dicapai. Pelan ini juga akan menghasilkan kelompok bakat yang inovatif dan
kreatif disusuli dengan agenda New Academia dalam RMK-11.
Bertitik tolak daripada aspirasi
yang terkandung dalam PPPM (Pendidikan Tinggi) ini, sektor pendidikan tinggi
disarankan untuk menyusun strategi yang lebih berkesan. Antara langkah yang perlu
diambil ialah:
Pertama, merekabentuk kurikulum
holistik menerusi penilaian semula disiplin ilmu di institusi pendidikan tinggi
dengan melihat kepada pendekatan antara-disiplin dan pelbagai-disiplin,
memikirkan bentuk pekerjaan yang belum lagi wujud, teknologi yang belum dicipta
dan penyelesaian masalah yang bakal berlaku. Di samping itu, dalam memenuhi
tuntutan pembangunan negara, aspek nilai dan tanggungjawab yang merupakan paksi
peradaban masa depan perlu diberikan penekanan.
Kurikulum abad ke-21 juga perlu
dibentuk selari dengan aliran pembangunan dan kemajuan teknologi supaya relevan
dengan persekitaran semasa serta menekankan penggunaan Higher Order Thinking
and Creative Skills (HOTaCS) yang bersifat futuristik, fleksibel dan dinamik.
Seterusnya, pembudayaan kurikulum holistik dan berintegrasi harus diterapkan
menerusi penyampaian dan penilaian; pembelajaran perkhidmatan dan inovasi; di
samping penekanan terhadap ciri-ciri keusahawanan dan kemahiran insaniah.
Kedua, memperkasa penyelidikan
dan pengkomersialan. Dalam agenda memperkasa ekonomi negara, penyelidikan
memainkan peranan penting untuk menghasilkan inovasi dan produk yang boleh
dimanfaatkan untuk keperluan negara. Sebagai contoh, Public-Private Research
Network (PPRN) yang diperkenalkan oleh kerajaan melalui Kementerian Pendidikan
dan Malaysian Technology Development Corporation (MTDC) merupakan satu
inisiatif baharu ke arah mencapai matlamat ini.
Melalui inisiatif ini, peranan
institusi pengajian tinggi (IPT) dari segi pengkomersialan kepakaran serta
hasil R&D dapat membantu industri tempatan, khususnya Perusahaan Kecil
Sederhana (PKS) berkembang dengan lebih pesat dari segi aplikasi pengetahuan.
Peranan IPT dalam penyelidikan dan penyediaan perkhidmatan kepada komuniti, di
samping mendidik generasi akan datang dapat digambarkan melalui konsep
Quadruple Helix, iaitu satu jaringan kerjasama antara industri, akademia,
kerajaan dan komuniti. Bagi 2015, di bawah inisiatif PPRN, Kementerian
Pendidikan akan mewujudkan 1,000 solution providers di mana semua IPT
digalakkan untuk memainkan peranan aktif untuk mencapai sasaran ini; dan
Ketiga, memperkukuhkan kedudukan
universiti di peringkat antarabangsa menerusi dua strategi utama, iaitu
memperkukuhkan jaringan kolaborasi dengan negara-negara luar dan menaikkan
ranking universiti. Sehingga kini, beberapa memorandum telah ditandatangani
dengan negara-negara strategik seperti Amerika Syarikat (AS), China, Jepun,
Jerman, Korea, Perancis, United Kingdom, dan UAE, di samping mewujudkan
kerjasama pendidikan pelbagai hala menerusi ASEAN, OIC, ASEM, IORAC dan MACEE.
Kerjasama ini akan memberikan
pelbagai manfaat kepada negara seperti pendedahan penuntut Malaysia di arena
global melalui pertukaran pelajar dan staf, peningkatan produktiviti negara
menerusi kolaborasi penyelidikan dan pengkomersialan serta pemindahan
teknologi. Dari segi ranking universiti pula, pencapaian universiti awam pada
masa ini dalam 19 subjek menunjukkan 1 bidang subjek berada pada kedudukan
ranking 50 ke atas, iaitu Universiti Sains Malaysia (USM) dalam bidang Sains
Alam Sekitar, 10 bidang subjek berada pada kedudukan 51-100, 5 bidang subjek
berada pada kedudukan 101-150 dan 3 bidang subjek berada pada kedudukan
151-200. Walaupun kedudukan ini agak memberangsangkan, masih terdapat ruang
untuk penambahbaikan.
IPTA perlu mengambil, membangun
dan mengekalkan pensyarah tempatan dan antarabangsa yang terbaik. Mereka
merupakan individu yang memacu peningkatan kualiti pengajaran dan pembelajaran,
penyelidikan dan inovasi serta sumbangan kepada industri dan masyarakat.
Perkara ini dapat dilakukan menerusi insentif kecemerlangan, pengiktirafan dan
penyediaan persekitaran yang sesuai untuk memajukan dan membangunkan
kecemerlangan bakat.
Kementerian sedar dalam usaha
untuk meningkatkan kecemerlangan institusi pendidikan tinggi, pemberian
autonomi adalah satu daripada langkah penting untuk menjadikan pengurusan IPTA
lebih berdaya saing, kreatif dan fleksibel. Bagaimanapun, dalam hal ini
kementerian amat menekankan prinsip asas yang perlu dipenuhi bagi memastikan
IPTA mampu memanfaatkan status autonomi sepenuhnya. Prinsip asas ini merupakan
sempadan dan skop universiti dalam melaksanakan autonomi yang diberikan.
Pematuhan kepada prinsip asas ini adalah penting kerana walaupun universiti
diberikan autonomi penuh, kerajaan masih bertanggungjawab ke atas autonomi
tersebut.
CABARAN NEGARA PADA 2015 DAN
SETERUSNYA
Melangkah ke hadapan, seluruh
warga Kementerian Pendidikan mesti sentiasa menyantuni harapan masyarakat yang
melihat pendidikan sebagai satu wadah penting pembangunan modal insan untuk
memacu Malaysia menjadi sebuah negara maju. Pada waktu sama, kita juga mesti
menggembleng seluruh kudrat untuk menghadapi beberapa cabaran utama yang
memberikan kesan langsung terhadap perancangan pendidikan di negara kita.
Cabaran pertama ialah
perkembangan ekonomi ASEAN. Dalam tempoh lima tahun mendatang, rantau ASEAN
akan muncul sebagai blok ekonomi yang kelima terbesar di dunia selepas Amerika
Syarikat, China, Jepun dan India. Perkembangan ini pastinya akan merangsang
perniagaan dan perdagangan dalam negeri dan antara negara-negara ASEAN.
Dengan pelaksanaan Komuniti ASEAN
bermula pada tahun ini, Malaysia perlu bersedia menghadapi persaingan ekonomi,
keselamatan dan kebudayaan yang lebih terbuka antara negara anggota. Dalam
konteks ini, sektor pengajian tinggi khususnya perlu merangka satu perancangan
strategik untuk menangani cabaran mobiliti tenaga kerja mahir dalam pasaran
pekerjaan serantau yang lebih terbuka.
Cabaran kedua ialah peningkatan
dalam hubungan antarabangsa. Kita perlu sentiasa peka terhadap perubahan dan
kemajuan di peringkat antarabangsa serta ketidakpastian pada masa akan datang.
Menyedari keperluan untuk sektor pendidikan berkembang seiring dengan
perkembangan pendidikan dunia, Kementerian Pendidikan telah mengambil langkah
proaktif dalam memperkasakan jalinan kerjasama di peringkat antarabangsa dengan
pelbagai negara peneraju seperti AS, China dan Australia. Kementerian komited
untuk melaksanakan jaringan kerjasama antarabangsa menerusi pelbagai inisiatif
baharu seperti penyelidikan, latihan pra dan dalam perkhidmatan untuk tenaga
pengajar, program penanda aras dan mobiliti pelajar.
Kejayaan kita dalam bidang
pendidikan turut diiktiraf oleh pihak luar apabila kita sering kali menjadi
sumber rujukan badan-badan antarabangsa seperti UNESCO, UNICEF dan Bank Dunia
terutamanya dalam usaha mentransformasi sistem pendidikan di beberapa buah
negara seperti Iraq, Yemen, Oman, Bhutan dan Nepal. Penyertaan Malaysia dalam
7th Islamic Conference of Ministers of Higher Education and Scientific Research
di Rabat, Maghribi pada 18-19 Disember 2014 baru-baru ini contohnya,
menyaksikan Malaysia akan menerajui negara-negara Islam ke arah kecemerlangan
pendidikan bagi manfaat agama dan ummah seluruhnya.
Malaysia akan memainkan peranan
penting dalam menerajui pembangunan pengkomersialan khusus, pembelajaran
sepanjang hayat, pendidikan keusahawanan dan juga penyelidikan dan inovasi
sebagai usaha kolaboratif dalam kalangan negara anggota OIC. Atas kepercayaan
yang diberikan, Malaysia akan menerajui penubuhan OIC Collaborative Efforts in
Commercialization and Entrepreneurship Education (OIC-CECE) yang akan menjadi
pusat rujukan bagi negara-negara anggota OIC.
Cabaran yang ketiga ialah
mengupayakan peranan kementerian dalam pelaksanaan RMK-11. Satu daripada
peranan penting yang dipertanggungjawabkan kepada Kementerian Pendidikan dalam
RMK-11 nanti ialah memastikan negara “Memanfaatkan Bakat” iaitu menghasilkan Modal
Insan Minda Kelas Pertama yang mampu menggunakan pengetahuan secara proaktif,
kreatif dan inovatif. Modal insan yang dilahirkan oleh sistem pendidikan kita
perlu berupaya menangani persekitaran global yang sentiasa berubah,
meningkatkan kualiti hidup serta menyumbang kepada kesejahteraan dan kekayaan
negara.
Untuk memenuhi tuntutan ini,
kementerian mesti merangkumkan semua aspek penjelmaan modal insan yang mampu
memacu Malaysia untuk menjadi negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun
2020. Ini termasuklah aspek kualiti pelajar, tenaga pengajar, kepimpinan
institusi, pengurusan kewangan, program pengajian dan pembangunan institusi.
Dalam RMK-11, program-program yang dilaksanakan mestilah berimpak tinggi (high
impact), berpelaksanaan cepat (rapid execution) dan bertransformasi.
Cabaran yang keempat ialah
kepesatan teknologi. Kejayaan dalam bidang sains dan teknologi telah
menyebabkan dunia menjadi semakin kecil dan kompetitif. Pada masa yang sama,
kemajuan teknologi juga telah menghasilkan game-changer iaitu perubahan pada
corak, cara dan gaya hidup manusia. Penggunaan Internet secara berleluasa telah
mewujudkan komuniti Internet yang secara agresif berusaha untuk mendapatkan
maklumat dan juga menyebarkan maklumat melalui pelbagai jaringan siber.
Atas nama kebebasan, komuniti
Internet ini telah menyebarkan pelbagai maklumat melalui jaringan-jaringan
siber. Maklumat ini sama ada benar atau pun tidak mudah menjadi “viral” umpama
sel kanser dan virus yang merebak menembusi segala bentuk benteng dan halangan.
Jelasnya, pembangunan dalam bidang teknologi ini walaupun mempunyai banyak
kelebihan tetapi banyak juga cabaran yang perlu dihadapi khususnya dalam
mendidik insan supaya menjadi pengguna teknologi yang bertanggungjawab.
PENDIDIKAN BERTUNJANGKAN NILAI,
KELESTARIAN ALAM SEKITAR DAN PERPADUAN
Keempat-empat cabaran yang saya
sebutkan tadi jelas menuntut agar generasi masa hadapan dididik dengan ilmu
pengetahuan, kemahiran dan nilai-nilai murni. Kita perlu kembali kepada tujuan
asas pendidikan iaitu bukan sahaja untuk melahirkan insan yang berpengetahuan
(knowledge person) tetapi insan yang berguna (useful person) dan warga negara
yang baik (good citizen) yang boleh menyumbang sesuatu yang bermanfaat kepada
masyarakat dan negara.
Dalam usaha membangunkan Malaysia
sebagai sebuah negara maju mengikut acuan sendiri, elemen nilai moral dan etika
yang utuh serta sifat penyayang, adil dan saksama dalam kalangan warga Malaysia
yang berbilang kaum dan agama perlu sentiasa dijadikan elemen teras dalam
sistem pendidikan kita.
Saya percaya bahawa pertumbuhan
ekonomi sahaja tidak memadai untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju tanpa
menyemai nilai-nilai kemanusiaan, kesaksamaan dan keadilan sosial dalam
masyarakat. Dalam konteks ini, jurang pendapatan yang masih wujud di negara
kita perlu ditangani dengan berkesan untuk memastikan Malaysia terus kekal
stabil dan harmoni.
Justeru, saya berharap agar
institusi pendidikan di negara kita dapat memainkan peranan yang penting dalam
memastikan pertumbuhan ekonomi negara disertai dengan pembahagian kekayaan yang
adil dan saksama. Sehubungan itu, sukacita saya mengumumkan penubuhan Malaysian
Inclusivity, Development and Advancement Institute (MINDA) di Universiti
Kebangsaan Malaysia yang akan menjalankan kajian-kajian khusus untuk menangani
isu ketidaksaksamaan sosial dan ekonomi dalam masyarakat dengan memberikan
penekanan kepada pembangunan dan kemajuan ekonomi yang bersifat inklusif serta
mengecilkan jurang pendapatan rakyat.
Selain itu, dalam keghairahan
kita mengejar kemajuan ekonomi, jangan kita abaikan tanggungjawab memelihara
alam sekitar. Ini termasuk penerokaan hutan yang berleluasa sehingga
menyebabkan berlakunya pencemaran air, kejadian tanah runtuh dan juga banjir
besar seperti yang dialami di negara kita baru-baru ini. Sebaliknya, kita
mestilah sentiasa mementingkan keseimbangan antara pembangunan ekonomi dan
kelestarian alam sekitar yang menjadi penentu kesejahteraan hidup generasi masa
hadapan.
Dalam konteks ini, saya ingin
memetik satu pemerhatian penting yang dibuat oleh Jeffrey D Sachs, seorang
pakar ekonomi yang tersohor di dalam bukunya Common Wealth: Economics for a
Crowded Planet yang saya fikir wajar direnung oleh kita semua. Beliau menyebut:
The world’s ability to combine
long-term economic growth with environmental health is heavily debated. Yet one
thing is certain: the current trajectory of human activity is not sustainable.
If we simply do what we are doing on the planet with unchanged technology, the
environmental underpinnings of global well-being will collapse. The limits of
the environment itself will defeat our global aspirations for prosperity.
Untuk mengelakkan masa depan
kemajuan ekonomi dan kesejahteraan hidup masyarakat kita terjejas akibat sumber
alam yang tidak diurus dengan baik, saya mencadangkan supaya
universiti-universiti di negara kita memberikan fokus kepada kajian mengenai
pemeliharaan alam sekitar dan pembangunan lestari. Universiti yang mempunyai
kepakaran dalam bidang ini digalakkan membuat kajian berimpak tinggi yang berfokus
kepada pengurusan sumber alam, penghasilan teknologi hijau, penciptaan tenaga
boleh dibaharui (renewable energy), seni bina mesra alam, hidrologi dan
bidang-bidang lain yang berkaitan.
Sudah sampai masanya kita
menjajarkan semula pendekatan pembangunan negara dengan melihat pemeliharaan
alam sekitar sebagai satu faktor penting dalam menjamin kelestarian kemajuan
ekonomi dan kesejahteraan hidup rakyat di masa hadapan.
Satu lagi bidang utama yang perlu
diteroka oleh ahli-ahli akademik di negara ini ialah pengurusan bencana. Bidang
ini menjadi semakin penting di Malaysia. Kejadian tanah runtuh, jerebu dan
banjir yang kerap berlaku di negara kita mutakhir ini memerlukan satu
pendekatan yang komprehensif dan berkesan dalam pengurusan bencana.
Ini termasuk aspek pengurusan
alam sekitar, persiapan menghadapi bencana, program kesedaran masyarakat,
penyelarasan bantuan, komunikasi dan pembinaan semula kawasan yang terjejas
akibat bencana. Jika kita dapat mengurus bencana dengan baik, saya percaya kita
akan dapat menyelamatkan banyak nyawa selain mengelakkan kerugian berbilion
ringgit akibat kerosakan infrastruktur dan kemusnahan harta benda.
Justeru, sukacita saya
mengumumkan penubuhan sebuah Pusat Kecemerlangan Penyelidikan Negara yang
memfokuskan kepada aspek pengurusan bencana dan juga pemberian dana
penyelidikan khas dalam bidang pengurusan bencana dan mitigasi banjir berjumlah
RM20 juta yang boleh dipohon oleh IPT melalui Skim Geran Penyelidikan Jangka
Panjang (LRGS) dan Skim Geran Penyelidikan Fundamental (FRGS). Adalah
diharapkan hasil kajian yang bakal dilaksanakan dapat menyumbang kepada
pemantapan pengurusan bencana di negara ini.
Jelas sekali bahawa modal insan
atau bakat yang perlu dibangunkan melalui sistem pendidikan negara bukan sahaja
mampu memenuhi tuntutan pembangunan ekonomi, tetapi juga perlu disertai dengan
penghayatan nilai dan adab yang tinggi. Matlamat ini adalah selaras dengan
tujuan Pendidikan Untuk Pembangunan Lestari ataupun Education for Sustainable
Development (ESD) yang menekankan keberhasilan modal insan yang holistik, peka
terhadap alam sekitar dan bertanggungjawab.
Selain itu, sebagai sebuah negara
berbilang kaum dan agama, aspek perpaduan nasional perlu terus menjadi pancang
dasar dan program pendidikan di negara ini. Kita tidak boleh sama-sekali
mengenepikan aspek perpaduan nasional sebagai teras keamanan, kestabilan dan
kemajuan negara. Untuk itu, Kementerian Pendidikan akan memberikan penekanan
khusus kepada pengukuhan perpaduan nasional dan pembinaan semangat patriotisme
di setiap peringkat pendidikan menerusi pelaksanaan program pendidikan
kenegaraan yang lebih berstruktur.
Justeru, dalam melahirkan insan
yang sempurna atau insan kamil, kita perlu kembali menghayati asas-asas yang
terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan, iaitu satu usaha yang
berterusan ke arah memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan
bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek,
rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepada kepercayaan dan kepatuhan kepada
Tuhan.
PESANAN KEPADA GURU, PENSYARAH,
PELAJAR, PEGAWAI KEMENTERIAN, IBU BAPA DAN KOMUNITI
Kepada guru-guru dan pensyarah,
hayatilah Falsafah Pendidikan Kebangsaan kita. Sentiasalah ingatkan diri kita
bahawa tugas sebagai pendidik adalah satu tugas yang amat mulia. Menjadi
pendidik bukanlah semata-mata suatu profesion, tetapi suatu perjuangan untuk
mendidik anak bangsa kita menjadi insan yang seimbang.
Saya percaya jika saudara dan
saudari semua mengabdikan seluruh jiwa dan raga kepada tugas yang paling mulia
ini, maka kita akan berjaya mencapai matlamat pendidikan yang paling asas,
iaitu mendidik insan dengan adab dan pekerti yang mulia. Sepertimana sabda
Rasulullah SAW dalam sebuah hadis:
Addabanī rabbī fa ahsana ta’dībī
Yang bermaksud: “Sesungguhnya
Tuhanku telah mendidik adabku dan Dia memperelokkan pengajaran-Nya terhadapku”.
Kepada para pelajar, berikanlah
tumpuan yang sepenuhnya kepada pelajaran. Manfaatkanlah segala peluang yang ada
untuk menimba ilmu dan mengasah bakat dengan sebaik mungkin supaya anda menjadi
insan yang berjaya. Dalam menghadapi persaingan global yang semakin sengit hari
ini, banyak ilmu dan kemahiran baharu yang perlu dikuasai sebelum anda
melangkah ke alam pekerjaan. Jadi, berusahalah menjadi yang terbaik kerana
dalam dunia yang kompetitif hari ini hanya yang terbaik akan berjaya. Only the
best among you will survive and thrive.
Kepada ibu bapa, saya amat
mengharapkan sokongan dan penglibatan anda semua dalam menjayakan dasar dan
program pendidikan di negara ini. Saya tahu ibu bapa hari ini mempunyai harapan
yang amat tinggi kepada Kementerian Pendidikan. Mereka berharap agar
kementerian kita ini dapat menyediakan pendidikan yang terbaik untuk anak-anak
mereka. Kita sedang melakukan yang terbaik menerusi Pelan Pembangunan
Pendidikan Malaysia yang meliputi inisiatif-inisiatif baharu daripada peringkat
pra-sekolah hinggalah ke pendidikan tinggi untuk meningkatkan kualiti
pendidikan di negara kita.
Namun, saya percaya kita
memerlukan satu usaha kolektif antara kerajaan, ibu bapa dan komuniti untuk
menjayakan hasrat pendidikan Negara. Untuk itu, tiada apa yang saya harapkan
daripada para ibu bapa dan masyarakat, melainkan sokongan dan dokongan anda
semua terhadap segala inisiatif Kementerian Pendidikan untuk melonjakkan
kualiti pendidikan.
Kepada pegawai-pegawai di
Kementerian Pendidikan, anda adalah pembuat dasar dan sebahagiannya merupakan
pelaksana dasar. Bagi saya, dasar yang baik adalah dasar yang boleh
dilaksanakan dengan baik. Sehubungan itu, suka saya ingin berpesan kepada
pegawai-pegawai saya di kementerian, apabila kita menggubal sesuatu dasar
kajilah secara terperinci bagaimana dasar ini hendak dilaksanakan di bawah.
Tanya diri kita adakah dasar yang
kita gubal itu boleh dilaksanakan dengan baik atau tidak? Adakah para pelaksana
dasar mempunyai keupayaan yang diperlukan untuk melaksanakannya? Lebih penting
lagi, adakah dasar itu boleh diterima dengan baik oleh semua pemegang taruh
(stakeholders)?
Kata kunci kepada persoalan ini
adalah engagement atau penglibatan semua pemegang taruh dalam proses pembuatan
sesuatu dasar. Dapatkan pandangan semua pihak secara menyeluruh, kemudian
kajilah dengan teliti semua pandangan itu sebelum sesuatu dasar dimuktamadkan.
Saya percaya bahawa proses
engagement ini telah pun dilaksanakan di kementerian kita. Sebagai contoh,
penggubalan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia melibatkan engagement dengan
ribuan individu sehinggakan kita dapat menghasilkan satu perancangan yang
komprehensif untuk melonjakkan kualiti pendidikan negara. Teruskanlah proses
engagement supaya kita dapat mencapai keberhasilan yang terbaik daripada setiap
dasar atau inisiatif yang diperkenalkan oleh kementerian.
PENUTUP
Saya yakin transformasi
pendidikan yang telah kita garap akan berjaya sekiranya kita berusaha tanpa
mengenal erti putus asa, be-kerjasama sebagai sebuah pasukan dan berkhidmat
dengan komitmen yang tinggi lagi berintegriti. Kita perlu berusaha dan berubah
daripada amalan biasa untuk melaksanakan transformasi pendidikan. Dalam konteks
ini, marilah kita menghayati firman Allah SWT di dalam al-Quran surah Al-Ra’du,
ayat 11:
Yang bermaksud: “Sesungguhnya
Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang
mengubah apa-apa yang ada pada diri mereka sendiri’.
Sehubungan ini, saya, Menteri
Pendidikan II dan Timbalan-Timbalan Menteri sebagai anggota pentadbiran menaruh
harapan yang tinggi kepada pihak pengurusan Kementerian Pendidikan yang
diterajui oleh Tan Sri Dr. Madinah Mohamad selaku Ketua Setiausaha, Datuk Seri
Ir Dr. Zaini Ujang selaku Ketua Setiausaha II, Ketua-Ketua Pengarah dan seluruh
warga kementerian untuk memikul tanggungjawab merealisasikan aspirasi dan
sasaran kementerian yang telah dijanjikan kepada rakyat.
Marilah kita bersama-sama berdoa
kepada Allah SWT agar dipermudahkan segala urusan kita. Insya-Allah.
Ruyung dilelas sagu bersisa
Letih dan lelah tidak diendah
Berpayung menggalas amanat nusa
Kerja yang rumit menjadi mudah
Akhir kata, saya sekali lagi
mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua warga
Kementerian Pendidikan atas komitmen anda dalam melaksanakan segala tugas yang
diamanahkan.
Wabillahi al-taufiq walhidayah
wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Perutusan Timbalan Perdana
Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin merangkap Menteri Pendidikan di Majlis
Perutusan Tahun Baharu 2015 Kementerian Pendidikan, di Pusat Konvensyen
Antarabangsa Putrajaya (PICC), 16 Januari 2015.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/