Jumaat, 12 Jun 2009

ETIKA PENGGUNAAN PAPAN TULIS

1. Jangan bediri tepat - Ketika anda sedang menggunakan papan tulis sewaktu mengajar, jangan berdiri tepat di depan papan tulis. Ini kerana perbuatan anda akan melindungi pandangan anak murid/pelajar untuk melihat apa yang anda tulis di papan tulis. Berdirilah dengan keadaan badan yang agak menyerong sehingga tubuh anda tidak menghalangi pandangan mereka.

2. Gunakan alat penunjuk - Gunakan pembaris/alat penunjuk untuk menunjukkan apa yang anda tulis di papan tulis. Ini adalah cara terbaik agar tubuh anda tidak menghalang pandangan anak murid ketika melihat tulisan di papan tulis.

3. Jangan penuhkan dengan tulisan - Janganlah memenuhi papan tulis dengan tulisan. Terlalu banyak tulisan mengakibatkan papan tulis menjadi tidak menarik dan membingungkan pelajar. Biarkan sebahagian papan tulis kosong secara proporsional, khususnya bahagian bawah papan kerana para pelajar yang duduk di bahagian belakang besar kemungkinan tidak dapat melihat dengan jelas apa yang anda tulis di bahagian bawah papan tulis berkenaan.

4. Tulisan besar - Perhatikan agar tulisan anda cukup besar dengan bentuk huruf yang tegak, sehingga dapat dibaca dengan jelas. Tulisan tidak perlu terlalu berseni atau `fancy‘. Yang penting tulisan anda mesti cukup tebal.

5. Padam tulisan yang tidak dipakai - Hapuskan tulisan yang sudah tidak diperlukan. Para pelajar tidak dapat memusatkan perhatian pada banyaknya tulisan yang bercampur aduk dan tidak teratur.

6. Tulisan yang kontras - Jika anda menulis di ‘white board’ (bukan papan tulis kayu yang berwarna hitam), dianjurkan anda menggunakan pena (marker) dengan warna gelap (hitam atau biru tua), kerana ia akan menghasilkan tulisan yang lebih kontras dan jelas.

SEKOLAH PENYAYANG JANA PELAJAR TERBILANG

Oleh Wan Mohd Ruzlan Wan Omar

PENDIDIKAN adalah aktiviti berkaitan pembentukan dan perkembangan ilmu, kemahiran, kerohanian dan jasmani manusia. Sekolah sebagai organisasi yang didukung golongan pendidik menjadi wadah terpenting dalam menjana modal berketrampilan terpuji di samping melahirkan intelektual.

Hari ini bidang pendidikan menjadi tonggak utama sesebuah negara dalam proses pembangunan.

Maju atau mundur sesebuah negara terletak pada keberkesanan sistem pendidikannya.

Malaysia tidak terkecuali dalam usaha membentuk sistem pendidikan berkualiti bukan sahaja dalam aspek kurikulum, tetapi merangkumi komponen pendidikan lain seperti kokurikulum dan pembentukan sahsiah.

Dalam hal ini, Kementerian Pelajaran memperkenalkan konsep ‘Sekolah Penyayang’ untuk melahirkan pelajar berketrampilan, sekali gus membendung salah laku pelajar.

Menurut Surat Pekeliling Iktisas 2001 Kementerian Pelajaran, konsep Sekolah Penyayang yang menekankan sayang menyayangi dan mewujudkan kemesraan guru dengan murid serta warga sekolah dengan ibu bapa hendaklah dipertingkatkan lagi. Dengan wujudnya kemesraan itu, gejala tidak sihat di kalangan murid dapat dihindari dan dibendung.

Betapa murninya hasrat itu dalam mewujudkan suasana kondusif di sekolah sebagai satu daripada kaedah terbaik untuk memberi keselesaan kepada semua khususnya murid.

Sekolah penyayang melahirkan insan berjiwa harmoni dan bertanggungjawab. Apabila kehidupan di sekolah penuh keceriaan, bermakna hubungan antara warga sekolah menjadi bersepadu, saling hormat menghormati serta saling membantu dalam apa jua aktiviti.

Menurut Dr Aidh Abdullah Al Qarni, ciri-ciri seorang guru yang hebat dan berkesan ialah tidak berperilaku menakutkan, tidak bersikap kasar, sentiasa menyayangi murid dan murid turut menyayangi mereka.

Pendidik berkualiti mempunyai ciri-ciri tersendiri yang disayangi anak murid.

Sebenarnya konsep Sekolah Penyayang jika diperkasakan mampu menjadi satu pendekatan berkesan untuk membendung gejala ponteng sekolah.

Sebagaimana diketahui umum, kes pelanggaran disiplin di sekolah biasanya dalam bentuk ponteng sekolah.

Oleh itu, satu mekanisma efektif mesti diambil untuk menarik kembali murid agar mereka sentiasa seronok dan sayang meninggalkan kawasan sekolah.

Sikap hormat menghormati dan saling membantu adalah ciri-ciri dituntut Islam.

Sebagaimana maksud hadis Nabi s.a.w: “Tidak termasuk dalam kalangan umatku orang yang tidak menghormati yang tua dan tidak menyayangi yang kecil.”

Kata Dr Aidh lagi dalam bukunya Rahsia Tokoh Yang Berjaya, “Seseorang pendidik penyayang itu akan sentiasa bersemangat tinggi ketika menyampaikan pengajaran di samping tidak putus-putus memberi motivasi agar muridnya berjaya dengan cemerlang, tetapi yang lebih penting seseorang pendidik mesti bersikap peramah dan menunjukkan wajah ceria di hadapan muridnya.”

Dalam merealisasikan keberkesanan konsep sekolah penyayang, ibu bapa perlu berperanan sebagai pengukuh kepada kejayaan anak.

Dalam hal ini, peranan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) perlu digerakkan secara optimum.

Kehadiran ibu bapa dalam aktiviti sekolah mampu menghidupkan situasi lebih kondusif, malah boleh menjadi pemangkin kepada penyelesaian masalah disiplin di sekolah.

PIBG tidak sepatutnya hanya bertindak sebagai badan yang ‘bermesyuarat’ tetapi dalam aktiviti di sekolah, ibu bapa hanya melihat.

Banyak aktiviti boleh digabungkan antara PIBG dengan pendidik dan murid di sekolah, antaranya ketika kejohanan sukan, aktiviti perkhemahan dan sebagainya.

Pembabitan ibu bapa dalam aktiviti di sekolah tentu sekali akan mengeratkan hubungan mereka dengan warga sekolah.

Ibu bapa dan guru perlu sedar PIBG adalah komponen penting untuk membantu sekolah menjayakan wawasannya serta menjadi pemangkin dan pelengkap program sekolah untuk mewujudkan sekolah sebagai pusat kecemerlangan pendidikan.

Pembabitan secara langsung ibu bapa dan guru dalam program pendidikan anjuran sekolah perlu digembleng secara terancang supaya misi dan visi sekolah dapat dicapai secara berkesan.

Jalinan hubungan erat antara pentadbir sekolah, guru, dengan kepemimpinan PIBG akan membina kekuatan kepada usaha mencapai kecemerlangan akademik dan pembinaan sahsiah murid.

Konsep Sekolah Penyayang mesti disegarkan kembali dan ditambah nilai dengan pendekatan lebih efektif agar matlamat melahirkan pelajar seimbang dari segi intelek, rohani, jasmani dan emosi sebagaimana termaktub dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan akan tercapai selaras merealisasikan Wawasan 2020.

Sumber :http://www.hmetro.com.my/

MODEL EKONOMI MASA DEPAN

Sekilas Pandang Model Ekonomi Baru

AKHIR-AKHIR ini kita diberitahu yang struktur ekonomi kita kena diubah. Matlamatnya supaya pekerja akan mendapat pendapatan yang lebih tinggi melalui usaha-usaha yang lebih inovatif dan kreatif.

Pada suatu masa dulu, pendapatan pekerja kita sama dengan Singapura, Korea Selatan dan Taiwan. Tapi kini mereka telah jauh meninggalkan kita.

Apakah pada suatu masa, kita perlu memikirkan ada baiknya negara memiliki gaji pekerja terendah kerana ini dapat menarik pelabur asing yang mencari tempat pelaburan dengan kos pengurusannya lebih murah daripada negara asal mereka.

Apabila negara-negara seperti China, Vietnam dan India muncul dengan beberapa reformasi ekonomi negara masing-masing, tenaga pekerja di negara-negara tersebut jauh lebih rendah daripada kita. Ini membuatkan tumpuan pelabur asing mengalihkan tumpuan pelaburan mereka kepada negara-negara tersebut.

Bagi negara seperti Singapura dan Hong Kong, mereka telah berjaya meningkatkan tahap pengeluaran ke tahap yang lebih tinggi dirantai penilaian. Iaitu daripada yang berintensifkan tenaga pekerja kepada yang berintensifkan modal.

Bagaimanapun negara-negara ini masih bergantung kepada eksport barangan seperti negara kita. Apabila negara-negara yang mengimport barangan kita seperti Amerika Syarikat, Jepun dan Eropah mengalami kemelesetan, eksport kita pun jatuh. Kita seterusnya mengalami penurunan Keluaran Dalaman Negara Kasar (KDNK) yang negatif 6.2 peratus untuk suku pertama 2009.

Oleh itu sesuatu perlu dilakukan dan inilah yang menyebabkan pemikiran ke arah model ekonomi baru. Apa sebenarnya komponen-komponen kepada model ekonomi baru ini? Kita belum tahu lagi kerana ia masih lagi digubal.

Sesuatu yang agak drastik dan radikal juga perlu dilakukan sekiranya kita ingin melonjakkan pendapatan tenaga pekerja kita pada masa akan datang. Kita difahamkan model ini akan dihuraikan dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (2011-2015).

Sementara itu elok rasanya kita lihat apakah arah aliran dunia masa akan datang. Apakah benda-benda yang bakal mencorakkan dunia masa akan datang? Kita bukan bercakap 50 tahun lagi tetapi dalam masa 10 ke 20 tahun saja.

Dr. James Canton, Pengerusi dan Ketua Eksekutif, Institute of Global Futures memberikan arah aliran berikut:

Pertama ialah bagaimana bentuk tenaga masa depan. Ini melibatkan krisis tenaga, masa depan selepas minyak, dan juga pilihan selain minyak seperti hidrogen. Peranan kritikal tenaga akan mencorakkan setiap aspek kehidupan kita dalam abad ke-21 ini.

Kedua, ekonomi berinovasi. Transformasi ekonomi global berdasarkan pertemuan dagangan bebas, teknologi, demokrasi, memacu tugas baru, pasaran baru, globalisasi, keamanan dan keselamatan. Empat alat yang berkuasa bagi ekonomi berinovasi ialah Nano-Bio-IT-Neuro.

Ketiga, tenaga kerja seterusnya. Bentuk tenaga kerja masa depan akan berubah. Akan terdapat pelbagai jenis budaya dan untuk berdaya saing mesti menerima inovasi.

Keempat, perubatan untuk kehidupan yang panjang. Kuasa-kuasa utama yang bakal mengubah perubatan seperti nanotek, neurotek dan genomik untuk kehidupan yang lebih sihat dan lebih lama.

Kelima, sains ganjil. Sains masa depan akan mengubah setiap aspek kehidupan, budaya dan ekonomi kita seperti nanobiologi dan pelbagai alam semesta.

Keenam, keselamatan masa depan. Ancaman utama kepada kehidupan dan nyawa kita beralih daripada jenayah kepada pengganas hingga kepada pengawalan minda. Apakah bentuk landskap risiko abad ke-21?

Ketujuh, masa depan globalisasi: budaya dalam pertembungan. Keadaan terbaru perdagangan dunia dan persaingan, kebangkitan China dan India, perbalahan budaya dan nilai serta perebutan ideologi masa depan.

Kelapan, perubahan iklim masa depan. Bagaimana persekitaran akan berubah dan bagaimana kita perlu bersedia menghadapi kepanasan global, pencemaran udara dan ancaman kepada kesihatan (misalnya pandemik H1N1).

Kesembilan, masa depan individu. Berdepan dengan ancaman teknologi, kerajaan dan ideologi dalam bergelutan untuk menegakkan hak manusia, kebebasan individu di abad ke-21.

Kesepuluh, masa depan China dan Amerika Syarikat. Masa depan dua kuasa besar ini daripada kapitalisme kepada demokrasi, daripada inovasi kepada keselamatan bakal membentuk dunia masa depan. Terima atau tidak, inilah hakikat.

Untuk mewujudkan ekonomi berinovasi, empat kuasa penggeraknya ialah nanoteknologi, bioteknologi, teknologi maklumat dan rangkaian dan neuroteknologi. Nanoteknologi ialah manipulasi benda dikadar skala atomik menghasilkan ubat-ubat baru, tenaga, barang-barang dan mesin.

Bioteknologi pula membabitkan usaha merungkai asid deoksiribonukleik (DNA), sains kehidupan dan impak genomik ke atas penjagaan kesihatan, penyambungan kehidupan dan perubatan.

Teknologi maklumat dan rangkaian. Impak pengiraan, cip mikro dan internet kepada kerjaya, komunikasi, pekerjaan, kreativiti dan hiburan.

Neuroteknologi ialah penggunaan peralatan, ubat-ubatan dan bahan-bahan untuk memulih, mengurus dan meningkatkan prestasi dan fungsi mental.

Di manakah kedudukan kita dalam bidang-bidang ini? Kebanyakan syarikat kita segan untuk melaburkan wang dalam penyelidikan dan pembangunan iaitu kunci kepada teknologi masa depan.

Untuk mencapai hasrat anjakan ini tentu sekali kita bergantung kepada tenaga pekerja kita. Apakah corak persediaan di sekolah-sekolah dan di institusi pengajian tinggi buat pelajar-pelajar dan tenaga pekerja untuk dunia masa depan? Apakah sistem pendidikan kita mampu menampung kehendak ekonomi masa depan ini?

Apakah perubahan-perubahan kepada kurikulum sekolah rendah, menengah dan universiti yang selaras dengan kehendak pasaran dan dunia masa depan? Bagaimana pula tentang mereka yang menjadi guru, pensyarah dan profesor-profesor yang bakal mendidik tenaga pekerja, baik di peringkat vokasional sekali pun? Latihan jenis apa yang perlu diberikan kepada mereka yang mendidik dan melatih?

Kita mengakui aset utama sesebuah negara ialah penduduknya. Itulah sebabnya negara yang tidak mempunyai sumber alam seperti Jepun dan negara-negara Eropah mampu berdaya saing di tahap tertinggi kerana sumber manusianya. Pendidikanlah menjadi kunci kepada kejayaan mereka.

Untuk membentuk suatu model ekonomi baru mungkin tidak sesukar pelaksanaannya.

DATO' SALLEH MAJID ialah bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia)

Sumber : http://www.utusan.com.my/

PEMBAKARAN TERBUKA DI SABAH DAN SARAWAK DIKATAKAN PUNCA JEREBU

Oleh Mohd Anwar Patho Rohman dan Norliza Wasilan
bhnews@bharian.com.my

KUALA LUMPUR: Jerebu yang melanda negara ketika ini dipercayai berpunca daripada kegiatan pembakaran terbuka yang dikesan di Sabah dan Sarawak.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) semalam dalam kenyataannya menyebut, Pusat Meteorologi Khas Asean (ASMC) mengesan 23 titik panas di Malaysia iaitu 16 titik panas di Sarawak dan tujuh di Sabah.

Menurut kenyataan itu, titik panas berkenaan menunjukkan berlakunya kebakaran yang menyumbang kepada masalah jerebu di se-luruh negara terutama ketika cuaca panas dan kering pada masa ini.

Pelepasan asap kenderaan, habuk oleh aktiviti kerja tanah dan industri juga menyumbang kepada fenomena jerebu di seluruh negara.

Sehubungan itu, JAS mempertingkatkan rondaan udara dan darat bagi tujuan pemantauan, pencegahan dan pengesanan awal aktiviti pembakaran terbuka terutamanya di kawasan yang dikenal pasti mudah terbakar.

"Penguatkuasaan bagi mengawal pelepasan asap dan gas daripada kenderaan bermotor, pelepasan asap dan habuk daripada industri dipertingkatkan bagi mengawal masalah pencemaran udara dalam negara.

"Orang ramai juga dinasihatkan tidak melakukan pembakaran terbuka dan menyelenggara kenderaan masing-masing supaya dapat mengurangkan pelepasan asap hitam, manakala pihak industri perlu memastikan pelepasan benda asing daripada proses pengeluaran mematuhi piawaian peraturan alam sekitar ditetapkan," katanya.

Kelmarin, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Douglas Uggah Embas, berkata status kualiti udara di kebanyakan kawasan seluruh negara pada masa ini sedikit merosot dengan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang direkodkan adalah antara 51 hingga 100 menjadikan keadaan berjerebu.

Jabatan Meteorologi pada Isnin lalu turut melaporkan jarak penglihatan di beberapa kawasan Prai dan Bayan Lepas di Pulau Pinang serta Subang, Petaling Jaya, Melaka dan Kuantan merosot antara enam hingga sembilan kilometer.

Jabatan itu turut meramalkan sehingga September ini, negara akan mengalami cuaca panas dan kering semasa Monsun Barat Daya yang menyebabkan pembentukan fenomena El Nino.

Sementara itu, kenyataan itu menyebut, sepanjang tempoh 24 jam lalu, bacaan IPU dari 51 stesen pengawasan kualiti udara Jas yang direkodkan pada jam 11 pagi semalam mencatatkan 17 kawasan berada pada tahap baik dan 32 lagi berada pada tahap sederhana.

Sumber : http://www.bharian.com/