Isnin, 23 April 2012
ISU PENDIDIKAN : Tabiat membaca rakyat Malaysia terus meningkat
Oleh Adli Shahar dan Mohd Fitri Nizam
KUALA LUMPUR: Tabiat membaca rakyat Malaysia terus menunjukkan peningkatan berdasarkan penambahan 33.2 peratus bilangan pinjaman buku yang dicatatkan di Perpustakaan Negara (PN) tahun lalu.
Statistik pinjaman bahan bacaan di PN pada 2011 menunjukkan peningkatan yang amat ketara iaitu dengan catatan jumlah keseluruhan sebanyak 1.03 juta buku dipinjam oleh pembaca tempatan, berbanding 2010 hanya 776,347 buku.
Ketua Pengarah PN, Datuk Raslin Abu Bakar, berkata faktor utama peningkatan berkenaan disebabkan oleh pertambahan jumlah pinjaman berkelompok dari 289 institusi pada 2011 berbanding 240 pada 2010.
“Kalau 10 tahun dulu seorang rakyat Malaysia cuma membaca dua buku setahun tapi pada tahun lalu kenaikan yang amat ketara dapat dilihat dengan jumlahnya meningkat kepada lapan buku seorang.
“Peningkatan tabiat membaca ini membuktikan tahap kesedaran rakyat Malaysia mengenai pentingnya ilmu pengetahuan jelas kelihatan dan ia juga sejajar dengan misi kerajaan untuk mencapai status negara maju pada 2020,” katanya ketika ditemui pada pelancaran sambutan Hari Buku Sedunia di Perpustakaan Negara, di sini, semalam.
Sementara itu, PN juga melancarkan ‘Kempen Bulan Bebas Denda’ kepada peminjam yang gagal memulangkan buku pada tarikh yang ditetapkan tanpa dikenakan sebarang bayaran sehingga 23 Mei ini.
Raslin berkata, pemulangan boleh dilakukan di PN, perpustakaan komuniti PN di AEON Mahkota Cheras dan AU2 Setiawangsa serta perpustakaan desa di seluruh negara selain menggunakan perkhidmatan pos.
“Penawaran ini adalah selaras dengan Kempen Bulan Bebas Denda untuk menggalakkan peminjam memulangkan kembali buku yang melebihi tempoh pinjaman tanpa dikenakan denda lewat pulang.
“Setakat ini sebanyak 162 naskhah buku bernilai RM5,800 tidak dipulangkan semula ke PN pada 2010 manakala 173 naskhah (RM 6,500) pada 2011,” katanya.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
ISU PENGAJIAN TINGGI : PTPTN: Kekal atau mansuh atau tambah baik?
WARTAWAN SINAR HARIAN
Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional atau lebih dikenali sebagai PTPTN menjadi isu hangat sejak awal April 2012. Sekilas pandang menerusi perbincangan di laman sosial Facebook khususnya dan blog-blog secara umumnya, adalah menjadi sesuatu yang memeranjatkan apabila peratusan sokongan terhadap pengekalan dan pemansuhan PTPTN adalah hampir sekata. Bagaimana pula dengan anda?
Tidak mahu untuk saya terlibat dalam perbahasan panjang untuk dikekal atau dimansuhkan PTPTN tetapi lebih suka untuk saya membawa pembaca kepada fokus yang ketiga; iaitu ‘tambah baik’ PTPTN. Secara tidak langsung, kenyataan saya di atas jelas. Kekalkan PTPTN? Ya. Mansuhkan PTPTN? Juga ya, tetapi kepada beberapa faktor pemansuhan dan penambahbaikan.
Siapa tidak mahu sesuatu yang percuma? Rata-rata suka akan perkara percuma termasuklah saya sendiri tetapi terkadang pernahkah kita sendiri merasa puas sekiranya sesuatu perkara itu kita kecapi hasil daripada titik peluh usaha kita sendiri? Perkara asas untuk kita fahami ialah, hutang tetap wajib dibayar kecuali pihak pemiutang menghalalkan segala hutang kita.
Perkara pokok untuk kita hapuskan pada PTPTN ialah kos pengurusan 1% atau sekarang lebih dikenali sebagai ujrah-upah. Sememangnya kos 1% tersebut telah dikemaskini daripada 3% sebelum ini tetapi 1% tersebut tetap tidak relevan untuk dikenakan ke atas mahasiswa. Walau selantang mana pun PTPTN menyatakan 1% tersebut bukanlah kos faedah, realitinya 1% tidak perlu untuk dikenakan ke atas peminjam. Pengiraannya mudah sahaja, sekiranya peminjam meminjam RM14,000 untuk kos pengajian, maka ujrah 1% ke atas peminjam tersebut adalah RM140 setahun. Tetapi bagi mereka yang meminjam RM28,000 pada sepanjang tahun pengajian, maka mereka perlu untuk membayar RM280 setahun. Anda faham akan perkiraan tersebut bukan? Kos ujrah tersebut meningkat dengan meningkatnya nilai pinjaman. Persoalannya ialah, mengapa tidak diselaraskan sahaja satu nilai walau sebanyak mana pun nilai pinjaman? Secara umumnya, peminjam perlu untuk melunaskan segala pinjaman dalam jangka masa 10 ke 15 tahun setelah tamat pengajian. Bolehlah anda mengira sendiri jumlah keseluruhan pinjaman yang perlu dilunaskan termasuk kos ujrah tersebut, kononnya.
Buat makluman semua, para graduan yang telah menandatangani perjanjian 3% perlu untuk membuat perjanjian semula bersama PTPTN untuk menukarkan kos pengurusan 3% kepada 1%. Apa yang terjadi sekarang ini ialah, graduan yang belum sempat menukarkan perjanjian tersebut walau apa pun alasan mereka telah dikenakan caj tersebut setiap bulan tanpa mereka sedari! Ya, dan perkara tersebut terjadi kepada sahabat rapat saya sendiri yang dikenakan caj RM65 sebulan kerana masih terikat dengan perjanjian lama. Beliau lambat untuk menukarkan perjanjian sedia ada sedangkan RM65 tersebut tidak termasuk jumlah pinjaman semasa, dan dalam erti kata lain, peminjam telah dikenakan faedah setelah beberapa bulan menamatkan pengajian. Mungkin anda boleh menyemak nama anda di laman web PTPTN bagi mereka yang mengambil mudah untuk menukar perjanjian tersebut.
Penghapusan kadar 1% tersebut sudah tentulah sesuatu yang kecil bagi pihak kerajaan berbanding subsidi RM43 billion dengan jumlah tanggungan RM4 billion ke RM6 billion setahun berdasarkan perangkaan untuk 2012/2013. Nilai tersebut sudah tentu membantu ribuan graduan berbanding membantu seorang ahli korporat yang telah menjadi liabiliti kepada Malaysia Airlines sebanyak RM8 bilion tetapi telah dihapus kira hutangnya oleh kerajaan sebanyak RM589 juta kepada Dana Harta walaupun tiga tahun lalu beliau telah diarahkan untuk melunaskan hutang tersebut oleh pihak mahkamah. Sistem sebegini perlu diubah, sistem yang memenangkan mereka yang berduit; tidak bagi rakyat biasa yang berpendapatan sederhana dan rendah. Mengapa kerajaan boleh memberikan jutaan ringgit pelepasan kepada seorang yang sememangnya sudah berharta dan melakukan kesilapan pengurusan tetapi tidak bagi mereka yang tidak semewah mereka yang berada dan tidak mempunyai sebarang kepentingan ekonomi?
Perkara kedua yang perlu ditambah baik adalah, jadikan PTPTN sebagai pinjaman pemboleh ubah. Selain tidak perlu untuk membayar faedah untuk pinjaman, malah pinjaman tersebut boleh dikurangkan berdasarkan keputusan akhir peperiksaan. Sememangnya langkah kerajaan untuk memberikan pelepasan kepada 11,764 graduan yang mendapat kelas pertama setakat 31 Disember 2011 adalah satu langkah bijak untuk membantu mahasiswa cemerlang yang gagal untuk mendapatkan biasiswa. Walau bagaimanapun, jumlah 11,764 graduan tersebut hanya mewakili berapa peratus daripada jumlah keseluruhan graduan? Haruslah diingat, kebanyakan mahasiswa yang sememangnya cemerlang dalam akademik telah pun ditaja oleh mana-mana pihak sama ada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Intel, Petronas dan sebagainya. Pada hemat saya, lebih berbaloi untuk pihak kerajaan menjadikan PTPTN seperti MARA yang mana graduan akan membayar kos pengajian berdasarkan keputusan akhir peperiksaan. Jangan hanya fokuskan kepada mereka yang hanya mendapat kelas pertama sahaja tetapi kelas kedua atas, bawah dan sebagainya. Sediakan satu jadual pembayaran balik mengikut keputusan akhir pinjaman. Secara tidak langsung, mahasiswa akan lebih fokus terhadap pelajaran sekurang-kurangnya berusaha mendapatkan PNGK 3.0 dan ke atas bagi membolehkan mereka mengurangkan pembayaran balik 50% ke 60% sebagai contoh.
Mungkin juga PTPTN boleh menjalankan kajian terperinci untuk memberikan pelepasan 100% bagi mereka yang tidak mendapat ijazah sarjana muda kelas pertama tetapi kelas kedua atas yang aktif dalam aktiviti kokurikulum samaada sukan, kepimpinan, kebudayaan, kesenian dan sebagainya. Sememangnya manusia dilahirkan dengan kebijaksanaan serta bakat yang berbeza-beza dan kepelbagaian kebijaksanaan dan bakat ini perlu diraikan bersama. Sekiranya cadangan ini boleh diterima pakai, satu sistem yang efektif perlu disediakan bagi menilai keaktifan mahasiswa dalam aktiviti kokurikulum.
Isu disenaraihitam juga perlu untuk dikaji semula. Nama disenaraihitamkan bukanlah sesuatu perkara kecil, ia boleh memberi kesan seumur hidup kepada para graduan. Bayangkan mereka yang baru berusia lewat dua puluhan tetapi telah disenaraihitamkan? Permudahkanlah urusan pembayaran balik walaupun sekadar RM50 sebulan. PTPTN bukanlah sama seperti institusi kewangan di bawah Akta Perbankan dan Institusi Kewangan yang dikawal selia oleh Bank Negara dan tidak sepatutnya mempunyai kuasa seperti bank-bank. PTPTN juga seharusnya berkerjasama dengan Jabatan Imigresen Malaysia untuk selalu menyemak pangkalan data bagi memastikan mereka yang telah melunaskan pembayaran balik dibersihkan nama.
Jumlah RM43 bilion yang diperdebatkan bukanlah suatu angka yang kecil. Bukanlah saya ingin menidakkan pendidikan tinggi percuma tetapi saya lebih cenderung untuk memperjuangkan peluang pendidikan berkualiti kepada semua lapisan masyarakat. Kita yang berada di bandar tidak merasa jerih perih mereka yang berada di kawasan pedalaman khususnya di Sabah dan Sarawak. Jumlah tersebut perlu disalurkan dahulu kepada mereka daripada kita yang telah mendapat peluang untuk menyambung pelajaran di peringkat universiti. Teringat saya ketika satu konvensyen yang pernah saya hadiri bersama Majlis Perwakilan Mahasiswa, MPM seluruh IPTA di Universiti Tun Hussein Onn, UTHM. Tatkala sebahagian MPM melontarkan isu kelebihan MPM, MPM daripada Sabah dan Sarawak khususnya bercakap tentang kedaifan sekolah di kawasan sekitar mereka. Jangan kita bandingkan sekolah rendah di sekitar Putrajaya, walhal sekolah menengah di kawasan pedalaman di Sabah dan Sarawak pun masih lagi berdindingkan kayu, berlantaikan tanah, berbumbungkan daun nipah. Sesungguhnya mereka lebih memerlukan dana RM43 bilion tersebut.
Perlu untuk diperjelas berkenaan isu PTPTN ini bukan sekadar pemansuhan PTPTN tetapi kelebihan pendidikan percuma kepada mahasiswa. Sememangnya mereka ingin PTPTN dimansuhkan tetapi diganti dengan pendidikan tinggi percuma yakni yuran dipercumakan. Mungkin kerajaan mampu untuk memansuhkan PTPTN dan mengecualikan yuran universiti tetapi kita perlu mengkaji, kebanyakan besar mahasiswa juga menggunakan wang pinjaman tersebut untuk kos sara hidup, membeli buku, pengangkutan dan sebahagian yang membayar sewa rumah bagi yang tidak mendapat penginapan di dalam kampus dan sebagainya. Adakah suatu hari nanti kita akan meminta pula untuk diberikan wang saku percuma? Adakah pengecualian yuran hanya kepada IPTA bukannya IPTS? Bagaimana pula dengan Kolej Komuniti, Pusat Kemahiran dan sebagainya? 20 IPTA di Malaysia tidak mampu untuk menampung semua mahasiswa dan bukannya semua mahasiswa IPTS adalah berlatar belakangkan keluarga berada. Sekiranya PTPTN dihapuskan serta merta dan mahasiswa IPTS disisihkan daripada kelebihan pendidikan percuma, tidak mustahil, ramai yang akan tercicir untuk melanjutkan pelajaran. Umum mengetahui, kos pengajian di IPTS adalah lebih mahal daripada IPTA.
Dasarnya, PTPTN tidak perlu dihapuskan secara terus tetapi sistem yang sedia ada perlu untuk ditambah baik. Hapuskan caj pengurusan 1% dan jadikan pinjaman sebagai pinjaman boleh ubah berdasarkan keputusan akhir peperiksaan dan mudahkan urusan pembayaran balik pinjaman. Bagi yang meminjam, hutang tetap perlu dilunaskan. Adakah mereka yang menuntut untuk menghapuskan PTPTN ini telah membayar walaupun 1 sen? Jangan hanya memikirkan untuk membeli rumah, kereta dan gajet-gajet mewah tetapi leka dan alpa dalam membayar hutang sedia ada. Adalah tidak adil bagi mereka yang komited membayar balik pinjaman sedikit demi sedikit sedangkan mereka yang tidak pernah membayar pinjaman dilepaskan terus daripada pinjaman.
Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/
ISU GLOBAL : Lelaki subur pupus 2062 ?
Sperma mikroskopik berkurangan akibat obesiti, tekanan
MUMBAI: Dunia berdepan masalah ketiadaan lelaki subur dalam tempoh 50 tahun lagi berikutan bilangan sperma mikroskopik yang semakin berkurangan kerana peningkatan tahap tekanan, obesiti dan pencemaran udara.
Akhbar Times of India melaporkan, lebih membimbangkan apabila anggaran menunjukkan kekurangan itu mencecah 50 peratus sejak 50 tahun lalu.
Pegawai yang bertanggungjawab mengusahakan garis panduan India untuk membantu teknik reproduktif, Dr P M Bhargava, berkata aliran pengurangan sperma dikesan sejak pertengahan tahun 1990-an di Barat.
“Beberapa doktor di India percaya keadaan itu juga berlaku di negara ini. Kajian di Barat menunjukkan bilangan itu menurun dua peratus setiap tahun.
“Pada kadar ini, tiada lagi lelaki subur antara 40 hingga 50 tahun lagi,” kata Bhargava yang dianggap antara saintis terkemuka India.
Beberapa tahun lalu, kajian di Scotland terhadap 7,500 lelaki yang mengunjungi Pusat Kesuburan Aberdeen antara 1989 hingga 2002 menunjukkan purata sperma berkurangan hampir 30 peratus.
Kajian lain dari Copenhagen pula mendapati mendapati punca utama masalah itu ialah penyalahgunaan alkohol, merokok dan obesiti.
“Banyak bahan yang digunakan setiap hari seperti plastik atau botol susu membebaskan kimia yang sama dengan estrogen, hormon wanita,” kata Bhargava.
Kata saintis, pendedahan kepada kimia seperti hormon wanita boleh mengurangkan sperma pada lelaki.
Penggunaan racun serangga seperti DDT dan dioksin juga antara punca masalah itu.
Namun, sebahagian saintis tidak bersetuju. Pakar kesuburan, Dr Aniruddha Malpani, berkata gangguan yang disebutkan cuma satu daripada teori tidak dibuktikan untuk menjelaskan mengenai pengurangan sperma.
“Ia teori paling terkenal tetapi belum terbukti lagi. Kadar ketidaksuburan ialah masalah lelaki dan wanita disebabkan mereka lewat berkahwin serta bertangguh untuk melahirkan anak,” katanya.
Seorang lagi pakar, Dr Anjali Malpani, memberikan statistik bagaimana sperma menurun sejak berdekad lalu.
“Ketika menubuhkan bank sperma pertama di Mumbai dua dekad lalu, kami mudah mendapat 40 hingga 60 juta sperma setiap satu mililiter,” katanya.
Namun pada akhir tahun 2009, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyemak semula definisi bilangan sperma normal kepada 20 juta setiap mililiter.
Jadi, bank sperma cuma menolak penderma yang bilangan sperma tidak sampai 15 juta setiap mililiter.
“Pada 1950-an, WHO sendiri mengikat bilangan normal pada 113 juta setiap mililiter,” katanya.
“Dua dekad lalu, apabila kami menubuhkan bank sperma pertama, kami ditanya bagaimana mahu menggunakan perkataan itu secara terbuka.
“Sukar mendapatkan sumbangan kerana lelaki tidak mahu seseorang yang kelihatan seperti mereka berjalan-jalan di bandar 20 tahun akan datang,” kata Malpani. – Agensi
ISU BAHASA : Wajib bahasa ketiga di sekolah tambah kemahiran pelajar
MEMILIKI kemahiran tambahan sudah tentunya memberi kita kelebihan dalam bidang diceburi. Tanpa mengira apa profesion diceburinya, seseorang yang memiliki kemahiran tambahan di luar skop tugas atau tanggungjawabnya sudah pasti akan memberinya kelebihan berbanding orang lain. Kemahiran boleh diperoleh dalam pelbagai bentuk dan salah satu ialah penguasaan bahasa. Justeru, apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menggalakkan rakyat menguasai bahasa ketiga selain bahasa Melayu dan Inggeris, ia mempunyai tujuan sama. Dengan penguasaan bahasa asing yang bukan bahasa ibunda atau bahasa Inggeris, seseorang kakitangan kerajaan dan swasta, mahupun pelajar sudah tentu mampu memperoleh pencapaian lebih jauh berbanding orang lain. Penguasaan lebih daripada satu bahasa itu meningkatkan keyakinan diri dan menjadikan mereka orang yang berpotensi untuk mencapai kejayaan lebih besar. Selain bahasa Melayu dan Inggeris, antara bahasa dunia yang boleh dipelajari termasuk bahasa Mandarin, Arab, Perancis, Jepun atau Jerman.
Bahasa Mandarin dan Arab bukan saja digunakan oleh komuniti antarabangsa, malah kemahiran bertutur atau menulis kedua-dua bahasa berkenaan boleh memudahkan persaingan untuk mendapatkan pekerjaan dan menceburi perniagaan. Selain itu, penguasaan bahasa Arab akan juga memudahkan umat Islam memahami dan menghayati ayat suci al-Quran. Sudah tentunya seseorang yang boleh menguasai pelbagai bahasa menjadikannya lebih hebat ketika menghadapi persaingan dalam dunia pekerjaan atau perniagaan. Ketika menyarankan perkara itu kelmarin, Perdana Menteri memberi contoh bahawa dua anaknya kini sedang mempelajari Mandarin dan Arab. Seorang daripada mereka yang menuntut di sebuah universiti di Amerika Syarikat turut mengambil satu kertas pilihan, iaitu bahasa Mandarin. Pada cuti semester lalu, anak Perdana Menteri dihantar ke Beijing University of Foreign Studies di China untuk mendalami bahasa Mandarin, manakala seorang lagi mengambil kertas bahasa Arab. Kita yakin bahawa kemampuan mereka menguasai kemahiran bahasa itu akan memperlengkap lagi ilmu pengetahuan mereka di samping bidang pengkhususan diambil. Kemahiran untuk berbahasa Inggeris, Arab, Mandarin mahupun bahasa lain dunia bagaimanapun tidak harus menyebabkan kita alpa dengan bahasa Melayu atau memandang remeh terhadap bahasa Melayu. Ia seharusnya menjadi nilai tambah kepada kita, bukan sebaliknya. Kita berharap generasi muda di negara ini akan menyahut cabaran ini dan meningkatkan kemahiran mereka dalam bahasa ketiga seperti Mandarin dan Arab seperti disarankan oleh Perdana Menteri. Mungkin elok rasanya diwajibkan bahasa ketiga pada peringkat sekolah rendah atau menengah bagi membolehkan pelajar mengetahui lebih banyak bahasa dan buat permulaan bolehlah ditawarkan bahasa yang ada guru mahir dalam bahasa itu sendiri seperti bahasa Mandarin dan Arab.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
ISU SOSIAL : Perangi pengamal rasuah
Oleh ROHAMI SHAFIE
SUMO diketahui umum, sejenis sukan tradisional yang paling diminati oleh rakyat Jepun. Sesiapa sahaja yang terlibat dalam sukan ini akan mendapat keistimewaan tersendiri. Namun, pada tahun lalu, dunia digemparkan dengan skandal rasuah terbesar sukan sumo di Jepun. Skandal ini merosakkan reputasi dan imej sukan ini yang wujud sejak 2,000 tahun lalu.
Ini mengingatkan kita kembali skandal bolasepak Malaysia pada era 1990-an. Ketika itu, beratus-ratus pemain bolasepak dari yang berstatus pemain elit Malaysia sehinggakan pemain simpanan skuad negeri terlibat dengan rasuah. Kebanyakan mereka diharamkan seumur hidup bermain dalam bolasepak negara. Akibatnya, bolasepak negara mengalami era kegelapan paling teruk dalam sejarah.
Ranking bolasepak negara di pentas dunia jatuh menjunam berbanding zaman kegemilangan 1970-an dan awal 1980-an. Amat dahsyat sekali penangan skandal rasuah bolasepak negara! Rasuah tidak pernah memberi apa-apa kebaikan kepada negara. Rasuah hanya memudaratkan negara dan jika tidak diperangi secara holistik mampu meranapkan ekonomi negara.
Yang menyedihkan, saban minggu kita akan dihidangkan dengan berita-berita yang melibatkan skandal rasuah. Rasuah berlaku bukan sahaja melibatkan jumlah wang yang amat besar sekali tetapi juga ada di antaranya sekadar melibatkan jumlah wang yang kecil sahaja.
Rasuah bukan sahaja dalam bentuk kewangan tetapi diperluaskan dalam bentuk seks. Amat malang sekali, ketika negara menuju ke arah negara maju, rakyatnya mengamalkan rasuah.
Rasuah masalah rakyat. Rasuah tidak mengenal sesiapa dan ia berbentuk universal. Tidak merujuk mana-mana kaum, parti politik mahupun organisasi. Ia boleh berlaku merentasi negara.
Bahkan, terdapat kes rasuah melibatkan orang "baik-baik". Tiada siapa boleh mengatakan bahawa ia hanyalah di bawah tanggungjawab Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Menuding jari ke arah SPRM semata-mata tidak akan menyebabkan gejala rasuah dapat dibanteras secara holistik.
Setiap individu yang mengaku sebagai warganegara Malaysia bertanggungjawab memerangi rasuah. Ia bukan perang yang memerlukan senjata. Tetapi perang sebenar yang memerlukan kekuatan dan keberanian luar biasa. Ia merupakan perang terhadap pengamalnya!
Sudah menjadi lumrah sejak dahulu lagi, masyarakat kita masih lagi tidak berani ke hadapan untuk melaporkan kes-kes rasuah. Puncanya, dikhuatiri terkena diri sendiri. Paling dirisaukan melibatkan periuk nasi mereka. Dipulau, diturunkan jawatan dan paling teruk dipecat.
Natijahnya, banyak kes rasuah tidak dapat diselesaikan kerana saksi tidak berani tampil memberi bukti. Terdapat juga kes rasuah tertangguh atau tidak dapat diteruskan kerana saksi malu memberi keterangan.
Memerangi rasuah haruslah bermula dari para pemimpin. Barulah orang bawahan tidak berani melakukannya. Terdapat kajian menunjukkan kepimpinan memberi kesan besar kepada orang bawahan. Rosaknya pemimpin, rosaklah orang bawahan. Ada juga kes rasuah melibatkan ketua yang sering bercakap mengenai rasuah, menuding orang lain kononnya pengamal rasuah, menguar-uarkan dirinya cukup bersih, walhal diri sendiri kotor berlumuran dengan kegiatan rasuah. Pemimpin sebegini perlu ditolak kerana akhlaknya di tahap terendah! Amat malang sekali pemimpin memberi contoh tidak baik kepada orang bawahan.
Namun, sejak akhir-akhir ini terdapat sinar cahaya dalam memerangi rasuah. SPRM begitu aktif berkempen di kalangan rakyat supaya tidak sesekali memberi dan menerima rasuah. Pelbagai wacana digunakan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai rasuah.
Tidak kurang juga ada yang memperkenalkan kod dan polisi dalam memerangi rasuah. Umpamanya, Petronas memperkenalkan polisi pemberi maklumat dalam Kod Kelakuan dan Etika Perniagaan (CoBE).
Polisi pemberi maklumat ini membolehkan pekerja dan orang awam tampil ke hadapan melaporkan kes rasuah dan penyelewengan jika terdapat kes seumpama ini di dalam syarikat dan organisasi. Menariknya, CoBE disokong sepenuhnya pihak atasan yang diketuai oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya.
Inilah yang dikatakan sebagai kepimpinan melalui teladan. Apabila pemimpin tidak ragu-ragu memastikan pekerjanya beretika sepanjang masa, maka, orang bawahan akan mencontohi beliau. Lebih mudah lagi jika sekiranya pemimpin itu terlebih dahulu menjadi pemimpin beretika.
Organisasi lain perlu mencontohi langkah yang diambil Petronas. Tidak kiralah sama ada organisasi itu merupakan jabatan kerajaan, syarikat, parti politik, persatuan, kelab mahupun badan bukan kerajaan.
Jangan ragu-ragu memperkenalkan dan melaksanakan kod dan polisi seumpama CoBE. Memang benar, kesan positif dari pelaksanaannya mengambil masa, namun ia merupakan antara langkah terbaik dalam memerangi rasuah di kalangan pengamalnya.
PENULIS ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan Pusat Pengajian Perakaunan (SOA) dan Felo Penyelidik Institut Penyelidikan Pengurusan dan Perniagaan (IMBRe) Kolej Perniagaan (COB) Universiti Utara Malaysia.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
ISU SOSIAL : Kekosongan jiwa faktor penularan LGBT
Oleh PROF. DR. SAODAH ABD. RAHMAN
PERMASALAHAN sosial dalam kalangan umat Islam di negara ini menjadi semakin runcing apabila kegiatan mungkar menjadi lumrah kehidupan masyarakat. Penularan gejala lesbian, gay, biseksual dan transgender serta seks bebas (LGBT) di kalangan umat Islam merupakan perkara serius yang perlu diatasi oleh umat Islam. Faktor yang mendorong dan menggalakkan percambahan LGBT perlu dikaji supaya kegiatan itu dapat dibendung.
Perkara berkaitan identiti atau sifat manusia berubah daripada fitrah kepada personaliti bertentangan dengan fitrah adalah mempunyai kaitan dengan bisikan hati yang mendorong jiwa melakukan perkara bertentangan fitrah.
Jiwa ini dianggap sebagai nafs al-ammarah (nafsu yang mendorong kepada kejahatan) seperti mana dijelaskan oleh Allah dalam surah 12 (Yusuf): 53 yang bermaksud, " Sesungguhnya nafsu itu (nafsu al-ammarah) selalu menyuruh kepada kejahatan kecuali nafsu yang diberi rahmat oleh Tuhan ku. Sesungguhnya Tuhan ku Maha Pengampun lagi Maha Penyayang".
Di antara perkara yang diajukan oleh beberapa orang gay kepada penulis adalah bagaimana caranya untuk menghapuskan syahwat yang mendorong mereka begitu bernafsu apabila melihat lelaki yang comel dan menarik. Mereka menjelaskan bahawa mereka cuba untuk mengelakkan perasaan demikian tetapi gagal.
Begitu juga dengan lelaki yang bertingkah laku dan berperwatakan wanita gagal untuk mengubah jiwa dan hati mereka menjadi lelaki sejati. Berdasarkan kepada pengakuan dan keluhan golongan ini umat Islam tidak boleh membiarkan golongan tersebut terumbang-ambing dalam alam fantasi yang bertentangan dengan fitrah kejadian manusia.
Persekitaran dan corak pendidikan dan pembesaran lelaki dan wanita kadang-kala mendorong remaja Islam bersikap dan bertindak di luar fitrah jantina. Ibu bapa perlu memainkan peranan penting dalam proses pembesaran anak-anak. Ibu bapa perlu prihatin terhadap jenis pakaian, barang permainan anak-anak dan cara mereka bertingkah laku.
Rasulullah SAW amat prihatin dalam soal ini. Baginda menyeru ibu bapa memilih pakaian dan alat permainan berdasarkan kepada jantina . Anak-anak lelaki dilatih dengan kegiatan sukan dan permainan lasak supaya pembentukan tubuh badan menjadi gagah, jiwa dan pemikiran mereka bertepatan dengan jantina mereka.
Anak-anak perempuan diberi permainan yang boleh membentuk jiwa keperempuanan seperti anak patung, peralatan rumah atau dapur supaya mereka menggemari kegiatan berkaitan dengan kewanitaan dan keibuan. Perkara seperti ini kurang ditekankan oleh ibu bapa dalam pembesaran anak-anak masa kini. Mereka lebih menumpukan perhatian kepada pendidikan akademik tanpa menghiraukan aspek pendidikan personaliti atau kerohanian.
Kadang-kala terdapat ibu bapa terlalu memanjakan anak sehingga tidak berani menegur anak apabila berpakaian dan menunjukkan watak yang berbeza dengan jantina mereka.
Guru-guru di sekolah perlu berperanan bagi mengubah jiwa dan pemikiran kanak-kanak yang mempunyai kecenderungan bertentangan dengan fitrah jantina. Guru-guru kaunseling dan agama sepatutnya membuat pelbagai kegiatan yang boleh mendorong kanak-kanak dan pelajar berminat memakai pakaian dan bersikap berdasarkan jantina mereka.
Pengaruh rakan-rakan dan media juga merupakan faktor kepada penularan kegiatan LGBT. Kumpulan gay dan lesbian di Barat begitu aktif menyiarkan aktiviti mereka dalam laman web dengan pelbagai cara untuk menghasut manusia mengikuti kumpulan mereka. Umat Islam terutamanya remaja yang menghadapi kekosongan jiwa atau kehausan hawa nafsu memilih corak kehidupan gay atau lesbian bagi menutup kegiatan mungkar mereka.
Perkara berkaitan hawa nafsu dan bisikan syaitan perlu diatasi secara pengisian dan latihan kerohanian. Manusia yang berada dalam tahap nafsu al-ammarah tidak akan mengubah sikap dan tingkah laku mereka melainkan jiwa atau kerohanian mereka sudah berubah ke tahap nafsu al-lawwamah (jiwa yang boleh mendorong manusia merasai bersalah dan menyesal dengan perbuatan mungkar).
Proses untuk menukarkan nafsu al-ammarah kepada nafsu al-lawwamah memerlukan masa lama dan kesabaran tinggi kerana mengubah jiwa dan pemikiran manusia bukan merupakan perkara mudah kerana jiwa itu sudah sebati dalam diri mereka. Oleh itu, kebanyakan golongan LGBT beranggapan mereka dilahirkan dengan jiwa yang bertentangan dengan jantina mereka.
Perkara ini diperakui oleh kebanyakan Gereja Protestant di barat terutamanya Gereja Luthren dan Anglican. Gereja Anglican di England melantik gay dan lesbian menjadi bishop. Banyak gereja di negara Barat mengiktiraf perkahwinan gay dan lesbian.
Agama Islam tidak memperakui gay dan lesbian sebagai fitrah kejadian manusia tetapi ia adalah aktiviti syaitan untuk menyesat manusia secara membisikkan hasutan jahatnya ke dalam jiwa manusia.
Perkara ini disebut oleh Allah dalam surah 7 (al-A'raf): 27 yang bermaksud, " Hai anak Adam janganlah sekali-kali kamu dapat ditipu oleh syaitan sebagaimana ia telah mengeluarkan kedua ibu bapa mu dari syurga, ia menanggalkan dari keduanya pakaiannya untuk memperlihatkan kepada keduanya auratnya. Sesungguhnya ia [syaitan] dan pengikut-pengikutnya melihat kamu dari suatu tempat yang kamu tidak boleh melihat mereka".
Berdasarkan kepada ayat-ayat al-Quran itu maka umat Islam perlu berwaspada dengan penyebaran kegiatan LGBT di negara ini kerana ia merupakan salah satu agenda syaitan yang terbesar bagi memusnahkan fitrah kejadian manusia.
Umat Islam sepatutnya berusaha memulihkan saudara Islam yang dipesongkan oleh syaitan supaya kembali ke pangkal jalan melalui proses tazkiyyah nafs (menyucikan jiwa) dan berusaha secara bersepadu menentang segala agenda pelopor LGBT menghasut umat Islam dan manusia menyahut seruan syaitan.
Perjuangan membanteras kegiatan ini dianggap sebagai jihad al-akbar (jihad besar) iaitu jihad menentang syaitan yang merupakan musuh yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar.
Di antara kegiatan jihad al-akbar untuk menghapuskan agenda syaitan ini adalah memperbanyakan ceramah agama secara terbuka dan menjelaskan kepada masyarakat hukum hakam berkaitan LGBT mengikut pandangan Islam, mempergiatkan latihan kerohanian di sekolah dan institusi pengajian tinggi supaya jiwa kanak-kanak dan remaja Islam diasuh dengan ilmu kerohanian Islam dan mengadakan pelbagai kegiatan yang disertai oleh kanak-kanak dan remaja.
Ini boleh mendorong mereka gemar menceburkan diri dalam kegiatan amar ma'ruf (seperti melibatkan diri dalam kegiatan kebajikan dan kemasyarakatan dan seumpamanya) dan nahy 'an al-mungkar (mencegah kemungkaran). Oleh itu jadikanlah kegiatan tersebut sebagai salah satu aktiviti harian bagi membentuk umat Islam yang berwibawa dan berjaya.
Penulis ialah pensyarah Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
ISU EKONOMI : Kerjasama tangani saingan serantau
Oleh AZMAN ANUAR
rencana@utusan.com.my
Sejak MAS dan AirAsia menandatangani perjanjian pemindahan saham, begitu banyak kritikan kontroversi timbul sehinggakan sebahagian daripada aspek-aspek perjanjian yang begitu bermanfaat terlepas pandang. Hal ini adalah lumrah apabila suara-suara sumbang mampu menenggelamkan sesuatu yang baik daripada perjanjian tersebut.
Pada Ogos 2011, pemegang saham terbesar MAS, Khazanah Nasional Bhd. bersetuju untuk menukar saham dengan Tune Air Sdn. Bhd, pemegang saham terbesar Air Asia. Hal ini menyaksikan Khazanah mendapat 10 peratus (%) kepentingan di Air Asia manakala Tune Air mendapat 20.5% kepentingan dalam MAS.
Khazanah juga bersetuju untuk memperoleh 10% kepentingan di Air Asia X, anak syarikat Air Asia yang menguruskan penerbangan jarak jauh dengan bajet rendah.
Satu Rangka Kerja Kerjasama yang Komprehensif (CCF) turut ditandatangani yang menyasarkan untuk merealisasikan penjimatan dan meningkatkan hasil dalam pembelian kapal terbang, kejuruteraan, perkhidmatan sokongan bawahan, perkhidmatan kargo, katering dan latihan dalam kalangan tiga syarikat penerbangan tersebut.
CCF telah ditandatangani secara serentak oleh MAS, Air Asia dan Air Asia X sepatutnya menyaksikan MAS menumpukan aspek sebagai pengangkutan utama yang menyediakan perkhidmatan yang lengkap, Air Asia menjadi pengangkutan serantau kos rendah dan Air Asia X menjadi pengangkutan kos rendah yang menyediakan penerbangan jarak sederhana hingga jarak jauh.
Pertukaran saham yang termasuk di dalam CCF ini telah memberi pandangan negatif dalam pelbagai sektor termasuklah kepada kesatuan kakitangan MAS.
Terlalu banyak fokus diberikan kepada sesuatu yang remeh seperti pertukaran saham sehingga mereka lupa kepada sesuatu yang lebih penting seperti kerjasama yang saling menguntungkan.
Kerjasama untuk mendapatkan manfaat bersama adalah agak normal dan tidak mustahil untuk mana-mana organisasi perniagaan, sama ada dengan membuat pertukaran pegangan saham atau sebaliknya menerusi dua atau lebih syarikat.
Kerjasama antara dua syarikat sudah tentu memberikan kelebihan kepada mereka namun mereka tidak boleh mencampuri urusan perbelanjaan antara satu sama lain dan mencerobohi identiti antara satu sama lain.
Apa yang sedang berlaku sekarang adalah kedua-dua entiti ini menghadapi satu persaingan yang sihat dan memastikan mereka berada di landasan yang sama untuk mengekalkan status mereka sebagai entiti penerbangan yang relevan.
Bekas juruterbang MAS, Kapten Zakaria Salleh berpandangan, jika sebelum ini kakitangan MAS dan AirAsia saling bersaing, sepatutnya kini mereka boleh bekerjasama rapat untuk terus memperbaiki mutu perkhidmatan masing-masing.
Katanya, kakitangan kabin MAS yang banyak meraih anugerah antarabangsa sudah tentu mampu berkongsi kepakaran dengan rakan pakatannya itu, manakala kakitangan AirAsia pula boleh berkongsi pengalamannya mengenai penjimatan kos.
"Kakitangan kejuruteraan MAS yang mempunyai rekod penyelenggaraan pesawat yang cemerlang boleh dimanfaatkan AirAsia. Mereka kena bertindak sebagai satu pasukan dan bukan lagi sebagai pesaing, membolehkan MAS dan AirAsia memaksimumkan kelebihan masing-masing agar dapat bersaing dalam persekitaran yang lebih mencabar ini," kata Zakaria.
Dalam banyak perkara, persaingan akan membawa keuntungan kepada pengguna, tetapi ia juga boleh membawa kepada pembaziran, lebih-lebih lagi bagi negara kecil seperti Malaysia yang hanya mempunyai sumber manusia yang terhad.
Dalam konteks ini, adalah penting bagi MAS dan AirAsia untuk bekerjasama agar pembaziran ini tidak berterusan yang akhirnya akan merugikan negara dan menguntungkan pesaing serantau.
Kerjasama dalam bidang minyak dan gas antara Petronas dan Exxon seperti yang berlaku di kawasan telaga minyak Tapis, Shell dan Petronas di kawasan Gumusut-Kakap, Murphy dan Petronas di kawasan Kikeh dan kerjasama menang-menang yang lebih dramatik berlaku antara Shell dan Exxon di kawasan telaga minyak Brent di Laut Utara di Utara United Kingdom yang menunjukkan kerjasama antara entiti yang saling bersaing boleh dicapai tanpa mengorbankan identiti dan objektif perniagaan mereka.
Shell dan Exxon bersaing untuk meluaskan kawasan di negara luar seantero dunia. Apa yang diperlukan ialah keikhlasan dalam bekerjasama untuk mendapatkan manfaat bersama.
Satu lagi contoh, Air France + KLM yang telah melakukan kerjasama walaupun kedua-dua syarikat datang dari berlainan negara dan sentiasa bersaing. Siapa yang menentukan mereka patut "berkongsi" sumber masing-masing melalui kerjasama?
Secara kesimpulannya, kemungkinan satu kerjasama yang hebat tidak memerlukan pertukaran saham. Pertukaran secara dinamik dalam industri penerbangan barangkali tidak membenarkan MAS bergerak secara sendiri kerana ia akan menjejaskan MAS yang merupakan sebahagian daripada faktor yang membawa kerugian besar kepadanya.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Langgan:
Catatan (Atom)