Isnin, 23 April 2012

ISU BAHASA : Wajib bahasa ketiga di sekolah tambah kemahiran pelajar


MEMILIKI kemahiran tambahan sudah tentunya memberi kita kelebihan dalam bidang diceburi. Tanpa mengira apa profesion diceburinya, seseorang yang memiliki kemahiran tambahan di luar skop tugas atau tanggungjawabnya sudah pasti akan memberinya kelebihan berbanding orang lain. Kemahiran boleh diperoleh dalam pelbagai bentuk dan salah satu ialah penguasaan bahasa. Justeru, apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menggalakkan rakyat menguasai bahasa ketiga selain bahasa Melayu dan Inggeris, ia mempunyai tujuan sama. Dengan penguasaan bahasa asing yang bukan bahasa ibunda atau bahasa Inggeris, seseorang kakitangan kerajaan dan swasta, mahupun pelajar sudah tentu mampu memperoleh pencapaian lebih jauh berbanding orang lain. Penguasaan lebih daripada satu bahasa itu meningkatkan keyakinan diri dan menjadikan mereka orang yang berpotensi untuk mencapai kejayaan lebih besar. Selain bahasa Melayu dan Inggeris, antara bahasa dunia yang boleh dipelajari termasuk bahasa Mandarin, Arab, Perancis, Jepun atau Jerman.


Bahasa Mandarin dan Arab bukan saja digunakan oleh komuniti antarabangsa, malah kemahiran bertutur atau menulis kedua-dua bahasa berkenaan boleh memudahkan persaingan untuk mendapatkan pekerjaan dan menceburi perniagaan. Selain itu, penguasaan bahasa Arab akan juga memudahkan umat Islam memahami dan menghayati ayat suci al-Quran. Sudah tentunya seseorang yang boleh menguasai pelbagai bahasa menjadikannya lebih hebat ketika menghadapi persaingan dalam dunia pekerjaan atau perniagaan. Ketika menyarankan perkara itu kelmarin, Perdana Menteri memberi contoh bahawa dua anaknya kini sedang mempelajari Mandarin dan Arab. Seorang daripada mereka yang menuntut di sebuah universiti di Amerika Syarikat turut mengambil satu kertas pilihan, iaitu bahasa Mandarin. Pada cuti semester lalu, anak Perdana Menteri dihantar ke Beijing University of Foreign Studies di China untuk mendalami bahasa Mandarin, manakala seorang lagi mengambil kertas bahasa Arab. Kita yakin bahawa kemampuan mereka menguasai kemahiran bahasa itu akan memperlengkap lagi ilmu pengetahuan mereka di samping bidang pengkhususan diambil. Kemahiran untuk berbahasa Inggeris, Arab, Mandarin mahupun bahasa lain dunia bagaimanapun tidak harus menyebabkan kita alpa dengan bahasa Melayu atau memandang remeh terhadap bahasa Melayu. Ia seharusnya menjadi nilai tambah kepada kita, bukan sebaliknya. Kita berharap generasi muda di negara ini akan menyahut cabaran ini dan meningkatkan kemahiran mereka dalam bahasa ketiga seperti Mandarin dan Arab seperti disarankan oleh Perdana Menteri. Mungkin elok rasanya diwajibkan bahasa ketiga pada peringkat sekolah rendah atau menengah bagi membolehkan pelajar mengetahui lebih banyak bahasa dan buat permulaan bolehlah ditawarkan bahasa yang ada guru mahir dalam bahasa itu sendiri seperti bahasa Mandarin dan Arab.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan