Jumaat, 8 Februari 2013

BERSILA DI ATAS TIKAR MERDEKA


TELAH DIPILIH DARIPADA POHON MENGKUANG TERBAIK
DI TANAH GEMBUR BERLEMBAH SUBUR MAKMUR INI
TELAH DIPILIH DARIPADA DAUN TUA TERBAIK-SEGAR DAN LEBAR
DICANTAS DAN DIHIMPUN DARIPADA TIGA POHON TERBAIK
DIJEMUR DI BAWAH TERIK MENTARI NAMUN TETAP KUKUH IA
DILAYAT MENJADI JALUR JEMALUR NAMUN TETAP LIAT IA
DIRENDAM DENGAN TIGA RUPA WARNA SEMAKIN CANTIK
DIJEMUR LAGI DAN DILURUT BERKALI – KALI SEMAKIN LEMBUT  IA

TELAH DIPILIH DARIPADA PENGANYAM TIKAR TERMAHIR
DI ATAS BUMI INDAH AMAN MAKMUR INI
HALUS JEMARI MENYUSUN DAN MENYILANG JALURAN
MENGANYAM PETAK – PETAK WARNA DENGAN AKAL SENI
TIDAK MUDAH SEPERTI YANG KITA SANGKAKAN
JALURAN HARUS TEPAT MENYISIP ATAS BAWAH
HATI PERLU TABAH MENGHADAPI WAKTU SABAR
DARI LUAS SEINCI DI JADIKAN LEBAR SEJENGKAL
DARI SEJENGKAL DIJADIKAN SEHASTA DEPA
DARI SEHASTA DEPA DIJADIKAN SEHAMPARAN SUDAH
BEGITU PAYAH SEBENARNYA MENYIAPKAN TIKAR KERAMAT INI
BEGITU CANTIK PULA SIAPNYA MEMAPARKAN DIRI
SIAPA MELIHAT MENJADI TERPEGUN AMAT AKAN CORAKNYA
SIAPA MENYENTUH BERASA HALUS AMAT AKAN SENI DIRINYA

INILAH TIKAR MERDEKA TERPILIH BINAAN GENERASI LALU
JANGAN SEKALI – KALI GADAIKAN IA KEPADA PENJAJAH
JANGAN SEKALI – KALI HAMPARKAN  IA KEPADA PEMBELOT BANGSA
JANGAN SEKALI – KALI MELETAKKAN NILAI HARGANYA KEPADA SESIAPA
KERANA TIKAR INI HANYA UNTUK PEJUANG TERBILANG
KERANA TIKAR INI HANYA UNTUK RAKYAT BERHATI WAJA
KERANA TIKAR INI TIADA TERNILAI UNTUK DITUKAR GANTI

HANYA KEPADAMU KAMI BERSETIA DAN BERSUMPAH
HANYA KEPADAMU KASIH KAMI TUMPAH MELIMPAH
KAMILAH INSAN PALING BERTUAH MENDUDUKI TIKAR MERDEKA INI
BERSILA DAN BERZIKIR HAYAT MENYUSUN SEJARAH BANGSA…

Adam Mohd Noor
4 September 2009.

ISU ALAM SEKITAR : Malaysia berpotensi ditimpa gempa bumi berskala sederhana


KUALA LUMPUR - Umum mengetahui Malaysia antara negara yang  bertuah di dunia kerana terselamat daripada berada dalam lingkaran gempa bumi yang bermagnitud besar, namun ia bukan jaminan untuk negara tidak menerima tempiasnya.

Dengan kedudukan yang hampir dengan lingkaran gempa besar dan berjiran dengan dua negara aktif gempa bumi, iaitu Indonesia dan Filipina, secara langsung menjadikan negara turut merasai gegaran bermagnitud rendah apabila gempa bumi berskala kuat menimpa kedua-dua negara jiran itu.

Pada tahun 2012, Jabatan Meteorologi mengesan  lapan gempa bumi  - enam di Sabah (Tambunan, Kota Marudu, Kudat, Beluran, Kunak dan Keningau) dengan magnitud (antara 2 dan 4.5 pada skala Richter) dan dua di Belaga, Sarawak berkekuatan (3.5 dan 3.8 skala Richter)

Bagaimanapun negara pernah mengalami gempa bumi pada magnitud 5.8 skala Richter di Lahad Datu pada 1976 yang diklasifikasikan sebagai gempa berskala sederhana.
   
ANCAMAN ITU BENAR

Timbalan Ketua Pengarah (aplikasi) jabatan itu, Dr Mohd Rosaidi Che Abas, 54, yang berpengalaman luas dalam bidang kaji gempa bumi dan tsunami berkata kemungkinan ancaman gempa bumi di Malaysia tidak boleh diketepikan.

Katanya kawasan semenanjung terutama di Bukit Tinggi, Pahang dan Kuala Pilah, Negeri Sembilan ialah antara kawasan berpotensi diancam gempa bumi berskala sederhana.

"Terletak di lingkaran gempa bumi bermagnitud besar seperti di Sumatera dan Laut Andaman, manakala Sabah dan Sarawak terletak di lingkaran gempa Filipina Selatan dan Sulawesi Utara, menjadikan kebarangkalian Malaysia ditimpa gempa bumi berskala sederhana boleh terjadi," katanya kepada Bernama.
   
KEMUNGKINAN DILANDA GEMPA BUMI
   
Dr Mohd Rosaidi yang berkhidmat lebih 30 tahun di jabatan itu menjelaskan bahawa kebarangkalian negara ditimpa gempa bumi berskala kuat adalah mustahil.

Katanya satu kajian sedang giat dijalankan oleh universiti-universiti tempatan berdasarkan senario ini.

"Cadangan pemantauan jangka panjang terutama di Ranau dan Lahad Datu, Sabah dan Bukit Tinggi, Pahang sedang diusahakan bersama Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia," katanya sambil menambah situasi (gegaran gempa bumi) ini merupakan situasi yang biasa dan orang ramai dinasihatkan agar tidak panik.

Hasil simulasi yang dijalankan, gempa bumi yang berlaku di negara jiran juga boleh mengakibatkan negara ditimpa tsunami, kata pemilik ijazah doktor falsafah dalam bidang gempa bumi dari Universiti Teknologi Malaysia dan ijazah sarjana bidang seismologi dari International Institute of Seismology of Earthquake Engineering di Jepun itu.

"Hasil kajian yang dijalankan mendapati gempa bumi kuat di zon-zon pertembungan plat tektonik di laut Andaman, Laut China Selatan , Laut Sulu dan Laut Sulawesi boleh menjana tsunami, dan dijangka boleh melanda perairan negara seperti Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Sabah dan Sarawak," katanya.

STESEN AMARAN TSUNAMI
   
Dr Mohamad Rosaidi berkata selepas gempa bumi yang melanda Aceh pada Disember 2004 yang mengakibatkan ombak besar tsunami, negara telah mengambil langkah dengan menubuhkan 17 stesen pengesan gempa bumi, dan sistem amaran awal Tsunami Nasional Malaysia.

Beliau menjelaskan bahawa tujuh stesen yang mula beroperasi pada tahun 2005 itu mampu mengesan pergerakan plat tektonik bumi dalam tempoh seminit selepas berlaku gempa bumi dan mengesan gelombang tsunami, menjadikan stesen itu sebagai antara yang terbaik di dunia.

Dalam tempoh 10 minit membolehkan penduduk di kawasan terbabit melakukan persediaan, sekali gus mengurangkan risiko kehilangan nyawa, apabila berlakunya tsunami.

Ujar bapa kepada enam cahaya mata itu, setiap stesen beroperasi 24 jam sehari, tujuh di Semenanjung dan 10 di Sabah dan Sarawak turut dilengkapi dengan 44 sistem peralatan mengesan pergerakan seismik, 17 sistem tolok pasang surut dan 18 sistem kamera pantai.   

Menurut Dr Mohd Rosaidi lagi, 23 siren tsunami turut dipasang di lokasi berisiko di seluruh negara bagi memberi amaran kepada penduduk sekiranya berlaku tsunami.

KERJASAMA AGENSI LUAR
   
Dengan kerjasama agensi antarabangsa seperti 'International Tsunami Warning Centre dan 'International Tsunami Traning Centre' yang berpusat di Hawaii sebagai pertukaran maklumat terutama berkaitan amaran gempa bumi dan tsunami, dilihat sebagai langkah tepat bagi menjadikan sistem amaran gempa bumi dan tsunami negara, lebih efisien.

Dr Mohd Rosaidi berkata negara sedia kerjasama dengan agensi meteorologi Indonesia dan Filipina dalam perkongsian maklumat gempa bumi dan tsunami yang berlaku di negara mereka sebagai perkongsian maklumat awal untuk jabatan.

Bagi peringkat awal, pembangunan 17 stesen memanggil pakar-pakar daripada negara  yang berpengalaman dalam membangunkan pusat ini seperti Amerika Syarikat dan Jepun bagi melontarkan pandangan dan memberi  tunjuk ajar mengenai cara-cara menghadapi gempa bumi dan tsunami, jelas beliau.

TINDAKAN MASYARAKAT
   
Dalam menghadapi situasi gempa bumi yang boleh berlaku pada bila-bila masa di negara kita, masyarakat turut memainkan peranan penting, terutama cuba mengetahui cara-cara menghadapi bencana seperti ini.

Ia turut diakui Dr Mohd Rosaidi yang memberitahu bahawa peranan masyarakat ialah untuk sentiasa mengambil tahu keadaan negara yang ditimpa gempa bumi berskala sederhana.

"Bila berlaku gempa bumi, orang ramai dinasihatkan sentiasa mendapatkan maklumat terkini dari jabatan meteorologi," katanya.

Adakah kita sudah bersedia menghadapi gempa bumi? 

"Jika gempa bumi berlaku, pastikan anda selamat dan cuba dengar berita mengenainya yang dikeluarkan jabatan melalui televisyen, radio dan laman sosial," katanya.

"Latihan awal tsunami juga dijalankan supaya orang ramai boleh bertindak segera jika negara dilanda gempa bumi atau tsunami, katanya.- Bernama

ISU SOSIAL : Hari Valentine bertentangan syarak


Roh perayaan bercampur perbuatan maksiat bercanggah dengan akidah Islam

Budaya menjadikan Valentine’s Day sebagai perayaan diminati untuk diraikan bersama kekasih amat menggusarkan kita sebagai umat Islam. Ada yang mengirimkan kad ucapan, hadiah, menyanyikan lagu cinta, membuat upacara tari-menari dan mengadakan acara makan malam disinari cahaya lilin.

Bertukar perasaan di taman bunga sehingga berkucupan dan akhirnya sanggup menggadaikan kehormatan diri sendiri demi membuktikan kesetiaan kepada teman masing-masing.

Menurut Ken Sweiger, perkataan Valentine berasal dari bahasa Latin bermaksud ‘yang maha perkasa, yang maha kuat, dan yang maha kuasa’, digunakan pada zaman Rom Kuno kepada Nimrod dan Lupercus, tuhan orang Romawi.

Sedar atau tidak, jika seseorang meminta orang lain atau pasangannya menjadi ‘to be my Valentine? maka ia telah melakukan suatu perbuatan yang bercanggah dengan akidah umat Islam dan dimurkai Allah SWT kerana telah meminta seseorang menjadi “sang maha kuasa”. Hal ini sama dengan usaha menghidupkan kembali semangat budaya pemujaan berhala.

Berdasarkan pandangan tokoh agama, menyambut atau meraikan Hari Valentine bertentangan dengan syarak. Menurut Panel Kajian Akidah (PKA) dan Panel Kajian Syariah (PKS) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), amalan itu haram dan bertentangan ajaran Islam.

Begitu juga Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005, memutuskan amalan merayakan Hari Valentine tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan itu bercampur perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang Islam.

Justeru, ditegaskan pengharaman dan larangan bukanlah kerana ingin menghalang keseronokan yang menjadi trend zaman moden tetapi berlandaskan kepada apa yang dinyatakan dalam al-Quran dan as-Sunnah.

Oleh itu, umat Islam diminta tidak merayakan hari berkenaan yang bertentangan ajaran Islam sebenar serta boleh merosakkan akidah dan akhlak umat Islam. Janganlah hanya dengan alasan inginkan keseronokan serta mengikut peredaran zaman, sanggup membelakangkan al-Quran dan as-Sunnah.

Ingatlah, agama Islam tidak sesekali melarang umatnya bercinta kerana cinta adalah fitrah semula jadi manusia, namun mestilah berdasarkan hukum Islam bukannya berteraskan hawa nafsu semata-mata.

Berdasarkan pemerhatian, perkara ini berlaku kerana kualiti keimanan umat Islam yang semakin lemah dan kekaburan kita dalam menegakkan prinsip asas agama yang menjadi tunjang kehidupan seseorang Muslim.

Kita jangan lupa bahawa syaitan dan sekutunya telah berjanji kepada Allah SWT untuk terus menyesatkan orang yang beriman. Firman Allah SWT: “Dan sungguh, aku akan menyesatkan mereka, dan memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong, dan menyuruh mereka membelah telinga binatang ternak; dan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah. Dan sesiapa yang mengambil syaitan menjadi pemimpin yang ditaati selain dari Allah, maka sesungguhnya rugilah ia dengan kerugian yang terang nyata.” (Surah an-Nisaa, ayat 119)

Ingatlah bahawa agama Islam sangat mengambil berat dalam memperbetulkan pegangan akidah umatnya supaya pandangan dan sikap mereka menjadi lurus serta tasawwur mereka mengenai sesuatu perkara menjadi jelas.

Jangan kita mengikut contoh umat jahiliah yang menganggap persoalan akidah hanya sekadar mengumumkan identiti diri dan melahirkan perbuatan baik saja sedangkan hakikat iman ialah panduan antara keyakinan di hati dasar akidah dengan melaksanakan perintah Allah SWT dan meninggalkan tegahan-Nya.

Firman Allah SWT: “Sesungguhnya orang yang benar-benar beriman ialah orang yang percaya kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian mereka tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah; mereka itulah orang yang benar.” (Surah al-Hujurat, ayat 15)

Sumber: Khutbah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)

ISU ALAM SEKITAR : Kejamnya! Kenapa bunuh gajah?


Oleh : EZARUDDIN ABD. RAHMAN

TERSENTAK dan sayu saya melihat seekor anak gajah mengejutkan ibunya yang kaku di Sabah (lihat Utusan Malaysia 31 Januari). Berita 10 gajah Pygmy mati akibat diracun adalah satu tragedi besar negara berhubung nasib hidupan liar di negara ini.

Kejadian tersebut tidak boleh diterima akal fikiran manusia. Bagaimana manusia tergamak membunuh gajah yang tidak berdosa mengunakan racun tikus? Menurut laporan akhbar, gajah Pygmy Borneo yang berusia antara empat hingga 20 tahun ditemui mati di Hutan Simpan Rara, Tawau, Sabah.

Walaupun saya bukannya seorang aktivis alam sekitar, sesiapa sahaja yang melihat seekor anak gajah cuba membangunkan ibunya yang telah mati adalah sesuatu yang menyayat hati kita semua.

Tergamakkan kita membiarkan kisah ini terus tenggelam tanpa membawa pihak bertanggungjawab ke muka pengadilan? Ini sebagai tanda prihatin kita terhadap hak hidupan liar untuk terus hidup di atas muka bumi ini mengikut ketetapan yang telah diatur oleh Allah S.W.T.

Di luar negara, orang sanggup berdemonstrasi untuk menyelamatkan hidupan liar dan alam sekitar, serta untuk menyelamatkan kepupusan khazanah alam sekitar.

Tentu kita sangat bingung memikirkan mengenai 10 ekor gajah mati di negeri Sabah, sedangkan kerajaan telah mengadakan pelbagai kempen dan penguatkuasaan undang-undang demi menjaga hidupan liar di negara ini.

Pengetahuan anak muda di negara ini mengenai alam sekitar masih lagi samar. Misalnya, masih ada yang tidak mengenali haiwan tapir atau dikenali 'gajah kerdil' yang semakin pupus di Malaysia akibat pembalakan dan penerokaan tanah untuk pembangunan.

Kematian 10 ekor gajah sudah pasti akan menarik perhatian antarabangsa dan menyebabkan tanggapan atau persepsi luar yang kurang baik terhadap Malaysia. Bahkan isu ini boleh dimanipulasi secara meluas.

Pelancong asing sangat teruja melawat Malaysia, antara lain disebabkan ekopelancongan yang menarik meliputi kawasan hutan hujan yang menyimpan rahsia biodiversiti. Juga tumpuan pesat pengunjung ke gua- gua, hutan simpan, pusat pemuliharaan Orang Hutan, pulau-pulau dan sungai-sungai.

Umum juga mengetahui Malaysia menjadi tarikan kepada pengkaji hidupan liar sehingga menarik ramai pakar ke Malaysia. Ini kerana Malaysia adalah negara yang sangat kaya dengan alam semula jadi dan menyimpan warisan alam sekitar jutaan tahun.

Pelbagai persoalan timbul di benak kita. Sampai bilakah hidupan liar akan terus dicabul haknya tanpa pembelaan? Siapakah yang harus dipersalahkan dalam hal ini? Apakah peranan kita dalam membantu membendung masalah ini?

Kita amat mengharapkan pihak berkuasa sentiasa membuat rondaan untuk mengawal hidupan liar di negara ini agar tidak diseludup atau dibunuh sesuka hati. Masih mampukah kita menyelamatkan habitat hutan dan hidupan liar yang menghuni hutan-hutan negara kita supaya tidak pupus daripada muka bumi ini?

Harapan rakyat Malaysia agar mereka yang bertanggungjawab membunuh 10 ekor gajah tersebut dibawa ke muka pengadilan secepat mungkin. Mereka ini diibaratkan sebagai pengganas kepada alam sekitar.

Semoga kisah menyayat hati seekor anak gajah kehilangan ibunya akan membuka minda rakyat Malaysia betapa pentingnya kita tidak menzalimi hidupan liar yang terancam. Kita harus bersifat berperikemanusiaan terhadap gajah yang tidak berdosa.

Anak gajah ini sudah pastinya akan merindui ibunya seperti mana kita kehilangan orang yang tersayang.

Serdang, Selangor.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU PENGAJIAN TINGGI : Transformasi meningkatkan kualiti pengajian tinggi


Oleh :  Alimuddin Mohd. Dom

"INSTITUSI pengajian tinggi (IPT) tidak seharusnya hanya berfokus ke arah melahirkan modal insan dan memenuhi aspirasi nasionalisme sahaja tetapi hendaklah lebih daripada itu iaitu untuk melonjakkan kebolehsaingan negara di peringkat global."

Demikian antara petikan ucapan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam Majlis Amanah Tahun Baharu 2013 di PICC, Putrajaya pada 29 Januari lalu.

Amanat yang diucapkan hampir satu jam 30 minit itu merangkumi lapan agenda dan 44 penyataan dasar menggambarkan usaha keras Kementerian Pengajian Tinggi untuk melonjakkan kualiti IPT.

Sudah tentu ia selaras dengan usaha kerajaan untuk menjadikan negara ke arah negara maju yang berpendapatan tinggi.

Keutuhan dan kecemerlangan IPT sama ada institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) atau institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS) sangat signifikan dalam menentukan kebolehupayaan dan daya saing negara. Peruntukan besar sebanyak RM13.7 bilion dalam Bajet 2013 membuktikan kerajaan memberi perhatian serius terhadap keupayaan sektor pengajian tinggi.

Terdapat sekurang-kurangnya tiga mesej utama yang ditekankan oleh Menteri Pengajian Tinggi dalam amanatnya itu. Pertama, menyeru semua IPT melaksanakan transformasi dengan mengkaji semula program pengajian dan aktivitinya serta membuat penambahbaikan supaya selaras dengan hasrat Program Transformasi Kerajaan (GTP) yang diterajui oleh Perdana Menteri.

Kedua, sebagai institusi menara gading peranannya hendaklah turut terarah memberi perkhidmatan kepada komuniti. Perlu disediakan program untuk warganya turun ke gelanggang melaksanakan aktiviti bersama rakyat.

Setiap IPT digalakkan menubuhkan ‘‘Pusat Transformasi Komuniti’’ yang berorientasikan strategi lautan biru. Diyakini bahawa IPT mampu bertindak sebagai jentera yang boleh menggerakkan usaha ke arah meningkatkan keupayaan serta kemajuan komuniti dan masyarakat.

Ketiga, IPT hendaklah memberi penekanan kepada usaha melahirkan graduan berkemahiran dan berdaya saing bagi memenuhi pasaran pekerjaan. Program pengajian perlu diselaraskan dengan keperluan bidang industri. Wajar sekali IPT berganding bahu dengan pihak industri agar graduan yang dihasilkan berupaya mengisi tenaga kerja terutama bagi keperluan negara menjelang tahun 2020.

Sesungguhnya landskap pengajian tinggi amat dinamik kerana berhubung kait dengan keutuhan ekonomi dan sosio budaya negara. Kepesatan perkembangan ilmu pengetahuan di IPT menjadi pemangkin kepada kreativiti dan inovasi. Impaknya akan terhasil melalui peningkatan kapasiti negara terutama dalam persaingan di peringkat global.

Bagi menjayakan matlamat tersebut semua warga IPT disaran membuat anjakan paradigma dan melakukan transformasi ke arah yang dihasratkan oleh kepimpinan negara. Kedua-duanya merupakan sinergi yang akan bertindak untuk menjana pembangunan negara secara seimbang dan holistik.

Di peringkat kementerian tindakan awal telah diambil dengan menilai semula dan membuat cadangan baru ke atas Pelan Strategik Pengajian Tinggi 2007. Dijangkakan Pelan Strategik baru akan dilaksanakan pada tahun 2014.

Sementara itu semakan semula terhadap peraturan dan garis panduan Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 akan dilaksanakan melalui pembentukan jawatan kuasa khas dipengerusikan oleh Naib Canselor Taylor’s University, Prof. Datuk Dr. Hassan Said.

Negara memerlukan ramai warganya yang berkemahiran bagi mengisi keperluan tenaga kerja. Oleh itu IPT perlu menyediakan lebih banyak program pengajian yang berasaskan bidang sains teknikal dan teknologi. Disarankan juga penyediaan program dan aktiviti berbentuk komersial dan keusahawanan.

Gabungan kedua-dua bidang itu akan memberi nilai tambah kepada kebolehpasaran siswa bagi memasuki pasaran pekerjaan apabila bergraduat nanti.

Kini hampir keseluruhan IPT memberi keutamaan kepada bidang penyelidikan. Ada antaranya memberi fokus kepada bidang kritikal seperti nanoteknolgi, bioteknologi, automotif, pengkomputeran dan kejuruteraan.

IPT hendaklah mewujudkan kolaborasi dan kerjasama dengan pihak industri melalui pendekatan menang-menang kerana ia boleh memberi manfaat kepada kedua belah pihak.

Peningkatan bilangan siswa di peringkat pasca siswazah perlu diberi perhatian. Kini terdapat 79,633 siswa di IPTA dan kira-kira 20,000 siswa di IPTS yang sedang mengikuti pengajian peringkat master dan Ph.D. IPT perlu mempunyai perancangan jangka panjang untuk melipatgandakan bilangan tersebut kerana negara memerlukan lebih ramai warganya yang mempunyai tahap pendidikan akademik yang tinggi.

Isu kebolehpasaran graduan sering mendapat perhatian masyarakat. Melahirkan graduan yang serba boleh dan bersifat holistik hendaklah menjadi keutamaan IPT. Gerak kerja luar dewan kuliah dan bilik tutorial melalui aktiviti kokurikulum mesti digalakkan. Pemberian jam kredit bagi aktiviti tertentu boleh menarik minat siswa mengambil bahagian secara aktif.

Nampaknya program 1M4U dan aktiviti Yayasan Sukarelawan Siswa telah mendapat kerjasama dan penyertaan ramai daripada mereka.

Pencapaian Malaysia memungut pingat emas terbanyak dan sekali gus menjadi juara dalam Temasya Sukan Antara Universiti-Universiti ASEAN di Vietnam baru-baru ini perlu mendapat penghargaan daripada semua pihak. Ini bermakna kita tidak ketandusan bakat-bakat sukan yang boleh diketengahkan.

Jika diberi peluang mereka boleh mewakili negara dalam acara sukan di peringkat antarabangsa di masa akan datang.

Bagi mengekalkan kualiti IPTS pihak Kementerian akan melaksanakan moratorium atau pembekuan permohonan penubuhan IPTS selama dua tahun yang akan bermula pada 1 Februari lalu.

Langkah ini perlu kerana hingga kini terdapat 37 universiti swasta, 20 kolej universiti swasta, 7 kampus cawangan universiti luar negara dan 414 kolej swasta di seluruh negara.

Jumlah IPTS tersebut dijangka telah mencukupi bagi menampung keperluan pengajian tinggi sama ada daripada dalam atau luar negara.

Akhirnya dalam Majlis Amanat Tahun Baru 2013, Mohamed Khaled menyarankan bahawa: "Kualiti adalah jantung kepada IPT. Oleh itu anjakan paradigma dan transformasi perlu dilakukan terhadap sistem tadbir urus, program pengajian dan keupayaan pensyarah ke arah yang lebih berdaya maju.’’

PENULIS ialah Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU PENGAJIAN TINGGI : Kualiti IPTS sepatutnya diaudit lebih kerap


Oleh :  Rejal Arbee
 
Universiti swasta lebih utamakan keuntungan

Kerajaan mulai bulan ini membekukan penubuhan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) kerana jumlah IPT sedia ada dikira sudah mencukupi untuk menampung permintaan pengajian tinggi, baik pelajar tempatan mahu pun pelajar asing.

Kini ada sejumlah 37 universiti swasta, 20 kolej universiti swasta, tujuh kampus cawangan universiti luar negara dan sehingga 414 kolej swasta yang menawarkan sijil dan diploma.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata jumlah IPT sedia ada, termasuk IPTA kini sudah mencukupi untuk menampung permintaan pengajian tinggi baik daripada pelajar tempatan mahu pun pelajar asing. Malah, ada dakwaan pengeluaran lulusan daripada IPT sekarang sudah pun melebihi kehendak pasaran menyebabkan ramai graduan menganggur.

Pembekuan selama dua tahun itu juga membolehkan kementerian melakukan pemantauan terhadap IPTS sedia ada bagi menentukan keupayaan serta mutu mereka. Inilah yang sepatutnya dilakukan kerana hingga sekarang, tidak diketahui apakah audit menyeluruh pernah dilakukan terhadap operasi, perjalanan dan mutu kursus ditawarkan semua IPTS itu.

Berdaya saing, setanding negara maju

Pemantauan itu juga dalam rangka menentukan sektor pengajian tinggi negara ini akan lebih berdaya saing dan setanding di negara maju.

Sekarang ini pun sudah kedengaran wujudnya IPTS yang lebih mementingkan yuran yang mereka terima daripada pelajar berbanding menentukan mutu pelajaran disediakan.

Malah, kolum ini pernah menimbulkan wujudnya sebuah universiti swasta yang sering memaparkan dirinya sebagai universiti bermutu dan terbaik, membuat ketetapan seorangpun pelajarnya tidak boleh digagalkan walau jelek sekali keputusan peperiksaan mereka.

Malah, dikatakan ada beberapa pensyarah diminta menambahkan markah rendah yang diberikan kepada pelajar supaya pelajar itu lulus.

Alasan mereka ialah telah membayar yuran dan yuran dikenakan universiti ini sememangnya tinggi.

Ada pensyarah yang tidak senang dengan peraturan itu telah berhenti daripada mengajar di situ.

Persoalan yang timbul ialah apakah pihak berwajib di Kementerian Pengajian Tinggi tidak mengetahui apa yang berlaku itu? Apakah pemantauan dan audit tidak pernah dilakukan ke atas universiti itu bagi menentukan bahawa ia benar-benar beroperasi sebagai sebuah universiti yang mengeluarkan graduan bermutu?

Pengalaman penulis dengan seorang graduan bidang kewartawanan tidak memberikan keyakinan pelajaran yang disediakan memenuhi kehendak pemberitaan. Inilah yang sedang berlaku di universiti swasta kerana kepintarannya memasarkan dan ‘mengangkat bakul sendiri’ dapat mengaburi mata ibu bapa dan pelajar memasukinya dengan berpendapat ia adalah sebuah IPTS bermutu.

Pantau kelestarian universiti

Oleh itu, pengumuman Khaled awal bulan ini bahawa kementerian telah mengenal pasti sembilan universiti dan universiti kolej swasta akan dipantau untuk menentukan kelestarian mereka menyediakan mutu perkhidmatan dan pentadbiran terbaik berikutan aduan orang ramai amat dialu-alukan.

Malah pemantauan itu tidak harus dilakukan ke atas institusi yang ia menerima aduan saja kerana ada universiti swasta menyembunyikan kelemahan.
Sepatutnya, semua IPTS perlu diaudit dari semasa ke semasa bagi menentukan mutu kursus disediakan seperti diharapkan.

Apa pun, hingga sekarang ramai majikan swasta masih menganggap lulusan daripada IPTS lebih bermutu dan mudah diterima bekerja daripada lulusan IPTA hanya berdasarkan penguasaan bahasa Inggeris mereka yang lebih baik.

Diakui penguasaan bahasa Inggeris penting kerana kedudukannya sekarang sebagai bahasa antarabangsa tetapi persoalannya, kenapakah kefasihan dalam bahasa Inggeris menjadi ukuran penting mutu seseorang graduan? Apa yang perlu dilakukan IPTA ialah mengadakan kursus bahasa Inggeris kepada pelajar mereka untuk meningkatkan kefasihan mereka dalam bahasa itu.

Jika dibandingkan secara objektif antara graduan IPTA dengan IPTS, pada puratanya lulusan IPTA tentunya harus lebih bermutu daripada graduan IPTS. Ini adalah perbandingan secara keseluruhan dan tipis saja. Tidak dinafikan ramai juga graduan IPTS bermutu tinggi.

Harus diakui bahawa pelajar universiti awam semuanya terpilih. Yang tidak mendapat tempat di universiti awam akan memohon universiti atau kolej swasta.

Tenaga pengajar dan peralatan yang ada di universiti awam juga jauh lebih baik daripada kebanyakan IPTS. Kini ketetapan sudah dibuat bahawa hanya mereka yang mempunyai ijazah sarjana saja akan diterima menjadi pensyarah universiti awam. Kehendak ini tidak menjadi syarat bagi universiti swasta. Jelaslah daripada perbandingan singkat ini pun terdapat kelebihan pada universiti awam berbanding universiti swasta. Oleh itu, prejudis majikan terhadap graduan IPTA tentunya menimbulkan pelbagai persoalan.

Penulis ialah Felo Kanan UKM

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Kaedah kurangkan beban guru dikaji


PUTRAJAYA -   Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kaedah untuk mengurangkan beban tugas pentadbiran guru akan diberi perhatian segera dalam pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025).
  
Perdana Menteri berkata, langkah tersebut memerlukan tindakan supaya guru boleh menumpukan sebahagian besar masa mereka pada fungsi pengajaran teras.
  
Beliau berkata,aspek bebanan tugas guru merupakan antara perkara yang telah dibincangkan dengan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Menteri Pelajaran.
  
"Itulah pembaharuan yang kita akan laksanakan bagi mengurangkan beban  guru dalam tugas yang tiada kaitan dengan tugas utama sebagai pendidik," katanya pada majils perayaan jubli emas Sekolah Sultan Alam Shah, di sini, malam tadi.
  
Turut hadir isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Menter Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi dan Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Abdul Ghafar Mahmud.
 
Pada majlis itu Najib turut mengumumkan pemberian peruntukan khas sebanyak RM1 juta untuk sekolah tersebut.
  
Najib berkata, keperluan guru harus diberi keutamaan sebagai motivasi untuk mereka menyampaikan pengajaran secara berkesan di dalam dan luar bilik serta pencapaian dan kejayaan sesebuah sekolah itu bergantung kepada warga pendidik.
  
Perdana Menteri berkata, usaha itu juga selaras dengan hasrat untuk melahirkan modal insan yang berkualiti serta mampu berfikir secara kreatif dan kritis.
  
"Kita perlu memahami bahawa persaingan dalam abad ke-21 menuntut kepada kita untuk berjaya ketengahkan idea-idea lebih unggul, kerana sesiapa yang mempunyai idea lebih unggul maka mampu mengatasi negara lain," katanya. - Bernama