Hari Kekasih, hari eksploitasi
dan manupulasi rasa cinta untuk menderhaka kepada Pencipta Cinta (Allah).
Atas dorongan untuk meraikan
cinta kononnya, batas akidah, syariat dan akhlak dilanggar semahu-mahunya.
Cinta yang dicipta indah oleh Allah yang Maha Indah, menjadi punah. Dikotori
oleh pemujanya seperti kera yang merosakkan bunga.
Cinta yang suci untuk tujuan yang
suci telah dicemari. Cinta yang berfokuskan seks – yakni cinta yang diilhamkan
oleh Tuhan kepada haiwan itulah yang dipuja oleh manusia yang bertamadun!
Mengapa terjadi demikian? Ini kerana
masih ramai manusia yang sedang mengalami kekosongan jiwa (emptines). Hidup
hanya untuk memenuhi kehendak nafsu yang inginkan kepuasan material dan
fizikal, urat, daging dan tulang. Apabila persoalan paling ‘basic’ (asas) dalam
hidup tidak terjawab dengan tuntas… Itulah akibatnya.
Apakah persoalan itu? Ya, mengapa
kita dihidupkan? Orang Islam yakin bahawa Allah tidak mencipta manusia sia-sia.
Manusia punya tugasan dan peranan yang sangat besar. Al Quran menegaskan Allah
ciptakan manusia dengan tujuan menjadi hamba-Nya dan khalifah di muka bumi.
Selagi kita berpegang kepada
tujuan hidup ini dan melaksanakannya, hidup kita akan dipenuhi ketenangan.
Kekosongan jiwa, minda dan masa kita akan terisi dengan sepenuhnya. Kita boleh
melaksanakan apa jua aktiviti yang tidak terkeluar daripada kerangka tujuan
hidup yang telah ditentukan Allah itu. Selagi manusia bertindak selaras dengan
tujuan penciptaannya, maka selagi itulah ia akan tenang, selamat dan bahagia.
Sebaliknya jika tujuan hidup ini diabaikan,
maka kekosongan jiwa pun berlaku. Pada waktu itu jiwa meronta-ronta bagaikan
ikan tanpa air. Akibatnya, manusia terus mencari. Pencarian ini bukan menambah
ketenangan, tetapi tambah mengusutkan.
Apabila panduan Islam diabaikan, maka jalan atau kaedah yang salah telah
dipilih.
Pada waktu inilah budaya hidup Barat mencelah.
Remaja menyangka budaya Barat itu penawar yang akan memberi hiburan dan
ketenangan. Padahal ia adalah racun yang sangat bisa. Bukan sahaja masalah yang
sedia ada tidak akan selesai, malah masalah yang sedia ada pun akan semakin
membesar. Itulah bahana budaya Barat yang menawarkan kepada remaja kita produk
yang bernama “Hari Valentine”.
Malangnya, produk itulah yang sentiasa
dipromosikan dan diiklankan sehingga menjadi budaya secara langsung ataupun
tidak. Apabila sudah menjadi budaya, yang palsu nampak benar, yang salah nampak
indah dan hebat. Remaja, yang masih membina kematangan akan terpengaruh untuk
menerima. Dirasanyakan yang datang dari Barat itu semuanya baik, hebat dan
agung belaka. Apatah lagi yang menjadi figur mempromosikan budaya buruk ini
adalah artis atau selebriti yang menjadi pujaan para remaja itu selama ini.
Maka mudah mereka terikut.
Lagipun ada sesetengah berpandangan tidak ada
implikasi agama dalam soal ini. Apa salahnya, cuma hiburan, cuma suka-suka…
Sedangkan mereka tidak sedar semua ini ada kesan dari segi mempengaruhi
fikiran, hati, perasaan dan sikap seseorang.
Sesuatu yang dilarang oleh Islam, pasti ada kesan buruk pada hati, jiwa
dan perasaan samada disedari atau tidak, sama ada jangka panjang atau jangka
pendek.
Kesan yang paling cepat ialah remaja kita akan
ikut menyerupai mereka dari segi cara berfikir, emosi dan jiwa. Akhirnya, ini
akan mempengaruhi tingkah laku dan kelakuan. Rasulullah SAW bersabda: “ Barangsiapa yang menyerupai
sesuatu kaum ia akan menjadi kaum itu.”
Sebenarnya, perayaan Hari kekasih
bukan semata-mata perayaan luaran sahaja. Ia datang dalam bentuk pakej yang
yang ‘menyerang’ remaja secara multi dimensi.
Ia datang dengan idea kebebasan tanpa batas seperti pendedahan aurat,
pergaulan lelaki-wanita secara bebas,
tarian, lagu dan unsur-unsur hedonisme yang cukup membahayakan. Perayaan itu
bukan setakat pemberian hadiah, kad atau bertukar-tukar ucapan, tetapi diiringi
pertemuan, sentuhan dan lain-lain yang jika tidak diawasi dan dibatasi syariat
pasti mencecah batas-batas ‘menghampiri zina’.
Apabila hari kekasih diuar-uarkan
dengan segala bentuk dan elemennya, dan ia diterima sebagai satu budaya yang
biasa… Para remaja akan menerima itu sebagai satu isyarat ‘menghalalkan’ sesuatu yang dilarang oleh
Islam sebelum ini. Tanpa disedari,
remaja yang terpengaruh dengan sambutan Hari kekasih ini akhirnya, menjadi lali
dan akhirnya ketagih dengan apa sahaja yang datang dari barat, yang kononnya
agung dan canggih. Pada ketika itu generasi kita sebenarnya sudah dijajah
kembali dari segi minda dan akan terus menjadi bangsa pengguna (konsumer) bukan
pencipta dalam arus globalisasi kini.
Apabila Islam melarang sesuatu,
pasti ada rasional di sebalik larangan itu. Cuma sebagai manusia, kita kekadang
belum nampak apa rasionalnya pada peringkat awal. Ilmu manusia yang terbatas
tidak akan dapat menjangkau ilmu Allah yang Maha luas. Inilah yang dikatakan
suruh atau larang dalam Islam adalah berasaskan iman kepada Allah. Kita beriman
kepada Allah dalam ertikata kita yakini Allah SWT Maha Bijaksana, Maha Penyayang, Maha Belas Kasihan untuk tidak
menganiayai hamba-hamba-Nya dalam apa jua perintah suruh dan larang-Nya.
Mengapa Hari Kekasih dilarang untuk disambut
oleh orang Islam? Sebab sejarah sambutan hari itu sendiri sudah dikaitkan
dengan sesuatu yang bertentangan dengan akidah. Apabila kita turut
merayakannya, seolah-olah kita juga turut merelai atau meredhai kebenaran
akidah mereka. Seperkara lagi, apakah Islam yang kita anuti, malah agama yang
paling unggul di dunia, sudah ketandusan cara untuk menghargai rasa kasih
sesama manusia?
Islam punya kaedah sendiri yang lebih benar
dan tepat untuk meraikan rasa kasih dikalangan manusia. Namun Islam hanya
membenarkan rasa kasih itu dijalinkan dalam bentuk ikatan yang sah agar rasa
cinta dibina atas asas-asas yang kukuh, mulia dan terhormat.
Cinta dalam Islam mesti diasaskan kepada
tanggungjawab, pembelaan, pendidikan, penjagaan dan perlindungan atas nama
Allah. Cinta mertabat tinggi ini lebih sejati dan hakiki berbanding cinta di
atas kad ucapan, kotak hadiah, lagu, pakaian, cincin dan elemen-elemen lain Hari
kekasih. Hari pertunangan, pernikahan,
ulang tahun perkahwinan, hari mendapat cahaya mata… adalah hari-hari kekasih
yang sepatutnya disambut meriah dengan erti dan makna yang lebih mendalam dan
ikhlas. Bukan seperti Hari Valentine yang bersifat luaran, gimik dan penuh
kepura-puraan yang acap kali untuk mewajarkan sahaja pelempiasan hawa nafsu seks
atas nama cinta suci!
Ingatlah, tidak akan ada kebahagiaan yang
sejati dengan melanggar hukum Allah. Ini sepatutnya diterima dengan hati yang
terbuka, dengan penuh kesedaran bahawa Tuhan yang mencipta manusia maka Dialah
yang paling arif menentukan apakah yang diperlukan oleh manusia untuk tenang
dan bahagia. Jika kita mencintai Allah yang Maha Pengasih, kita akan mampu
mengasihi sesama manusia pada setiap masa, keadaan dan ketika. Bagi orang Islam
setiap hari adalah Hari Kekasih!
Sumber : http://genta-rasa.com/