Khamis, 14 Februari 2013

ISU BAHASA : Jangan biarkan seni budaya berkubur


Oleh :  Johan Jaaffar
 
Seniman Negara Rahman B berhak berasa kecewa. Beliau ingin menghidupkan semula seni bangsawan. Tidak mudah sebenarnya untuk berbuat demikian. Sebagai tokoh terakhir seni persembahan itu, beliau sedar sekiranya sesuatu tidak dilakukan segera, seni itu akan pupus. Memang terdapat beberapa kumpulan yang cuba menghidupkan bangsawan. Malangnya banyak kumpulan ini tidak memahami seni itu. Bagi purist seperti beliau, usaha itu kadang kala lebih banyak merosakkan.

Rahman B sudah menjangkau usia 80-an. Beliau terkenal sebagai anak muda atau pelakon yang memainkan peranan wira dalam kumpulan bangsawan. Sewaktu kumpulan Bintang Timur Opera yang dimiliki oleh ayahnya Bakar M, Rahman B, adiknya Rahim B dan Rohani B serta isterinya Rohaya B adalah antara nama-nama besar di pentas bangsawan. Zaman kegemilangan bangsawan mulai berakhir dengan populariti filem Melayu. Banyak pelakon bangsawan yang terbabit dalam dunia filem di Singapura.

Kekecewaan Rahman B memang dapat kita fahami. Banyak lagi tokoh lain dalam pelbagai bidang yang cuba menghidupkan seni warisan. Banyak faktor yang menyebabkan hal ini terjadi. Selain daripada kurangnya minat di kalangan generasi muda dan tarikan filem, drama TV dan muzik semasa, faktor sikap dan toleransi terhadap seni persembahan ini juga harus diambil kira. Apabila kerajaan Negeri Kelantan tidak membenarkan seni persembahan setempat seperti wayang kulit, dikir barat, menora dan makyung dipertontonkan kerana alasan agama, maka matilah seni itu di negeri tersebut. Kuda kepang, wayang wong dan ketoprak menghadapi masalahnya sendiri di Johor. Banyak lagi persembahan setempat yang kini hilang pengamalnya.

Wali Songo guna seni untuk dakwah

Seni persembahan merupakan sebahagian daripada cerminan masyarakat. Seni seperti ini mencorakkan minda, nilai dan psyche kumpulan yang melahirkannya. Seperti juga tradisi lisan atau oral yang kuat pada zaman sebelum radio, TV dan filem, seni persembahan ini menjadi sebahagian daripada proses sosiolisasi yang penting.

Kita sepatutnya belajar bagaimana Wali Songo, ulama dan mubaligh Islam tersohor di Indonesia menggunakan seni bagi menawan hati penganut agama Hindu di Pulau Jawa. Perihal mereka menggunakan kuda kepang dan wayang kulit untuk tujuan dakwah bukan rahsia lagi. Ini satu elemen pendakwahan yang selalunya dilupakan.

Dalam pertemuan saya dengan teman-teman pengamal seni budaya di Indonesia, mereka juga menyuarakan keresahan soal penolakan. Malah di sekitar kawasan yang dianggap nadi seni budaya Jawa di Jog-jakarta dan Solo (atau Surakarta) banyak seni persembahan setempat yang semakin menghilang. Namun demikian ada usaha yang sungguh-sungguh untuk menghidupkan semula muzik dan tarian asli Jawa serta seni persembahan seperti reog (di sini dikenal sebagai ketoprak) dan wayang wong atau wayang orang.

Seni budaya dinaungi istana

Seni budaya memang sejak sekian lama dinaungi oleh istana. Ini tradisi yang nampaknya berterusan di Istana Solo. Dokongan istana melahirkan Akademi Seni Mangkunagaran (ASGA) yang tujuannya menghidupkan seni muzik dan tarian Jawa. Pada setiap hari Rabu, mulai jam 11.00 pagi, di balai utama Istana Solo diadakan latihan tarian yang diiringi oleh kumpulan gamelan istana, Langenpraja Pura Mangkunagaran. Salah sebuah tarian yang dipersembahankan namanya srimpi pandhelori yang amat unik kerana lembut dan halusnya. Selalunya ASGA akan berkerjasama dengan Institut Seni Indonesia (ISI) cabang Solo.

Di Solo juga saya berkesempatan menyaksikan wayang wong berjudul Seta Kerma yang dipentaskan dengan dokongan Dinas Kebudayaan dan Pariwisata. Tempatnya di Kebun Raja. Saya hanya membayar R3,000 atau kurang dari RM1 untuk sebuah persembahan berkualiti tinggi. Wayang wong adalah salah satu daripada 100 jenis wayang dalam masyarakat Jawa di Indonesia. Wayang wong dipercayai bermula sejak pemerintahan Prabu Airlingga pada awal Tahun Masehi.

Wayang wong amat popular satu ketika dulu, malah pada tahun 1911 lagi sudah wujud kumpulan profesional yang dikenal sebagai Wayang Sriwedari. Kumpulan ini dihidupkan semula dan bertahan sehingga hari ini. Tiga kali seminggu, Sriwedari akan memilih sama ada Petruk Dadi Jenaka, Petruk Kembar, Pancasila Banjut, Begawan Trisula, Drona Kridha atau cerita lain untuk dipentaskan.

Seni budaya memerlukan naungan. Zapin bertahan di Johor kerana sokongan kerajaan negeri. Bangsawan akan pupus sekiranya Rahman B tidak dibantu. Demikian juga pelbagai jenis seni persembahan tempatan yang lain. Tanyalah bagaimana sukarnya penggiat kuda kepang yang bernama Wak Naim Marjani di Sungai Nibung, Batu Pahat mahu menghidupkan seni itu. Nasib beliau tidak jauh bezanya dengan Rahman B.

Jangan biarkan seni persembahan ini berkubur. Mungkin istana kita boleh mencontohi usaha yang dibuat oleh istana Solo dan Jokjakarta bagi menaungi seni budaya. Seni budaya warisan bangga bangsa kita.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Komen