Sabtu, 16 Jun 2012

ISU BAHASA : Papan tanda: Jangan guna bahasa rojak



Saudara Pengarang,

SAYA tertarik dengan komen pembaca  dalam ruangan Rakan Pahang minggu lalu berhubung papan tanda di sekitar bandar Kuantan yang disifatkan lain daripada yang lain.

Apabila mengamati papan tanda yang dimaksudkan, mesej yang disampaikan diakui cukup berkesan dalam memberi kesedaran kepada para pemandu.


Tentunya yang menarik perhatian saya ialah papan tanda yang tertulis "Tak Rasa Bersalah Ke...? Potong Q" di samping "Tak Rasa Bersalah Ke...? Buang Sampah Dari Kenderaan Anda?"

Namun satu persoalan timbul sama ada ia menepati sudut bahasa Melayu yang betul kerana ia seperti menggunakan bahasa rojak selain bahasa percakapan atau bahasa pasar.

Memang tanda-tanda amaran di jalan raya penting contohnya, jika ada tanda kawasan licin maka pemandu perlu memperlahankan kenderaan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Begitu juga tanda mengenai had laju. Selain bertujuan mengawal kelajuan kenderaan di atas jalan raya, ia juga untuk menyatakan had laju selamat bagi sesebuah kenderaan di atas jalan raya tertentu.

Maka pihak berkuasa yang terlibat mengharapkan papan tanda yang dipasang dapat memastikan peringatan yang hendak disampaikan dapat memberi kesan kepada pengguna.

Bagaimanapun pada masa yang sama, soal bahasa juga tidak harus diambil mudah kerana bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan.

Apatah lagi ketika ini kita bimbang dengan kecenderungan generasi muda yang gemar menggunakan bahasa khidmat pesanan ringkas (SMS) dan laman sosial sehingga terbawa-bawa ketika menjawab peperiksaan.

Mungkin Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai pihak yang lebih arif dapat memberikan  pandangan sekali gus menjadi garis panduan kepada pihak berkuasa dalam soal penggunaan bahasa seperti itu.

PENCINTA BAHASA
Kuantan.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU SOSIAL : Tua tak semestinya produktiviti kerja menurun!



Oleh Fauziah Arof

APABILA Rang Undang-undang Umur Persaraan Minimum 2012 yang mewajibkan umur persaraan pekerja sektor swasta dilanjutkan daripada 55 kepada 60 tahun dibentangkan buat bacaan kali pertama di Dewan Rakyat kelmarin, ia menjadi satu topik hangat dan menarik yang tidak habis-habis diperkatakan di tempat-tempat kerja terutamanya syarikat swasta.

Ada yang bersetuju dan bersyukur dengan langkah berkenaan manakala tidak kurang pula mempersoalkan tahap kemampuan pekerja pada usia warga emas itu untuk meneruskan perkhidmatan selama lima tahun lagi.

Selain itu, ada yang berhujah lanjutan usia persaraan itu bakal menyebabkan ramai golongan muda profesional tidak dapat naik pangkat dan pada masa sama boleh meningkatkan kadar pengangguran lepasan diploma dan ijazah mahupun sijil di negara ini.

Saya akui wujud pro dan kontra terhadap cadangan ini. Namun dalam kita asyik menilai kepada hanya kesan yang buruk-buruk sahaja, kita juga harus memikirkan nasib golongan yang terpaksa bekerja walaupun sudah pencen kerana masih mempunyai banyak tanggungan hutang dan menyara keluarga.

Adakah golongan seperti ini boleh dibilang dengan jari di negara ini? Kita boleh lihat ramai dalam usia emas ini terpaksa berniaga kecil-kecilan, ada yang membuat kerja-kerja sampingan di rumah, bekerja sebagai pengawal keselamatan, bekerja di restoran-restoran dan sebagainya terutamanya yang hidup di bandar. Ini secara langsung mengakibatkan bertambahnya golongan miskin bandar di negara ini.

Dengan kos sara hidup yang semakin meningkat golongan ini tidak mampu hidup ‘goyang kaki’ selepas pencen kerana terpaksa meneruskan kelangsungan hidup.

Anak-anak pula tidak boleh digantungkan harapan kerana masih kecil dan bersekolah. Trend kahwin lewat di negara ini juga sedikit sebanyak menyumbang kepada perkara ini.

Peningkatan kos perubatan turut membuatkan pesara akan lebih tersepit apabila terpaksa mendapatkan rawatan untuk diri sendiri dan keluarga. Sekiranya mereka masih bekerja, syarikat boleh menanggung kos perubatan mereka termasuk keluarga.

Oleh itu, lanjutan usia persaraan ini akan memberi peluang kepada pekerja-pekerja swasta ini mengumpul lebih wang. Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melaporkan, 73 peratus daripada pencarumnya mempunyai simpanan kurang daripada RM50,000 sewaktu bersara manakala hanya 17 peratus mempunyai simpanan melebihi RM100,000.

Maka, bagaimanakah pekerja ini boleh menyara kehidupan selepas bersara dengan simpanan sebanyak RM50,000 itu dalam tempoh mungkin 20 tahun lagi? Jangka hayat penduduk di negara ini dianggarkan 75 tahun. Dengan hutang piutang yang masih berkepuk, anak yang masih bersekolah dan ada juga yang masih belajar di peringkat pengajian tinggi, hari tua akan dilalui dengan keperitan.


Sebenarnya di seluruh dunia, agak sukar untuk kita menemui negara yang menetapkan umur persaraan di bawah 60 tahun. Kebanyakan negara Eropah telah lama menetapkan 65 sebagai umur persaraan. Negara seperti Amerika Syarikat dan Jerman pula menetapkan 67 tahun. Thailand pun sudah menetapkan 60 tahun sebagai umur persaraan.

Jadi kenapa pekerja swasta di negara ini tidak boleh bekerja dalam usia itu. Adakah kita sudah membuat setting sendiri, apabila mencapai usia 50-an produktiviti kita bekerja mulai menurun? Dan apakah kita pasti dalam usia 20-an, 30-an dan 40-an kita mempunyai produktiviti yang tinggi dan menunjukkan kerajinan yang luar biasa?

Kita pun maklum, dalam usia muda, ada juga yang tidak memberi sumbangan kepada syarikat dan bekerja secara ala kadar hanya menunggu gaji pada akhir bulan. Golongan ini ibarat ‘tua sebelum waktunya’ dan jika di pejabat hanya menunggu waktu tamat bekerja dan bila habis waktu, tergesa-gesa pulang ke rumah. Maka tidak adil kita menilai golongan warga emas ini sebagai tidak produktif.

Dengan lanjutan usia persaraan, syarikat menerima manfaatnya dengan membolehkan pekerja-pekerja berpengalaman dan berkemahiran dipanjangkan lagi khidmat mereka. Golongan ini adalah aset kepada syarikat dan negara, kepakaran mereka tidak boleh dibiarkan habis begitu sahaja.

Jadi, janganlah terlalu menyimpulkan langkah ini dengan cara yang simplistik dengan mengaitkan lanjutan usia persaraan ini dengan belia menganggur, kemudian menjadi mat rempit dan melakukan jenayah. Banyak penyumbang lain kepada faktor pengangguran dan peningkatan jenayah.

Untuk berlaku adil, seharusnya kita melihat cadangan lanjutan usia persaraan ini sebagai peluang dan pada masa sama cabaran kepada semua.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU GLOBAL : Myanmar perlu ubah dasar terhadap penduduk Rohingya


Oleh MUSTAFA KAMAL BASRI


SETELAH lama tidak mendengar berita tentang keadaan kehidupan etnik Rohingya di Myanmar, tiba-tiba masyarakat dunia dikejutkan dengan insiden keganasan kaum dan agama di negeri Rakhine di barat Myanmar, membabitkan penduduk Rohingya yang beragama Islam dan penduduk Rakhine yang majoriti beragama Buddha.

Ketegangan di negeri itu mengingatkan kita kembali tentang kisah nasib malang yang menimpa etnik ini, yang selama ini diabaikan dan ditindas oleh junta Myanmar sehingga kita tidak menyedari sebahagian kecil daripada mereka ini hidup bergelandangan di negara kita sebagai orang pelarian.

Keganasan terbaru itu dilaporkan bermula pada 3 Jun lalu, setelah sekumpulan perusuh dipercayai penduduk Buddha bertindak membunuh 10 penduduk Islam di sebuah perkampungan berhampiran Taunggup di negeri Rakhine bagi membalas dendam berhubung satu kes pembunuhan dan rogol membabitkan seorang wanita Buddha yang didakwa dilakukan oleh penganut Islam.

Setakat ini, sebanyak 28 orang dilaporkan terbunuh dan 53 lagi cedera, serta lebih 1,600 rumah kediaman musnah dibakar dalam keganasan terburuk di Myanmar itu.

Sebenarnya keganasan kaum dan agama di negeri Rakhine berpunca daripada kegagalan kerajaan Myanmar menyelesaikan masalah akar umbi yang membabitkan penduduk Rohingya sejak berdekad-dekad lalu.

Krisis yang melanda negeri Rakhine kali ini, merupakan rentetan daripada pengalaman hitam dan penderitaan pahit yang dilalui oleh etnik minoriti Islam di Myanmar ini sejak 1962 lagi setelah tentera Myanmar di bawah Jeneral Ne Win merampas kuasa dan menjalankan tindakan kekerasan terhadap penduduk Islam Rohingya.

Keganasan kaum dan agama akan terus melanda di negeri ini pada masa depan, selagi isu akar umbi ini tidak diselesaikan berhubung status penduduk Rohingya sebagai penduduk pribumi negeri Rakhine.

Kerajaan Myanmar juga perlu mengiktiraf penduduk Rohingya sebagai rakyat Myanmar sama seperti penduduk pribumi lain seperti etnik Shan, Karen, Kachin, Kayin, Chin dan banyak lagi di negara itu.

Penduduk Myanmar berpendirian, etnik Rohingya yang kini berjumlah kira-kira 3 juta orang, sebenarnya bukanlah penduduk pribumi tetapi merupakan penduduk Benggali yang beragama Islam berasal dari Pakistan Timur (kini dikenali sebagai Bangladesh) yang sebelum itu merupakan sebahagian daripada benua kecil India menetap di Rakhine semasa zaman Arakan atau Burma dijajah British.

Pihak Rohingya pula berhujah, mereka merupakan masyarakat pribumi keturunan Rohang, nama lama bagi Arakan, Burma.

Atas dasar itu, wujudlah ketidaksefahaman antara kedua-dua pihak, sebaliknya menimbulkan kebencian di kalangan penduduk Rakhine yang beragama Buddha terhadap penduduk Rohingya.

Penderitaan penduduk Rohingya semakin melarat apabila junta tentera yang memerintah Myanmar ketika itu melaksanakan Undang-undang Kewarganegaraan Burma 1982 yang membatalkan kerakyatan penduduk Rohingya. Secara tiba-tiba penduduk Islam Rohingya diisytiharkan pendatang asing di negara sendiri dan mereka terus ditindas melalui undang-undang itu.

Sejak itu hak mereka dinafikan sehingga Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengkelaskan kaum itu sebagai antara minoriti yang paling banyak ditindas.

Walaupun tindakan kekerasan oleh pihak junta tentera terhadap penduduk Rohinya kemudian berkurangan, berikutan tekanan masyarakat antarabangsa ke atas junta tentera, tetapi tindakan dan dasar-dasar tidak berperikemanusiaan terus dikenakan terhadap penduduk Rohinya melalui NaSaKa atau Jawatankuasa Perkampungan Tentera, yang menyekat pergerakan penduduk.

Akibat diskriminasi dan tindakan kekerasan oleh junta tentera itu, kini separuh daripada tiga juta penduduk Rohingya tinggal bergelandangan sebagai pelarian di luar negara atau di khemah-khemah pelarian di sempadan Bangladesh dan Thailand.

Kini terdapat antara 10,000 atau 12,000 orang pelarian Rohingya yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian (UNHCR) di Malaysia pada masa ini. NaSaKa bertindak sebagai 'penjaga' kepada penduduk Rohingya, dalam segala tujuan dan urusan, namun pada hakikatnya mereka membina penjara dalam kehidupan penduduk Rohingya. Sebagai contoh, untuk pergi ke kampung lain, seorang penduduk Rohinya perlu mendapat 'pas berkelakuan selamat' yang perlu dibayar.

NaSaKa juga menentukan pasangan mana yang sesuai untuk berkahwin melalui upacara-upacara agama yang bertentangan dengan ajaran Islam dan juga dikenakan yuran yang tinggi bagi mendapatkan kelulusan kontrak perkahwinan.

Pembinaan masjid dilarang dan kerja-kerja membaik pulih masjid-masjid lama perlu mendapat kelulusan NaSaKa dengan dikenakan yuran tertentu. Semua pembayaran yang terlibat bagi urusan itu juga perlu ditanggung oleh mereka yang mahu menjalankan kerja-kerja baik pulih itu.

Sebagai pengenalan diri pula, penduduk Rohinya diberikan Kad Putih sebagai penduduk sementara, manakala penduduk Rakhine diberi Kad Merah Jambu. Dengan cara itu, mereka mudah mengenali siapakah penduduk Rohingya dan siapakah penduduk Rakhine.

Penduduk yang memiliki Kad Merah Jambu dibenarkan bergerak ke mana-mana sahaja termasuk pergi ke Yangoon, tetapi mereka yang memiliki Kad Putih pergerakan mereka hanya terbatas di kampung itu sahaja. Walaupun, penduduk Rohingya dibenar bekerja dalam projek-projek kerajaan tetapi mereka hanya diambil bekerja sebagai buruh kasar.

Penduduk Rohingya dibenarkan mengusahakan tanah, tetapi sebagai penduduk yang tidak mempunyai kewarganegaraan, mereka tidak boleh memiliki tanah.

Kini sudah sampai masanya, kerajaan baru Myanmar mengubah dasarnya terhadap penduduk Rohingya sesuai dengan dasar pembaharuan dan demokrasi yang dilancarkannya bagi memberi keadilan kepada penduduk Rohingya menikmati hidup seperti penduduk Myanmar yang lain dengan mempunyai hak sama ke atas pendidikan, ekonomi, sosial dan beragama.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/