FOKUS BERITA - Debaran menunggu tarikh pilihan raya akan berakhir tidak lama lagi kerana kerajaan sedia ada akan mencadangkan pembubaran Dewan Rakyat pada bila-bila masa sebelum 28 April 2013. Lebih-lebih lagi mandat Dewan Rakyat akan berakhir pada tarikh yang sama.
Ahli politik semua parti sama ada
dalam kerajaan atau pembangkang bertanding untuk 222 kerusi Parlimen dan 505
kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) kecuali Sarawak.
Bagaimanapun pasti ada yang
terfikir apa keperluan untuk bertanding dalam pilihan raya, terutama Pilihan
raya Umum Ke-13 (PRU13), yang akan memperkenalkan beberapa peraturan baharu
untuk memastikan lebih ketelusan.
Untuk mendidik masyarakat umum
dan media, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengadakan sesi taklimat di Bernama
pada 17 Januari. Semasa taklimat itu, Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wira Wan
Ahmad Wan Omar membangkitkan beberapa perkara berkaitan calon dan peraturan
baharu.
Kelayakan menjadi calon
Antara syarat menjadi calon
pilihan raya ialah pastinya seseorang itu warganegara Malaysia berumur 21 tahun
ke atas. Calon mestilah tidak tergolong dalam kategori bankrap yang belum
dilepaskan dan tidak disabitkan kesalahan oleh mahkamah dalam tempoh lima tahun
sebelum ini.
Mereka yang tidak dibenarkan
bertanding ialah pemegang jawatan dalam perkhimatan kerajaan dan orang yang
disahkan tidak siuman.
Wan Ahmad berkata, bagi calon
yang pernah bertanding dalam pilihan raya sebelum ini, calon itu mestilah tidak
gagal daripada mengemukakan penyata perbelanjaan pilihan raya sebelumnya.
“Sehingga hari ini terdapat lebih
50 calon pilihan raya 2008 yang masih gagal mengemukakan penyata ini. Mereka
tahu siapa diri mereka, dan kami tak mahu kejar mereka,” jelas Wan Ahmad.
Beliau menambah, kata SPR juga tidak akan mengumumkan nama mereka, demi
kebaikan semua pihak.
Penamaan calon
Tiga perkara yang diperlukan
ketika membuat permohonan sebagai calon adalah adalah kertas penamaan calon,
borang perakuan berkanun serta deposit calon pilihan raya.
Semua ini perlu diserahkan di
pusat-pusat penamaan calon yang berkenaan antara pukul 9 pagi dan 10 pagi pada
hari penamaan calon. Pegawai pengurus pilihan raya akan menyemak setiap kertas
penamaan yang diterima dan akan mengisytiharkan calon-calon yang layak
bertanding sebaik semua urusan semakan selesai.
Untuk PRU13, buat pertama kalinya
tidak ada lagi tempoh bantahan dan penarikan balik pencalonan, sesuai dengan
peraturan 9, Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981
(Pindaan)(No.2) 2012 yang berkuat kuasa 27 April 2012.
Penyerahan kertas penamaan calon
boleh dilakukan dengan tiga cara. Pertama, dengan kehadiran calon, pencadang
dan penyokong. Jika tidak, hanya dua daripada mereka atau seorang daripada
mereka perlu hadir untuk membuat serahan permohonan.
Borang Akuan Berkanun yang
diserahkan mesti sudah dimatikan setem di pejabat duti setem. Borang 5 diguna
oleh calon kerusi parlimen manakala borang 5A digunakan untuk calon kerusi
Dewan Undangan Negeri.
Deposit
Perlu diingat, deposit calon
pilihan raya adalah berbeza daripada deposit bahan kempen. Deposit bernilai
RM10,000 untuk calon kerusi parlimen dan RM5,000 untuk calon kerusi Dun boleh
dibayar dalam bentuk wang tunai atau draf bank pada hari pencalonan.
Ia juga boleh dibayar lebih awal
kepada SPR dan calon hanya perlu membawa resit deposit semasa menyerahkan
permohonan menjadi calon. Bagi tujuan kempen, calon-calon perlu membayar
deposit bahan kempen bernilai RM5,000 bagi pilihan raya Parlimen dan RM3,000
bagi pilihan raya Dun.
Untuk pemasangan poster pula,
calon-calon perlu berurusan dengan pihak berkuasa tempatan. Kelulusan pihak
polis juga perlu untuk mengadakan ceramah terbuka.
“Ingin saya jelaskan di sini,
wang ini yang akan digunakan sebagai peruntukan pembersihan semula kawasan
kempen sekiranya mereka (calon-calon) gagal berbuat demikian,” katanya menjawab
tentang kegunaan dana berkenaan.
Isu bahan kempen
Satu ‘tradisi’ dalam pilihan raya
adalah kecaman terhadap SPR kerana bertindak menurunkan poster, bendera, kain
rentang, sepanduk atau lain-lain bahan kempen yang dipasang.
“Yang menjadi isu selama ini
ialah bila banyak pihak tidak faham peraturan pilihan raya. Mengikut peraturan,
hanya bahan kempen parti yang bertanding di kawasan itu sahaja boleh dipasang.
Jadi bila ada parti yang tidak bertanding di kawasan itu turut menaikkan bahan
kempen mereka, SPR perlu menguatkuasakan undang-undang,” jelas Wan Ahmad.
Tambah beliau, kes ini sering
berlaku bila beberapa parti politik yang mahu dilihat bergerak sebagai sebuah
perikatan, tetapi sebenarnya masih bergerak atas kapasiti sendiri.
“Yang bertanding cuma satu parti,
tapi kenapa bahan kempen yang naik daripada macam-macam parti?” soal beliau.
Sering kali, petugasn SPR menjadi
mangsa kemarahan pihak yang terlibat, sehingga membahayakan keselamatan mereka.
“Dalam satu kes, kakitangan kami
dikepung oleh penyokong-penyokong parti berkenaan hingga pukul empat pagi,
sehingga SPR terpaksa meminta bantuan polis untuk menyelamatkan mereka,”
jelasnya lagi.
Sebagai alternatif, beliau
menasihatkan parti-parti politik yang ingin bergerak sebagai sebuah perikatan
agar mendaftarkan perikatan mereka dengan SPR. Setelah menjadi satu perikatan
yang sah, mereka boleh menggunakan satu logo yang seragam demi kebaikan semua
pihak, terutama pengundi.
Susun atur tempat mengundi
Demi memastikan ketelusan
perjalanan PRU13, SPR telah mengubah suai kedudukan Ejen Tempat Mengundi (ETM),
untuk membolehkan mereka memerhatikan perjalanan pengundian dengan lebih
teliti.
ETM diletakkan pada kedudukan
yang membolehkannya melihat pengundi masuk dan bergerak ke Kerani Pengundian
(KP) satu, dua dan tiga. Dalam kedudukan ini, ETM boleh melihat pengundi
berdiri di hadapan KP dua untuk dicalit jarinya dengan dakwat kekal.
Seterusnya, ETM boleh melihat
dengan jelas pergerakan pengundi pergi ke petak undi dan akhirnya mememasukkan
kertas undi ke dalam peti undi. Tambah Wan Ahmad, diharapkan dengan
penamabahbaikan ini, dapat memuaskan hati parti-parti yang bertanding bahawa
PRU dijalankan degan adil dan telus.
Tidak perlu ragu
Perjalanan PRU yang pantas dari
saat mula proses pengundian sehinggalah pengumuman pemenang pilihan raya tidak
mungkin mengizinkan sebarang kemungkinan penipuan berlaku.
“Kita tiada ada masa, ruang atau
peluang untuk menjadikan PRU 13 tidak telus. Saya cabar mana-mana pihak yang
ragu dengan SPR untuk mengemukakan bukti mereka,” tegas Wan Ahmad.
Beliau turut berkata sistem
pilihan raya di Malaysia juga telah menjadi contoh kepada banyak negara lain di
dunia, seperti Mali, Uzbekistan, Tajikistan, Timur Timor (Timur Leste) dan
Kemboja yang belajar cara pelaksanaannya di Malaysia.
“Pilihan raya kita, siang
mengundi, malam sudah dapat keputusan penuh. Di sesetengah negara jiran, ia
mengambil masa berminggu-minggu, bahkan ada yang makan masa berbulan-bulan,”
jelas beliau.
Pada PRU13, keputusan pilihan
raya pertama dijangka dapat diumumkan seawal pukul 7 malam. SPR juga telah
membina aplikasi komputer yang bakal melancarkan lagi proses menganalisis
perjalanan pilihan raya di seluruh negara. - Bernama