Khamis, 1 Oktober 2009

Melayu patut agungkan bahasa sendiri

Jami'ah Shukri

SEGELINTIR rakyat di negara ini masih malu, rendah diri dan tidak fasih berkomunikasi dalam bahasa Melayu sedangkan termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan ia bahasa kebangsaan lebih lima dekad lalu.

Lebih parah, orang Melayu sendiri bukan saja segan bercakap dalam bahasa Malaysia, malah lebih selesa mengagungkan bahasa Inggeris dalam pelbagai urusan rasmi, mesyuarat dan aktiviti lain. Apa akan jadi jika senario itu berterusan terutama kepada generasi kini yang banyak terdedah kepada bahasa penjajah itu. Mahukah bahasa Melayu turut pupus seperti bahasa Latin, Sanskrit dan Jawa yang suatu ketika dulu begitu diagungkan oleh masyarakatnya?

Hakikatnya, rakyat negara ini patut berbangga kerana bahasa Melayu antara lima bahasa terbesar dunia selepas bahasa Inggeris, Cina, Hindi dan Sepanyol yang dituturkan masyarakat global. Ketika ini, lebih 300 juta orang bertutur bahasa Melayu di seluruh dunia dengan Malaysia, Indonesia, Brunei dan Singapura menjadikannya bahasa rasmi.

Justeru, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang berfungsi sebagai badan menyebar luas dan memartabatkan bahasa Melayu, sejak 1960-an sudah menjalankan pelbagai program memberi kesedaran rakyat terhadap bahasa kebangsaan itu bermula dengan Minggu Bahasa Kebangsaan, Gerakan Cintailah Bahasa Kita, Bulan Bahasa dan Sastera Negara dan Bulan Bahasa Kebangsaan. Sepanjang lima dekad DBP tanpa jemu mengadakan kegiatan seperti forum, pidato, sayembara puisi dan pantun serta debat membabitkan pelbagai peringkat di sektor kerajaan dan swasta.

Ketua Pengarah DBP, Datuk Termuzi Abdul Aziz, menegaskan sepanjang 1960 hingga 2003, kesedaran orang ramai terhadap memartabatkan penggunaan bahasa Melayu dalam apa juga kegiatan dan urusan dianggap amat baik.

Bagaimanapun, sejak tiga empat tahun lalu, penggunaannya semakin merosot dengan program seperti membabitkan institusi kewangan dan insurans mengutamakan bahasa Inggeris.

Dalam bidang perniagaan dan perdagangan, bahasa Inggeris lebih banyak digunakan dan ini dilihat tidak melambangkan jati diri rakyat Malaysia. Tambah parah, apabila kerajaan sebelum ini, melaksanakan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) di sekolah rendah dan menengah.

“Keadaan ini sekali gus memberi persepsi negatif masyarakat yang menganggap kerajaan tidak menekankan kepada penggunaan bahasa Melayu. Bagaimanapun, keputusan kerajaan sekarang memansuhkan PPSMI adalah tepat dan langkah bijak ke arah memartabatkan semula bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan,” katanya.

Beliau berkata, rakyat juga sepatutnya terus memartabatkan penggunaan bahasa Melayu dalam iklan, papan tanda dan pertuturan supaya pelancong dapat merasakan berada di Malaysia.

Malangnya, apa yang dilihat, masih ada pelancong tidak begitu merasakan mereka benar-benar berada di negara yang memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ibundanya. Ini berbanding dengan Perancis, Thailand, China dan Korea yang terserlah identiti dan imej negara berkenaan yang dipaparkan menerusi papan tanda bertulis bahasa ibunda dan rakyatnya bercakap bahasa rasmi mereka.

Namun, Termuzi berkata, sepanjang tempoh enam tahun terutama ketika pelaksanaan PPSMI, DBP terus memainkan peranannya untuk meningkatkan kesedaran, kecintaan serta memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan ilmu menerusi Bulan Bahasa Kebangsaan.

DBP juga menghantar pekeliling sebagai peringatan kepada agensi kerajaan yang mengetepikan bahasa Melayu dalam urusan rasmi dan sebagainya.

Beliau berkata, kempen secara berterusan berkaitannya akan diaktifkan sepanjang masa khususnya pada Bulan Bahasa Kebangsaan pada Oktober setiap tahun.

Oleh itu, Bulan Bahasa Kebangsaan bagi tahun ini akan dilancarkan dengan kerjasama kerajaan Sarawak di Stadium Perpaduan Kuching oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Selasa depan akan membawa mesej jitu Bahasa Jiwa Bangsa.

Termuzi dapati ada orang Melayu sendiri yang rasa rendah diri menggunakan bahasa ibunda, sedangkan kita perlu tahu bahasa itu adalah yang kelima terbesar di dunia iaitu dengan 300 juta penutur.

“Berbanding negara lain, bahasa Melayu tidak ketinggalan dan bukan dianggap kolot. Ketika ini, bahasa Inggeris dituturkan kira-kira 1.5 bilion orang di seluruh dunia diikuti China (1 bilion); Hindi (700 juta) dan Sepanyol (350 juta)."

“Mengapa kita harus malu bertutur bahasa Melayu yang sudah sampai ke peringkat bahasa ilmu. Sudah 20 tahun ia menjadi bahasa penghantar utama di sekolah rendah hingga ke peringkat universiti,” katanya.

Beliau juga tidak hairan jika masyarakat mengambil sikap sambil lewa berkaitan isu ini, tidak mustahil ia akan pupus atau mati dengan sendirinya. Sebenarnya, 6,000 bahasa dituturkan di seluruh dunia. Bagaimanapun ia dilihat semakin berkurangan dan sesetengahnya sudah pupus.

“Mungkin disebabkan ketidakprihatinan rakyat sendiri, kini hanya 20 bahasa dianggap sebagai bahasa rasmi apabila 50 juta orang bertutur dalam bahasa itu,” katanya.

Termuzi berkata, kekuatan bahasa Melayu yang diamalkan di negara ini juga hebat kerana ramai pakar sains dan teknologi di negara ini daripada aliran Melayu.

Kini 1,073 pakar dilahirkan dalam bidang fizik, kimia, biologi dan kedoktoran sejak 20 tahun lalu. Jika dilihat dari segi penerbitan buku, 1,082 buku sains dan teknologi dalam bahasa Melayu diterbitkan DBP dan institusi pengajian tinggi.

“Pensyarah juga mesti menyampaikan syarahan dalam bahasa Melayu. Di Universiti Kebangsaan Malaysia, 19 syarahan perdana dibuat dalam bidang sains dan teknologi. Oleh itu, bahasa itu mampu menjadi bahasa ilmu,” katanya.

Apa yang penting penggunaan bahasa Melayu tidak akan menjadikan negara mundur. Sejarah sudah membuktikan, Perancis, Jerman, Itali, Jepun, Korea dan China berada pada puncak kemajuan dan kemodenan walaupun mereka menggunakan bahasa ibunda masing-masing sebagai bahasa ilmu.

Bagaimanapun bagi negara yang menggunakan bahasa penjajah seperti Amerika Selatan, Asia dan Afrika pula tidak nampak maju dan seakan statik pada kedudukannya tersendiri.

Sumber : http://www.bharian.com/

ISU KEMALANGAN DI JALAN RAYA

Kenal pasti punca perubahan sikap pemanduan

PENYEBAB kegagalan Ops Sikap yang kita sering dengar ialah sikap pemandu itu sendiri. Oleh itu, ‘sikap’ telah dituduh sebagai penyebab utama kegagalan operasi murni kerajaan.

Saya yang berkecimpung secara serius dan mendalam mentadbir dan mengkaji pembangunan sains teknologi perlumbaan kereta dan motosikal, terpanggil untuk memberi pendapat namun tidak berminat berbincang mengenai jumlah kemalangan dan kematian yang dihasilkan oleh sikap-sikap pemandu di Malaysia masa kini.

Apa yang perlu dikerjakan sekarang ialah kajian dan kaedah mengelakkan ‘punca’ sikap itu sendiri. Mencegah itu lebih baik daripada merawat – selalu kita dengar ayat keramat ini namun mungkin kaedah pelaksanaannya kurang tepat.

Pada pendapat saya, kaedah-kaedah ‘bijak’ yang digunakan dalam sains dan teknologi sukan bermotor boleh diketengahkan untuk diguna pakai oleh masyarakat umum.

Untuk tidak disalah anggap, bukanlah faktor ‘kelajuan’ dan ‘keberanian’ yang dimaksudkan kerana itu adalah punca datangnya sikap ego serta mudah tersinggung dan akhirnya membawa padah dan kecelakaan.

‘Kebijaksanaan’ pemandu dan penunggang ialah satu-satunya kaedah terbaik yang dapat membawa ke arah pembaikpulihan. Oleh itu, persediaan rapi semua aspek termasuk fizikal dan mental secara bijak oleh setiap pemandu dan penunggang motosikal adalah keutamaan bagi membasmi kemalangan di jalan raya.

Mungkin sesetengah pihak sudah terlepas pandang atau tidak tahu bahawa jika sesebuah kenderaan itu telah terlebih muatan seperti memenuhkan boot simpanan barangan atau bilangan penumpang yang lebih daripada biasa.

Ingat, di samping tangki minyak yang penuh, kenderaan tersebut perlu dipandu dengan cara yang berbeza daripada kebiasaan.

Kita perlu membrek dengan lebih awal dan perlu mengambil selekoh dengan lebih perlahan. Dengan bebanan dan berat yang lebih daripada biasa ini juga menyebabkan kenderaan itu akan berkurangan tenaga untuk memotong kenderaan lain dan ini mampu menyebabkan kemalangan akibat berat dan bebanan luar daripada kebiasaan.

Momentum pergerakan kenderaan itu sudah berbeza apabila ia tidak dapat berhenti cepat seperti dikehendaki dan tidak dapat mengambil selekoh dengan cekap seperti biasa. Jika pemandu tidak sedar dengan realiti ini, mereka sangat terdedah dengan kemalangan.

Saya senaraikan secara ringkas antara faktor ‘penyebab’ sikap buruk pemandu dan penunggang motosikal di atas jalan raya.

1. Pemakanan dan cara hidup yang tidak normal di musim perayaan.

Tidak cukup tidur dan rehat. Pengambilan gula, karbohidrat dan makanan berlemak secara berlebihan menyebabkan otak menjadi lembap, leka dan lalai.

Meminum kopi atau apa-apa yang mengandungi kafein serta merokok terutamanya pengambilan yang lebih daripada biasa akan membuatkan kita menjadi lebih teruja dan peka, namun tanpa disedari kita menjadi lebih mudah gementar, mudah terkejut serta kekok dan mudah melatah hinggakan otak gagal berfungsi dengan bijak dan efisien.

2. Papan-papan iklan di sepanjang jalan raya dan lebuh raya secara tidak langsung mengganggu konsentrasi pemanduan pengguna jalan raya. Iklan-Iklan menarik di radio juga mengganggu konsentrasi.

Pengguna telefon bimbit secara lebih kerap bagi melayani kemeriahan perayaan akan memburukkan keadaan.

3. Menggunakan kasut dan pakaian baru tidak sesuai untuk pemanduan dan tunggangan bagi perjalanan jarak jauh.

Pengisian barangan di dalam boot belakang tidak disusun dengan betul atau lebih muatan.

Cockpit atau ruang tempat duduk pemandu sarat dengan perkakasan dan aksesori yang tanpa disedari telah mengganggu konsentrasi pemandu.

4. Segelintir pemandu atau pemilik kenderaan tidak mampu menyelenggara kenderaan mereka dengan cara terbaik.

Tidak mampu dari segi kewangan. Tidak mampu dari segi masa yang terhad akibat kerja baik pulih kenderaan pada saat-saat akhir.

Penyelenggaraan kereta atau motosikal dibuat sendiri dengan pengetahuan dan perkakasan kerja yang serba kekurangan.

5. Kos perbelanjaan yang tinggi hingga mengganggu jiwa atau perasaan sangat teruja dan berbesar hati untuk menghadapi kemeriahan perayaan membuatkan sikap manusia ini berubah seketika di musim perayaan.

Terjemahkanlah dengan bijak dan positif pendapat-pendapat ringkas ini. Jika anda sudah tidak sayangkan nyawa sendiri, sekurang-kurangnya sayangilah nyawa orang lain.

Presiden
Motorsports Association of Perak

Sumber : http://www.utusan.com.my/

ISU PENDIDIKAN (PERANAN PIBG)

Apa sumbangan ibu bapa kepada sekolah?

KETIKA Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), ibu bapa sering bertanya mengenai apakah yang dilakukan oleh pihak sekolah untuk perkembangan minda dan sahsiah anak-anak mereka.

Namun, pernahkah para ibu bapa bertanya apa pula sumbangan kita kepada sekolah tempat anak kita mencari ilmu?

Lebih dua bulan lalu, Datin Seri Rosmah Mansor menyarankan agar kita mencontohi masyarakat Cina dalam memberi sumbangan kepada sekolah demi kemajuan pendidikan anak-anak.

Cadangan itu amat wajar memandangkan sikap sesetengah ibu bapa yang begitu berkira untuk mengeluarkan wang demi pendidikan anak-anak. Ini terbukti apabila untuk mengutip yuran tahunan sekolah pun kerajaan perlu melakukannya dengan penuh diplomasi.

Pada kesempatan tertentu seperti hari terbuka sekolah atau hari sukan atau ketika mesyuarat agung PIBG, pernahkah kita melihat-lihat persekitaran sekolah untuk mengenal pasti kekurangan yang ada dan membaikinya? Pernahkah kita terfikir untuk menderma secara sukarela kepada tabung PIBG agar aktiviti bermanfaat dapat dijalankan demi kebaikan anak-anak kita?

Pernahkah kita terfikir untuk mewakafkan sesuatu untuk kegunaan semua murid di situ?

Dalam salah satu mesyuarat jawatankuasa PIBG di sekolah anak penulis, seorang bapa telah bermurah hati untuk mendermakan sembilan daun pintu tandas setelah mendapati sembilan tandas murid di sekolah itu tidak berpintu.

Ada juga hikmahnya bapa murid ini menemani anaknya ke tandas ketika hadir mesyuarat itu.

Mengapa tandas-tandas itu dibiarkan tidak berpintu sedangkan ia melibatkan isu aurat dan privacy ketika ke tandas - agak sukar difahami oleh penulis. Menurut pihak sekolah, mereka telah melaporkan perkara itu ke Pejabat Pelajaran. Namun, tiada tindakan diambil sehinggalah pintu-pintu tandas itu didermakan oleh seorang bapa dan dipasangkan oleh bapa murid lain.

Kemurahan hati kedua-dua orang bapa tadi ternyata memberi sumbangan yang besar kepada sekolah dan memberikan keselesaan kepada semua murid di sekolah tersebut.

Bayangkan jika semua ibu bapa murid di sekolah ini bersikap pemurah dan ringan tangan seperti kedua-dua bapa tadi. Pelbagai kemudahan akan dapat disediakan dan para pelajarnya akan mendapat manfaat yang begitu besar sekali.

Secara umumnya, umat Islam faham bahawa agama Islam mengagungkan ilmu.

Menuntut ilmu menjadi kewajipan setiap umat Islam. Menuntut ilmu itu amat digalakkan sehingga dalam sebuah hadis disebut bahawa Allah akan memudahkan satu jalan untuk ke syurga bagi mereka yang keluar untuk menuntut ilmu.

Sikap mengutamakan ilmu oleh Islam ini juga jelas apabila ia meletakkan golongan yang berilmu pada satu kedudukan yang tinggi (Surah al-Mujadalah: 11).

Ganjaran dunia dan akhirat yang dijanjikan oleh Allah ini bukanlah untuk mereka yang menuntut ilmu dan yang memiliki ilmu sahaja, tetapi juga kepada mereka yang membelanjakan hartanya untuk ilmu, perkembangan ilmu serta bagi tujuan orang lain mendapatkan ilmu.

Ini kerana apa-apa perbelanjaan yang dikeluarkan atas nama ilmu yang bermanfaat, ia dianggap sebagai perbelanjaan ke jalan Allah. Maka, mengapa kita begitu sukar untuk menyumbang kepada sekolah anak-anak?

Sebenarnya, ada banyak cara untuk menyumbang kepada sekolah anak-anak kita. Bagi yang berduit, mereka boleh menderma. Namun, pada pandangan penulis, kita tidak perlu tunggu kaya sebelum kita boleh menyumbang dalam bentuk wang. Apa yang lebih penting ialah kemahuan.

Kalau dalam sebuah sekolah itu setiap ibu atau bapa boleh dermakan RM1 sebulan untuk setiap anak, sebuah sekolah yang memiliki 1,000 murid akan mempunyai dana tambahan sebanyak RM1,000 setiap bulan. Ia bersamaan RM12,000 dana tambahan setahun.

Macam-macam yang boleh dibuat oleh sekolah dengan duit sebanyak ini untuk perkembangan minda dan sahsiah anak-anak kita.

Mereka yang ada ilmu dan kemahiran tentang sesuatu pula, boleh berkongsi ilmu dan kemahiran itu dengan para pelajar melalui kelas-kelas tambahan atau aktiviti tertentu.

Sebagai contoh, di kaca TV kita selalu menonton watak bapa yang menjadi jurulatih kepada pasukan bola sepak anaknya. Banyak lagi ruang lain yang boleh digunakan untuk memberikan sesuatu ilmu atau kemahiran kepada murid-murid di sekolah anak-anak kita.

Peluang ini juga merupakan satu lagi saluran untuk kita merebut ganjaran daripada Allah. Seperti yang kita maklum, semua amalan kita akan terhenti bila kita meninggal dunia, kecuali tiga perkara iaitu sedekah yang berterusan, ilmu yang dimanfaatkan dan anak soleh yang mendoakan.

Maka, seandainya kita secara sukarela memberi sesuatu ilmu dan kemahiran kepada murid-murid di sekolah tersebut dan mereka pula menggunakannya sepanjang hidup mereka, maka selama itulah amalan kita tidak akan terputus.

Cara lain untuk menyumbang adalah dengan memberikan sesuatu perkhidmatan.

Misalnya, seperti si bapa yang memasangkan daun pintu tadi. Beliau mungkin tiada wang untuk didermakan, tetapi beliau ada kemahiran untuk disumbangkan. Ibu bapa yang ada kemahiran seperti ini boleh menawarkan diri kepada pihak sekolah. Contohnya, apabila ada paip pecah atau tersumbat dan sebagainya, pihak sekolah boleh menggunakan khidmat mereka untuk membaiki kerosakan-kerosakan seumpama itu dan mengembalikan keselesaan kepada semua pengguna di sekolah itu, khususnya para pelajar.

Marilah kita mengubah sikap kita terhadap pihak sekolah. Daripada semata-mata mengharapkan sekolah melakukan keajaiban kepada anak-anak kita, apa kata kita bantu mereka untuk melakukan keajaiban itu? Kita boleh bantu dengan wang, dengan ilmu dan kemahiran, juga dengan sesuatu perkhidmatan.

Dalam kes pintu tandas tersebut, jika wujud kemurahan hati dan keringanan tulang di pihak ibu bapa, berserta koordinasi yang baik dari pihak sekolah, penulis yakin masalah itu akan dapat diatasi lebih awal lagi.

PENULIS ialah Felo Kanan, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Sumber : http://www.utusan.com.my/