Isnin, 18 Mac 2013

ISU BAHASA : Calon PRU digesa jaga adab, santun bahasa ketika kempen

Antara buku tentang  garis panduan kesantunan berbahasa
dalam kalangan tokoh masyarakat 
KUALA LUMPUR - Calon yang bertanding pada pilihan raya umum nanti digesa tidak mengabaikan kesantunan berbahasa terutama bahasa Melayu walaupun dalam keghairahan berkempen.

Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr Awang Sariyan berkata, walaupun berlainan ideologi dan pandangan politik, ia bukan tiket untuk menggadaikan kesantunan bahasa yang menjadi kebanggaan sesebuah tamadun bangsa.

"Pilihan raya ini adalah satu sistem dalam negara demokrasi untuk memilih wakil rakyat dan pemimpin, tapi tak sepatutnya dalam nak memilih wakil kita sampai hilang adab," katanya kepada Bernama di sini.

Awang berkata, calon tanpa mengira bangsa yang mampu menjaga kesantunan bahasa Melayu merupakan calon yang selayaknya dipilih sebagai wakil rakyat kerana mereka berupaya menjaga satu daripada lambang tamadun bangsa.

"Malah, kita tahu dalam Parlimen mereka ini (wakil rakyat) kena berbahas dalam bahasa Melayu," katanya.

Menurut Awang, kesantunan bahasa dan adab tidak terhad kepada ceramah politik sahaja kerana ia perlu mencakupi bahan kempen seperti sepanduk, poster atau risalah.

Pendapat sama turut disuarakan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof yang berpendapat calon seharusnya berkempen secara berhemah kerana mereka merupakan bakal wakil rakyat.

"Calon ini biarlah kempen secara berhemah, matang...janganlah cakap atau guna bahasa yang tidak sepatutnya," katanya.- Bernama

STPM 2012 : 48,000 pelajar lulus STPM


KUALA LUMPUR : Seramai 47,884 atau 92.67 peratus calon lulus sekurang-kurangnya satu mata pelajaran dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2012 berbanding 46,705 calon (92.19 peratus) pada tahun sebelumnya.

Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) Prof Datuk Dr Mohd Noh Dalimin berkata daripada jumlah itu, sebanyak 2,709 calon atau 5.24 peratus lulus penuh dalam lima mata pelajaran manakala calon yang lulus dalam empat mata pelajaran berjumlah 21,779 calon (42.15 peratus).

"Seramai 10,029 calon (19.41 peratus) lagi lulus penuh tiga mata pelajaran, 7,299 calon (14.13 peratus) lulus penuh dua mata pelajaran dan 6,068 calon (11.47 peratus) lulus penuh satu mata pelajaran.

"Jumlah calon yang mendapat lulus penuh dalam lima dan empat mata pelajaran telah meningkat sebanyak 1,253 calon, iaitu daripada 23,246 calon (45.89 peratus) pada tahun 2011 kepada 24,488 calon (47.39 peratus) bagi tahun lepas,” katanya ketika mengumumkan keputusan peperiksaan STPM 2012 di sini, hari ini.

Mengenai prestasi pelajar, Mohd Noh berkata 18 calon telah mencapai keputusan cemerlang Gred A dalam lima mata pelajaran yang diambil berbanding 12 calon pada tahun sebelumnya.

Daripada jumlah itu katanya, tujuh calon adalah pelajar aliran sains dan 11 lagi dari aliran sastera.

Bilangan calon yang mengambil lima mata pelajaran dan mendapat empat Gred A pula adalah sebanyak 53 calon manakala bilangan calon yang mengambil empat mata pelajaran dan mendapat empat Gred A adalah sebanyak 379 calon.

Beliau berkata pada umumnya, prestasi calon tahun 2012 adalah lebih baik berbanding tahun sebelumnya, di mana min Purata Nilai Gred Keseluruhan (PGNK) negara meningkat kepada 2.24 daripada 2.22 pada 2011.

Pada 2012, seramai 442 calon (0.86 peratus) mendapat PGNK 4.00 berbanding 300 calon (0.59 peratus) pada tahun sebelumnya, iaitu meningkat sebanyak 142 calon. Seramai 51,673 calon menduduki peperiksaan itu tahun lalu.

Mohd Noh berkata jurang antara prestasi calon bandar dan luar bandar masih ketara apabila prestasi calon bandar jauh lebih baik daripada calon luar bandar, di mana bilangan calon bandar yang mendapat 5A, 4A dan 3A adalah seramai 1,105 (13.53 peratus) berbanding hanya 170 calon (9.20 peratus) luar bandar.

Katanya bilangan calon bandar aliran sains yang mendapat 5A, 4A dan 3A adalah seramai 392 (14.85 peratus) berbanding hanya lapan (6.4 peratus) calon luar bandar.

Sementara bilangan calon bandar aliran sastera yang mendapat 5A, 4A dan 3A pula adalah seramai 713 calon (12.90 peratus) berbanding hanya 162 calon (9.24 peratus) luar bandar.

Daripada segi prestasi sekolah, beliau berkata sekolah kerajaan menunjukkan peningkatan berbanding pada tahun sebelumnya, iaitu min PNGK sekolah kerajaan pada tahun 2012 ialah 2.33 berbanding 2.29 pada 2011.

Pada 2012, sebanyak 59 buah sekolah mencapai min PNGK 2.8 atau lebih tinggi berbanding 52 sekolah pada tahun sebelumnya dan 47 sekolah pada 2010, katanya.

Peningkatan sebanyak 1,253 juga berlaku dalam jumlah calon sekolah kerajaan yang mendapat lulus penuh dalam lima dan empat mata pelajaran iaitu 23,683 calon (49.64 peratus) bagi tahun lepas berbanding 22,430 calon (47.84 peratus) pada tahun 2011.

Mohd Noh berkata berdasarkan prestasi calon mengikut mata pelajaran, didapati enam mata pelajaran meningkat prestasinya iaitu Further Mathematics T (71.43 peratus), Bahasa Cina (69.34 peratus), Ekonomi (59.19 peratus), Syariah (76.43 peratus), Sejarah (64.18 peratus) dan Geografi (70.21 peratus) berbanding tahun sebelumnya.

Sebanyak 15 mata pelajaran yang lain pula dianggap tidak berubah prestasinya kerana beza peratusan calon yang lulus penuh antara tahun 2011 dan tahun sebelumnya kurang daripada dua peratus.

"Pada 2012, dua mata pelajaran iaitu Bahasa Arab dan Literature in English pula menurun prestasinya berbanding dengan STPM 2011," katanya.

Daripada segi penggunaan Bahasa Inggeris dalam jawapan calon bagi tujuh mata pelajaran iaitu Mathematics S, Mathematics T, Further Mathematics T, Computing, Fizik, Kimia dan Biologi, Mohd Noh berkata 98.13 peratus (25,503) calon telah menjawab soalan dalam bahasa Inggeris sepenuhnya pada tahun lalu berbanding 98.11 peratus (25,993) pada tahun sebelumnya.

Mengumumkan mengenai prestasi calon Malaysian University English Test (MUET) sesi November 2012, beliau berkata pada keseluruhannya berlaku peningkatan terhadap prestasi calon iatu sebanyak 36.22 peratus calon telah mendapat Band 3 atau lebih baik berbanding 23.94 peratus pada sesi Julai tahun lepas.

Pada majlis itu, Mohd Noh turut menyampaikan hadiah berupa wang tunai RM1,000, sijil penghargaan dan sebuah plak kepada 18 pelajar cemerlang STPM, dua anugerah kepada pelajar cemerlang istimewa.

Anugerah turut disampaikan kepada pelajar cemerlang luar bandar dan dua calon cemerlang MUET bagi tahun 2012, masing-masing bagi calon Terbaik MUET Mac 2012 dan calon Terbaik MUET November 2012.

Sementara itu, Mohd Noh turut mengumumkan bahawa keputusan peperiksaan Penggal Satu STPM 2013 akan dikeluarkan pada Khamis ini bermula pukul 12 tengah hari.

"Semua calon boleh mendapatkan keputusan peperiksaan melalui portal MPM di www.mpm.edu.my atau melalui khidmat sistem pesanan ringkas (SMS) di talian 15888," katanya.

Sumber : http : //www.hmetro.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Peluang Belajar Lepasan STPM Terbuka Luas

PROSPEK untuk menjejakkan kaki ke menara gading bagi lepasan STPM sangat cerah dan terbuka luas.

Oleh : Ruhaiza Rusmin dan Ihsan Noorzali

Penantian 54,697 calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) tahun lalu berakhir apabila keputusan peperiksaan terbabit diumumkan hari ini.

Bagi yang memperoleh keputusan cemerlang, pasti sudah mencongak langkah ke menara gading manakala yang kurang bernasib baik juga tidak ketinggalan mempunyai perancangan sendiri.

Apa jua keputusan, STPM masih menjanjikan pulangan setimpal biarpun pada masa sama, terpaksa berdepan pelbagai stigma tradisional dan dikatakan tidak sepopular Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Pensyarah Kanan Jabatan Psikologi dan Kaunseling Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim, Perak, Dr Syed Sofian Syed Salim berkata, lepasan STPM memiliki kelebihan dari segi sosial dan moral.

Menurutnya, kelebihan itu bukan saja kerana guru meletakkan mereka setaraf seperti pelajar universiti yang matang, malah diperkukuhkan dengan aspek pembinaan nilai jati diri sebagai golongan dewasa.

“STPM biarpun dilabelkan dengan tanggapan berbeza, masih mempunyai ciri kehebatan tersendiri, selain setara seperti prauniversiti.

“Lepasan STPM dilatih dan diajar untuk lebih berdikari, melihat dunia luar dari perspektif berbeza, selain diterapkan kemahiran berfikir, menganalisis, mengkaji dan menyelidik daripada pelbagai sumber.

“Kematangan dan pendedahan itu memberi banyak kelebihan tidak kira sama ada mereka mahu terus bergelar pelajar di menara gading mahupun memasuki alam pekerjaan,” katanya.

Prospek yang mampu ditawarkan kepada lepasan STPM menyeluruh dan mencakupi pelbagai aspek dengan 19 institusi pengajian tinggi awam (IPTA) turut menawarkan tempat dari aliran sains dan sastera.

Lepasan STPM hanya perlu memenuhi syarat kemasukan minimum seperti Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK 2.0) dan sekurang-kurangnya Gred C Nilai Gred Mata Pelajaran (NGMP 2.0) mata pelajaran Pengajian Am dan Gred C (NGMP 2.0) dalam dua mata pelajaran, selain Malaysian University English Test (MUET) sekurang-kurangnya Tahap 1.

Dr Syed Sofian berkata, dengan jumlah lepasan STPM yang tidak seramai calon lepasan SPM, peluang adalah lebih terbuka dan tidak perlu keterlaluan bersaing untuk memperoleh tempat.

“Malah, mereka (lepasan STPM) sudah diterapkan dengan suasana pembelajaran berbeza di sekolah merentasi keperluan sedia ada.

“Justeru, dari aspek kejutan budaya, kegagalan berdikari mahupun terkejut dengan sistem pembelajaran di universiti boleh dikatakan tiada langsung.

“Malah, mereka lebih pantas menyesuaikan diri dan kurang mendatangkan masalah,” katanya.

STPM juga perlu dilihat sebagai peperiksaan yang mempunyai kelas tersendiri kerana kemasukan ke ting­katan enam bukan melalui permohonan, sebaliknya ditawarkan secara automatik kepada calon yang layak dan memenuhi syarat ditetapkan.

Pada 1980-an, tingkatan enam menjadi tumpuan pelajar lepasan SPM, namun sejak matrikulasi dan asasi sains diperkenalkan bagi memenuhi tuntutan negara, tingkatan enam semakin suram.

“Sebab itu, STPM menjadi kurang popular dan ­dianggap tempat pelajar tidak pandai atau tidak mendapat tawaran melanjutkan pengajian.

“Selain itu, stigma me­ngatakan STPM susah untuk lulus cemerlang biarpun hanya membabitkan lima atau empat mata pelajaran saja menjadikan peperiksaan itu disalah ertikan,” katanya.

Beliau berkata, pelajar perlu melihat peluang luas yang disediakan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) melalui program yang disediakan setiap IPTA kepada lepasan STPM.

Merujuk kepada Bahagian Pengurusan Kemasukan KPT bagi kemasukan ke IPTA sesi akademik 2013/2014 bagi lepasan lepasan STPM atau setaraf, semua 19 IPTA menyediakan peluang sebanyak 730 program bagi aliran sains dan 424 program bagi sastera.

Daripada semua 19 IPTA terbabit, Universiti Teknologi Mara (UiTM) menyediakan paling banyak program boleh dipilih iaitu sebanyak 119 program bagi aliran sains dan 82 untuk aliran sastera.

Mengenai pilihan program boleh dibuat lepasan STPM, Dr Syed Sofian menyarankan pelajar aliran sains supaya memilih program berkaitan kemahiran peringkat tinggi dengan peluang kerjayanya lebih luas hingga peringkat global.

Antaranya teknologi kejuruteraan aeronautik (penerbangan profesional), teknologi kejuruteraan aeronautik (kawalan trafik udara), kejuruteraan pembuatan (robotik & automasi) dan kejuruteraan (minyak dan gas).

Bagi aliran sastera, pelajar boleh memilih kursus katering, teknologi permainan, pentadbiran perniagaan (kewangan Islam), pentadbiran perniagaan (keusahawanan), pentadbiran perniagaan (perniagaan antarabangsa) dan perniagaan (keusahawanan kejuruteraan).

“Bagaimanapun, ia subjektif dan terpulang pada minat dan kelayakan. Mereka terlebih dulu perlu melihat kemampuan diri serta prospek mampu ditawarkan sebelum membuat pilihan program dikehendaki,” katanya.

Bagi yang kurang cemerlang juga tidak sukar melangkah ke alam pekerjaan, malah katanya, lepasan STPM tetap laku dalam pasaran biarpun pada masa sama terpaksa bersaing dengan graduan lain.

“Negara kita cukup ­banyak menyediakan peluang pekerjaan tidak kira sama ada untuk pemegang sijil, diploma dan ijazah.

“Pengangguran berlaku kerana sikap memilih pekerjaan, selain tidak menepati piawaian majikan dalam kemahiran tertentu.

“Bagi lepasan STPM, mereka tetap laku biarpun pada masa sama terpaksa ­bersaing dengan orang lain. Pasaran pekerjaan STPM ada tempatnya sendiri,” katanya.

Beliau juga positif STPM masih relevan, malah transformasi dilakukan Kementerian Pelajaran berdasarkan sistem pentaksiran baru STPM bermula sesi pengambilan 2012/2013 menjenamakan semula tingkatan enam ke tahap lebih berprestij.

“Semoga penjenamaan semula ini akan membuka mata masyarakat pelajar STPM bukan kelas kedua. Sebaliknya, berada dalam kelas tersendiri dan boleh mengatur langkah lebih jauh seperti pelajar lain,” katanya.

Sumber : http : //www.hmetro.com.my/

STPM 2012 : Kebanyakan negeri catat keputusan baik

SEBAHAGIAN pelajar tersenyum lebar selepas memperoleh keputusan cemerlang 
dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2012

KUALA LUMPUR - Kebanyakan negeri mencatatkan keputusan baik dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2012 yang diumumkan hari ini, dan ada di antara sekolah yang mencatatkan pencapaian kelulusan 100 peratus.

Di KEDAH, sebanyak 11 sekolah mencatatkan keputusan 100 peratus kelulusan dengan lima daripadanya adalah sekolah kategori luar bandar manakala enam sekolah kategori bandar.

Pengarah Pelajaran negeri Mansor Lat dalam kenyataannya berkata 22 daripada 4,214 calon memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00 dengan dua daripadanya mencapai keputusan cemerlang Gred A dalam lima mata pelajaran yang diambil.

Di KELANTAN, sebanyak 14 sekolah mencatat keputusan 100 peratus kelulusan dengan empat pelajar dipilih sebagai pelajar terbaik peringkat kebangsaan berbanding hanya seorang pada tahun 2011.

Pengarah Jabatan Pelajaran negeri Hussain Awang berkata peratus kelulusan keseluruhan calon STPM pada 2012 ialah 95.12 peratus atau 5,399 calon berbanding 95.99 peratus atau 5,838 calon pada tahun sebelumnya.

Bagaimanapun, katanya jumlah calon yang mendapat lima prinsipal berkurangan kepada 1,248 orang atau 24.53 peratus berbanding 1,310 orang atau 24.45 peratus pada 2011.

Di JOHOR, sebanyak 34 sekolah mencapai 100 peratus kelulusan berbanding 30 sekolah pada 2011 dengan seramai 5,127 daripada 5,311 (96.54 peratus) calon lulus penuh atau sekurang-kurangnya mendapat satu prinsipal.

Pengarah Jabatan Pelajaran negeri Mohd Nor A. Ghani berkata sekolah yang mencapai peratus keputusan tertinggi di peringkat empat dan lima prinsipal adalah Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Bandar Penawar, Kota Tinggi (90.91 peratus); SMK Jementah, Segamat (86.67 peratus); dan SMK (Perempuan) Sultan Ibrahim, Johor Baharu (79.49 peratus).

Peratusan calon yang memperoleh PNGK 3.00 hingga 3.49 pada 2012 adalah seramai 983 orang (18.51 peratus) berbanding 908 orang (19.06 peratus) pada 2011., katanya dan menurutnya 16 sekolah mengekalkan pencapaian 100 peratus lulus penuh.

Di TERENGGANU, keputusan STPM yang diumumkan itu menyaksikan dua pelajar negeri tersebut terpilih sebagai beberapa calon terbaik negara.

Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran negeri Hashim Mohd Zin berkata seramai 2,861 orang calon (96.01 peratus) telah mencapai lulus penuh sekurang-kurangnya satu mata pelajaran.

"Pencapaian ini adalah yang terbaik berbanding dua tahun lalu dan yang lebih membanggakan setelah dua pelajar kita terpilih buat pertama kali sebagai calon terbaik negara," katanya dalam sidang media.

Sementara di MELAKA, calon lulus penuh STPM 2012 mencatatkan peningkatan sebanyak 1.17 peratus dengan jumlah 1,198 pelajar berbanding 1,151 pada 2011.

Pengarah Jabatan Pelajaran Melaka Kasim Mohamad berkata daripada jumlah tersebut, seramai 644 calon berjaya memperoleh empat prinsipal iaitu peningkatan 2.6 peratus berbanding tahun sebelumnya.

"Dari segi kualiti, seramai 14 calon memperoleh PNGK 4.0 dan 425 calon memperoleh PNGK 3.0 dan ke atas," katanya kepada pemberita.

Katanya secara keseluruhan, keputusan STPM di negeri itu merupakan yang terbaik dalam tempoh lima tahun daripada segi gred purata negeri (GNP) iaitu meningkat 0.05 mata kepada 2.5 berbanding 2.45 pada 2011.

Di PAHANG, pencapaian kelulusan penuh keputusan STPM di negeri itu meningkat sebanyak 2.69 peratus iaitu 96.51 peratus berbanding 93.82 peratus tahun 2011.

Timbalan Pengarah Pelajaran negeri Rosdi Ismail berkata, peratus pencapaian lulus daripada 2,435 pelajar itu berjaya mengatasi pencapaian peringkat nasional bagi kelulusan penuh 94.44 peratus.

Bagi PNGK yang mendapat keputusan tertinggi iaitu 4.0 turut meningkat daripada 11 calon pada 2011 kepada 30 calon tahun lepas, katanya.

Katanya, prestasi keseluruhan sekolah menunjukkan 20 buah sekolah daripada 49 buah sekolah berjaya mencapai prestasi kelulusan penuh 100 peratus manakala 26 buah sekolah lagi berjaya mencapai kelulusan penuh melebihi 90 peratus.

Di NEGERI SEMBILAN, Pengarah Pelajaran negeri Kalsom Khalid berkata seramai 13 orang pelajar, tiga daripada jurusan sains dan bakinya jurusan sastera memperoleh PNGK 4.00.

"Terdapat seramai 1,394 orang calon atau 94.9 peratus lulus  sekurang- kurangnya satu mata pelajaran peringkat prinsipal.

Daripada jumlah itu sebanyak 23 lulus 5 prinsipal, 679 lulus 4 prinsipal, 318 lulus 3 prinsipal, 215 lulus 2 prinsipal dan 159 lulus 1 prinsipal," katanya dalam kenyataan.

Di SARAWAK, seramai 5,216 orang atau 92.82 peratus calon sekolah layak mendapat sijil STPM 2012 berbanding 5,210 calon (90.96 peratus) pada 2011.

Seramai 6,017 calon telah menduduki peperiksaan tersebut di Sarawak pada 2012 iaitu 5,668 orang atau 94.20 peratus merupakan calon sekolah menengah kebangsaan, sementara 349 orang (5.80 peratus) adalah calon persendirian.

Namun begitu, di PULAU PINANG, keputusan STPM menunjukkan penurunan sebanyak 0.04 peratus menjadikannya 2.53 peratus berbanding tahun 2011 iaitu 2.57 peratus.

Bagaimanapun, Pengarah Pelajaran Negeri Ahmad Tarmizi Kamaruddin berkata Pulau Pinang mengatasi peratusan kebangsaan sebanyak 1.71 peratus apabila peratusan calon yang layak mendapat sijil STPM ialah 96.15 peratus berbanding peratusan kebangsaan (94.44 peratus).

Di PERAK, Pengarah Jabatan Pelajaran negeri Muhamat Roli Hassan berkata pencapaian lulus penuh 100 peratus menunjukkan penurunan sebanyak 0.80 peratus berbanding pada tahun 2011 iaitu 95.81 peratus.

"Sebanyak 4,376 calon daripada jumlah keseluruhan 4,606 merekodkan kelulusan penuh. Daripada jumlah itu sebanyak 188 calon lulus lima prinsipal serta 2,152 lulus empat prinsipal," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata sebanyak 51 pelajar memperoleh PNGK 4.0 dengan peningkatan sebanyak 0.07 peratus berbanding tahun 2011 manakala sebanyak 1,171 pelajar mendapat PNGK antara 3.0 dan 4.0.

Di SABAH, seramai 5,376 orang calon atau 89.41 peratus mendapat lulus penuh berbanding 88.76 peratus pada tahun 2011.

Ketika mengumumkan keputusan STPM Sabah di SMK Tansau di sini, Pengarah Pelajaran negeri Jame Alip  berkata ini menunjukkan peningkatan pencapaian peratus lulus negeri meningkat sebanyak 0.65 peratus.

Beliau berkata antara sekolah mencapai 100 peratus lulus ialah SMK Likas Kota Kinabalu, SMJK Tiong Hua, Sandakan, SMK Perempuan Likas, Kota Kinabalu, Sekolah Tinggi Kota Agamam Mohd Ali, Ranau, SMK Kunak, Kunak, SM.Sung Siew, Sandakan, SMK Merotai, Tawau, SMK Segaliud, Sandakan dan SMK Weston, Beaufort.

Sementara itu, Nurul Jannah Sulaiman dari SMK Perempuan Likas muncul pelajar terbaik negeri Sabah bagi Aliran Kemanusiaan dengan PNGK 4.00 dengan mendapat Gred A bagi semua subjek dan Gred A- bagi Pengajian Perniagaan.

Hong Joway dari SM La Salle muncul pelajar terbaik Aliran Sains dengan PNGK 3.92 dengan mendapat Gred A bagi semua subjek. - Bernama

STPM 2012: Lebih Ramai Pelajar Dapat Keputusan Cemerlang

PENGERUSI Majlis Peperiksaan Malaysia, Prof Datuk Dr Mohd Noh Dalimin menyampaikan anugerah kepada Pelajar Istimewa Cemerlang, Lok Weng Hang (kanan) dari Sekolah Tinggi Muar pada Majlis Penyampaian Anugerah kepada Pelajar Cemerlang STPM di Kuala Lumpur, hari ini.
SELAYANG: Lebih ramai pelajar mendapat Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 4.0 dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) tahun lepas berbanding tahun 2011.

Seramai 442 calon atau 0.86 peratus mendapat CGPA 4.0 berbanding 300 calon atau 0.59 peratus pada tahun sebelumnya.

Bilangan pelajar cemerlang  yang mendapat 5A juga meningkat daripada  enam kepada 18 pelajar.

STPM 2012 adalah yang terakhir yang akan diadakan di bawah format lama (Sistem Terminal) apabila tiga tahun lalu Kementerian Pelajaran memutuskan merombak format peperiksaan yang lama kepada format semester (Sistem Modular).

Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia Prof Datuk Dr Mohd Noh Dalimin berharap format yang baharu akan menggalakkan lebih ramai pelajar menduduki STPM.

"Keputusan semester pertama di bawah format baharu akan dikeluarkan Khamis ini. Saya fikir pelajar melakukan lebih baik daripada yang kita harapkan.

"Tetapi adalah tidak adil untuk membandingkan keputusan semester satu ini dengan format lama, kerana pelajar-pelajar ini baru memulakan pengajian mereka," katanya kepada pemberita selepas mengumumkan keputusan peperiksaan di sini, Isnin.

Sebanyak 51,673 pelajar menduduki peperiksaan ini tahun lepas.

Sumber : http : //www.mstar.com.my/