Isnin, 18 Mac 2013

ISU PENDIDIKAN : Peluang Belajar Lepasan STPM Terbuka Luas

PROSPEK untuk menjejakkan kaki ke menara gading bagi lepasan STPM sangat cerah dan terbuka luas.

Oleh : Ruhaiza Rusmin dan Ihsan Noorzali

Penantian 54,697 calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) tahun lalu berakhir apabila keputusan peperiksaan terbabit diumumkan hari ini.

Bagi yang memperoleh keputusan cemerlang, pasti sudah mencongak langkah ke menara gading manakala yang kurang bernasib baik juga tidak ketinggalan mempunyai perancangan sendiri.

Apa jua keputusan, STPM masih menjanjikan pulangan setimpal biarpun pada masa sama, terpaksa berdepan pelbagai stigma tradisional dan dikatakan tidak sepopular Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Pensyarah Kanan Jabatan Psikologi dan Kaunseling Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim, Perak, Dr Syed Sofian Syed Salim berkata, lepasan STPM memiliki kelebihan dari segi sosial dan moral.

Menurutnya, kelebihan itu bukan saja kerana guru meletakkan mereka setaraf seperti pelajar universiti yang matang, malah diperkukuhkan dengan aspek pembinaan nilai jati diri sebagai golongan dewasa.

“STPM biarpun dilabelkan dengan tanggapan berbeza, masih mempunyai ciri kehebatan tersendiri, selain setara seperti prauniversiti.

“Lepasan STPM dilatih dan diajar untuk lebih berdikari, melihat dunia luar dari perspektif berbeza, selain diterapkan kemahiran berfikir, menganalisis, mengkaji dan menyelidik daripada pelbagai sumber.

“Kematangan dan pendedahan itu memberi banyak kelebihan tidak kira sama ada mereka mahu terus bergelar pelajar di menara gading mahupun memasuki alam pekerjaan,” katanya.

Prospek yang mampu ditawarkan kepada lepasan STPM menyeluruh dan mencakupi pelbagai aspek dengan 19 institusi pengajian tinggi awam (IPTA) turut menawarkan tempat dari aliran sains dan sastera.

Lepasan STPM hanya perlu memenuhi syarat kemasukan minimum seperti Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK 2.0) dan sekurang-kurangnya Gred C Nilai Gred Mata Pelajaran (NGMP 2.0) mata pelajaran Pengajian Am dan Gred C (NGMP 2.0) dalam dua mata pelajaran, selain Malaysian University English Test (MUET) sekurang-kurangnya Tahap 1.

Dr Syed Sofian berkata, dengan jumlah lepasan STPM yang tidak seramai calon lepasan SPM, peluang adalah lebih terbuka dan tidak perlu keterlaluan bersaing untuk memperoleh tempat.

“Malah, mereka (lepasan STPM) sudah diterapkan dengan suasana pembelajaran berbeza di sekolah merentasi keperluan sedia ada.

“Justeru, dari aspek kejutan budaya, kegagalan berdikari mahupun terkejut dengan sistem pembelajaran di universiti boleh dikatakan tiada langsung.

“Malah, mereka lebih pantas menyesuaikan diri dan kurang mendatangkan masalah,” katanya.

STPM juga perlu dilihat sebagai peperiksaan yang mempunyai kelas tersendiri kerana kemasukan ke ting­katan enam bukan melalui permohonan, sebaliknya ditawarkan secara automatik kepada calon yang layak dan memenuhi syarat ditetapkan.

Pada 1980-an, tingkatan enam menjadi tumpuan pelajar lepasan SPM, namun sejak matrikulasi dan asasi sains diperkenalkan bagi memenuhi tuntutan negara, tingkatan enam semakin suram.

“Sebab itu, STPM menjadi kurang popular dan ­dianggap tempat pelajar tidak pandai atau tidak mendapat tawaran melanjutkan pengajian.

“Selain itu, stigma me­ngatakan STPM susah untuk lulus cemerlang biarpun hanya membabitkan lima atau empat mata pelajaran saja menjadikan peperiksaan itu disalah ertikan,” katanya.

Beliau berkata, pelajar perlu melihat peluang luas yang disediakan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) melalui program yang disediakan setiap IPTA kepada lepasan STPM.

Merujuk kepada Bahagian Pengurusan Kemasukan KPT bagi kemasukan ke IPTA sesi akademik 2013/2014 bagi lepasan lepasan STPM atau setaraf, semua 19 IPTA menyediakan peluang sebanyak 730 program bagi aliran sains dan 424 program bagi sastera.

Daripada semua 19 IPTA terbabit, Universiti Teknologi Mara (UiTM) menyediakan paling banyak program boleh dipilih iaitu sebanyak 119 program bagi aliran sains dan 82 untuk aliran sastera.

Mengenai pilihan program boleh dibuat lepasan STPM, Dr Syed Sofian menyarankan pelajar aliran sains supaya memilih program berkaitan kemahiran peringkat tinggi dengan peluang kerjayanya lebih luas hingga peringkat global.

Antaranya teknologi kejuruteraan aeronautik (penerbangan profesional), teknologi kejuruteraan aeronautik (kawalan trafik udara), kejuruteraan pembuatan (robotik & automasi) dan kejuruteraan (minyak dan gas).

Bagi aliran sastera, pelajar boleh memilih kursus katering, teknologi permainan, pentadbiran perniagaan (kewangan Islam), pentadbiran perniagaan (keusahawanan), pentadbiran perniagaan (perniagaan antarabangsa) dan perniagaan (keusahawanan kejuruteraan).

“Bagaimanapun, ia subjektif dan terpulang pada minat dan kelayakan. Mereka terlebih dulu perlu melihat kemampuan diri serta prospek mampu ditawarkan sebelum membuat pilihan program dikehendaki,” katanya.

Bagi yang kurang cemerlang juga tidak sukar melangkah ke alam pekerjaan, malah katanya, lepasan STPM tetap laku dalam pasaran biarpun pada masa sama terpaksa bersaing dengan graduan lain.

“Negara kita cukup ­banyak menyediakan peluang pekerjaan tidak kira sama ada untuk pemegang sijil, diploma dan ijazah.

“Pengangguran berlaku kerana sikap memilih pekerjaan, selain tidak menepati piawaian majikan dalam kemahiran tertentu.

“Bagi lepasan STPM, mereka tetap laku biarpun pada masa sama terpaksa ­bersaing dengan orang lain. Pasaran pekerjaan STPM ada tempatnya sendiri,” katanya.

Beliau juga positif STPM masih relevan, malah transformasi dilakukan Kementerian Pelajaran berdasarkan sistem pentaksiran baru STPM bermula sesi pengambilan 2012/2013 menjenamakan semula tingkatan enam ke tahap lebih berprestij.

“Semoga penjenamaan semula ini akan membuka mata masyarakat pelajar STPM bukan kelas kedua. Sebaliknya, berada dalam kelas tersendiri dan boleh mengatur langkah lebih jauh seperti pelajar lain,” katanya.

Sumber : http : //www.hmetro.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan