Namun, dek kerana kurang peka dan prihatin serta memandang ringan tanda-tanda awal penderaan tersebut, ia membuatkan masyarakat sekitarnya alpa sehingga memberi ruang kepada suspek untuk meneruskan kejahatan yang tidak berperikemanusian itu.
Sepatutnya masyarakat sudah tahu ke mana harus dilaporkan kes penderaan kanak-kanak. Bukankah sudah banyak iklan-iklan dan pelbagai bentuk penerangan telah dibuat melalui media elektronik dan cetak yang saya kira sudah cukup untuk mendidik masyarakat agar lebih bertanggungjawab membantu kanak-kanak yang disyaki didera.
Masalahnya adalah sikap orang kita yang masih memandang ringan tanda-tanda awal penderaan yang berlaku. Kita hanya bertindak apabila sesuatu kes penderaan itu sudah sampai ke kemuncak atau ketika 'nasi sudah menjadi bubur'. Kita hanya sedar, menyesal dan sedih yang teramat sangat apabila kanak- kanak yang didera itu sudah kaku dan terbujur menjadi mayat.
Terdapat tiga agensi utama yang terlibat dalam prosedur perlindungan kanak-kanak iaitu polis, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan hospital-hospital kerajaan. Saya kira, selain polis, JKM memainkan peranan yang cukup besar dalam kes perlindungan kanak-kanak. Peranan utama JKM adalah untuk menyelamat, melindungi, menjaga dan membantu semua kes penderaan kanak-kanak termasuk membantu pemulihan kesan psikologi kanak- kanak dan keluarganya.
Di bawah Seksyen 8 Akta Kanak-Kanak 2001 menyatakan dengan jelas tentang pelantikan dan kuasa 'pelindung'. 'Pelindung' itu ialah pegawai kebajikan masyarakat yang dilantik oleh menteri di kementerian berkaitan dan dilakukan melalui pemberitahuan dalam warta untuk menjalankan kuasa dan melaksanakan kewajipan sebagai pelindung ke atas kanak-kanak yang disyaki didera.
Adalah menjadi kewajipan setiap 'pelindung' melaksanakan tugas dengan dedikasi serta mematuhi dengan tepat garis panduan berkaitan prosedur perlindungan kanak-kanak.
Sesiapa sahaja boleh membuat aduan atau melaporkan kes-kes yang dicurigai kepada mana-mana agensi terbabit. Dari segi kerahsiaan, pengadu tidak perlu bimbang kerana semua laporan berkaitan kanak-kanak yang didera dan diabaikan akan dirahsiakan.
Menurut Seksyen 116 Akta Kanak-Kanak 2001, seseorang yang memberikan apa-apa maklumat mengenai kanak-kanak yang memerlukan perlindungan tidak akan dipersalahkan sebagai memfitnah atau selainnya.
Kesimpulannya, kanak-kanak adalah golongan yang belum matang dari segi fizikal, mental dan emosi. Oleh itu, mereka sangat memerlukan perlindungan dan jagaan sempurna, termasuk perlindungan undang-undang yang sewajarnya.
Mana-mana kanak-kanak yang disyaki didera, diabai, dieksploitasi atau yang tinggal dalam keadaan tidak sempurna kerana pengabaian, maka kanak-kanak tersebut harus dibantu atau diselamatkan dengan segera.
MOHD. AYOP ABD. RAZID
Kuala Lumpur
Sumber : http : //www.utusan.com.my/