Rabu, 7 Oktober 2009

Pelajar bakar sekolah

Oleh Johan Afandi dan Tuan Nazuri Tuan Ismail
bhnews@bharian.com.my


MARKOM (dua dari kanan) dan pegawai Jabatan Pelajaran meninjau kelas yang dibakar di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Johor Jaya 2, Johor Bahru, awal pagi semalam.

Calon PMR ambil ujian di bilik kuarantin H1N1

JOHOR BAHRU: Seramai 75 calon Penilaian Menengah Rendah (PMR) di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Johor Jaya 2 di sini, terpaksa menduduki peperiksaan di bilik kuarantin H1N1 dalam keadaan tidak selesa selepas dewan sekolah itu terbakar, awal pagi semalam, dipercayai akibat perbuatan khianat seorang pelajar.


Timbalan Pengarah Pelajaran negeri, Markom Giran, berkata kebakaran itu disedari seorang pengawas peperiksaan yang tiba di sekolah itu, jam 6.25 pagi dan ketika itu api sudah hampir padam.

"Kejadian dipercayai perbuatan khianat pelajar yang mungkin tidak berpuas hati dengan pihak pengurusan sekolah kerana guru terbabit sempat melihat kelibat seseorang melarikan diri dari tempat kejadian," katanya ketika mengadakan lawatan ke sekolah itu.


Dalam kejadian itu, sebahagian kecil dewan berkenaan, termasuk beberapa kerusi dan meja, rosak. Ini adalah kejadian kedua di sekolah berkenaan dan kali pertama ia berlaku, dua tahun lalu.

Markom berkata, laporan polis dibuat sejurus selepas kejadian itu dan kerugian dianggar RM20,000.

Sementara itu, pengetua sekolah berkenaan, Meskam Masbor, berkata kejadian itu menjejaskan keselesaan calon PMR kerana ruang di tingkat satu dewan peperiksaan berkenaan terpaksa ditutup bagi kerja membaik pulih dijalankan.

"Dewan ini adalah bangunan baru sekolah dan ia digunakan kali kedua selepas peperiksaan percubaan PMR yang berlangsung, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Roslan Zainuddin ketika dihubungi, semalam tidak menolak kemungkinan kejadian itu berpunca daripada perbuatan khianat.

"Memang, kita ada mendapat maklumat bahawa ada saksi melihat individu mencurigakan dilihat di tempat kejadian sejurus selepas kebakaran itu berlaku.

"Kita sudah memanggil Unit Forensik bagi membuat siasatan dan akan turut mendapatkan bantuan pihak Bomba dan Penyelamat bagi mengesahkan sama ada kebakaran dewan itu berpunca daripada perbuatan khianat atau tidak," katanya sambil menambah tiada sebarang tangkapan dilakukan setakat ini.

Sementara itu, di KLANG, guru dan kakitangan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Andalas gempar seketika apabila menerima panggilan bom palsu, kira-kira jam 9 pagi.

Ketua Polis Daerah Klang, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop, berkata panggilan bom palsu itu diterima oleh kerani sekolah dan pihaknya menghantar pasukan Unit Pemusnah Bom dan disahkan bahawa ia adalah panggilan palsu sejam selepas membuat pemeriksaan secara berhemah.

"Pemeriksaan dijalankan secara berhemah untuk tidak mendatangkan ketakutan dan keresahan kepada calon yang menduduki PMR," katanya dan tidak menolak panggilan palsu berkenaan dibuat bagi mengganggu kelancaran perjalanan peperiksaan itu.

Sumber: http: //www.bharian.com.my/

Nota hujung:

Apabila meneliti peristiwa ini, saya lantas teringat akan kandungan ceramah yang pernah saya hadiri. Kata penceramah tersebut, ramai dalam kalangan manusia kini dijangkiti penyakit, tetapi yang terlebih bahaya ialah mereka yang dijangkiti penyakit jiwa akibat hilang nilai-nilai kemanusiaan dalam diri. Golongan ini hidup tanpa berpaksikan agama. Mereka kehilangan arah; ibarat layang-layang putus talinya. Anak- anak yang lahir daripada keluarga seumpama inilah yang biasanya akan mendatangkan masalah kepada pihak sekolah, masyarakat, dan negara. Sesungguhnya, hanya insan yang kukuh pegangan agama dalam diri sahaja yang akan menampilkan akhlak yang baik, justeru menghargai ilmu. Jadi, jalan terbaik untuk ini hanyalah kembali kepada agama.

Bahasa Melayu lambang jati diri nasional

SAMBUTAN Bulan Bahasa Kebangsaan yang berlangsung sepanjang Oktober ini membuka semula perbincangan mengenai peranan Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP) dalam memartabatkan bahasa Melayu (BM) sebagai bahasa kebangsaan.

Polemik mengenai keterbatasan DBP sebagai pusat pengembangan dan persuratan BM kerana ketiadaan peruntukan kuasa yang khusus adalah sesuatu yang jelas.

Mengambil contoh dalam isu penggunaan bahasa pada sesebuah papan tanda, DBP tidak mempunyai kuasa langsung untuk menghalang mana-mana papan tanda yang menyalahi penggunaan bahasa.

Sebaliknya ia terletak di bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) yang memberikan kelulusan untuk sesebuah papan tanda dinaikkan.

Malangnya, PBT tidak pula diwajibkan untuk merujuk kepada DBP dalam konteks penggunaan bahasa. Ia hanya bergantung kepada sejauh mana kesedaran sesebuah PBT untuk meminta pandangan dan khidmat nasihat daripada DBP sebelum menaikkan papan tanda.

Dengan kira-kira 150 buah PBT di seluruh negara ketika ini, ada yang tidak jelas mengenai penggunaan bahasa itu sehingga menimbulkan pelbagai kesalahan termasuk mengetepikan ejaan dan tatabahasa yang betul.

Ironiknya, setiap PBT termasuk di Sabah dan Sarawak menerusi undang-undang kecil PBT masing-masing memperuntukan perkara mengenai penggunaan bahasa Melayu di tempat awam.

Namun apabila kesalahan bahasa itu terus berlaku, ia pastinya ada kena-mengena dengan kelemahan aspek penguatkuasaan.

DBP pula disebabkan tidak mempunyai kuasa, tidak mampu bertindak atas kesalahan dan kelemahan tersebut. Apa yang terdaya dilakukan hanyalah memberi khidmat nasihat, itu pun sekiranya diperlukan.

Walaupun peruntukan kuasa itu bukanlah keutamaan DBP, namun melihat kepada senario itu, DBP pastinya berharap undang-undang kecil di bawah Akta Kerajaan Tempatan dan Akta Jalan, Parit dan Bangunan diberi perhatian.

Setidak-tidaknya memasukkan keperluan mendapatkan kelulusan DBP bagi semua papan tanda, nama bangunan dan jalan sebelum diluluskan.

Ini juga merupakan salah satu resolusi yang dicapai dalam sebuah seminar yang diadakan dengan PBT pada 2005. Namun seperti biasa, resolusi hanya tinggal resolusi.

Bagaimanapun, kesediaan kerajaan mengkaji perkara itu seperti yang dinyatakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini, memberi nafas baru kepada usaha DBP memartabatkan BM.

Namun persoalannya, adakah perlu elemen yang menjadi lambang bangsa dan negara seperti bahasa Melayu dipertahankan menerusi saluran perundangan? DBP sendiri apakah berasa bangga seandainya diberikan kuasa untuk menghukum pesalah bahasa?

Sesuatu yang pasti, seperti yang dijelaskan oleh pengkaji bahasa Melayu, Prof Dr. Teo Kok Seong, hal ini merupakan beberapa perkara malang yang terus menimpa bahasa rasmi kita itu.

Menurut beliau, kita tidak memberikan penghormatan yang sewajarnya kepada BM sebagai bahasa negara, lebih-lebih lagi dalam penggunaan yang baik dan betul, sehingga perlu diwujudkan undang-undang dan akta untuk mengawalnya.

''Sebenarnya rakyat Malaysia termasuk orang Melayu selaku penutur natif kepada BM, rata-ratanya tidak sayang, tidak bangga dan tidak taat kepada BM. Baik dalam kapasitinya sebagai bahasa ibunda atau etnik, atau dalam kapasitinya sebagai bahasa negara," ujar Felo Penyelidik Utama & Profesor Sosiolinguistik Bahasa Melayu di Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Penguatkuasaan undang-undang dalam memartabatkan bahasa sebenarnya turut diamalkan di negara-negara maju seperti Perancis dan Jepun.

Ini dilakukan semata-mata untuk memastikan identiti atau jati diri nasional sesebuah negara itu terus wujud sebagai unsur yang penting.

Bahasa juga adalah simbol asas dan tempat berpusatnya pelbagai perkara lain seperti pendidikan dan peradaban.

Justeru tambah Kok Seong, impak bahasa sebagai jati diri bangsa dan negara itu adalah begitu besar dan dengan mengambil kira hal ini, sudah tiba masanya BM dihormati sebagai bahasa negara.

''Jika penghormatan itu tidak dapat dilahirkan dengan perasaan bangga kita semua terhadap BM, maka wajarlah ia dizahirkan melalui penguatkuasaan perundangan. Ini dilakukan semata-mata untuk mengekalkan selain memantapkan jati diri nasional Malaysia," ujar beliau.

Dalam polemik berkaitan bahasa kata Kok Seong, DBP selaku badan pengembangan dan persuratan bahasa, tidak wajar untuk sering dipertanggungjawabkan. Ini kerana rakyat Malaysia sendiri, rata-ratanya bersikap dingin dan buruk terhadap BM.

Baik dari sudut kemampuannya menjadi bahasa ilmu, mahupun dari segi keindahannya untuk menamai sesuatu, seperti kereta nasional kita, yang tidak seharusnya menggunakan nama-nama bahasa Inggeris atau bercirikan keinggerisan.

Dalam erti kata yang lain, BM sebenarnya berdepan dengan krisis ketidakyakinan terhadap kemampuannya di kalangan penuturnya sendiri.

Kerana itu bagi Kok Seong, selain menggunakan perundangan untuk memastikan kelestarian BM agar masih relevan pada zaman ini dan era mendatang, DBP perlu berusaha untuk memupuk perasaan sayang, megah dan setia kepada BM selaku bahasa negara.

Dengan perkataan lain, 'ideologi bahasa kebangsaan' itu perlu dipupuk di kalangan rakyat, terutama generasi muda. Supaya dari sudut psikologinya, mereka bukan sahaja mengungkapkan jati diri nasional melalui BM, tetapi bangga mengidentifikasikan diri mereka dengan BM.

''Dalam hal ini kita perlu mendidik rakyat kita untuk menjiwai BM, dan BM adalah aspek penting dalam kehidupan harian serta kehidupan nasional setiap rakyat Malaysia,'' ujar beliau.

Penekanan terhadap BM juga sebenarnya mengambil kira peranan yang lebih besar yang dibawanya iaitu sebagai bahasa pemersatu bangsa.

Dalam sebuah masyarakat majmuk seperti yang menjadi tulang belakang kepada pembentukan Malaysia, hanya elemen bahasa yang tunggal sahaja boleh menjadi elemen perpaduan.

Perkara ini juga sudah dipersetujui ketika negara mencapai kemerdekaan 52 tahun lalu apabila bahasa Melayu diangkat sebagai bahasa rasmi.

Sewajarnya dengan hakikat itu hari ini, kita tidak lagi perlu terkial-kial membahaskan mengenai kedudukan bahasa Melayu. Barangkali kerana gagal meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa penyatu bangsa juga, hubungan mesra antara kaum ketika ini sering kali berkocak.

Bagi Kok Seong, BM mampu melakukan penyatuan ini sekiranya negara hanya menggunakan bahasa itu dalam sistem pendidikan nasional.

Penggunaan pelbagai bahasa di bawah status 'bahasa ibunda' ternyata melambatkan dan membantut hasrat menyatukan pelbagai kaum di negara ini menerusi satu bahasa. Malah, ia juga melahirkan generasi baru yang tidak memperlihatkan jati diri nasional yang bukan sahaja tidak sama, malah tidak jelas pula.

Sebagai contoh tambah Kok Seong, mengakui diri sebagai warganegara Malaysia, tetapi tidak boleh berbahasa kebangsaannya walaupun dalam bentuk yang daif.

Sedangkan jati diri yang sama dan jelas sifat Malaysianya, khususnya dalam konteks penguasaan dan penggunaan BM dalam kehidupan sosial rakyat, adalah indeks penting terhadap tahap integrasi dalam kehidupan nasional.

Khususnya dari sudut bahasa dan budaya kebangsaan, kedua-duanya mementingkan elemen Melayu selaku kelompok dominan negara. ''Bagi saya, BM selaku bahasa kebangsaan dan rasmi tidak boleh dipersalahkan dalam hal kegagalan integrasi dan perpaduan.

Yang salah ialah apabila bahasa-bahasa lain diberi ruang beroperasi di bawah label bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar di sektor pendidikan sama ada yang dibantu oleh kerajaan atau swasta,'' ujar Kok Seong.

Dengan pelbagai cabaran semasa yang semakin menghakis kepentingan BM ketika ini, membawa kita merenung sejauh mana bahasa yang telah dipertuturkan lebih dari 500 tahun ini mampu mewakili kita sebagai bangsa Malaysia.

Untuk meramalkannya pupus barangkali sesuatu yang tidak mungkin akan berlaku kerana ia merupakan bahasa ibunda milik orang Melayu.

Tetapi untuk melihat BM sebagai bahasa kebangsaan serta milik seluruh rakyat Malaysia adalah sesuatu yang sukar. Justeru tegas Kok Seong, kerajaan dan orang Melayu selaku penutur natif perlu memastikan BM terus relevan khususnya dalam konteks kenegaraan.

BM perlu diperlihat dalam kapasitinya sebagai bahasa negara Malaysia dan tidak boleh sekali-kali sebagai bahasa ibunda orang Melayu semata-mata.

Bagi kelompok dan lapisan tertentu dalam masyarakat, BM perlu dikuasai dan digunakan dengan orientasi integratif dan menjadikannya sebahagian daripada struktur sosial.

Bukan semata-mata dari dimensi instrumental yang mana BM hanya penting dalam peperiksaan atau digunakan kerana dikehendaki oleh undang-undang. Orang Melayu sebagai kelompok dominan juga perlu menunjukkan kepada kaum lain bahawa BM adalah bahasa yang mampu membawa kemajuan kepada sesiapa sahaja.

Dalam ilmu linguistik tambah Kok Seong, BM merupakan sebilangan bahasa besar di dunia. Ini diukur antaranya dari sudut penyebarannya dalam bentuk mata pelajaran bahasa asing di lebih daripada 100 buah institusi pengajian tinggi (IPT) di kira-kira 30 buah negara.

Angka ini sendiri menunjukkan tingkat keantarabangsaan BM yang tidak boleh diperlekeh oleh mana-mana pihak.

''Justeru, jangan biarkan BM tersungkur sebagai bahasa besar di negara watannya sendiri. Sedangkan ia mekar di perantauan termasuk diminati rakyat asing kerana keindahan dan kepentingannya pada zaman moden ini," jelas Kok Seong.

Sumber : http://www.utusan.com.my/