KOMANDER Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Kelantan, Rusli Karim (empat dari kiri) bersama anggota memeriksa mercun bernilai RM180,000 yang berjaya dirampas UPP di Rantau Panjang, Kelantan baru-baru ini.
Oleh : NURUL ANUAR KARI
Oleh : NURUL ANUAR KARI
anuar.kari@utusan.com.my
BARU minggu kedua Ramadan, berita
tentang kecederaan berkaitan mercun semakin banyak dilaporkan media cetak dan
elektronik.
Walaupun menyayat hati terutama
jika menyebabkan kecederaan terhadap kanak-kanak, namun rakyat Malaysia
seolah-olah sudah lali dengan berita sebegini dan tidak lagi merasakan
kemalangan sedemikian sesuatu yang mengejutkan.
Tambahan pula, sebilangan remaja
bermasalah kini sudah mula bermain mercun dengan membaling kepada orang,
kenderaan mahupun rumah sebagai satu bahan jenaka.
Mercun ada fungsinya dalam
upacara kaum dan kepercayaan tertentu tetapi langsung tiada tempat dalam budaya
Melayu mahupun agama Islam.
Walaupun ada budaya bermain
meriam buluh di kampung-kampung sejak beberapa dekad lalu, tetapi ia bukan
sebahagian daripada amalan umat Islam pada bulan Ramadan dan Syawal.
Umum dan media sendiri sudah muak
menceritakan tragedi yang berulang setiap kali ketibaan Ramadan dan Syawal ini,
tetapi sebenarnya ramai yang tidak sedar punca masalah adalah sikap anggota
masyarakat itu sendiri.
Rata-rata masyarakat menyalahkan kanak-kanak
atau mereka yang cedera kerana bermain mercun, ibu bapa mahupun pihak berkuasa
yang dianggap tidak menjalankan tanggungjawab dengan baik.
Semua orang mengetahui bermain
mercun adalah satu aktiviti yang sia-sia dan lebih membazir daripada merokok.
Lebih teruk, ia mampu mencederakan dan membunuh dengan lebih dahsyat daripada
asap tembakau.
Namun, jika bertanya kepada diri
sendiri, berapa ramaikah di antara rakyat negara ini yang pernah menghalang
mahupun melaporkan aktiviti penyeludupan dan penjualan mercun haram kepada
pihak berkuasa atau sekurang-kurangnya kepada Rukun Tetangga?
Realitinya, penjualan mercun amat
mudah dilihat di pasar malam, bazar Ramadan, gerai mahupun premis kedai
terutama pada musim perayaan. Dalam menangani masalah itu pula, masyarakat
seolah-olah lepas tangan dengan mengharapkan pihak berkuasa datang menyiasat
sendiri serta menangkap penjenayah terbabit.
Dengan itu, tidaklah pelik
apabila ramai di kalangan generasi muda kudung anggota, buta, pekak dan melecur
teruk. Jika tidak maut sekalipun, mereka akan menjadi pewaris negara yang cacat
kekal selama-lamanya.
Terbaru, kes seorang pemuda dan
anak jirannya di Kedah sudah berada dalam statistik mangsa mercun. Mangsa
dilaporkan membeli mercun di bazar Ramadan berhampiran rumahnya.
Yang bermain mercun itu mungkin
akan kehilangan deria penglihatan tetapi ramai terlepas pandang, terutama
anggota masyarakat setempat di negara ini tentang aktiviti jualan mercun yang
dibiar berleluasa.
Sikap kejiranan kini yang lebih
suka mengata dan mengutuk jika terkena kepada orang lain memburukkan lagi
keadaan. Hanya apabila terkena pada keluarga sendiri barulah mereka tersentak.
Jika ditanya, klise biasa adalah
penguat kuasa tidak buat kerja, kerajaan gagal kawal penyeludup dan peniaga
mercun, mahupun 'Perdana Menteri' perlu selesaikan masalah ini.
Sedangkan terdapat beribu-ribu
mata yang sekadar memandang kegiatan menjual mercun haram itu setiap hari. Agak
menyedihkan apabila tiada yang melaporkannya dan sekadar menjeling dengan
tanggapan 'biarlah...asal tidak menyusahkan aku'.
Ramai yang mungkin terlupa
tragedi letupan kilang dan gudang mercun sebelum ini, di dalam dan luar negara.
Seperti tragedi pada Ogos 2010 di Terengganu yang sepatutnya sudah cukup untuk
menyedarkan semua pihak apabila seorang kanak-kanak berumur enam tahun maut
dengan tragis akibat letupan mercun yang disimpan bapanya sendiri.
Dengan jumlah mercun yang begitu
besar, mustahil tiada langsung tetangga, saudara mahupun penduduk sekitar
mengetahui atau sekurang-kurangnya mengesyaki sesuatu tidak kena sedang
berlaku.
Sama juga di mana-mana sekalipun,
jika orang ramai masih tidak endah dan mengabaikan tanggungjawab bersama dalam
menghalang aktiviti haram ini, usahlah terkejut jika suatu hari nanti, mercun
akan meragut nyawa keluarga atau kenalan anda.
Hakikatnya, penguat kuasa tidak
boleh berada di semua tempat sepanjang masa, justeru penduduk setempat yang
mengetahui aktiviti haram yang dijalankan itu wajarlah melaporkannya kepada
pihak berkuasa.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/