Oleh : Muhamad
Razak Idris
Dorong kecintaan pada ilmu pengetahuan dalam
masyarakat
Pembudayaan nilai kecintaan pada ilmu
pengetahuan memerlukan strategi pemupukan yang berterusan dan pelbagai. Antara
strategi penting tentunya mendorong minat masyarakat terhadap buku dan budaya
membaca.
Penulis amat tertarik dengan penganjuran siri
‘Borak Buku’ oleh sekumpulan anak muda baru-baru ini. Mereka bernaung di bawah
Biro Penulis Muda PENA dengan kerjasama Institut Terjemahan dan Buku Malaysia
(ITBM), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) cawangan Wilayah Tengah dan Alumni
Minggu Penulis Muda DBP.
Kegiatan bersifat begini penting terutama bagi
mengundang penyertaan anak muda yang berada dalam kategori yang dikenali kini
sebagai Generasi Y yang didapati kurang memberi minat pada acara bersifat rasmi
atau formal sejak akhir-akhir ini”
Acaranya mudah dan ringkas saja. Suasananya
pula santai. Selepas mengenal pasti pembicara buku dan menentukan pilihan buku
yang bakal ‘diborak’ atau dibicarakan, anak-anak muda ini menghebahkan program
menerusi laman sosial Facebook.
Urusan penganjuran ini hanya dikendalikan oleh
seorang saja. Pada
acara baru-baru ini, seorang remaja perempuan, Nisa Yusof menjadi pengendali
penganjuran. Pada hari dan waktu yang ditentukan, seramai lebih kurang 10
hingga 15 orang anak muda berkumpul di sebuah kedai kopi di pusat hentian KL Sentral bagi berborak
tentang buku sambil menikmati minuman kopi pilihan.
Pada siri ‘Borak Buku’ itu, selaku pembicara,
saya mengulas karya sarjana Muslim dari India iaitu Sayyid Abu Hassan Ali
Al-Nadwi yang diterjemahkan dan diterbitkan dalam sekitar 1950-an bertajuk
Apakah Derita Yang Dihadapi Dunia Akibat Kemunduran Kaum Muslimin.
Selepas mengulas latar dan kandungan buku itu
dalam tempoh 40 minit, kami saling berbincang dan bertanyakan pelbagai
persoalan berkaitan buku dan kesesuaian pemikirannya dalam konteks kehidupan
hari ini.
Setelah azan Asar, acara berakhir dan semua
berjanji untuk bertemu lagi pada pertemuan seterusnya sebelum bersurai menuju
haluan masing-masing. Begitulah acara ‘Borak Buku’ yang berlangsung dengan
penuh santai, ringkas dan mudah.
Acara ini dikongsi kerana ia boleh dianggap
satu bentuk kegiatan yang menarik dalam rangka strategi memupuk minat membaca
dan mendorong kecintaan pada buku dan ilmu pengetahuan dalam masyarakat
terutama di kalangan generasi muda.
Kita beranggapan acara sebegini wajar
dikembangkan dan dibudayakan dengan lebih meluas lagi. Ia dilihat satu
pendekatan yang berkesan terutama bagi membuka ruang baru bagi kegiatan serius
yang membabitkan penyertaan generasi muda.
Kegiatan berborak mengenai buku ini tidak
semestinya dilaksanakan di kedai kopi. Ia juga boleh dikembangkan di tempat
umum lain seperti di taman rekreasi, di sudut bangunan tertentu malah di ruang
tertentu di masjid dan surau selagi ia tidak mengganggu ketenteraman awam.
Unsur utama yang perlu dikekalkan ialah sifat
acaranya yang bercorak santai, mudah dan ringkas. Kegiatan bersifat begini
penting terutama bagi mengundang penyertaan anak-anak muda yang berada dalam
kategori yang dikenali kini sebagai Generasi Y yang didapati kurang memberi minat
pada acara bersifat rasmi atau formal sejak akhir-akhir ini.
Ketika penulis bergiat dalam sebuah pergerakan
Islam di negara ini, salah satu strategi bagi pemupukan budaya ilmu di kalangan
anggotanya ialah menerusi penganjuran acara yang dikenali sebagai ‘usrah’.
Ia berbeza sedikit bentuknya dengan Borak Buku.
Usrah dilaksanakan secara mingguan. Ia menggunakan konsep perkumpulan keluarga
di mana ahli-ahli usrah yang berada dalam lokasi berdekatan berkumpul pada masa
tertentu secara bergilir di kediaman masing-masing.
Kebiasaannya, usrah bermula selepas bersolat
Maghrib bersama. Jamuan malam ringkas disediakan oleh tuan rumah. Acara utama
usrah dikendalikan oleh seorang moderator yang dikenali sebagai Naqib. Dalam
acara ini, ahli-ahli akan berbincang secara ilmiah tentang pelbagai persoalan.
Kegiatan tetap ialah berdiskusi tentang buku-buku terpilih karya ilmuwan Muslim
semasa.
Acara usrah ini juga bersifat santai, mudah dan
ringkas namun dalam masa yang sama menekankan nilai persahabatan dan semangat
kekeluargaan. Ahli-ahli akan berdiskusi sehinggalah ke waktu yang tidak akan
mencecah larut malam kerana mereka harus mendapat istirahat untuk menjalankan
kewajipan pekerjaan pada keesokan harinya.
Penulis ialah pensyarah di Fakulti Pengajian
Islam, UKM
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan