Bible atau Al-Kitab di dalam bahasa Melayu telah dibenarkan untuk dibaca oleh para penganut Kristian di Sarawak dan Sabah, mungkin juga di Semenanjung. Tahap literasi bahasa Melayu sudah meningkat sehingga memerlukan kitab berkenaan ditulis dalam bahasa Melayu.
Lazimnya terdapat Al-Kitab berbahasa Inggeris di kamar hotel-hotel berbintang di Malaysia. Parent Action Group for Education (PAGE) yang berpusat di Bukit Damansara pula menuntut supaya Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dikekalkan.
Satu paradoks. Satu pihak mahukan bahasa Melayu, malah menggunakan perkataan Allah atas kepentingan penyebaran agama, yang satu berterusan mahukan bahasa Inggeris atas kepentingan kemajuan masa depan anak-anak mereka. Manakala pihak Dong Jia Zong mahu terus kekal diajar dalam bahasa ibunda.
Di seluruh dunia apabila sesebuah negara mencapai kemerdekaan dan berdaulat, ada beberapa tindakan yang dilakukan iaitu pembinaan negara bangsa, perpaduan, nasional dan politik, serta pembangunan kemajuan ekonomi. Pembinaan negara bangsa dan perpaduan nasional digembleng untuk mewujudkan identiti, jati diri dan perwatakan kebangsaan.
Bahasa kebudayaan hatta agama serta segala bentuk, ciri, sifat, sistem nilai dan warisan dijadikan instrumen perpaduan. Negara-negara yang mengekalkan institusi raja dan kesultanan meletakkan institusi berkenaan sebagai lambang perpaduan dan payungan berteraskan perlembagaan.
Semenjak Persekutuan Malaysia merdeka segala wadah dan wahana identiti kebangsaan sudah mantap dan terkanun atau termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia serta segala dasar yang sehubungan dengannya. Isu bahasa khasnya penggunaan bahasa pengantar di sekolah nampaknya tidak kunjung selesai apabila dipolitikan dan digunakan sebagai tuntutan hak dan keistimewaan.
Bahasa pengantar yang mengguna bahasa Melayu (bahasa kebangsaan) sering dicabar oleh pihak yang mahu mengekalkan bahasa sukuan dan kauman.
Pengajaran bahasa Melayu di sekolah jenis kebangsaan ditetapkan dan dituntut supaya guru-guru hendaklah daripada keturunan tertentu tidak dari penutur asli bahasa ibunda bahasa Melayu.
PPSMI kini mencetuskan polemik yang tidak kunjung selesai, malah menimbulkan reaksi yang pelbagai apabila Perdana Menteri menyebut di kalangan sahabat Facebook di Pulau Pinang, bahawa kemungkinan kerajaan akan mengkaji cadangan PPSMI diajar di dalam dua bahasa pengantar.
PAGE dan beberapa akhbar berbahasa Inggeris mula mencanangkan isu bilingualism untuk PPSMI sebagai jalan keluar terbaik, suatu situasi menang-menang, yang tidak semestinya terbaik.
Persatuan Linguistik Malaysia (PLM) bersama-sama 48 pertubuhan Melayu juga Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) membantah sekeras-kerasnya akan cadangan berkenaan. Lulus jarum lulus kelindan, bermula dari PPSMI, maka akan ada pula cadangan untuk multilingualism di sekolah-sekolah.
Identiti nasional yang berteraskan kepada seluruh wadah dan wahana kebangsaan akan hancur luluh, diluluh-lantakkan oleh kepentingan kelompok minoriti. Bahasa sebagai simbol perjuangan kebangsaan, perpaduan kebangsaan yang berteraskan semangat kebangsaan tidak lagi mempunyai apa-apa makna. Ia akan terakam sebagai satu sejarah yang dikalahkan oleh kepentingan praktis dan material kehidupan manusia.
Para pejuang bahasa sekeras-kerasnya menolak PPSMI tetapi tidak menolak peri pentingnya bahasa Inggeris. Mereka memikirkan kepentingan bangsa dan negara bukannya kepentingan sekelompok kecil elit dan kelas atasan. Ditimbulkan persoalan ini bukannya para pejuang bahasa anti kelas tetapi khuatir ada pihak yang akan mengguna isu ini dalam kerangka kepentingan politik.
Secara khususnya pembesaran kelas menengah Melayu disebabkan oleh pelaksanaan Dasar Bahasa Kebangsaan dan Dasar Pendidikan Kebangsaan. Semakin ramai kelas teknokrat, korporat dan birokrat Melayu adalah disebabkan kedua-dua dasar tersebut, walau pun dari segi jumlah kelas ini masih kecil berbanding kelas yang sepertinya di kalangan bukan Melayu.
Amat dikhuatirkan bahasa Inggeris menjadi bahasa pengucapan kelas birokrat, teknokrat dan korporat Melayu di bandar seperti Bukit Damansara dan kawasan-kawasan sepertinya, berbanding majoriti rakyat di luar bandar yang terus berbahasa Melayu. Maka bahasa Inggeris untuk kelas atasan Melayu manakala bahasa Melayu untuk kelas bawahan Melayu.
Bahasa Melayu akan terus dipandang kampungan, penuh kekolotan dan tradisional. Satu jurang kebudayaan yang tidak molek dalam kerangka perpaduan Melayu. Bukan sahaja berlaku susun lapis dari segi sosial dan ekonomi, malah dari segi bahasa, kembali ke fenomena zaman kolonial dan pra-merdeka.
Padang sosial akan terus tidak rata, akan sukar untuk mencapai keadilan sosial, walau pun sesama Melayu, apatah lagi dengan bukan Melayu.
Seandainya isu PPSMI kembali dipolitikkan dan parti politik Melayu yang dominan seperti UMNO sepi pula untuk memberikan reaksi, kemungkinan parti politik pembangkang Melayu lain akan mengutipnya mewadahi perjuangan politik mereka. Faktor jurang kebudayaan ini boleh dimanipulasi untuk kepentingan politik. Sekiranya agenda Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) tidak direalisasi secara konkrit, maka masalah juga akan muncul.
Pengumuman membolehkan PPSMI dalam dua bahasa pengantar sedikit sebanyak merupakan kemenangan politik kepada PAGE. Apakah kepentingan rakyat terbanyak tidak merupakan kepentingan politik? Apakah kepentingan rakyat terbanyak tidak didahulukan?
Sewajarnya kita belajar dari pengalaman negara-negara lain di dunia untuk memahami betapa perlunya proses pembinaan negara bangsa melalui bahasa. Orang Turki, Kurdi dan Arab memiliki bahasa yang hampir sama, tetapi lantaran kepentingan politik mereka saling berusaha untuk menidakkan antara satu sama lain, sehingga orang Kurdi bertempiaran di seluruh dunia.
Begitu juga orang Serbia, Croatia, dan Bosnia yang menggunakan bahasa yang sama, lantaran perbezaan agama, Serbia Ortodoks Kristian, Croatia Katoliks dan Bosnia Islam, maka runtuhlah Yugoslavia, melahirkan negara Serbia, Croatia dan Bosnia.
Bahasa Hebrew atau Ibrani telah lama pupus. Ia adalah bahasa Kitab Zabur dan Taurat. Tetapi Israel menghidupkan kembali bahasa Ibrani tersebut dengan pelbagai tindakan dan pendekatan termasuk menubuhkan Dewan Bahasa, maka bahasa Ibrani memberikan identiti, menyatu-padukan orang Israel sehingga memberi kekuatan mahu menghapuskan Arab Palestin.
Daripada pengalaman tersebut bahasa boleh mencetuskan konflik dalaman sesuatu negara, tetapi adalah amat diharapkan isu PPSMI ini tidak terjerumus ke lembah konflik. Pihak pemerintah telah mengemukakan MBMMBI, maka pelaksanaannya perlu disegerakan dan tidak wajar PPSMI dikaji semula atau dilaksanakan dalam apa jua bentuk.
Pendekatan dan kaedah yang ditetapkan oleh MBMMBI amat memadai untuk mempertingkatkan keterampilan berbahasa Inggeris di kalangan para pelajar sekolah.
Kita tidak mahu ada kelompok yang terus mengasingkan diri dari kelompok majoriti. Pengasingan budaya melalui bahasa amat berbahaya.
Janganlah isu PPSMI diulang kembali untuk memusnahkan segala harapan untuk mencapai kemajuan, kesejahteraan, keamanan, masa depan rakyat terbanyak dan negara, maka berjiwa besarlah untuk mengutamakan kepentingan rakyat terbanyak.
Prof. Madya Datuk Zainal Abidin Borhan
Setiausaha Satu Gapena.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/