Ahad, 24 April 2011

ISU BAHASA : Bahasa Melayu, Inggeris wajib dikuasai!

oleh TAN SRI ABDULLAH AHMAD

Peribumi jangan makin keliru matlamat asal, kalau tidak mahu jadi penumpang di negara sendiri

Dalam apa-apa bahasa pun kita wajib kejar ilmu pengetahuan: melalui pendidikan formal atau sebaliknya. Ilmu itu kuasa, pengaruh. Tetapi mereka yang singkat fikiran membaca, menghafal keterlaluan hingga tidak sedar inisiatif semula jadi mereka (native initiatives and intelligence). Maknanya membaca dan menghafal melulu membuat minda mereka lemah, kadangkala menjadi bagai burung nuri (parrot) yang boleh dilatih mengajuk, bertutur. Yakni orang yang mengulangi kata-kata orang lain tanpa berfikir.

Saya tidak akan berbahasa-bahasa dalam isu Bahasa Melayu dan Inggeris. Bahasa Melayu belum lagi, dalam erti sebenar, bahasa dunia yang diguna oleh jumlah orang yang amat besar bilangannya di merata dan juga bahasa ilmu. Kita boleh mencapai kedua-dua matlamat kalau kita tidak keterlaluan ‘rojakkan’ bahasa kita.

Kalau anda baca surat di ruangan pembaca akhbar Inggeris, rencana dan lidah pengarang hari demi hari bagai satu kempen mahukan BI diberi tempat lebih sempurna (baca digunakan sebagai bahasa perantaraan, rasmi). Desakan ini datangnya daripada semua bangsa termasuk Peribumi walaupun kebanyakan, saya kira, dari bukan Peribumi. Mereka mahu pendidikan dwi-bahasa diwajibkan di sekolah semua peringkat. Wajar tegas mereka kerana kerajaan membenarkan sekolah private, local atau international menggunakan BI sebagai pengantar dan BM/Mandarin sebagai bahasa elektif. Walaupun saya sendiri berpendidikan Inggeris saya tidak akan berkompromi bahawa bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan tunggal mestilah Bahasa Melayu. Dalam masa sama saya juga mahu BI wajib dipelajari oleh semua di segala peringkat sistem pendidikan kita. Kalau kita berkemampuan minda dan ekonomi bahasa Mandarin atau Arab dijadikan bahasa pilihan yang wajib ketiga.

Ada orang Malaysia – apa yang digelar "anglophiles" beranggapan serba-serbi Inggeris bagus. Apa pun Malaysia – apa lagi Melayu – sebaliknya! Kebongkakan atau "vanity" mereka terserlah. Keangkuhan Perancis pula apa yang jelek itu Inggeris dan yang elok Perancis; kesombongan Inggeris pula: apa yang salah Perancis, apa yang betul dan benar Inggeris! BI kepada golongan ini tiada cacat cela (tidak benar). Apa yang jelas BI adalah lingua-franca, bahasa perantaraan dunia; bahasa ilmu.

Saya berada di Pulau Pinang hujung minggu untuk meninjau keberkesanan kerajaan Pakatan DAP-PKR-Pas; banyak pembangunan sedang berlaku, termasuk pengubahsuaian lapangan terbang antarabangsa di Bayan Lepas, juga sekolah persendirian termasuklah sebuah medical college dan sebuah pusat Bahasa Inggeris yang gurunya semua orang Inggeris. Sementara menunggu mamak menggoreng mi saya di kedai kopi di Pulau Tikus, saya membaca cerita asal-usul Tan Sri Abdul Rahman Arshad dalam Mingguan Malaysia (muka 10, 17 April).

Kami seangkatan dari segi umur: Rahman seorang "casual acquaintance" yang lama, seorang kenalan kebetulan lama tetapi bukan sahabat karib. Saya bangga dengan kejayaannya, walaupun latar belakang serba kekurangan dan dihina pula. Saya tidak tahu sebelum ini, saya ingat dia anak cikgu! Lazimnya anak-anak cikgu, ustaz, tok imam dan yang bernasib baik berpeluang pergi ke Special Malay Class di sekolah Inggeris melainkanlah mereka yang bernasib baik ke Malay College Kuala Kangsar (MCKK). Seorang sedarjah dengan saya dari Melaka ke MCKK 1948 seorang anak pemandu teksi dan seorang lagi juga dari keluarga berpendapatan rendah. Kedua-dua berjaya – satu jadi arkitek dan satu lagi guru siswazah. Begitulah cerita kebanyakan asal-usul pembesar dan pemimpin kita dulu dan kini.

Kita haruslah tahu sedikit sebanyak asal-usul ibu bapa, nenek-moyang kita. Kerana kekayaan ramai ‘Melayu Baru’ mampu membeli beg tangan untuk isteri berharga setengah juta ringgit. Satu cerita lagi: seorang suami membayar hampir satu juta ringgit untuk pakaian isterinya! Itu tidak salah. Bagus. Biar mereka belanja ratusan ribu pun untuk isteri atau gundik tetapi tidak berjudi di luar negara – di Las Vegas, London, Monaco dan lain-lain lagi. Ketagihan judi membuat seorang kawan baik saya meninggal dunia papa.

Saya mahu lihat ramai lagi Rahman Arshad dalam kalangan bangsa kita. Tanpa penguasaan BI Rahman tidak akan ke mana-mana. Dia juga nasionalis bahasa tetapi bukan yang ekstrem, bukan memperjuang Bahasa Melayu, tetapi anak-anaknya atau cicitnya belajar di sekolah antarabangsa atau terus dari umur 8 – 13 ke public schools di United Kingdom atau Australia. Tak salah. Saya galakkan ini tetapi janganlah menggesa orang lain ke sekolah kebangsaan, keluarga mereka pula ke sekolah swasta antarabangsa yang yurannya puluhan ribu setahun atau ke Eton di England, yurannya antara RM150,000 - RM200,000 setahun, mengikut tukaran mata wang hari ini.

Suka-duka jangan terburu-buru marah yang tidak ‘nasionalis bahasa’. Orang jemu dengan mereka yang pura-pura ‘nasionalis bahasa’; jelak dengan lagu lapuk, nyanyian lusuh dan slogan usang mereka! Jangan cepat menuduh orang itu baik Melayu, Cina, India anti bahasa kebangsaan; majoriti menerima Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi tunggal. Tetapi siapa pula yang tidak menghormatinya?

Sesetengah pemimpin Pribumi sendiri: ucapan kepada orang Malaysia pun dalam BI, sidang media bagi media Malaysia pun dalam BI! Kenapa? Takut dikata orang mereka tidak "speaking"? Presiden Indonesia dari Sukarno hinggalah ke Susilo Bambang Yudhoyono di Indonesia dan di luar negara pun berbicara dalam Bahasa Indonesia; besar kecil konferensi pun dalam Bahasa Indonesia. Begitu juga pemimpin-pemimpin China, Jepun, Perancis, Turki dan Jerman. Kalau pemimpin Melayu guna BI di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) saya anggap itu satu yang terkecuali. Sesetengah pemimpin kita bermegah dengan BI padahal kualiti BI mereka lebih buruk dan rendah daripada bahasa ibunda mereka kecuali beberapa kerat fasih BI.

Musuh Bahasa Melayu adalah Peribumi dan Melayu sendiri. Melayu, seperti ditegaskan oleh Dr Mahathir Mohamad, ‘makin keliru hala tuju – tidak tahu apa yang baik untuk mereka’. Kalau tak mahu berterima kasih kepada kerajaan tak apalah tetapi sedarlah asal-usul mereka. Telah dibebas daripada bangsa petani, pemandu, ‘hamba abdi’, kerani, buruh kasar, mata-mata dan askar biasa kepada tahap dan status yang dinikmati sekarang walaupun pukul rata jurang perpisahan antara kaum terus lebar. Peribumi sekarang memerintah pada nama sahaja. Tiada kemerdekaan sebenar hinggalah mereka juga merdeka ekonomi, bahasa mereka ada nilai ekonomi dan menjadi bahasa ilmu dalam erti sebenarnya. Sebenarnya mereka masih terjajah lagi dalam ekonomi, kebudayaan dan minda mereka. Bagaimana orang lain tidak memandang rendah kepada mereka, bahasa mereka? Ada Melayu sendiri memandang rendah kepada kebudayaan sendiri. Lupa daratan atau kacang lupakan kulit? Atau kedua-dua? Setengah bangsa mereka sendiri memandang rendah kepada kebudayaan sendiri?

Saya dapati Peribumi dengan orang Inggeris (yang mereka puja itu) ada satu persamaan: "whining" yakni merengek. Kedua-dua bangsa amat suka merengek dan merungut! Saya tidak tahu sama ada ini satu sifat yang kita harus megah atau malu. Apa pun apa lagi yang kita mahu merengek sekarang?

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Komen